Selama bertahun-tahun, kelibat Cristiano Ronaldo dan Lionel Messi menghiburkan peminat bola sepak seluruh dunia sama ada di peringkat liga domestik atau kejohanan antarabangsa. Persaingan kedua-duanya dari segi pencapaian individu amat membanggakan dengan mereka berdua pernah memenangi anugerah Ballon d’Or dan Pemain Terbaik Dunia FIFA beberapa kali. Tetapi melihat kepada siapa yang menyerlah pada edisi Piala Dunia 2018 di Rusia, tidak salah saya nyatakan Ronaldo yang lebih menyerlah berbanding pesaingnya dari Argentina itu.

Dari segi cara menangani tekanan, kelihatan Ronaldo langsung tidak terganggu dengan tekanan yang datang sebagai ayam tambatan dan kapten Portugal. Semasa lagu kebangsaan dimainkan, beliau kelihatan tersenyum dan tidak sabar menunjukkan aksi terbaik bersama Portugal. Dan ini satu ciri yang kita kenali daripada Ronaldo yang melihat tekanan membantunya beraksi lebih cemerlang sama ada dalam pertemuan El Clasico, final Liga Juara-Juara Eropah dan perlawanan Piala Dunia.

Sementara Messi pula dilihat seperti orang yang sudah hilang semangat, berkemungkinan terganggu dengan beban harapan Argentina dan rakan-rakan sepasukannya yang melihat dirinya sebagai sumber inspirasi dan kreativiti. Beliau cuba menunjukkan potensinya dengan melakukan 12 percubaan gol tetapi tiada sebarang percubaannya diterjemah dalam bentuk gol. Dan dengan caranya menangani kegagalan dan kekalahan seperti apa yang berlaku selepas La Albiceleste tewas di tangan Croatia sudah menunjukkan mentalitinya sebagai pemenang sudah terjejas. Hanya satu perlawanan saja lagi Si Kutu Atomik perlu (La Pulga Atomica) membuktikan reputasinya itu dan jika tidak, ini bermakna pengakhiran bagi karier antarabangsanya. Messi sudah bersara sekali selepas Argentina tewas kepada Chile pada final Copa America 2016 sebelum membuat pusingan U selepas dirayu peminat dan melihat keputusan buruk peringkat kelayakan Piala Dunia.

Perbezaan personaliti kedua-duanya juga dilihat memberi impak besar kepada persembahan masing-masing. Tidak seperti Messi yang bersikap pemalu dan lebih suka berada di belakang tabir walaupun mempunyai bakat luar biasa, Ronaldo pula suka melihat dirinya menjadi tumpuan dan sentiasa menunjukkan imej menyakinkan semasa berada di atas padang. Dan ini dilihat memberi keyakinan kepada seluruh pasukan Portugal bahawa mereka tiada apa perlu dirisaukan, bermain seperti biasa dan tanpa tekanan serta berharap keputusan menyebelahi mereka.

Dari segi pertumbuhan karier pula, ini turut mempengaruhi sejauh mana semangat mereka mewakili pasukan kebangsaan masing-masing. Bagi yang mengenali Ronaldo dari zaman permainannya di Sporting Lisbon dan Manchester United, semua tahu beliau perlu bekerja keras untuk sampai ke tahap yang kita ketahui hari ini. Bekas bek tengah United dan England, Rio Ferdinand menceritakan pada era awalnya di Old Trafford, Ronaldo mengupah ramai pakar dari pelbagai bidang seperti kecergasan, kesihatan dan makanan sehinggakan beliau menyangka rumah bintang Real Madrid itu seperti pesta kerana setiap hari dikunjungi orang.

Tetapi bagi Ferdinand, itu sebenarnya petunjuk kesungguhannya untuk berjaya bersama Red Devils. Dan bagi bekas kapten United Roy Keane, kesungguhan Ronaldo sudah kelihatan pada hari-hari pertamanya bersama The Reds. Keane memetik dari buku autobiografinya, The Second Half bahawa Ronaldo ada diberi peluang kembali ke Lisbon secara pinjaman semusim selepas menyertai United dengan yuran perpindahan 12 juta paun. Tetapi anak jati Madeira itu memutuskan tetap menyertai United walaupun pada usia 17 tahun, satu ciri yang menarik perhatian Keane. Walaupun mengakui tidak tertarik langsung dengan sikapnya yang suka bermegah, Keane melihat Ronaldo berpotensi sebagai pemain terbaik dunia dan sentiasa bersungguh-sungguh tak kira sama ada dalam latihan atau perlawanan.

Sikap dan pendekatannya itu bersama Lisbon, United dan akhirnya Madrid turut diterapkan bersama pasukan kebangsaan. Ronaldo melihat tanggungjawabnya bersama Portugal sama seperti kostum superhero yang dipakai dengan penuh bangga. Sikap ini sebenarnya melambangkan Portugal itu sendiri sebagai sebuah negara bola sepak. Walaupun dikenali dengan nama-nama legenda seperti Eusebio, Luis Figo dan Rui Costa, Portugal tidak segah kuasa-kuasa bola sepak lain seperti Sepanyol dan Perancis. Dan untuk mendapatkan prestij dan kehormatan di peringkat antarabangsa, mereka perlu bersungguh-sungguh dan tidak pernah berputus asa, satu sikap yang ditunjukkan kapten mereka di atas padang.

Bagi Messi pula, beliau tidak perlu bekerja keras seperti pesaingnya dalam La Liga, satu sebab mengapa kariernya bersama pasukan kebangsaan amat payah dan menyakitkan. Selepas mengatasi masalah pertumbuhan semasa berada di Argentina, bakat Messi digilap di akademi La Masia, Barcelona dan mula diberi peluang dalam pasukan utama oleh Frank Rijkaard. Di sinilah, bakatnya mula terserlah bersama pemain-pemain bertaraf dunia seperti Xavi dan Andres Iniesta, ketiga-tiganya menjadi teras utama kreativiti Barca untuk tahun-tahun berikutnya.

Tetapi di Argentina, ramai melihatnya sebagai orang harapan yang dapat menamatkan kemarau kejuaraan antarabangsa La Albiceleste. Malangnya, Argentina gagal menyerlah sehingga kini walaupun membariskan ramai pemain berbakat besar pada setiap edisi kejohanan sejak menjuarai edisi 1986 seperti Diego Simeone, Mauricio Pochettino, Gabriel Batistuta, Juan Sebastian Veron, Sergio Aguero dan Gabriel Heinze. Mereka mahu dan perlukan Messi meniru Maradona untuk membawa pulang Piala Dunia, sesuatu yang dirasakan tidak boleh dilakukan bintang besar Blaugrana itu.

Bagi pemenang Piala Dunia 1998 merangkap bekas pemain Barca, Emmanuel Petit menyifatkan Messi tidak boleh diharap sebagai seorang pemimpin apatah lagi sebagai kapten pasukan kebangsaan. Ini kerana beliau perasan apabila situasi kekalahan melanda Barca terutama semasa Liga Juara-Juara Eropah, Messi sudah tidak kelihatan dan tidak memberi inspirasi kepada rakan-rakannya untuk bangkit.

Apa yang Maradona lakukan semasa edisi Piala Dunia 1986 ialah memberi motivasi dan galakan kepada rakan-rakan sepasukannya serta muncul pada masa yang tepat untuk negaranya. Ini sesuatu yang dilakukan Ronaldo untuk Portugal tetapi gagal diakukan Messi yang mahu dirinya dilayan seperti pemain biasa.

Messi ada melakukannya sekali iaitu hatrik semasa menewaskan Ecuador untuk membantu La Albiceleste layak ke Piala Dunia tetapi persembahan sekali itu saja tidak mencukupi. Jika Messi benar-benar mahu keluar dari bayang-bayang Maradona dan Ronaldo, maka beliau dan rakan-rakan sepasukannya perlu menunjukkan prestasi hebat semasa melawan Nigeria. Jika tidak, ramai penyokong perlu menerima hakikat bahawa pewaris sebenar Maradona bukanlah anak jati Rosario, Argentina tetapi anak jati Madeira yang menjadi pujaan penyokong Manchester United, Real Madrid dan Portugal, Cristiano Ronaldo.

SUMBER

  1. Ogden, Mark. (2018). ESPN. Ronaldo, not Messi the closest thing to Diego Maradona right now. http://global.espn.com/football/fifa-world-cup/4/blog/post/3541962/cristiano-ronaldo-not-lionel-messi-the-closest-thing-to-diego-maradona
  2. Redmond, Robert. (2018). Sportsjoe.ie. Roy Keane’s first impression of Cristiano Ronaldo proved to be very accurate. https://www.sportsjoe.ie/football/roy-keane-cristiano-ronaldo-impression-man-united-165418
  3. Ridge, Patric. (2018). Goal.com. Petit: Messi is not a leader like Ronaldo. http://www.goal.com/en/news/petit-messi-is-not-a-leader-like-ronaldo/1u7dgdot3keqi1ucbf0u7v3m4o

 

 

 


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Graduan Bachelor of Business Admin (Human Resource) dari UNITAR yang meminati sejarah sejak 11 tahun. Ketika ini merupakan saudagar simkad Tone Excel. Harapan terbesar ialah melihat saudara seagama dan sebangsa kembali bersatu di bawah satu panji dan terus maju bersama. Tanpa perpaduan, manusia tidak akan ke mana-mana, malah tidak akan dapat membina sebuah tamadun yang gemilang seperti mana yang dilakukan oleh nenek moyang kita yang lepas. Dan sejarah adalah saksi bahawasanya perpaduan kunci penting dalam membina sebuah tamadun yang gemilang.

Comments are closed.