Dalam filem Die Another Day, Kolonel Tan Sun-Moon/Gustav Graves memperkenalkan Icarus kepada dunia di Iceland. Semasa ia diperkenalkan, ia diharap dapat berperanan sebagai cermin yang menerangi kawasan gelap di bumi sekaligus memudahkan pelbagai kegiatan manusia. Pada akhirnya, ia hanyalah senjata sains fiksyen yang disangka dapat merealisasikan impian Graves untuk mara ke Korea Selatan.
Menariknya, beberapa tahun lepas, China juga mengumumkan mahu membina cermin gergasi yang berperanan sebagai bulan baru. Menurut Wu Chunfeng, pengerusi sebuah syarikat inovasi yang berpangkalan di Chengdu, idea tersebut telah diuji selama beberapa tahun.
Mereka berharap ia dapat direalisasikan menerusi pelancaran pada tahun 2020. Sekiranya itu berjaya, ia akan membawa kepada kewujudan tiga cermin gergasi di atmosfera pada 2022. Bagaimanapun, tidak diketahui sama ada projek berkenaan mendapat sokongan kerajaan pusat di Beijing atau tidak.
Mengikut keterangan yang diberi kepada akhbar China Daily, ia akan memantulkan kembali cahaya matahari ke bumi. Ia akan beredar sekitar 500 km di atas permukaan bumi – ketinggian sama seperti Stesen Angkasa Lepas Antarabangsa (ISS). Sementara bulan pula beredar pada ketinggian 380,000 km di atas permukaan bumi.
Tambah Chunfeng lagi, ia akan memantulkan cahaya matahari untuk kawasan antara 10 hingga 80 km dengan kecerahannya lapan kali ganda lebih baik daripada bulan. Selain itu, ketepatan dan kekuatan pantulan juga boleh dikawal mengikut keperluan. Dengan kenyataan sebegitu, bukankah ia mirip dengan kenyataan Graves berkenaan Icarus?
Jadi, mengapa idea ini dikejar walaupun ia tidak masuk akal? Jawapannya mudah, penjimatan wang. Menurut beberapa pegawai aeroangkasa Chengdu, dengan meletakkan bulan kedua di angkasa lepas, ia mampu menerangi Chengdu kawasan sekitarnya pada kadar lebih murah berbanding menyediakan lampu-lampu jalan. Untuk kawasan seluas 50 km persegi, Chunfeng melihat ia boleh menjimatkan penggunaan tenaga 1.2 bilion yuan (RM789.6 juta).
Ia juga amat berguna di kawasan yang dilanda bencana alam. Ini kerana dengan cahaya tersebut, ia dapat memudahkan usaha pasukan menyelamat untuk masuk ke kawasan bencana. Bagi Dr Matteo Ceriotti dari Universiti Glasgow, dengan cahaya percuma untuk tempoh sehingga 15 tahun, ia satu prospek kewangan yang tidak patut ditolak begitu sahaja.
Dari segi saintifik, ia tidak mustahil. Tetapi bagi menjadikan ia benar-benar berkesan, ia harus diletakkan di orbit pada kedudukan tetap menghala ke Chengdu iaitu sekitar 37,000 km dari permukaan bumi. Tambah Dr Ceriotti lagi, ia mesti menepati sasaran dan memerlukan cermin yang besar.
Begitupun, ramai pengguna laman media sosial China mempersoalkan projek ini. Bukan sedikit yang menjadikannya sebagai bahan jenaka. Dari aspek yang lain, ramai bimbang ia hanya akan memburukkan lagi pencemaran cahaya di kota-kota besar China. Dan itu merupakan satu dilema yang harus difikirkan oleh pencipta bulan kedua ini.
Idea bulan kedua atau cermin gergasi di angkasa lepas bukan cerita baru sebenarnya. Pada 1929, ahli fizik Jerman Hermann Oberth mencadangkan pembinaan sebuah stesen angkasa lepas yang menggunakan cermin selebar 100 meter untuk memantulkan cahaya matahari ke bumi. Idea ini turut dikejar rejim Nazi semasa Perang Dunia Kedua di mana ia berpotensi menjadikan laut bergelegak atau membakar sebuah bandar. Konsep pistol matahari ini kemudiannya digunakan dalam Die Another Day dan Diamonds Are Forever.
Pada tahun 90-an, Rusia cuba merealisasikan idea ini dengan melepaskan alat pemantul yang mempunyai kelebaran 20 meter dari kapal bekalan yang dalam perjalanan ke Stesen Angkasa Lepas Mir. Stesen tersebut beredar pada ketinggian 200 hingga 400 km dari permukaan bumi.
Cermin gergasi yang diberi kod nama Znamya 2 berjaya memantulkan cahaya sekitar 5 km diameter dan bergerak merentasi Eropah pada kelajuan 8 km sejam. Bagaimanapun, ia tidak bertahan lama apabila satelit itu terbakar selepas memasuki atmosfera bumi.
Rusia kemudiannya cuba membangunkan Znamya yang lebih besar tetapi gagal. Kegagalan Znamya mungkin menjelaskan mengapa selepas empat tahun cerita ini timbul, tidak kedengaran lagi idea bulan kedua di China. Tidak munasabah dan satu projek yang membuang masa.
RUJUKAN
BBC News. (2018, 20 Oktober). Fake moon: Could China really light up the night sky?.
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih