Apabila berbicara berkenaan hak asasi manusia, pasti akan terlintas di fikiran kita akan deklarasi hak asasi manusia yang menjadi asas kepada kelansungan hak kita dalam kehidupan seharian. Namun seharusnya diketahui, deklarasi hak asasi manusia ini sebenarnya merupakan salah satu usaha yang dilakukan oleh Cyrus The Great, seorang raja Parsi yang hebat dalam sejarah tamadun dunia.

Kisah Cyrus the Great boleh dijumpai melalui banyak sumber sejarah kuno yang bertulis, namun sejarawan berpendapat karya penulisan Herodotus adalah paling banyak dan hampir lengkap menceritakan kisah Cyrus ini. Cyrus lahir pada tahun 580 BC, dan merupakan anak kepada Cambyses I, raja negara Anshan dan Mandane, anak perempuan kepada Astyages iaitu raja negara Media, iaitu satu daerah yang wujud di sebelah barat negara Parsi kuno atau dikenali sebagai negara Iran pada masa kini. Mengikut pengkaji sejarah kuno, negara Media ini wujud sekitar tahun 600 BC sehingga 599 BC. Mengikut cerita sejarah Iran,  Astyages iaitu raja Media sebagai datuk kepada Cyrus sendiri pernah bermimpi bahawa dia akan digulingkan oleh cucunya tersebut dan pernah berusaha membunuh Cyrus sewaktu kecil, namun usahanya menemui kegagalan.

Akhirnya apabila Cyrus meningkat dewasa dan menjadi pemerintah menggantikan bapanya raja Cambyses I, dia telah berjaya menawan Media dan menggulingkan Astyages, seterusnya menjadi raja kepada negara Anshan dan Media ini. Akhirnya Cyrus berjaya menawan dan menyatukan seluruh daerah yang wujud disekitar negara Parsi dan mewujudkan satu empayar Parsi yang pertama di dunia Beliau juga dikatakan berjaya menawan Babylon, Mesopotamia, Judea, Palestine dan Syria serta beberapa daerah di sekitar negara Greek kuno, lantas menjadikan beliau termasuk dalam senarai antara raja dan pemerintah empayar yang berjaya dan hebat di dunia. Cyrus mempunyai pelbagai gelaran, antaranya adalah Cyrus the Great, Cyrus II of Persia, King of Persian Empire, King of Babylon, King of the Land serta King of the Four Corners of the World.

Selain kisah kehebatan beliau menyatukan negara-negara kecil di sekitar Parsi lantas mewujudkan satu empayar Parsi yang besar, beliau juga terkenal sebagai seorang raja yang sangat mementingkan kebajikan tentera dan rakyatnya. Bahkan terdapat juga kisah beliau yang memaafkan dan membebaskan tawanan perang sebaik sahaja memenangi sesuatu peperangan, walaupun baru sahaja tawanan tersebut cuba membunuh beliau sebelum itu. Kisah kebaikan dan ketinggian akhlak serta sifat kemanusiaan beliau tersebut menjadikan Cyrus dihormati dan disayangi rakyat serta disegani musuh-musuhnya. Sifat kemanusiaan beliau inilah yang menjadi titik tolak wujudnya deklarasi hak asasi manusia pertama digelar sebagai Cyrus The Great Cylinder. Setelah memerintah selama 30 tahun, Cyrus akhirnya meninggal dunia pada tahun 530 BC dan dikebumikan di daerah Pasargadae, iaitu sekarang terletak di daerah Shiraz, Iran. Tahta Empayar Parsi telah diwarisi oleh anak beliau iaitu Cambyses II.

Cyrus the Great Cylinder atau ringkasannya dikenali sebagai Cyrus Cylinder merupakan satu dokumen berbentuk silinder yang dibuat daripada tanah liat bersaiz 22.5 sentimeter X 10 sentimeter. Cyrus Cylinder ini dianggarkan mula dibuat pada tahun 539 BC sehingga 530 BC. Silinder tanah liat ini telah diukir dengan tulisan dalam bahasa Akkadian, atau Accadian, iaitu satu bahasa semitik kuno berbentuk cuneiform yang digunapakai secara meluas oleh penduduk di Mesopotamia sejak abad ke 30 BC. Cyrus Cylinder ini mencatatkan tentang kisah sewaktu pemerintahan Cyrus, senarai keluarga pemerintah Cyrus, kesamaan hak berkenaan isu kaum, bahasa dan agama, hak hamba dan tawanan perang serta hak rakyat biasa. Antara contoh isi yang diukir pada Cyrus Cylinder ini menurut terjemahan pakar sejarah adalah seperti berikut:

Bahasa Akkadian:

i-na ki-it-tim ú mi-Š a-ru iŠ-te-ni-‘e-Ši-na-a-tim iluMarduk belu rabu ta-ru-ú niŠ e- Šu ip-Še-e-ti Šá dam-qa-a-ta ù lib-ba-Šú i-Šá-ra ha-di-i Š ip-pa-al-li-is

 

Terjemahan:

He took them in justice and righteousness. Marduk, the great lord, looked joyously on the caring for his (Cyrus) people, on his pious works and his righteous heart.

(Marduk adalah nama tuhan bagi penduduk Babylon)

Pada tahun 1879, satu kumpulan pakar arkeologi, diketuai oleh Hormuzd Rassam yang telah mendapat biaya Muzium British di London telah berjaya menemui Cyrus Cylinder ini di celah-celah runtuhan kota Babylon. Cyrus Cylinder ini disimpan di Muzium British sehingga kini. Pada tahun 1971, United Nation telah mengisytiharkan Cyrus Cylinder ini sebagai ‘deklarasi hak asasi manusia bertulis yang pertama di dunia’, dan telah diterjemahkan kepada 6 bahasa utama menurut United Nation,  iaitu bahasa Cina, Arab, Inggeris, Perancis, Russia and Sepanyol. Satu replica Cyrus Cylinder ini juga telah dibuat dan diletakkan di pejabat United Nations di New York.

Sememangnya mempelajari dan mengetahui fakta berkenaan sejarah adalah sangat penting kepada kita, untuk kita mengambil iktibar dari maklumat lepas dan diaplikasi kepada masa kini. Seperti penemuan Cyrus Cylinder ini, ia telah menjadi contoh dan asas kepada pembuatan Deklarasi Hak Asasi Manusia moden.


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Graduan Pengajian Islam (Usuluddin & Falsafah), Seorang penulis, pendidik dan peminat falsafah Muslim.

Comments are closed.