Pada 29 November 1987, dua ejen Korea Utara iaitu Kim Hyon-hui dan Kim Seung-il menaiki sebuah pesawat Korea Selatan di Baghdad, Iraq. Kedua-duanya menggunakan pasport palsu Jepun di bawah nama Mayumi Hachiya (Hyon-hui) dan Shinichi Hachiya (Seung-il). Apabila mereka diperiksa pihak berkuasa, mereka membawa sebuah radio berkuasa bateri dan memainkan ia sebagai bukti radio tersebut tidak berbahaya. Hakikatnya, radio tersebut sebenarnya sebuah bom berkuasa bateri yang dibekalkan oleh sekumpulan ejen Korea Utara di Belgrade, Serbia sebelum kedua-dua ejen itu berangkat ke Baghdad.
Selepas memasang bom tersebut dalam sebuah bakul sampah, Hyon-hui dan Seung-il turun semasa penerbangan singgah di Abu Dhabi, Emiriah Arab Bersatu (UAE). Apabila Penerbangan 858 Korean Air kembali terbang ke udara, bom tersebut meletup dan membunuh 115 orang penumpang dan krew, kebanyakannya dari Korea Selatan. Kedua-dua ejen cuba melarikan diri tetapi mereka berjaya ditahan di Bahrain. Untuk mengelak ditangkap, Hyon-hui dan Seung-il mengambil racun sianida dalam rokok untuk membunuh diri tetapi hanya Seung-il saja yang mati sementara Hyon-hui ditahan dan diekstradisi ke Korea Selatan. Insiden ini berlaku tatkala Korea Selatan sedang bersiap-sedia menganjurkan temasya Sukan Olimpik yang bakal bermula dalam tempoh 10 bulan.
Menurut Sergey Radchenko, seorang profesor berkenaan hubungan antarabangsa dari Universiti Cardiff dan felo global untuk Pusat Woodrow Wilson untuk Cendekiawan Antarabangsa, walaupun insiden serangan Penerbangan 858 berlaku setahun sebelumnya, ia sebenarnya satu usaha untuk mensabotaj temasya tersebut. Tujuan serangan ialah untuk mencetuskan suasana ketakutan hingga memaksa Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) memindahkan temasya ke lokasi yang lebih selamat atau tidak menggalakkan banyak negara termasuk negara sekutu Korea Selatan dari tidak menyertai Sukan Olimpik 1988.
Dan sebelum insiden Penerbangan 858, Agensi Perisikan Pusat (CIA) sudah menyatakan kebimbangan mereka berkenaan ancaman Korea Utara terhadap temasya tersebut. Dan selepas insiden Penerbangan 858, CIA menyatakan walaupun Seoul sudah mengambil langkah berjaga-jaga untuk mengekang ancaman keganasan dan penyusupan perisik asing, pengangkutan udara mereka masih terdedah kepada sabotaj atau jadi peluang penyusupan oleh pengganas.
Dan 30 tahun selepas itu di mana Korea Selatan diberi peluang menganjurkan Sukan Olimpik Musim Sejuk di Pyeongchang, tahap keselamatan diletakkan di tahap berjaga-jaga. Bilangan anggota keselamatan yang dikerah sama dengan bilangan anggota keselamatan yang dikerah Brazil semasa penganjuran Sukan Olimpik 2016 di Rio de Janeiro. Selain itu, Seoul turut melancarkan dron untuk memintas dan menangkap mana-mana dron tak dikenali sekiranya mereka dikesan berada di situ.
Sebenarnya cubaan Pyongyang untuk menggugat Olimpik 1988 sudah bermula sejak pertengahan tahun 1980-an lagi selepas IOC memilih Seoul sebagai tuan rumah Sukan Olimpik tahun berkenaan. Tanpa diduga, pihak Korea Utara mengusulkan cadangan kepada Korea Selatan dan IOC untuk menjadi tuan rumah bersama Olimpik 1988 dan menganjurkan separuh daripada acara-acara Olimpik di negara mereka. Bagi presiden IOC ketika itu, Juan Antonio Samaranch, ianya satu permintaan pelik kerana pertama, tiada negara yang menjadi tuan rumah bersama untuk Sukan Olimpik.
Dan kedua, ia berlawanan sama sekali dengan pendirian Korea Utara yang mengawal kemasukan pelawat lebih-lebih lagi melibatkan acara Sukan Olimpik. Bagi Radchenko, Pyongyang sedar mereka tidak berkemampuan menjadi tuan rumah bersama dengan Seoul untuk temasya tersebut. Sebaliknya, ia mahu menunjukkan pada sekutunya iaitu China dan Kesatuan Soviet bahawa mereka boleh bertimbang rasa.
Bagi Seoul sendiri, mereka merasa bimbang sekiranya Beijing dan Moscow akan memboikot dan tidak menyertai temasya Olimpik 1988. Sebagai pertukaran, mereka bersedia membenarkan Korea Utara menganjurkan beberapa sukan Olimpik. Harapan mereka, andai Pyongyang bertindak bodoh, pasti Beijing dan Moscow akan menegur dan mengawal tingkah laku negara tersebut.
Dalam cadangan tersebut, Seoul mencadangkan Pyongyang menjadi tuan rumah untuk acara seperti bola sepak, ping pong dan memanah. Namun, cadangan tersebut ditolak Korea Utara kerana mereka mahu menjadi tuan rumah bagi acara penuh bukannya sebahagian daripada lokasi pertandingan dalam satu acara, contohnya acara bola sepak.
Menjelang musim luruh 1987, amat jelas tiada sebarang perjanjian berkenaan temasya tersebut dimeterai antara kedua-dua negara. Dan Korea Utara juga makin kecewa kerana gagal menyakinkan China dan Kesatuan Soviet untuk memboikot temasya tersebut. Pada awal tahun 1988, kedua-duanya menyatakan komitmen menyertai temasya tersebut. Bagi Korea Selatan sendiri, penyertaan banyak negara termasuk dua negara sekutu Pyongyang itu merupakan satu kemenangan diplomatik pada mereka.
Ini kerana setahun sebelumnya, negara tersebut baru saja keluar dari pemerintahan diktator tentera dan kembali mengamalkan demokrasi. Temasya Olimpik 1988 merupakan peluang terbaik untuk memperkenalkan Seoul di pentas dunia. Craig Greenham, seorang sejarawan Olimpik dan profesor kinesiologi dari Universiti Windsor, Ontario, Kanada menyifatkan temasya tersebut satu acara terbesar bagi Korea Selatan dari pelbagai sudut termasuk dari segi profil.
Selepas tahun 1988, Seoul menjadi sebutan di seluruh dunia dan menjadi kebanggaan negara. Satu detik bermakna ialah kisah salah seorang pembawa obor Olimpik bernama Sohn Kee-chung. Pada temasya Sukan Olimpik 1936 di Berlin, Jerman, Kee-chung merupakan pemenang pingat emas pertama dari Korea dalam acara maraton lelaki. Namun pada ketika itu, seluruh Semenanjung Korea diletakkan di bawah penguasaan Jepun memaksa Kee-chung dan rakan sepasukan dari Korea bertanding di bawah panji Jepun dan dipaksa menggunakan nama Jepun.
Dalam kes Kee-chung, beliau dipaksa menggunakan nama Son Kitei. Semasa di Berlin, beliau menegaskan dirinya warga Korea dan menandatangani namanya dalam Bahasa Korea. Dan semasa upacara penyampaian pingat, Kee-chung menutup bendera Matahari Terbit itu sebagai tanda enggan menerima Jepun. Gambar beliau diabadikan dalam tajuk utama akhbar harian Korea, Dong-A Ilbo pada 25 Ogos 1936 di mana bendera tersebut dipadamkan. Sebagai tindak balas, Jepun menutup akhbar tersebut selama sembilan bulan, menahan dan menyeksa lapan wartawan akhbar tersebut.
Selepas Perang Dunia Kedua, Kee-chung menjadi ketua jurulatih pasukan maraton Korea Selatan dan membantu pasukan tersebut menyapu bersih pingat untuk acara tersebut semasa temasya Sukan Olimpik 1950 di Boston, Amerika Syarikat. Di Seoul, beliau diiktiraf sebagai wira negara tetapi bagi seluruh dunia, ia akan mengambil masa 50 tahun sebelum Kee-chung mendapat pengiktirafan sewajarnya. Semasa Seoul melobi hak tuan rumah Sukan Olimpik 1988, Kee-chung merupakan antara anggota Jawatankuasa Penganjuran Olimpik Seoul dan dari situ, sejarah kembali ditulis.
Dua tahun sebelum temasya di Seoul, beliau dijemput ke satu upacara di Culver City, California di mana nama dan kerakyatannya diubah pada satu monumen yang didedikasikan kepada pemenang-pemenang Olimpik bagi acara maraton. Dan kemuncak kepada pengiktirafan ini ialah beliau berlari sebagai pembawa obor untuk temasya Olimpik 1988. Pada ketika itu, semasa berlari masuk ke stadium, 80,000 penonton berdiri sambil bertepuk sorak. Bagi David Wallenchinsky, penulis buku The Complete Book of the Olympics, detik tersebut amat mengharukan dan ramai menitiskan air mata.
Selepas temasya berakhir, negara-negara blok sosialis mula meminggirkan Korea Utara dan memberi pengiktirafan diplomatik pada Korea Selatan. Bagi Seoul, ia satu kemenangan moral tetapi bagi Pyongyang pula, ia sebenarnya pencetus kepada apa yang berlaku pada hari ini. Menurut Radchenko, Olimpik 1988 seharusnya peluang terbaik untuk kembali berdamai bagi kedua-dua negara. Namun, keghairahan Korea Selatan dalam menganjurkan temasya tersebut dan memalukan Pyongyang mengakibatkan mereka kini berhadapan dengan sebuah negara yang terpinggir dan terhina. Dan dari sinilah, mereka mula membangunkan program nuklear sendiri sebagai cara mendapatkan pengaruh di peringkat antarabangsa.
Walaupun Sukan Olimpik Musim Sejuk 2018 di Pyeongchang menjanjikan lebih banyak kerjasama antara kedua-dua belah negara termasuk pasukan hoki ais wanita bersama, itu bukan bermakna ketegangan hubungan kedua-dua negara sudah diredakan. Greenham menyifatkan individu yang melihat ini petanda hubungan Korea Utara-Korea Selatan semakin pulih sebagai berilusi. Dan ini dipersetujui oleh Hyon-hui semasa ditemubual stesen televisyen Amerika Syarikat, NBC. Dalam temubual sempena Olimpik Musim Sejuk 2018, Hyon-hui melihat pasukan hoki ais wanita bersama itu hanyalah satu taktik publisiti murahan oleh Kim Jong-un untuk keluar dari sekatan antarabangsa dengan memanipulasi cubaan Korea Selatan untuk kembali berdamai dengan Pyongyang.
SUMBER
- Bull, Andy. (2011). The Guardian. The forgotten story of Sohn Kee-chung. https://www.theguardian.com/sport/blog/2011/aug/27/sohn-kee-chung-olympics-korea
- Little, Betty. (2018). History.com. The Terrorist Attack That Failed to Derail the 1988 Seoul Olympics. http://www.history.com/news/1988-seoul-olympics-north-korea-terrorist-attack
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih