Chupacabra (bermaksud penghisap darah kambing dalam bahasa
Sepanyol) adalah haiwan lagenda yang menjadi buah mulut warga Amerika sejak
rekod pertama kali penampakkan di Puerto Rico. Nama ini diambil sempena tabiat
haiwan ini menghisap darah haiwan ternakan sehingga kering, terutamanya
kambing.
Ciri-ciri tubuh Chupacabra adalah pelbagai. Yang paling
biasa adalah tubuhnya berupa reptilia, tidak berbulu, berkulit kelabu-kehijauan
dan berkuku panjang. Tingginya lebih kurang saiz 0.9 hingga 1.2 meter dan mampu
berdiri seperti kangaroo. Tabiat pemakanannya tidak seperti pemangsa lain, ia
menghisap darah mangsa sehingga meninggalkan kesan tiga atau dua lubang di
leher. Chupacabra juga memakan habis sebahagian organ mangsa.
Sejarah Chupacabra bermula dari 1995 di Puerto Rico. Lapan
ekor kambing biri-biri telah mati dan lehernya telah ditebuk dan kehilangan
banyak darah. Beberapa bulan kemudian iaitu bulan Ogos, seorang saksi bernama
Madelyne Tolentino melaporkan pernah melihat Chupacabra di kota Canóvanas, di mana kota itu pernah dilaporkan bahawa
banyak haiwan ternakan dan peliharaan para peladang mati dengan keadaan yang
sama.
Pada tahun 1975,
kota kecil Moca dilanda kes kematian haiwan ternakan yang sama. Kemudian,
makhluk penghisap darah itu warga kota gelarkan sebagai El Vampiro de Moca atau
Pontianak Moca. Pada andaian awal, mereka menjangkakan bahawa kematian haiwan
ternakan ini adalah kerja kumpulan ajaran Satan. Namun berita tentang
Chupacabra tersebar dan warga Moca mengetahui ini kerja haiwan dahagakan darah.
Rupa Chupacabra dan cara mematikan haiwan ternakan mengikut keterangan saksi kejadian.
Sejak kes Puerto
Rico itu, pelawak bernama Silverio Pérez mengambil kesempatan dengan menamakan makhluk
itu dengan nama Chupacabra ketika dia bertugas sebagai DJ radio tempatan. Kemudian,
negara lain juga dilaporkan telah menemui makhluk yang sama seperti di Republik
Dominican, Argentina, Bolivia, Chile, Columbia, Mexico, Brazil, Honduras, El
Salvador, Nicaragua, Panama, AS, dan Peru. Pokoknya hampir seluruh benua
Amerika telah menyaksikan makhluk yang menggugat rezeki para peladang.
Chupacabra juga telah ‘menakluk’ negara luar dari benua
Amerika. Di Manipur, India banyak haiwan domestik dan ayam telha mati dengan
cara yang aneh dan rakyatnya mengesyaki ini adalah perbuatan Chupacabra.
Beberapa saksi juga telah menyaksikan
penampakan haiwan aneh ini di depan mata.
Dari Chupacabra inilah, lahir pelbagai teori untuk
menyelesaikan kewujudan haiwan penghisap darah ini. Sesetengah pengkaji UFO
beranggapan bahawa Chupacabra adalah ‘anjing’ makhluk asing yang bertugas untuk
mencari benda hidup bagi dijadikan sebagai kajian. Manakala sebilangan pemburu
Chupacabra pula beranggapan Chupacabra adalah haiwan rekaan tentera AS bagi
menguji kekuatannya sebagai senjata biologi. Malah dikatakan haiwan ini
kononnya bersenyawa dengan spesis anjing atau dubuk untuk menghasilkan baka
yang kuat.
Tapi, persoalannya sekarang, adakah Chupacabra ini wujud?
Dalam lima tahun penyiasatan oleh penyiasat bernama Benjamin
Radford yang telah didokumtasikan dalam buku Tracking the Chupacabra pada tahun
2011, konklusi dari saksi penampakkan Madelyne Tolentino adalah berdasarkan
makhluk Sil yang ditayangkan dalam filem seram Species. Identiti Sil amat sama
dengan ciri Chupacabra yang Tolentino saksikan. Tambahan pula sebelum
penampakkan Tolentino mengaku bahawa pada waktu itu dia telah menonton filem
seram itu. Maka, kenyataan saksi itu bagi Radford adalah meragukan.
Radford juga bahagikan kes Chupacabra kepada 2 kategori:
laporan Puerto Rico dan Amerika Latin di mana haiwan ternakan diserang dan
darahnya kering, dan laporan AS di mana penampakkan yang disyaki Chupacabra
sebenarnya adalah anjing atau spesis koyote yang mengalami penyakit kulit yang
dikenali sebagai mange, menyebabkan haiwan kehilangan bulu dan disalah anggap
sebagai makhluk penghisap darah.
Akhir Oktober 2010, seorang biologis dari University of
Michigan iaitu Barry O’Conner menyatakan bahawa semua kes penampakkan
Chupacabra di AS adalah koyote yang dijangkiti oleh kutu Sarcoptes scabiei yang mengakibatkan keguguran bulu, kulit menebal
dan bauan tidak menyenangkan.
Anjing yang dijangkiti penyakit kulit mange. Sebab penyakit inilah mengundang salah faham bahawa anjing ini dianggap sebagai Chupacabra.
Dalam kes haiwan ternakan mati kerana kehilangan darah, memang saksi percaya bahawa kematian itu bukan kerja anjing atau koyote tapi kepercayaan mereka itu adalah salah. Memang anjing dan koyote menyerang mangsa. Buktinya jelas gigitan mereka menembusi kulit sehingga tinggalkan kesan lubang tapi dalah kes ini ia tidak menjamah mangsa tersebut.
Ada dua sebab yang logikal, sama ada ia tidak berpengalaman atau tidak berselera kerana sakit. Jadi mangsa yang diterkam dibiarkan hidup dan kemudian mati kerana kehilangan darah dan kejutan peredaran darah. O’Connor mengandaikan terhadap serangan kambing biri-biri bahawa ini sememangnya kerja koyote yang sakit kerana memburu biri-biri adalah mudah berbanding memburu arnab atau rusa.
Dari bukti-bukti saintifik ini, para saintis
percaya kewujudan Chupacabra hanyalah mitos atau lagenda urban masyarakat yang
menginginkan kemisterian dalam komuniti mereka. Jadi anda percaya dengan
kewujudan haiwan aneh ini?
RUJUKAN:
1. Radford, Benjamin.
“Slaying the Vampire: Solving the Chupacabra Mystery” Skeptical Inquirer, Vol. 35 No. 3, May/June 2011, Pages 45–48
2. Ross-Flannigan, Nancy (25 October
2010). “Scary
chupacabras monster is as much victim as villain”. The University Record. University of Michigan..
3. Than, Ker (28 October 2010). “Chupacabra
Science: How Evolution Made a Mythical Monster”. National Geographic. National Geographic
Society. Retrieved 14 July 2019
4. Selena, Katie (14 February
2018). “The Truth Behind The Legend of The Chupacabra”. All That’s Interesting Website. Retrieved 14 July
2019




No comments yet