Hampir 60 tahun merdeka, soal identiti Cina Malaysia masih belum selesai. Selain disuruh “balik China” dan dilabel “chauvinis”, “kiasu”, “oportunis” dan sebagainya, ada kalanya orang Cina Malaysia dipandang sebagai orang luar yang tidak setia kepada negara, bersubahat dengan negara asal (China) untuk menjatuhkan atau menjajah Malaysia. Teori Cina Malaysia sebagai “fifth column” ini telah wujud sejak zaman Darurat dan masih timbul pada tahun 2017. Teori ini berdiri atas andaian bahawa Cina Malaysia dan Cina China ialah kelompok yang sama dan memiliki matlamat yang sama. Lagi-lagi kebangkitan China telah membuat ramai membuat spekulasi mengenai peranan Cina Malaysia.
Hakikatnya Cina Malaysia dan Cina China tidak sama, malah boleh dikatakan berkonflik. Jangan terkejut dan hairan dengan tahap “Sinophobia” (takut/benci terhadap China) yang telah ditunjukkan oleh Cina Malaysia dalam komen-komen tentang isu baru-baru ini. Kehadiran warga China telah menimbulkan keresahan sebilangan besar Cina Malaysia. Sentimen yang sama juga berlaku di Singapura, Hong Kong, dan Taiwan — negara-negara yang dikenali sebagai negara majoriti Cina. Warga China dipandang serong oleh orang Cina tempatan. Media-media tempatan tidak segan silu menyifatkan Cina China sebagai “barbarian” yang tidak beradab dan materialis. Kalau benar andaian orang Cina seluruh dunia ini sentiasa bersatu, mengapa jadi begini?
Sebabnya, pertama, orang Cina tempatan juga melihat diri merempat di negara sendiri. Kedua, terdapat konflik identiti di antara Cina China dan Cina tempatan yang tidak dapat dipertemukan (irreconciliable). Mereka khuatiri kemasukan Cina China berpotensi menghakis identiti Cina tempatan dalam tempoh masa panjang.
Mengapa walaupun sama-sama digelar Cina, identiti pula tidak sama? Kerana di mana-mana sahaja, identiti ke-Cina-an itu telah pun berubah mengikut acuan legasi sejarah dan budaya tempatan, maka terbentuklah identiti Cina setempat yang unik. Di Singapura, legasi Negeri-Negeri Selat. Di Hong Kong, legasi pemerintahan British. Di Taiwan, legasi pemerintahan Jepun selama 50 tahun dan pengaruh suku-suku orang asli. Cina Malaysia pula telah menyerap unsur-unsur tempatan dan menjadikan mereka komuniti yang unik dan berbeza dari Cina China. Bukan saja budaya, konsep kenegaraan Cina Malaysia juga tidak sama dengan Cina China.
Dalam Bahasa Inggeris, “Chinese” boleh bermaksud orang China atau orang berketurunan Cina. Namun dalam Bahasa Cina, orang China digelar “Zhongguoren” (中國人) sementara orang Cina digelar “Huaren” (華人). Zhongguoren ialah konsep yang terbatas dengan sempadan negara iaitu orang yang bermastautin di China. Huaren merujuk kepada mereka yang berketurunan etnik Cina di sebelah ayahnya (penguasaan Bahasa Cina bukan syarat untuk digelar Huaren). Mustahil bagi seseorang Huaren menjadi Zhongguoren kalau bukan warganegara China. Malah definisi Zhongguoren juga merangkumi etnik-etnik seperti orang Manchu, orang Tibet, orang Mongol dan sebagainya.
Disebabkan konsep Huaren itu tidak merujuk kepada negara tetapi kepada etnik, Cina Malaysia tidak pernah melihat pengekalan budaya dan warisan Cina itu bertentangan dengan kewarganegaraan Malaysia. Ia tidak saling mengecualikan (mutually exclusive). Beridentifikasi diri dengan susur galur keturunan dan budaya Cina bukan bermaksud tidak setia kepada negara, cuma, orang Cina adalah jenis yang tidak melupakan asal usulnya.
Orang Cina berpegang kepada prinsip “minum air, ingat sumbernya” (yinshui siyuan, 飲水思源) dan “tidak lupa asal usul” (wuwang genben, 勿忘根本). Orang yang lupa asal usul bagai pohon yang tidak mempunyai akar (gen, 根). Jadi, kebanyakan orang Cina mempunyai amalan “mencari akar” (xungen, 尋根) dengan menjenguk tempat asal di China. Tindakan sebegini tidak bermaksud mereka masih mahu kembali ke sana tetapi hanya sebagai penghayatan asal usul secara simbolik. Yang layak digelar kampung atau “rumah” (jia, 家) hanyalah Malaysia. Tanya mana-mana Cina Malaysia “asal mana?”, dia akan jawab “Ipoh”, “Alor Setar”, tidak sesekali muncul nama tempat China.
Ada yang melihat “keengganan” Cina Malaysia untuk berasimilasi sebagai “bukti” mereka masih setia terhadap tanah asalnya. Ini tanggapan yang salah. Proses asimilasi yang lambat tidak sama dengan tiada langsung asimilasi. Seperti yang dikatakan tadi, Cina Malaysia telah pun dilokalkan mengikut konteks tempatan, bukan “transplant” dari Cina China. Identiti Cina Malaysia itu wujud, dan terdapat juga “Bahasa Cina Malaysia” yang telah menyerap istilah-istilah Melayu seperti “suka”, “baru”, “duit”, “mata” (polis) dan sebagainya. Orang luar tidak pernah mengelirukan Cina Malaysia dengan Cina China.
Adakah kerana Cina Malaysia banyak berurus niaga dengan Cina China, maka kita boleh kata mereka bersubahat dengan kuasa luar? Dalam budaya Cina ada pepatah “business is business” (zaishang yanshang, 在商言商). Susur galur keturunan Cina dimanfaatkan oleh Cina Malaysia untuk memudahkan mereka berniaga di China, kerana orang Cina China masih menitik berat tentang soal “guanxi” (關係, jaringan kerja atau network) dalam urus niaga. Orang asal usulnya Hokkien lebih mudah berurus niaga dengan peniaga dari Fujian kerana berkongsi dialek yang sama. Orang yang membawa nama keluarga Lee lebih mudah bergaul dengan peniaga yang bernama keluarga Lee. Tidak dinafikan dalam mengejar keuntungan, ada peniaga-peniaga Cina yang telah mengabaikan soal kepentingan negara, tetapi itu bukan bermaksud tiada kesetiaan, cuma tiada kesedaran.
Cina Malaysia bukannya boleh mengawal tindak tanduk kerajaan China. Tindakan melulu China seperti mengeluarkan komen tentang politik domestik dan pengeluaran “Kad China” tidak mewakili pendirian Cina Malaysia. China hanya melihat Cina Malaysia sebagai aset yg boleh dipergunakan, tetapi tidak pernah menganggap atau sedia menerima mereka sebagai sebahagian daripada rakyat China. Begitu juga dengan Cina Malaysia. Hubungan Cina China dan Cina Malaysia hanya terbina atas transaksi. Selain beberapa titik nila keliru identiti yang merosakkan, secara amnya Cina Malaysia tidak menaruh sedikit pun ikatan emosional terhadap Republik Rakyat China.
Kita mungkin berbeza pendapat semasa berpolitik, namun perbezaan tersebut tidak sama dengan pengkhianatan terhadap negara. Berlapang dada memahami aspek kebudayaan Cina Malaysia, adalah lebih afdhal dari mempersoalkan kesetiaan orang lain.
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih
3 Comments
Saudara ayman,semasa kunjungan tun razak ke china pada tahun 1974,beliau ada meminta mao zedong membawa pulang orang cina kembali ke negara china tapi di tolak oleh mao.mao berkata cina malaysia tidak ada perkaitan dengan kami.seperti katak,mereka dan kami dari kolam yg berbeza.mereka cina kapitalis sementara kami adalah china komunis.tun razak pun akur tak oleh nak menjawab.jadi mungkin ada benarnya hujah saudara ini.
Terima kasih saudara ayman atas artikel yang bernas.
Tanah Airku malaysia.
Di Malaysia, Melayu adalah bangsa majoriti dan majoriti adalah islam. Apabila melayu mengamalkan adat melayu kemudian diketahui adat bercanggah dengan islam. Maka adat ditinggalkan.
Saya setuju dengan artikel yang tuan tuliskan.
Cuma, apabila menyebut tentang ‘asimilasi’. Bangsa Melayu Islam ada sejarah lain yang kurang diketahui oleh bangsa cina. Melayu islam mengetahui asimilasi adalah perkara buruk seperti bangsa yahudi kafir yang berasimilasi dengan bangsa eropah yang kini di panggil ‘zionist’. Zionist ini adalah bangsa yang kononnya adalah bangsa asal yahudi tetapi sebenarnya bukan.
Juga sejarah penyebaran katolik kristian secara halus di spanyol yang kemudiannya secara terang-terangan meruntuhkan empayar islam disana. Yang menyebabkan bangsa spanyol muslim bertukar agama kerana takut, ada yang mati dan lari keluar dari negara sendiri.
Perkara-perkara seperti ini adalah buruk dan mempengaruhi minda masyarakat islam Malaysia, dengan jelas asimilasi bangsa mampu merampas hak dan undang-undang negara kepunyaan sesuatu bangsa seperti yang telah terbukti dalam sejarah.
Di Malaysia, asimilasi kaum india yang memeluk agama islam telah berlaku. Terkenal dengan golongan ‘mamak’. Kecuali cina muslim yang masih kekal sebagai ‘cina’ setelah islam.
Begitu baik apabila cina Malaysia mengamalkan adat dan budaya sendiri ‘tanpa’ perlu berasimilasi sebagai masyarakat melayu. Keadaan ini mampu mengelakkan ‘musuh dalam selimut’.
Namun begitu apabila kita memandang penyatuan bangsa tanpa asimilasi adalah menjadi suatu provokasi bagi masyarakat islam khususnya melayu apabila cina dan india mengamalkan apa-apa yang bercanggah dengan islam secara terang-terangan seperti menjual, makan atau minum daging babi dan arak. Maka ini yang menjadikan tiga bangsa akan terus terasing dari satu sama lain.
Selain itu ahli politik juga menjadi punca terbesar perpecahan kaum. Telah banyak bukti apabila ahli politik bangsa cina dan india sewenangnya menggunakan potongan ayat quran sebagai modal politik. Ini pertikaian mudah, mengapa perkara ini perlu? Sedangkan cina sendiri tidak mahu adat dan agama mereka diperguna oleh bangsa lain.
Maka untuk mencapai penyatuan yang jujur dan ikhlas. Artikel baik yang ditulis oleh tuan masih perlu dipertingkatkan dari segi ilmu dan pengatahuan tentang bangsa majoriti secara menyeluruh, terutamanya tentang sesuatu yang bertentangan dengan Melayu Islam itu sendiri. Bukanlah menulis sesuatu yang hanya mijoriti sahaja yang perlu faham tentang minoriti secara meluas.
Tidak menjadi isu untuk cina balik china atau sesiapa sahaja. Kerana sejarah jelas menunjukkan bahawa tidak ada negara yang berdiri selamanya. Tidak mustahil melayu cina india di Malaysia akan pupus atas negara ini suatu hari nanti dan digantikan dengan bangsa lain.
Tetapi untuk hari ini, adalah lebih baik kita meraikan pelbagai kaum dengan sama saling menghormati seperti yang telah termaktub dalam perlembagaan negara. Bukan lah adat yang berbeza itu boleh menyatukan, tetapi saling menghormati dengan jujur dan ikhlas melangkau adat dan kepentingan bangsa sendiri.