Sekiranya anda pernah pergi ke mana-mana tempat seperti pusat membeli belah, pusat konvensyen, lalu terserempak dengan karnival dan acara konvensyen seperti Comic Fiesta, Comic-Con, Animax Carnival, atau Anime Expo, anda mungkin pernah menemui satu kelompok orang muda yang berpakaian menyerupai watak-watak kegemaran mereka dari anime, permainan video, dan komik / manga. Atau anda mungkin salah seorang dari mereka.
Walau bagaimanapun sebagai seorang peminat cosplay, mungkin masih ada di kalangan para peminatnya yang masih belum mengetahui mengenai sejarah dan asal usul budaya cosplay. Perkataan cosplay sendiri adalah hasil gabungan perkataan costume play (pertunjukan kostum). Ia menjadi salah satu sub-budaya yang diamalkan secara meluas terutamanya di Jepun, tetapi adakah ia berasal dari Jepun?
Oleh kerana hari ini istilah cosplay sentiasa tertumpu kepada budaya anime dari Jepun, maka kebanyakan orang telah menganggap budaya cosplay juga berasal dari Jepun, tetapi ia sebenarnya bermula di Amerika Syarikat pada penghujung tahun 1930-an. Sehinggalah pada tahun 1984, Nobuyuki Takahashi, pengasas Studio Hard, membawa budaya tersebut dari acara konvensyen sains fiksyen di Los Angeles ke dalam tradisi masyarakat Jepun dan mula mendorong para peminat anime untuk mengadakan acara yang sama melalui konvensyen mereka sendiri.
Sama ada anda meminati pemain cosplay yang terkenal di Amerika Syarikat mahu pun Jepun atau hanyalah seseorang yang menghargai sejarah fandom (keperminatan), ada baiknya jika anda mengetahui serba sedikit bagaimana budaya cosplay berkembang menjadi sebahagian daripada komuniti global yang berkembang dan terus wujud ke hari ini.
Cosplay adalah seni berpakaian yang menyerupai mana-mana watak sama ada fiksyen ataupun tidak (kebanyakannya fiksyen). Ia boleh merangkumi watak-watak dari anime atau manga seperti Son Goku dari Dragon Ball Z atau Saisuke dari Naruto Shipunden. Ia juga boleh merangkumi watak-watak dari permainan video, buku komik, rancangan TV, filem, dan juga karya sastera mahu pun lakonan semula peristiwa bersejarah seperti memperagakan pakaian kostum tentera Jerman semasa Per.ang Dunia Kedua.
Segala jenis media adalah sesuai dan diterima dalam budaya permainan cosplay, asalkan watak itu memiliki penampilan fizikal yang dapat digambarkan oleh peminatnya melalui cara pemakaian. Ianya perkara biasa jika seseorang menyerupai watak yang dipilihnya sebanyak mana yang mungkin, tetapi beberapa pemain cosplay adakalanya lebih kreatif dan menggunakan sifat unik mereka bagi membawa sentuhan baru kepada personaliti fiksyen yang mapan.
Sesetengah pemain cosplay menjahit dan membuat rekaan kostum mereka sendiri, ada juga yang membeli kostum yang dijual sama ada di mana-mana kedai kostum ataupun dibeli secara atas talian. Kostum ini akan diperagakan pada konvensyen, pertandingan, karnival dan acara bertema cosplay yang lain. Pada acara-acara ini, pemain cosplay ada yang akan menyertai pertandingan, menyertai sesi bergambar, atau melakonkan semula (reenactment) aksi-aksi kegemaran mereka atau lain-lain persembahan.
Cosplay adalah perkara biasa di kebanyakan negara-negara di Asia Timur. Sebagai contoh, ini menjadi bahagian utama dalam konvensyen Comic World yang berlangsung secara berkala di Korea Selatan, Hong Kong dan Taiwan. Dari segi sejarah, tradisi berpakaian menyerupai watak dari karya fiksyen di China boleh dijejak sejauh ke abad ke-17 semasa era pemerintahan Dinasti Ming atau sejauh era Dinasti Song melalui pementasan Xiqu (opera Cina). Ada pula yang berpendapat opera Cina bermula seawal zaman Dinasti Qin, ini melambangkan perkembangannya yang bertujuan sebagai hiburan dengan nilai seninya meningkat dari masa ke semasa.
Di Malaysia pula, budaya cosplay mula mendapat tempat di kalangan peminat melalui penganjuran konvensyen Comic Fiesta yang bermula seawal tahun 2002 sebagai acara pameran kecil di Dewan Perhimpunan Cina Selangor. Pada tahun 2011, Comic Fiesta mula diadakan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur. Seramai 15,293 pengunjung dicatatkan menghadiri acara itu yang berlangsung selama dua hari. Comic Fiesta 2012 juga diadakan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur dan telah menarik lebih 30,000 pengunjung dalam masa dua hari, ia turut dihadiri oleh artis-artis Jepun terkenal seperti Redjuice, Kurata Yoshimi dan Bless4.
Cosplay adalah sub-budaya yang jauh lebih lama daripada apa yang disangkakan oleh kebanyakan orang. Budaya ini dalam konteks cosplay moden telah bermula pada akhir tahun 1930-an, apabila seorang warga Amerika Syarikat bernama Forrest J. Ackerman menghadiri acara konvensyen sains fiksyen dalam pakaian ala futuristik.
Dia tidak berpakaian seperti watak tertentu yang spesifik, sebaliknya, dia berusaha menyesuaikan konsep mengikut genre yang dikhaskan untuk acara itu. Ideanya mencuri tumpuan orang ramai, dan tidak lama kemudian acara konvensyen mula dipenuhi dengan orang-orang yang memakai kostum. Mereka kemudian mengadakan pertandingan di mana sesiapa yang memperagakan kostum yang paling menarik akan memenangi hadiah.
Aktiviti cosplay tidak semestinya sentiasa dilakukan dalam acara konvensyen. Sebenarnya, terdapat komuniti peminat yang berkembang hasil daripada pertemuan yang tidak formal untuk membincangkan tentang rekaan, kerja menjahit dan menghasilkan kostum, mengarkibkan cosplay yang menarik dalam sejarah, dan mereka biasanya hanya akan bersosial dengan golongan yang mempunyai minat dan hobi yang sama. Tetapi dari mana asalnya kumpulan komuniti ini?
Salah satu teori popular mengenai kelahiran komuniti tidak rasmi ini bermula dengan iklan pada tahun 1979. Zines merupakan sebuah majalah fan-made (buatan peminat) yang mengandungi karya-karya fanfiction, fan art, dan maklumat lain yang berkaitan dengan aktiviti peminat. Pendek kata, ianya adalah ruang untuk peminat mempamerkan bakat mereka, contohnya, melukis kembali manga kegemaran mereka.
Pada tahun 1984, Nobuyuki Takahashi, pengasas sebuah studio anime bernama Studio Hard, berangkat dari Jepun ke Los Angeles untuk menghadiri acara konvensyen sains fiksyen yang dikenali sebagai WorldCon. Di sana, dia menemui satu lagi budaya yang sedang berkembang pesat, di mana pemain cosplay tidak hanya akan memakai kostum yang menyerupai watak kegemaran mereka dari karya sains fiksyen seperti Star Trek dan Star Wa.rs semata-mata, tetapi mereka juga turut melakonkannya kembali.
Takahashi membawa konsep ini kembali ke Jepun, dengan mempromosikannya sebagai kosupure, atau permainan kostum (cosplay). Terjemahan dari bahasa Jepun membawa maksud tersirat tentang menyamar sebagai bangsawan dan oleh itu ia tidaklah menggambarkan sepenuhnya apa yang telah disaksikan Takahashi di WorldCon. Istilah itu kebetulan mirip dan disesuaikan dengan “cosplay,” dan dari situ Takahashi mula mendorong peminat Jepun untuk mula memasukkannya ke dalam konvensyen anime.
Cosplay di Amerika Syarikat yang berdasarkan watak-watak dari manga Jepun juga sebenarnya bermula lebih awal sebelum budaya itu dibawa dan dipraktikkan di Jepun sendiri. Di San Diego Comic-Con International pada tahun 1979, Karen Schaubelt dan sekumpulan pemain cosplay muncul berpakaian seperti Captain Harlock dan watak-watak lain dari animasi Amerika berjudul Star Blazers yang diadaptasi dari anime Jepun berjudul Space Bat.tleship Yamato.
Walaupun Schaubelt dan rakan-rakannya adalah kumpulan peminat pertama yang dikenali dan dianggap sebagai memperkenalkan budaya cosplay berasaskan manga kepada Barat, ianya tidak menerima sambutan yang meluas sehinggalah Nobuyuki Takahashi menghadiri konvensyen WorldCon pada tahun 1984.
Selepas Per.ang Dunia Kedua, manga shojo mulai bersifat dwi-matlamat: manga yang menggambarkan kisah romantis yang dimaksudkan untuk menarik perhatian remaja perempuan, dan juga berfungsi sebagai iklan pakaian dan aksesori. Trend ini dipelopori oleh Yumeji Takehisa, seorang artis manga yang juga merupakan seorang pereka fesyen, yang membolehkan peminat karyanya membeli pakaian yang dipakai oleh watak ciptaannya. Junichi Nakahara mendorong trend ini lebih jauh lagi dengan menyediakan ilustrasi fesyen seluruh watak watak shojo-nya.
Bukan pencipta manga shojo sahaja yang membantu menggalakkan perkembangan budaya cosplay, tetapi juga para peminatnya. Peminat karya-karya Nakahara dan Takehisa dari kalangan wanita serta artis manga shojo yang lain menulis fanfiction, melukis fan art, dan mencipta manga mereka sendiri berdasarkan watak-watak ini. Aktiviti-aktiviti ini menyumbang kepada situasi penyertaan secara kreatif di kalangan fandom, yang membantu membuka jalan lebih jauh bagi para pemain cosplay.
Di Amerika Syarikat, sesetengah orang mungkin melihat cosplay ini sebagai benda yang pelik, tetapi secara umumnya ia diterima sebagai sesuatu yang dilakukan oleh orang ramai. Terdapat beberapa kemungkinan sebab untuk ini. Yang pertama adalah orang Amerika meletakkan nilai yang tinggi terhadap kebebasan ekspresi individu (walaupun adakalanya terlalu melebih-lebih). Walaupun penerimaan ini tidaklah menghalangi kritikan dan sikap menilai ekspresi orang lain, ia tetap secara umum diterima sebagai sekadar hobi yang unik dan tidak menjadi kesalahan.
Dalam beberapa kes, orang Amerika di luar komuniti sebenarnya amat menyukai permainan cosplay. Amerika Syarikat juga sudah lama mempunyai tradisi berkostum. Secara teknikalnya, cosplay tidak hanya bermula di sana pada tahun 1930-an, tetapi orang Amerika sudah dibiasakan dengan hari perayaan seperti Halloween dan Mardi Gras, di mana kedua-dua perayaan tersebut diraikan dengan berpakaian kostum.
Dan walaupun budaya cosplay di Jepun berkembang pesat, ia masih bukan suatu amalan yang boleh diterima secara sosial. Ini mungkin kerana tradisi dan budaya ketimuran Jepun telah lama menekankan masyarakat yang hidup secara beradab dan berbudaya timur yang terkenal dengan sikap kesopanan serta amat mementingkan nilai maruah yang tinggi, sejak dahulu lagi orang Jepun tidak menggalakkan terutamanya kaum wanita untuk terlalu menonjol.
Mungkin juga kerana otaku (istilah Jepun untuk peminat anime yang dianggap terlalu taksub) dipandang rendah oleh arus perdana Jepun. Paling kurang pun, mereka hanya akan dianggap sebagai golongan anti-sosial dan aneh. Paling teruk, mereka akan dianggap berpotensi mengundang bah.aya.
Atas sebab ini, cosplay terhad kepada tempat-tempat tertentu. Jika di Amerika, anda mungkin boleh melihat pemain cosplay memakai mantel Akatsuki dan hiasan kepala Naruto sedang menaiki kereta api untuk menuju ke karnival berdekatan, manakala di Jepun, kebanyakan konvensyen melarang pemain cosplay memakai kostum mereka di tempat awam atau luar dari tempat acara diadakan. Dua daerah di Tokyo, Harajuku dan Akihabara, adalah terkenal kerana menganjurkan acara cosplay di luar konvensyen dan membenarkan restoran dan kafe yang bertema cosplay dibuka. Di tempat-tempat ini, cosplay boleh diterima secara sosial.
KONTROVERSI SOSIAL DALAM COSPLAY
Bagi sesetengah orang, cosplay lebih daripada sekadar hobi yang menyeronokkan. Dan sebenarnya terdapat beberapa industri yang menyerap budaya ini, dan sebilangan artis menyara kehidupan melalui aktiviti cosplay mereka. Salah satu contoh yang terkenal adalah Jessica Nigri, yang pertama kali muncul dalam ruang cosplay dengan kostum bertema “Pikachu s.ek.si” di San Diego Comic-Con pada tahun 2009.
Nigri menyara hidupnya melalui kombinasi karier sebagai model cosplay secara rasmi untuk membantu mempromosikan jenama, mereka pakaian cosplay rasmi untuk watak permainan video baru, dan menjual poster yang ditandatanganinya serta produk dagangan lain yang menyerupanya.
Namun, satu masalah serius yang dihadapi oleh pemain cosplay adalah gangguan s.ek.sual. Ini adalah masalah yang sering berlaku, tetapi dalam komuniti cosplay ia muncul dalam bentuk yang unik. Oleh kerana kebanyakan pakaian pemain cosplay wanita biasanya agak se.ksi dan terdedah, dan kerana pemain cosplay cuba untuk menghidupkan watak-watak fiksyen yang pada bentuk asalnya sahaja sudah menarik bagi orang lain, maka sesetengah pihak melihat tindakan memakai kostum terdedah sebagai ‘mengundang’ komen-komen lu.cah dan gangguan se.ks.ual.
Pada tahun 2012, satu hantaran Tumblr oleh pemain cosplay bernama Mandy yang mengundang tingkah laku keluc.ahan semacam ini menjadi tular dan mencetuskan pergerakan yang dikenali sebagai Cosplay Is Not Consent. Tujuan pergerakan ini adalah untuk menggalakkan sikap menghormati ruang lingkungan cosplay serta memastikan agar ruang peminat cosplay adalah selamat untuk semua orang. Sepanduk-sepanduk yang mengangkat idea-idea ini sering muncul di konvensyen utama seperti Comic-Con, Otakon, dan banyak lagi.
Berbeza dengan Amerika Syarikat, acara konvensyen sains fiksyen di Amerika pada awalnya adalah dunia untuk kaum lelaki sahaja. Wanita sama ada tidak menghadiri atau dilarang secara tegas untuk mengambil bahagian. Situasi ini berubah pada tahun 1940-an, apabila wanita mula menghadiri acara bertemakan sains fiksyen dengan memakai kostum adiwira tertentu.
Hari ini, jarang kita temui jantina tertentu yang dilarang mengambil bahagian dalam acara cosplay, tetapi menzahirkan watak mengikut jantina berbeza pernah dilarang. Pada tahun 2016, Tokyo Comic-Con melarang peserta lelaki untuk muncul dalam konvensyen cosplay dengan berpakaian seperti watak wanita. Amalan ini, yang dikenali sebagai fesyen silang atau crossplay, sebenarnya dalah perkara biasa di kalangan pemain cosplay.
Dalam kebanyakan kes, pemain crossplay hanya akan menyerupai watak yang mereka gemari, tetapi masih ada beberapa pemain crossplay yang berpakaian silang yang bertentangan dengan jantina mereka tetapi mengubahnya kepada identiti jantina mereka yang sebenar.
Tokyo Comic-Con menarik balik larangan itu setelah menerima kritikan, tetapi mereka masih mensyaratkan pemain cosplay untuk membawa lencana yang diselaraskan mengikut warna yang mewakili jantina sebenar mereka supaya mereka tidak menggunakan hak berpakaian silang sebagai peluang kesempatan untuk mencero.boh bilik persalinan atau tandas untuk jantina berbeza.
Siapakah watak anime kegemaran anda yang ingin anda peragakan? Penulis bukan seorang peminat tegar anime dan tidak pernah terlibat dalam sebarang aktiviti cosplay, tapi jika ditanya apakah watak kegemaran penulis, sudah tentulah Eren Yeager dari At.tack on Titan, tetapi oleh kerana rupa penulis langsung tak ada ciri-ciri Eren Yeager, terpaksalah hasrat itu diketepikan. Yang penting, tatakake tetap tatakae!
RUJUKAN:
Takahashi, Nobuyuki. (2008). The Origin of the Word Cosplay. YeinJee’s Asian Blog.
Speer, John Bristol (1944). Fancyclopedia (1st). Los Angeles: Forrest J Ackerman.
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih