“Tidak semua anak layak ke Harvard, Oxford atau Cambridge.”
Sekali pandang, mesej ini amat keras, seolah-olah mengingatkan anak-anak untuk tidak terlalu berharap untuk pergi ke sana. Tetapi bagi pihak berkuasa China, itulah mesej yang perlu difahami oleh para ibu dan bapa negara itu: berhenti bersikap kompetitif sehingga menjejaskan anak-anak. Ini selepas Beijing mengumumkan semua aktiviti tutor selepas sekolah dihentikan pada Julai lalu.
China kini mahu melaksanakan model pendidikan Jerman dalam sistem pendidikan mereka. Daripada pergi ke institusi-institusi pendidikan, kebanyakan pelajar Jerman menjalani perantisan dua latihan. Menerusi perantisan ini, mereka membahagikan masa di kelas sekolah vokasional dengan latihan pekerjaan di syarikat. Ini merupakan cara terbaik meraih pekerjaan dengan 80% syarikat Jerman menyertai skim ini.
Pada 12 Oktober lalu, Majlis Negara, badan kerajaan tertinggi telah mengeluarkan garis panduan untuk polisi ini dilaksanakan di China. Beijing berharap menjelang 2035, mereka mempunyai sistem vokasional bertaraf dunia dengan 10% pelajarnya berusaha mendapatkan ijazah sarjana.
China tidak lagi berminat dengan graduan universiti yang tidak dilengkapi dengan kemahiran praktikal. Ini kerana apabila kumpulan ini menyumbang kepada isu pengangguran dan ketidakstabilan sosial. HSBC Holdings Plc mendedahkan apabila pelajar kelas 2020 tamat pengajian, kadar pengangguran mereka berusia 20-24 ialah sekitar 19.3% berbanding kadar pengangguran keseluruhan sebanyak 5%.
Terdapat banyak kerja terutama membabitkan sektor perkilangan bertaraf tinggi. Tetapi berikutan jangkaan peribadi dan keluarga yang tidak realistik, sesetengah graduan saja memilih bekerja di kilang dan membangunkan bahagian kenderaan elektrik. Majoriti graduan lebih berminat bekerja dalam sektor tertentu seperti media, kewangan dan teknologi pengguna.
Akibatnya, ia menjejaskan nilai produktiviti sektor perkilangan Beijing. Pada tahun lepas, nilai tambah sektor ini untuk KDNK hanya sekitar 26%, kurang 6% daripada nilai tambah sektor sama sedekad yang lalu. Sebagai perbandingan, Jerman memerlukan tiga dekad untuk sampai ke paras sama.
Persoalannya ialah sanggupkah ibu bapa China atau ibu bapa harimau berkompromi untuk latihan vokasional? Di bandar-bandar besar, sesetengah ibu bapa enggan mengahwinkan anak perempuan mereka selagi mana pasangannya tidak mempunyai kelayakan akademik yang lebih tinggi.
China boleh saja meletakkan insentif bayaran untuk latihan kerja atau insentif sekolah vokasional bagi mengubah pemikiran sesetengah ibu bapa ini. Tetapi mungkin cara terbaik ialah China mewajibkan anak-anak melalui perantisan sebagai persediaan menghadapi dunia pekerjaan yang mencabar.
RUJUKAN
Ren, S. (2021, 1 November). China Tries to Tame Its Supercompetitive Tiger Parents. Bloomberg.
Sumber gambar: AFP




No comments yet