Baru-baru ini negara sedikit gempar dengan berita lambakan cili import dari Vietnam dalam pasaran negara meskipun ia sebenarnya telah diharamkan sejak 14 September 2018 yang lalu. Pihak kerajaan sebenarnya telah menggantung permit import cili merah Vietnam selepas ia didapati mengandungi sisa bahan racun perosak melebihi tahap yang dibenarkan, namun, cili Vietnam ini masih tetap diseludup masuk ke dalam negara dan dijual secara meluas. Malah, permintaan para pelanggan terhadap cili import dari Vietnam ini masih lagi tinggi dan keadaan ini sebenarnya adalah kerana harga cili import yang jauh lebih rendah berbanding dengan harga cili tempatan.
Persoalannya kini, mengapakah masyarakat kita sangat memerlukan cili sebagai salah satu bahan utama dalam proses penyediaan makanan? Malah sanggup untuk mencari jenis cili yang pedas seperti cili Vietnam yang telah diharamkan sebagai perencah utama dalam makanan. Artikel ini akan mengupas serba sedikit mengenai sejarah kemunculan cili, bagaimana untuk menentukan tahap kepedasan sesuatu cili serta pelbagai jenis cili dari seluruh dunia.
Cili merupakan suatu bahan yang sangat penting dalam penyediaan makanan di Malaysia, malah ia juga merupakan antara bahan utama dalam kebanyakan masakan di negara-negara di Asia Tenggara. Penggunaan cili ini adalah berfungsi untuk memberi rasa kepedasan yang hangat, serta menambahkan keenakan makanan yang disediakan. Cili bukan sahaja dimakan dalam bentuk yang segar, malah turut diproses untuk dijadikan pes dan serbuk serta dijerukkan bagi menjamin ketahanannya.
Sejarah cili
Secara ringkasnya, sejarah cili ini dikatakan telah bermula sejak 7000 tahun sebelum Masehi, iaitu di Mexico. Namun, penemuan mengenai penanaman cili dikatakan hanya bermula pada 3500 tahun sebelum Masehi dan kebanyakan rakyat Mexico ini menggunakan cili bagi menyedapkan lagi makanan mereka. Cili telah dibawa dan disebarkan ke seluruh dunia oleh Christopher Columbus dan seterusnya menjadi suatu bahan utama di seluruh dunia.
Cili telah menjadi suatu bahan yang sangat penting kepada masyarakat di Eropah, dan pada tahun 1498, seorang pengembara berbangsa Portugis, iaitu Vasco da Gama yang tiba di India, telah membawa cili ini bersamanya. Pada hari ini, negara India telah menjadi negara pengeluar dan pengeksport utama bagi cili ke negara-negara seperti Amerika Syarikat, Kanada, Jerman dan Arab Saudi. Malah, sebahagian besar daripada cili paling pedas di dunia juga ditanam dan dihasilkan di India.
Di sebalik kepedasan cili
Cili, merupakan suatu tumbuhan yang berasal daripada keluarga Solanaceae, dan spesisnya pula dinamakan sebagai Capsicum annuum (C. annuum). Cili, atau dalam masyarakat kita turut dikenali sebagai lada atau cabai, mengandungi sejenis komponen aktif yang dinamakan sebagai capsaicin, berfungsi untuk memberikan sensasi rasa pedas kepada cili. Capsaicin (8-methyl-N-vanillyl-6-nonenamide) adalah suatu komponen yang tidak berwarna (colorless) dan tidak berbau (odorless) di mana kebiasaannya ia ditemui pada membran yang memegang biji cili tersebut. Capsaicin juga sebenarnya boleh ditemui dalam tumbuhan herba yang lain namun dalam kuantiti yang sedikit seperti oregano, kayu manis (cinnamon) dan cilantro.
Tahap kepedasan sesuatu jenis cili ini boleh ditentukan dengan menggunakan skala ujian Scoville yang telah diasaskan oleh Wilbur L. Scoville (1865-1942). Ujian bagi menentukan kepedasan yang dinamakan sebagai Scoville Organoleptic Test telah dicipta oleh Scoville pada tahun 1912 sewaktu beliau bertugas dengan sebuah syarikat farmaseutikal, iaitu Parke Davis Pharmaceutical.
Contoh bagi ujian yang dijalankan terhadap cili ini ialah seperti sweet pepper yang langsung tidak mengandungi komponen capsaicin di dalamnya, mempunyai tahap kosong (zero) Scoville, manakala bagi cili yang mempunyai kepedasan yang tinggi, seperti cili habanero, jumlah tahap Scoville yang dicatatkan ialah sebanyak 300,000 dan ke atas.
Pengesanan menggunakan ujian Scoville ini sebenarnya banyak bergantung kepada jenis cili segar yang digunakan. Malah, kesegaran sesuatu jenis cili ini pula ditentukan oleh faktor-faktor lain seperti suhu penanaman, jumlah pendedahan terhadap sinaran matahari, jenis tanah serta jumlah dan jenis baja yang digunakan. Pada masa kini, jumlah kepekatan dan tahap capsaicin yang terdapat di dalam sesuatu jenis tanaman banyak ditentukan menggunakan kaedah saintifik, contohnya dengan menggunakan HPLC (High Pressure Liquid Chromatography).
Senarai cili paling pedas di dunia
Berdasarkan rekod terbaru yang dicatatkan pada tahun 2018, senarai cili paling pedas di dunia adalah mengikut jumlah tahap Scoville Heat Unit (SHU) yang mereka miliki. Ini merupakan lima jenis cili yang dikatakan paling pedas di dunia:
- Carolina Reaper
Cili ini mempunyai tahap kepedasan sebanyak 2,200,000 SHU dan telah dinobatkan sebagai cili paling pedas di dunia pada hari ini. Carolina Reaper sebenarnya telah pun diangkat sebagai cili paling pedas di dunia pada tahun 2013, namun setelah diuji kembali, didapati tahap kepedasannya semakin meningkat dan sekali lagi menduduki tangga pertama dalam senarai cili terpedas dunia ini.
- Trinidad Moruga Scorpion
Trinidad Scorpion MorugaNama panjang bagi cili ini ialah Trinidad Scorpion Moruga Blend dan berasal dari tanah Moruga di Trinidad and Tobago. Jumlah kepedasannya yang dicatatkan ialah sebanyak 2,009,231 SHU, dan seterusnya menduduki tangga kedua dalam senarai lada paling pedas di dunia.
- 7 Pot Douglah
Cili ini dicirikan dengan warna coklat gelap atau ungu gelap dengan kehadiran biji seperti jerawat pada permukaan luarannya. Tahap kepedasan yang dicatatkan bagi cili ini ialah sebanyak 1,853,936 SHU yang melayakkannya menduduki tangga ketiga dalam senarai cili paling pedas di dunia. Cili ini yang turut dikenali sebagai 7 Pot Brown juga berasal dari Trinidad.
- 7 Pot Primo
Usah keliru dengan namanya yang menyerupai 7 Pot Douglah, serta rupanya yang hampir menyamai Carolina Reaper, kerana 7 Pot Primo ini hanyalah mempunyai tahap kepedasan yang jauh lebih rendah berbanding keduanya, iaitu sebanyak 1,469,000 SHU. Cili jenis ini jauh lebih kecil berbanding dengan Carolina Reaper dan juga berasal dari Trinidad.
- Trinidad Scorpion ‘Butch T’
Pada tahun 2011, cili ini telah menduduki tempat pertama dalam senarai cili paling pedas di dunia. Cili yang berasal dari daerah Crosby, Mississippi ini mempunyai tahap kepedasan sebanyak 1,463,700 SHU dan pada tahun 2018 ini, cili ini tersenarai sebagai cili kelima paling pedas di dunia.
Cara mengurangkan rasa pedas
Bagi mereka yang kurang menggemari rasa pedas atau tidak tahan dengan rasa pedas, maka terdapat beberapa cara yang boleh dilakukan bagi menghilangkan atau mengurangkan rasa pedas selepas menjamah sesuatu makanan. Antaranya:
- Minum susu – protein yang terdapat di dalam susu boleh membantu untuk mengurangkan rasa pedas pada mulut anda.
- Pengambilan nasi putih atau roti – nasi putih atau roti boleh membantu untuk menyerap rasa terbakar akibat daripada capsaicinoid.
- Pisang – pisang juga sebenarnya membantu untuk mengurangkan rasa pedas yang anda alami
Kesimpulan
Cili, atau apa jua panggilannya, sama ada lada atau cabai merupakan antara bahan utama yang sangat digemari dalam masakan Asia. Ada sesetengah masyarakat di Asia berlumba-lumba untuk menjamah masakan yang paling pedas dengan jumlah cili paling banyak hanya kerana menggemari sensasi pedas yang dihasilkan oleh cili tersebut. Kerana inilah, cili kekal sebagai salah satu bahan yang amat signifikan dalam apa jua jenis kulinari di dunia.
Rujukan
Pawar, S. S., Bharude, N. V, Sonone, S. S., Deshmukh, R. S., Raut, A. K., & Umarkar, A. R. (2011). Chillies as food, spice and medicine: A Perspective. International Journal of Pharmacy and Biological Sciences, 1(3), 2230–7605.
Rohrig, B. B. (2014). Hot Peppers: Muy Caliente! ChemMatters, (January), 6–8.
Sape, S. T., & Owk, A. K. (2008). A Comprehensive Study On Chilli Peppers (Capsicum L.). Saarbrucken, Deutschland: LAP LAMBERT Academic Publishing.
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih