“Inilah yang saya tegaskan kepada Duta Besar Amerika Syarikat yang datang ke pejabat saya pada 28 April 2011 yang lepas, bahawa sepasang selipar pun tidak boleh dirampas dari tuannya yang berhak, apatah lagi sebuah negeri yang berdaulat seperti Palestin, lebih-lebih lagi tidak berhak untuk dirampas oleh Israel…Jika dunia lebih selamat dengan kematian Osama, adakah dunia juga lebih selamat dengan kewujudan Amerika?” (Almarhum Tuan Guru Nik Abdul Aziz, 3 Mei 2011).
Ramadan 2017 kali ini menyaksikan umat Islam terus dibayangi imej dan peristiwa keganasan. Tepat sepertimana telahan mantan Menteri Besar Kelantan, Almarhum Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat enam tahun lalu sewaktu dikunjungi Duta Besar Amerika Paul W Jones, kematian Osama Bin Laden tidak semestinya mengakhiri keganasan bersenjata atas nama Islam. Sebaliknya, selagi mana akar permasalahan yang membawa kepada keberlangsungan gerakan radikal berkenaan tidak dibanteras, selagi itulah isu ekstremisme atas nama Islam tidak akan reda.
Semestinya, tindak-tanduk Amerika dan sekutu rapatnya Israel merupakan faktor yang tidak boleh dinafikan dalam kewujudan gerakan sedemikian yang semakin hari semakin berkembang. Akan tetapi, terdapat juga tiga faktor di peringkat setempat yang menyaksikan Amerika tidak boleh dipersalahkan seratus peratus: fahaman takfiri yakni fahaman yang menghalalkan darah sesiapa yang tidak sealiran dengan mereka, ketiadaan tokoh setempat yang boleh mengakomodasi aspirasi perjuangan berteraskan Islam secara bersederhana (moderate), serta ketiadaan sistem sokongan demokrasi yang berfungsi membendung fahaman ekstremisme daripada berevolusi menjadi gerakan bersenjata. Maka, berdasarkan kesemua perspektif ini, tidak berlebihan untuk dikatakan bahawa Almarhum Nik Aziz itu sendiri layak untuk dijadikan teladan bagi pihak berkuasa di Asia Tenggara untuk membasmi gerakan pengganas seperti ISIS.
Kelantan ialah sebuah negeri yang terkenal dengan gelaran Serambi Mekah. Akan tetapi, Kelantan tidak pula menjadi ‘pengrekrut’ ataupun ‘pengeksport’ pengganas bersenjata atas nama Islam secara besar-besaran sepertimana wilayah lain di Asia Tenggara. Hal ini berkait rapat dengan kepimpinan dua dekad Almarhum Nik Aziz itu sendiri, di samping sistem sokongan demokrasi di Malaysia. Sebagaimana menurut Prof. Emeritus Shaharir Mohamad Zain dalam karya beliau ‘Kepemimpinan Tok Guru Nik Aziz’, Almarhum memenuhi kesemua lapan ‘aksiom’ kepimpinan unggul: Insaf dengan kematian, mengusahakan nubuwwah dan hukumah (penegakan risalah Nabi Muhamad saw), adil, berhemat, ulul albab, berilmu, sakhawah dan ihsan (dermawan dan pemurah hati) serta teguh dengan wafa’ dan ‘a-hdad (kesetian yang tinggi dan mengotakan janji).
Pemerintahan Almarhum di Kelantan pula mengadunkan politik Islam dengan demokrasi. Meskipun anak lelaki beliau sendiri, Nik Adli pernah ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) namun Almarhum tidak bertindak semberono meniup api permusuhan bersenjata, sebaliknya terus memanfaatkan sistem demokrasi Malaysia. Kaedah Almarhum Tuan Guru Nik Aziz ini secara tidak langsung mencegah Islamisme daripada membarah menjadi gerakan radikal bersenjata. Sebaliknya kaedah memendamkan permasalahan sebenar yang dihadapi umat Islam di Asia Tenggara hari ini tidak akan membawa kepada penyelesaian, sebaliknya ibarat membarakan api dalam sekam.
ASEAN sebagai contoh cukup ‘asing’ dengan naratif Pan-Islamisme seperti isu Palestin-Israel, campur tangan Amerika Syarikat, jurang sosio-ekonomi, manipulasi kontrak-kontrak di bumi umat Islam, dan lain-lain. ASEAN kini dalam proses membina kerjasama yang lebih rapat antara satu sama lain namun kerangka kerjasamanya kurang komprehensif. Hal ini tidak pula bermaksud ASEAN perlu mengubah paradigmanya hingga ke tahap menuruti segala ciri politi Islam seperti Parti Islam se-Malaysia (PAS) Kelantan di bawah teraju Almarhum Nik Aziz dahulu, sebaliknya cukup dengan mempertauti aktor-aktor utama pemimpin Islam di peringkat akar umbi. ASEAN tidak sepatutnya menuruti model Kesatuan Eropah secara total yang jelas kurang berjaya menangani isu ekstremisme hingga kini. Malah lebih parah, ASEAN dilihat terlalu melangit dan jauh dari membumi, tidak ubah seperti kelab elit ekslusif yang diwujudkan hanya demi kepentingan aktor perniagaan dan pasaran. Bahkan warga kelas menengah Asia Tenggara sendiri masih terasa ‘jauh’ dengan ASEAN.
Pendekatan ini juga tidak sepatutnya bersifat kosmetik dan sementara. Sebaliknya para pemimpin ASEAN di setiap peringkat perlu menunjukkan komitmen yang tinggi: bekerja bersama warga setempat memanifestasikan Islam sebagai ‘rahmatan lil a’lamin’ yakni rahmat buat sekelian alam. Pastinya, tauladan Almarhum Tuan Guru Nik Aziz ini merupakan panduan fleksibel yang boleh dilengkapi dengan pendekatan-pendekatan lain agar lebih komprehensif.
Oleh: Abdul Muein Abadi
Penulis ialah Pensyarah Program Sains Politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih