Comfort food, atau makanan yang menenangkan. Setiap individu pastinya pernah mendengar istilah ini, malah ramai dalam kalangan kita yang turut memiliki comfort food mereka yang tersendiri. Namun, apakah sebenarnya yang dimaksudkan dengan comfort food ini? Dan, sejauh manakah comfort food ini benar-benar boleh mempengaruhi keadaan emosi seseorang individu?
Sebelum itu, marilah kita memahami terlebih dahulu dengan maksud istilah comfort food ini. Berdasarkan sejarah, istilah comfort food ini sebenarnya telah mula digunakan pada awal tahun 1966, di mana akhbar Palm Beach Post telah menggunakan istilah ini dalam artikel mereka berkaitan dengan obesiti yang berlaku pada masa itu. Artikel tersebut menyatakan bagaimana seseorang yang mengalami masalah emosi mudah terdorong untuk mengambil makanan yang mengingatkan mereka kepada zaman kanak-kanak mereka serta makanan yang dimasak oleh ibu mereka.
Setelah lebih sepuluh tahun berlalu, Oxford English Dictionary telah mengenalpasti bahawa istilah comfort food ini turut digunakan dalam satu artikel yang dikeluarkan oleh Washington Post Magazine pada tahun 1977, di mana artikel ini telah menggunakan istilah tersebut bagi menggambarkan suatu hidangan makanan laut berasaskan udang. Pihak Oxford English Dictionary telah mengambil petikan istilah di dalam artikel ini sebagai penggunaan pertama kali secara rasmi bagi comfort food.
Secara asasnya, definisi comfort food ini merujuk kepada pelbagai jenis makanan yang diambil bertujuan untuk memberikan ketenangan, ketenteraman dan kegembiraan kepada emosi seseorang individu. Makanan sememangnya secara semulajadinya mampu untuk memberikan ketenangan secara emosi dan boleh mengembalikan perasaan positif di dalam hati seseorang. Para penyelidik dalam bidang sains makanan bersetuju bahawa kebanyakan makanan yang diklasifikasikan sebagai comfort food kepada sesetengah individu ini kebiasaannya mempunyai kandungan karbohidrat, gula dan lemak yang tinggi, dan makanan jenis ini biasanya mempunyai kaitan dengan memori zaman kanak-kanak serta makanan yang dimasak di rumah (home cooking food).
Dari mana datangnya kecenderungan pengambilan comfort food?
Terdapat satu persoalan yang sering dikemukakan oleh pakar psikologi serta penyelidik sains makanan berkaitan dengan dari mana datangnya kecenderungan seseorang untuk mengambil atau meletakkan klasifikasi terhadap makanan tertentu sebagai comfort food mereka. Meskipun banyak kajian menunjukkan bahawa kebanyakan makanan yang dianggap sebagai comfort food ini datangnya daripada makanan yang biasa dimakan oleh seseorang sewaktu zaman kanak-kanak mereka atau makanan yang sering dimasak oleh keluarga, namun, terdapat juga comfort food yang berkaitan dengan negara, budaya serta cara hidup sesebuah masyarakat.
Terdapat beberapa contoh comfort food yang dianggap boleh mewakili masyarakat dalam sesebuah negara dan budaya, antaranya ialah:
- Pai daging (meat pie) – Australia dan New Zealand
Pai berinti daging daripada Australia dan New Zealand ini mempunyai saiz sebesar tapak tangan, dan mengandungi daging cincang bersama sos, bawang, cendawan atau keju. Pai ini begitu signifikan dalam kalangan masyarakat di Australia dan New Zealand sehinggakan ia telah digambarkan oleh bekas Menteri New South Wales sebagai ‘makanan kebangsaan’.
- Irish stew – Ireland
Stew ini merupakan suatu hidangan tradisi dalam kalangan masyarakat Irish di Ireland. Ia boleh diperbuat daripada apa jua jenis daging serta campuran pelbagai jenis sayur-sayuran. Masyarakat Irish menganggap hidangan ini sebagai suatu makanan yang boleh memberi kehangatan dan ketenangan kepada mereka sama ada untuk menghadapi musim sejuk atau panas.
- Onion soup – Perancis
Sup ini secara asasnya diperbuat daripada stok daging serta caramelized onion. Apa yang membuatkan sup ini begitu signifikan dalam kalangan masyarakat Perancis ialah ia boleh dinikmati dengan pelbagai cara, dan setiap golongan boleh memasak hidangan ini sebagai salah satu hidangan kemestian di dalam keluarga mereka.
- Sup miso – Jepun
Ini adalah makanan tradisional Jepun, yang berasaskan kepada stok (daishi) dan pes miso. Sup miso ini bukan sahaja dianggap sebagai comfort food dalam kalangan masyarakat Jepun, malahan, ia juga dinikmati atas sebab khasiat yang dimilikinya, iaitu sebagai makanan pencegah kanser dan boleh membantu menurunkan berat badan.
- Poutine – Kanada
Poutine, daripada Kanada ialah sejenis hidangan yang terdiri daripada kentang goreng dan keju dan dihiasi dengan sejenis sos. Poutine adalah hidangan asli daripada daerah Quebec di Kanada dan dianggap sebagai salah satu simbol budaya Quebec. Hidangan poutine pada hari ini telah menjadi hidangan kebangsaan bagi negara Canada dan pelbagai variasi hidangan poutine mula dicipta oleh masyarakat di Canada.
Sebab pengambilan comfort food
Hasil daripada pelbagai kajian yang dijalankan didapati bahawa terdapat banyak sebab dan tujuan pengambilan makanan yang dianggap sebagai comfort food ini. Salah satu daripada sebab utama pengambilan comfort food ini adalah apabila seseorang mengalami perubahan emosi yang negatif. Keadaan ini sebenarnya berkaitan dengan sistem sensori manusia yang mampu untuk memberi reaksi berbeza kepada jenis, rasa dan tekstur makanan yang diambil dan ini juga sebenarnya memberi kesan kepada emosi dan tahap tekanan perasaan yang dialami oleh manusia. Atas sebab inilah ramai individu mengambil makanan tertentu sebagai comfort food mereka sebagai salah satu cara untuk mengembalikan emosi positif ke dalam diri mereka dan mengurangkan tekanan yang mereka hadapi.
Selain itu, comfort food ini juga sebenarnya bertindak untuk mengembalikan semula kenangan dan nostalgia seseorang kepada jenis makanan dan masakan yang pernah mereka nikmati. Keadaan ini bukan sahaja terhad kepada nostalgia dan memori zaman kanak-kanak seseorang, malah ia juga melibatkan kenangan yang seseorang alami akibat sesuatu peristiwa atau hari bersejarah yang berlaku dalam diri mereka. Ini menerangkan bagaimana sesetengah makanan yang biasa kita temui atau makan, seperti aiskrim, coklat, gula-gula atau snek boleh menjadi comfort food bagi sesetengan individu yang lain hasil daripada nostalgia yang mereka miliki bersama makanan tersebut. Malah, dalam satu kajian tinjauan yang dijalankan di Amerika Syarikat mendapati bahawa hampir 80% daripada masyarakatnya bersetuju bahawa setiap makanan yang menjadi comfort food mereka mampu memberi kesan ketenangan dan memujuk hati mereka ketika mengalami tekanan dan masalah emosi yang serius.
Bagaimana comfort food boleh menenangkan?
Pelbagai kajian mengenai anggapan terhadap comfort food ini telah dijalankan oleh ramai penyelidik dalam bidang sains makanan, gastronomi dan psikologi. Ada antara hasil kajian ini berpendapat bahawa anggapan ini hanyalah satu mitos semata-mata dan makanan sebenarnya tidak mampu untuk memberi ketenangan dan memulihkan emosi seseorang seperti yang didakwa. Dari sudut sensori, sebenarnya comfort food tidak mempunyai rasa yang tertentu atau tekstur yang tertentu kerana individu yang berbeza mempunyai pilihan comfort food mereka yang tersendiri. Jadi, untuk meletakkan rasa, tekstur dan jenis makanan yang spesifik bagi menunjukkan ciri utama bagi comfort food ini adalah tidak begitu tepat kerana pilihan setiap manusia adalah berbeza-beza.
Namun begitu, berdasarkan kajian yang dijalankan juga didapati bahawa apa yang boleh dibezakan dalam comfort food ini hanyalah kumpulan makanan tersebut, di mana kebanyakan makanan yang dianggap sebagai comfort food ini kebiasaannya termasuk dalam kumpulan makanan yang tinggi karbohidrat, gula dan lemak. Jadi, persoalannya kini, bagaimanakah comfort food ini benar-benar dapat menenangkan emosi?
Keadaan ini sebenarnya mempunyai kaitan dengan penggunaan deria yang kita miliki. Ada sesetengah individu memilih hidangan atau makanan yang mempunyai gaya persembahan yang menarik sebagai satu cara untuk menenangkan perasaan mereka. Ini yang dikatakan sebagai ‘eating with the eyes’. Pada individu ini, makanan yang dihias cantik dan dipersembahkan dalam gaya yang menarik mampu untuk membuatkan mereka berasa lebih selamat dan kembali berkeyakinan.
Selain itu, ada juga individu yang memilih comfort food mereka berdasarkan bau makanan yang mereka gemari. Dalam hal ini, kebanyakan individu menyatakan bahawa bau makanan tersebut mampu untuk mengingatkan mereka kembali kepada memori yang tidak mereka lupakan. Contohnya ialah seperti bau kentang bakar yang mengingatkan kepada kampung halaman, serta bau sup sedang direneh yang mengembalikan ingatan terhadap masakan ibu.
Kesimpulan
Secara asasnya, makanan yang menjadi comfort food ini bukanlah suatu mitos dan ia sebenarnya wujud dalam kehidupan seharian kita semua. Comfort food, walau apa jua pilihan makanan yang dibuat oleh seseorang individu, secara psikologinya mampu memberi suatu reaksi yang positif kepada emosi dan memberi suatu kesan pujukan kepada diri. Sama seperti kaedah terapi psikologi yang lain, comfort food juga berpotensi untuk memulihkan perasaan, meskipun hanya untuk suatu tempoh jangkamasa yang pendek. Sekarang, tanyalah pada diri sendiri, apakah comfort food yang boleh memberi ketenangan kepada diri anda?
Rujukan
Finch, L. E., & Tomiyama, A. J. (2015). Comfort eating , psychological stress , and depressive symptoms in young adult women. Appetite, 95, 239–244.
Locher, J. L., Yoels, W. C., Maurer, D., & van Ells, J. (2005). Comfort Foods: An Exploratory Journey Into The Social and Emotional Significance of Food. Food and Foodways, 13(4), 273–297.
Spence, C. (2017). Comfort food: A review. International Journal of Gastronomy and Food Science, 9(July), 105–109.
Troisi, J. D., & Wright, J. W. C. (2017). Comfort Food : Nourishing Our Collective Stomachs and Our Collective Minds. Teaching of Psychology, 44(1), 78–84.
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih