Apabila bercakap tentang cicak, ramai di antara kita yang berasa geli geleman, lebih-lebih lagi kalau tersentuh badannya yang sejuk dan melekat itu. Mungkin kita pun rasa cicak ini reptilia yang seolah-olah tiada fungsi khusus dalam hidup kita, malah banyak pula membuang tahi cicak merata-rata.
Tapi, tahukah anda, yang sebenarnya cicak ini ada banyak ciri menarik yang mungkin anda sendiri pun tak pernah terfikir! Salah satu daripadanya adalah keupayaan cicak yang mampu untuk putuskan sendiri ekornya apabila berasa terancam.
Keadaan ini tujuannya untuk mengelirukan pemangsanya. Malah, cicak yang sudah terputus ekor ini pun boleh tumbuh semula ekornya walaupun tidak sama seperti yang asal.
Ini adalah ciri pertahanan yang dilakukan dan boleh kita lihat pada cicak yang biasa hidup di rumah. Namun, untuk cicak yang hidup di kawasan luar atau geografi yang berbeza, cara pertahanan yang mereka lakukan jauh berbeza daripada cicak di rumah ini.
Memperkenalkan, Texas horned lizard, atau cicak bertanduk Texas (Phrynosoma cornutum) yang mempunyai satu mekanisme pertahanan yang unik dan mengejutkan – ia boleh menyemburkan darah dari matanya! Tingkah laku yang menakjubkan ini telah menarik minat para saintis dan pencinta alam semula jadi.
Cicak bertanduk Texas ini berasal dari kawasan kering dan separa kering di barat daya Amerika Syarikat dan utara Mexico, di mana ia telah menyesuaikan diri untuk hidup dalam persekitaran yang mencabar.
Apabila berasa terancam, cicak bertanduk ini akan meningkatkan tekanan darah di bahagian kepalanya, menyebabkan salur darah halus di sekitar matanya pecah. Ini menghasilkan semburan darah yang boleh mencecah sehingga lima kaki (lebih kurang 1.5 meter) jauhnya.
Tapi, semburan darah ini bukanlah secara rawak, kerana cicak bertanduk ini mampu mengarahkannya dengan ketepatan yang mengagumkan, sering kali menyasarkan ke arah mulut dan mata penyerangnya. Situasi ini amat berkesan terhadap pemangsa seperti musang, yang merasakan bau dan rasa darah tersebut sangat menjijikkan.
Darah itu sendiri mengandungi bahan kimia yang amat tidak digemari bagi haiwan jenis canid. Kajian yang dijalankan oleh Dr. Wade Sherbrooke, seorang herpetologi dan bekas pengarah Stesen Penyelidikan Barat Daya di bawah Muzium Sejarah Semula Jadi Amerika, mendedahkan bahawa darah cicak bertanduk ini mengandungi sebatian yang merengsakan membran mukus pemangsa.
Penemuan ini dibuat melalui beberapa siri eksperimen pada awal tahun 2000-an, di mana Dr. Sherbrooke telah memerhati reaksi pelbagai jenis pemangsa terhadap darah cicak bertanduk. Sebenarnya penemuan cicak bertanduk yang boleh semburkan darah ini telah dicatatkan pada akhir abad ke-19 oleh pengkaji alam semula jadi yang meneroka kawasan barat daya Amerika.
Walaupun ada mekanisme pertahanan yang hebat, cicak bertanduk ini tetap berdepan dengan pelbagai ancaman di habitat semula jadi. Kemusnahan habitat, perubahan iklim, dan penyebaran spesies invasif semuanya telah menyumbang kepada penurunan populasi cicak bertanduk. Usaha pemuliharaan sedang dijalankan bagi melindungi reptilia unik ini serta habitat asal mereka.




No comments yet