“Life isn’t like in the movies.
Life… is much harder.”
Ketika saya bertemu dengan pengkritik filem serta bekas pengarang Mingguan Malaysia, Ku Seman Ku Hussain beberapa minggu lalu, beliau telah mengesyorkan agar saya menonton filem Cinema Paradiso (1988) arahan Giuseppe Tornatore. Menurut beliau, filem ini wajib ditonton oleh sesiapa yang meminati dunia perfileman.
Filem berbahasa Itali ini mengisahkan Salvatore “Toto” Di Vita, seorang pengarah filem terkenal telah menerima berita kematian seseorang yang bernama Alfredo. Toto yang sudah hampir 30 tahun tidak pulang ke kampung halamannya mengingati semula kenangan di zaman kanak-kanaknya di mana dia telah berkenalan dengan seorang lelaki separuh umur yang bekerja di sebuah panggung wayang yang bernama Cinema Paradiso di Giancaldo, Itali.
Melalui Alfredo, Toto mulai jatuh cinta dengan dunia sinema. Beliau sering menghabiskan masa dan wang dengan menonton pelbagai filem di Cinema Paradiso. Melalui Alfredo yang bekerja sebagai projectionist itu, Toto juga diajar bagaimana untuk mengendalikan sesebuah tayangan filem. Hubungan mereka sangat akrab seperti anak dan bapa. Bersama Alfredo, Toto mulai cenderung untuk mendalami ilmu pembikinan filem dan mereka telah melalui pelbagai kisah suka dan duka.
Secara peribadi, saya amat menyukai filem ini. Bagi saya, filem ini berjaya menggamit nostalgia penonton dengan visual-visual yang sangat bermakna. Melalui filem ini, kita dapat menyaksikan suasana di dalam panggung wayang yang gamat dengan pelbagai ragam manusia. Ada yang tidur sepanjang penayangan, ada yang terlalu beremosi malahan ada juga manusia yang melakukan perkara-perkara yang tidak sepatutnya dilakukan di dalam ruang gelap itu.
Latar masa yang dipaparkan di dalam filem ini adalah sekitar tahun 1940-an dan 1950-an ketika Eropah sedang dikuasai oleh pengaruh ideologi komunis. Walau bagaimanapun, terdapat beberapa babak yang memaparkan orang Itali menolak ideologi tersebut. Salah satu babak yang memaparkan filem ini anti-komunis adalah babak rakan-rakan sekelas Toto mengucapkan selamat tinggal kepada salah seorang rakan mereka yang akan berpindah ke Jerman. Toto dan rakan-rakannya mengucapkan selamat tinggal kecuali seorang budak yang enggan melakukannya kerana bapanya mengatakan keluarga rakannya yang mahu berpindah itu berfahaman komunis.
Cinema Paradiso juga menjadi tempat eskapisme masyarakat di pekan Giancaldo untuk melupakan seketika situasi politik ketika itu yang masih kucar kacir akibat Perang Dunia Kedua yang baru sahaja berakhir. Walaupun filem-filem yang ditayangkan di pawagam itu adalah filem-filem “second-run” namun Toto dan masyarakat di sekelilingnya tetap terhibur dengan satu-satunya sumber hiburan mereka di pekan kecil itu. Pawagam Cinema Paradiso bertahan hampir 40 tahun sebelum menamatkan operasinya pada awal tahun 1980-an.
Bercakap tentang pawagam, saya terkenang akan sebuah pawagam kecil dan usang di kampung saya di Kupang, Baling, Kedah. Mungkin dalam kalangan generasi muda di sana tidak mengetahui dan tidak mempunyai sebarang pengalaman ataupun memori indah di panggung wayang kecil ini, termasuklah saya. Ini kerana panggung ini telah menghentikan operasinya sekitar penghujung tahun 1980-an.
Menurut emak saya, panggung wayang ini dahulu menayangkan filem-filem lama, terutamanya filem-filem Hindustan. Harga tiketnya juga jauh lebih murah berbanding panggung wayang di bandar. Mungkin kerana ia hanya menayangkan filem-filem “second-run” dan apabila masuk ke dekad 80-an, panggung wayang ini sudah tidak relevan kerana filem-filem lama sudah boleh ditonton di kaca televisyen tanpa perlu membayar tiket.
Saya tidak pernah menonton di panggung ini. Bangunan ini pun sudah menjadi kedai perabot dengan nama Pusat Perabot & Elektrik Panggung yang sudah beroperasi di pekan kecil ini sudah hampir 30 tahun.
Apa yang sering bermain di memori saya hanyalah kenangan melihat kerusi kayu tempat duduk panggung itu yang diambil oleh seorang tukang gunting rambut yang bernama Pak Lah. Pak Lah menggunakan kerusi kayu panggung itu untuk para pelanggannya duduk sambil menunggu giliran untuk bergunting. Siapa sangka di pekan kecil ini pernah terdapat sebuah panggung wayang yang pernah menghiburkan masyarakat yang rata-ratanya berpendapatan rendah.
Berbalik kepada filem, kenangan indah Toto bersama Alfredo di Cinema Paradiso dipaparkan dengan sangat cantik dan saya amat tersentuh dengan jalan ceritanya. Kisah percintaan terhadap dunia sinema sangat kuat di dalam filem ini dan ia sangat menyentuh jiwa. Filem ini ibarat surat cinta buat penggemar sinema.
Cinema Paradiso mula ditayangkan di Itali pada 29 September 1988. Filem ini telah memenangi pelbagai anugerah di peringkat antarabangsa. Antaranya Best Foreign Language Film (Academy Awards 1989 & Golden Globe Awards 1989), Grand Prix du Jury (Cannes Film Festival 1989) dan Best Film (not in English language) (BAFTA Awards 1991). Selain itu, Cinema Paradiso turut tersenarai dalam 100 filem berbahasa asing terbaik sepanjang zaman oleh BBC.com.
Rating IMDb: 8.5/10
Rating peribadi: 10/10
Sumber:
1. Cinema Paradiso. IMDb. https://www.imdb.com/title/tt0095765/?ref_=ttrel_rel_tt
2. BBC. (2018). The 100 greatest foreign-language films. http://www.bbc.com/culture/story/20181029-the-100-greatest-foreign-language-films
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih