Confucius merupakan seorang ahli falsafah China yang hidup pada 2500 tahun lalu dan antara salah seorang figura purba paling diingati dan paling berpengaruh dalam sejarah China. Beliau dilahirkan dalam sebuah keluarga yang sangat miskin pada tahun 551 Sebelum Masehi. Pada waktu itu, China sedang mengharungi zaman perpecahan, yang lebih dikenali dengan panggilan Zaman Musim Bunga dan Musim Luruh. Ketika itu, pemerintahan Dinasti Zhou kian lama kian lemah.
Walaupun monarki Zhou masih wujud, ia hanya berdiri pada nama semata-mata dan kefungsian sebenar yang dimainkannya sekadar terhad pada pengekalan tradisi ritual dan upacara diraja. China kemudian berpecah kepada beberapa buah kerajaan kecil dan di tangan para pemerintah-feudal inilah autoriti pentadbiran sebenar berada. Setiap negara saling berperang antara satu sama lain dan pada zaman huru-hara sebeginilah ajaran Confucius berkembang dan seterusnya mempengaruhi perjalanan sejarah China.
LATAR BELAKANG CONFUCIUS
Confucius dilahirkan pada tahun 551SM di negara Lu (berhampiran Qufu, Shandong moden). Nama sebenar beliau, iaitu Kong Qiu, kebiasaannya tidak digunakan sebagai tanda hormat kepadanya. Menurut Sima Qian, seorang sejarahwan purba China, sebelum kelahiran Confucius, kedua-dua orang tuanya memanjatkan doa di sebuah bukit suci bernama Ni dan memohon supaya dikurniakan seorang anak.
Setelah doa mereka dikabulkan, mereka pun menamakan anak itu bersempena nama bukit tersebut. Confucius turut dikenali sebagai Kong Zi, yang bermaksud Guru Kong, atau kadangkala Kong Fuci, yang membawa erti ‘Guru Mulia Kong’. Confucius adalah istilah Latin bagi Kong Fuzi dan ia digunakan buat pertama kali oleh mubaligh-mubaligh Jesuit yang mengunjungi China pada era Dinasti Ming.
Confucius lahir dalam sebuah kelas sosial yang dipanggil sebagai shi. Kelas sosial ini boleh diandaikan sama seperti orang suruhan atau kesatria dalam hierarki sosial di Eropah pada zaman pertengahan. Salah satu peranan anggota kelas sosial ini adalah mentadbir wilayah sebagai wakil raja.
Walau bagaimanapun, para era Musim Bunga dan Musim Luruh, para pemerintah dari kebanyakan negara lebih cenderung mengambil pegawai-pegawai lantikan kerajaan untuk menjalankan tugas pentadbiran. Dasar sebegini tentunya memberi kesan kepada anggota kelas shi.
Namun, mereka masih mempunyai keunggulan yang tersendiri berkat pengetahuan yang mendalam tentang adat-istiadat golongan bangsawan. Pengetahuan inilah yang menjamin kedudukan mereka pada zaman itu. Oleh kerana raja-raja feudal kebiasaannya mahu mengikuti adat-istiadat yang diamalkan di istana Dinasti Zhou, maka mereka memerlukan kehadiran anggota kelas shi dalam istana mereka.
KARYA-KARYA PURBA YANG MEMERIHALKAN CONFUCIUS
Kebanyakan maklumat yang kita ketahui perihal kehidupan awal Confucius diambil daripada sumber-sumber sejarah purba dan sumber-sumber tradisi China. Antara lain, Sima Qian ada mencatatkan bahawa semasa Confucius masih kecil, beliau selalu menghiburkan diri dengan menyusun bekas-bekas ritual dan mengadakan upacara olok-olok.
Perihal pendidikan Confucius, beliau mempelajari adat-istiadat istana daripada seorang guru Tao dan pendidikan muzik pula diperoleh daripada Chang Hong. Beliau mula mengajar muridnya sendiri semasa berusia pertengahan abad. Menurut Sima Qian, Confucius mempunyai seramai 3000 orang murid. Namun, sumber-sumber lain menyatakan bahawa jumlah murid beliau adalah sekitar 70 atau 72 orang sahaja.
CONFUCIANISME
Falsafah yang disebarkan oleh Confucius merangkumi tajuk yang meluas, seperti etika, politik, dan pendidikan. Karya beliau yang berjudul Lunyu (The Analect) dianggap sebagai sebuah magnum opus daripada Confucius. Karya ini mengandungi ajaran-ajaran Confucius dan perbualannya dengan murid-murid. Nilai-nilai yang sering ditekankan oleh Confucius adalah empati, pembangunan peribadi, kesetiaan, dan ketaatan.
Falsafah Confucius mendominasi masyarakat China dalam kebanyakan sejarahnya. Namun, wujud juga era di mana falsafah beliau menerima tentangan. Misalnya pada era Dinasti Qin, aliran falsafah yang dicenderungi oleh Qin Shi Huang adalah falsafah Legalisme, manakala pada era moden pula, kita dapat melihat betapa Mao Zedong menerusi Revolusi Budaya cuba menghapuskan pengaruh Confucianisme.
Walaupun menerima tentangan sedemikian rupa, Confucianisme masih kekal sebagai sebuah aliran falsafah yang amat berpengaruh baik dalam kalangan masyarakat China mahupun masyarakat sedunia.
TERJEMAHAN:
Wu Mingren. (4 Oktober 2016). The Lasting Legacy of Wiseman of Confucius. Ancient Origins. https://www.ancient-origins.net/history-famous-people/lasting-legacy-wiseman-confucius-006759
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih