Yang-ti memanggil pembesar-pembesar istana Sui datang mengadap. Baginda amat bercita-cita untuk menakluki dunia sebelah Utara dari empayarnya, setelah berjaya menundukkan Negara Dai (Viet) dan sebahagian Champa.

Namun begitu, baginda amat bercita-cita untuk menakluki negara Goguryeo, sebuah Kota Maritim di Semenanjung Korea. Lalu baginda menghantar pegawai-pegawai kepercayaan baginda untuk membuat hubungan diplomasi dengan negara yang sangat kaya di Asia Tenggara iaitu Chih-tu bagi membiayai kempen perang di Goguryeo.

Chih-tu merupakan sebuah negara kota yang sangat kaya raya. Kekayaan negara ini terkenal seantero dunia kerana negara ini mengawal kawasan perlombongan emas dan perdagangan di Timur dan Barat Selat Melaka. Namun begitu negara ini sering diancam oleh negara-negara lain yang menjadi pesaing kepada negara ini. Antara negara yang paling dahsyat mengancam ialah negara Chen-la.

Chen-la yang telah berjaya menghalau Rudravarman serta keluarga diraja Funan yang berbangsa melayu tidak berjaya memusnahkan seluruh empayar Funan apabila Raja Funan dirajakan di Pan-pan dengan seluruh kekuatan armada Funan merantai seluruh lautan dan kepulauan yang wujud di Teluk Siam, Chen-la tidak dapat meneruskan kemaraannya ke Selatan lagi dari Pelabuhan Oc-eo. Natijahnya, Dvaravati pula mengisytiharkan mereka merdeka dari belenggu Chen-la.

Namun begitu, dalam laporan Kronik Tang (Tang-shu), Chen-la telah menyerap semua bekas jajahan Funan. Mungkin Chen-la yang mempunyai kekuatan tentera darat yang kuat berjaya menakluki semula Dvaravati dan Kerajaan Mon tersebut mengikuti arahan Chen-la. Kerajaan-kerajaan di Seluruh Segenting Kra pula berjaya memerdekakan diri dari belenggu Chen-la dan mengikuti telunjuk ‘Funan’ baharu yang dirajakan di Pan-pan.
Pan-pan yang asalnya sebagai Kota Para Pendita (Brahman) yang hanya menggunakan tembok kayu dan askar yang tidak dilengkapi alat kelengkapan moden, berubah menjadi sebuah Kota Maritim yang kuat dengan kelengkapan moden yang dibekalkan oleh Tentera Laut Funan.

Oleh yang demikian, Pan-pan menghantar utusan ke Dinasti Liang pada tahun 551 dengan rajanya berasal dari Funan atau dari Jalur Keturunan Varman.
Kita perlu ingat, bahawa tradisi raja-raja melayu ini ialah, pembesar atau raja bawahan akan membuka dahulu sesebuah negeri, baru raja akan ditabalkan kemudian jika negeri tersebut sesuai. Semasa pentadbiran raja bawahan, negeri tersebut tidak terlalu berkembang pesat. Namun, setelah pewaris raja yang asal ditabalkan (seperti kes Demang Daun Lebar dan Seri Teri Buana), Negeri tersebut akan berkembang dari sebuah pelabuhan kecil atau kota kecil menjadi kota pelabuhan utama.

Apabila Pan-pan menjadi negara yang ditabalkan raja besar, ia bertukar menjadi emporium. Pan-pan yang menjadi sebahagian daripada Funan sebelumnya, bertukar memainkan peranan sebagai pusat pemerintahan empayar Funan. Justeru, Raja-raja Funan dan Pan-pan silih berganti muncul namanya menghantar utusan penguftian dan perdagangan dengan negara China sehingga pertengahan abad ke-7M.

Kemunculan kuasa dunia di Segenting Kra ini berjaya menghalang Chen-la dari menjarah kawasan melayu. Namun begitu, Kerajaan yang sedia ada iaitu Kerajaan Kedah (Kan-da-ri) dan Langkasuka (Lang-Hya-Shu) yang wujud di Selatan Segenting Kra terasa terancam dengan kehadiran emporium Funan yang telah menyerap seluruh Tun-sun, iaitu dari Martaban sehingga ke Takola, membentuk wilayah yang besar dan kuat. Lalu, Kerajaan Kedah dan Langkasuka bergabung di bawah satu empayar yang menjadi negara persekutuan pertama yang wujud dengan menggunakan bendera Sang Saka Merah Putih, membayangkan tanahnya yang kebanyakannya berwarna merah dan kota-kota pentadbiran dan candi-candi yang berwarna merah.

Kewujudan empayar persekutuan ini dinamakan Empayar Tanah Merah yang diwujudkan pada tahun 568M atau pada tahun 490 saka dengan Raja dari Wangsa Chudam (Gautama). Mungkin Chudam ini adalah nama keluarga yang sama seperti Merong. Namun begitu, empayar Tanah Merah (Chi-tu) ini tidak berhubungan dagangan dengan Empayar Chin kerana empayar Chin lebih meyakini Pan-pan dan Funan daripada kewujudan Chih-tu, walaupun sebelumnya, Kandari dan Langkasuka pernah menghantarkan utusan ke istana Chin. Chih-tu juga menjalinkan hubungan yang baik dengan negara Pan-pan (Funan), Kha-la-tan dan Fu-nan.

Namun setelah kejatuhan Dinasti Chen, muncul pula dinasti Sui yang sangat agresif. Dinasti Sui pula menyerang, menjarah dan menakluki wilayah-wilayah Champa (Lin-yi), yang kita tahu mempunyai hubungan yang sangat baik dengan Funan (wangsa Varman) sejak Funan menguasai seluruh Sungai Mekong dan Dataran yang sangat luas di Indochina. Oleh yang demikian, Yang-ti tidak boleh membuat hubungan dagangan dengan Pan-pan secara langsung.

Justeru itu, Yang-ti telah mengumpulkan seluruh menteri, sida-sida dan bijak pandai yang wujud dalam istana Sui untuk membincangkan mengenai negara dagangan yang penting untuk mereka hubungi untuk meningkatkan pendapatan negara Sui, seterusnya dapat membiayai projek-projek mega di negara Sui seperti Terusan Besar (Grand Canal) dan membiayai perang di Goguryeo.

Setelah selesai berbincang, maka mereka memilih negara Chih-tu, sebuah negara yang berstatus empayar persekutuan untuk mereka hubungi bagi meningkatkan lagi hubungan dagang dengan negara di Laut Selatan. Chang Chun, Penasihat Harta Ketenteraan dan Wang Chun-Cheng, Pengawal Sumber Semulajadi telah dipilih untuk mengetuai utusan ke Negara Sui untuk menjalinkan hubungan dagangan.

Negara Chih-tu sudah terkenal sejak zaman Chin lagi. Masakan tidak, semasa Sui hendak membuat perhubungan dengan negara Chih-tu, mereka telah tahu bahawa Raja yang memerintah (Gautama Wijaya atau Chu-tan Li-fu-to-she) sudah menaiki takhta selama 16 tahun.

Apa yang menarik mengenai Chih-tu ialah ia dikenali sebagai satu kerajaan seperti Funan, atau sebahagian daripada Funan. Namun, ia membesar sehingga beberapa ribu li dan tanah keseluruhannya berwarna merah, yang mana kebiasaannya warna tanah merah ialah kawasan tanah laterit, iaitu kawasan tanah tinggi di Semenanjung Malaysia. Malangnya, kawasan tanah laterit di Malaysia terlalu banyak dan mengunjur sepanjang semenanjung Malaysia, menyukarkan pencarian ibukota Chih-tu dilakukan.

Apa yang pelik melalui rekod Sui, Rajanya tidak mengetahui apa-apa berkenaan dengan negara bersebelahan atau negara yang jauh, namun rajanya telah membuat hubungan diplomatik dengan raja-raja bersebelahan melalui perkahwinan, di mana isteri-isteri baginda seramai tiga orang dari tiga kerajaan yang berjiranan. Mungkin rajanya tidak mengetahui besar atau luas sebenar kerajaan-kerajaan bersebelahan, tetapi Chih-tu yang kaya-raya telah menjalinkan hubungan yang akrab dengan kerajaan-kerajaan besar lain seperti Pan-pan, Kha-la-tan dan Tan-tan.

Mungkin Chih-tu berjaya menyerap Kha-la-tan dan Tan-tan selepas kehadiran utusan dari Dinasti Sui yang nyata lebih besar dan kuat kuasa tenteranya. Ibukota Chih-tu sangat besar, dengan pelbagai kekayaan yang menunjukkan lagi kemegahan kotanya. Dengan Pintu gerbang tiga lapisan, setiap satu lapisan berjarak lebih 100 kaki membuktikan kewujudan sebuah Negarakota yang makmur dan kaya-raya.

Setiap satu gerbang diwarnakan dengan warna ‘spirits in flight’, boddhisattvas dan immortal yang lain, dan digantung dengan bunga-bunga emas dan loceng kecil. Memang sukar untuk membayangkan Kota Eldorado atau Shangri-la yang telah hilang ini. Setiap gerbang ada 10 orang perempuan , sama ada bermain muzik atau memegang bunga emas.

Terdapat empat orang hulubalang yang menjaga setiap gerbang. Pintu gerbang membayangkan kekayaan sesuatu empayar, apatah lagi pintu gerbang yang indah dililiti bunga-bunga emas yang sanagt bernilai tinggi.

Sememangnya, Chih-tu sangat kaya-raya. Setiap bangunan di istana diraja terdapat beberapa pavilion (anjung) dengan pintu menghadap ke utara. Maharaja Empayar Tanah Merah biasanya memakai baju berwarna merah ros dan bersemanyam di atas singgahsana yang setinggi tiga tingkat, mengenakan rantai kepala (chaplet) yang diperbuat dari bunga emas serta rantai leher yang dipenuhi dengan pelbagai permata. Empat orang hulubalang di kiri dan kanan baginda, dan lebih seratus pengawal yang mengawal baginda.

Di belakang singgahsana pula, diletakkan tokong kecil yang diperbuat daripada kayu tetapi bertatahkan emas, perak dan lima jenis kayu gaharu, manakala di belakang tokong tersebut diletakkan lampu berwarna emas. Di sebelah singgahsana, diletakkan dua cermin yang diperbuat daripada logam. Sebelum cermin, diletakkan dua kendi logam dan dupa emas yang berasap kemenyan atau setanggi di sebelahnya. Di hadapan semua perkakasan tersebut, terdapat sebuah arca kerbau emas yang dibaringkan dan sebelumnya terdapat kanopi yang bertatahkan ratna mutu manikam, dengan kipas yang sangat mahal di kedua-dua hujung kanopi. Terdapat beratus-ratus Brahman yang duduk berhadapanan antara satu sama lain, menghadap ke kiri dan ke kanan.

Empayar Tanah Merah sememangnya suatu ketamadunan yang lengkap dengan sistem pemerintahan yang baik dan berkesan. Maharaja melantik banyak menteri-menteri untuk membantu baginda mentadbir. Melalui Sui-shu, pegawai di istana Chih-tu ialah seorang Sa-to-chia-lo (Sadhukara atau Bendahara), dua orang To-na-ta-yu (mungkin Dhanada yang bermaksud pemancar keampunan, mungkin ini Hakim yang mana jawatan yang sama juga dijumpai di Funan), tiga orang Chia-li-mi-chia (Karmika yang bermaksud agen) yang bertanggungjawab dalam perhubungan politik, seorang chu-lo-mo-ti (kulapati yang bermaksud ketua rumah, yang juga wujud sejak dari zaman Funan) yang dipertanggungjawabkan mentadbir undang-undang jenayah.

Setiap kota pula diwakili oleh seorang Na-ya-chia (Nayaka yang bermaksud pembimbing atau ‘guide’) dan 10 orang Po-ti (Pati yang bermaksud ketua). Kehidupan masyarakat Empayar Tanah Merah diwarnai dengan pelbagai kebudayaan dan ketamadunan tinggi seperti adat perkahwinan, kematian, kelahiran dan perhubungan sosial serta ada kelas sosial yang tersendiri. Di zaman ini, masyarakat melayu telah bertindik telinga dan memotong rambut menunjukkan adanya perkembangan fesyen dalam masyarakat.

Projek perhubungan dagangan antara Sui dengan Chih-tu sememangnya suatu projek besar yang dirancangkan oleh Yang-ti. Baginda memerintahkan Chang Chun membawa sutera 200 gulung (seorang seratus) dan 5,000 pelbagai barangan lain sebagai hadiah kepada Maharaja Chih-tu. Perhubungan dagang yang besar ini dimulakan oleh Dinasti Sui di China, dan bukan dari Tanah Melayu. Sudah semestinya kapal kargo atau jong yang terbaik dan terbesar digunakan untuk datang ke Tanah Melayu dan perhubungan antara Dinasti Sui dengan empat kerajaan-kerajaan yang wujud di Asia Tenggara pada masa itu tidaklah serancak hubungan dengan Kerajaan Chih-tu atau Bumi Merah yang sangat kaya dengan emas dan besi.

Perlu diingat bahawa, empat buah kerajaan yang disebut dalam Sui-shu ialah Lin-yi (Champa), Zhen-la (Chenla), Chih-tu (Tanah Merah) dan Po-li (Buni atau Burnie). Walaubagaimanapun, hanya Chih-tu sahaja yang betul-betul dihubungi oleh Chang-chun untuk membuat hubungan dagang, menunjukkan bahawa empayar Tanah Merah tersangat penting berbanding empat empayar yang lain.

Menurut kedudukan geografi Chih-tu yang tercatat dalam pelbagai sumber catatan dari China seperti Sui shu, Tung tien, Tai-ping-huan-yu-chi, Pei-shih, Xin Tang shu dan Chiu Tang shu, Chih-tu sangat mungkin berada di Pantai Timur semenanjung Tanah Melayu dan mengunjur ke tengah-tengah atau mepelasi banjaran titiwangsa.. Di Utara Chih-tu menghadap ke lautan, ke Timurnya pula ada negara Bo-lo-la (Po-lo-cha dari teks Tung tien) dan di baratnya negara Po-lo-suo (Lo-po dari teks Tung tien) dan merentasi lautan di sebelah Barat Lautnya boleh sampai ke Negara Po-lo (Xin Tang Shu dan Chiu Tang Shu).
Di Selatan Chih-tu terletaknya Kerajaan Kha-la-tan. Negara Chih-tu juga terletak betul-betul di Selatan Yai-chou. Dalam rekod Taiping Huan Yu Chi berkenaan dengan negara Chin-li-pi-shih, Kerajaan Chin-li-pi-shih terletak lebih 40,000 li ke arah Barat Daya ibukota. Seseorang akan melepasi negara Tan-tan (ke negara tersebut) dan ke barat (Chin-li-pi-shih) dengan jarak 1,500 li dari Kerajaan Tanah Merah.

Dalam catatan Sui shu dan Pei shih berkenaan dengan Po-li juga ada dinyatakan bahawa dari Chiao-chih (Tongking), belayar ke arah selatan, seseorang akan melepasi Chih-tu dan Tan-tan, dan akan sampai ke negara (Po-li) tersebut. Dalam Tung tien juga ada disebutkan bahawa apabila musim sejuk, bayang-bayang terbentuk terus ke bawah dan apabila musim panas, bayang-bayang akan terbentuk ke arah selatan.

Kembali kepada perjalanan Cang Chun dan Wang Chun-cheng, mereka bertolak dari bulan ke sepuluh (November ke Disember) pada tahun 607M daripada Nan-hai (Kanton), setelah belayar selama 20 hari dalam angin yang sesuai (Monsun Timur Laut), mereka sampai ke Pergunungan Chiao-shih (Batu Berapi?), kemudian bergerak ke arah Tenggara, mereka berlabuh pula di Pulau Ling-chieh-po-pa-to yang menghadap ke arah Lin-yi yang terletak di arah Barat pulau tersebut.

Mereka kemudiannya belayar ke arah selatan sehingga ke Shih-tzu-shih (Batu Singa?), kemudian mereka meneruskan perjalanan merentasi rantaian pulau kecil dan besar, setelah belayar selama dua ke tiga hari, mereka terlihat Gunung-gunung Lang-ya-hsu (Langkasuka). Kemudian mereka meneruskan perjalanan ke arah selatan sehingga sampai ke Pulau Chi-lung (sarang ayam?) dan akhirnya sampai ke sempadan Negara Chih-tu.

Berdasarkan pelayaran mereka, dari Canton (Guangzhou), ambil masa selama 20 hari untuk sampai ke kawasan pergunungan Chiao-chih yang terletak di timur Champa, kemudian mereka singgah di sebuah Pulau yang berada di perairan Champa atau Vietnam hari ini, ke arah tenggara dari Pergunungan Marble yang berada di pinggir pantai Vietnam.

Kemudian mereka belayar ke arah selatan, mengikuti arus lautan yang membawa mereka ke perairan Langkasuka, yang menjadi sebahagian daripada Funan di masa itu. Rantaian pulau kecil dan besar berkemungkinan kawasan kepulauan di Koh Samui dan gunung Langkasuka ialah pergunungan Bang Luang yang wujud pada hari ini di kawasan Nakhon Si Thammarat.

Mereka seterusnya belayar ke selatan lagi dan sampai ke Pulau Sarang Helang. Tidak dapat dipastikan Pulau yang wujud di Pattani, namun saya beranggapan Pulau Sarang Helang itu telah bercantum dengan tanah besar Pattani kerana pembentukan delta yang meluas di kawasan dataran delta pattani.

Muara kerajaan Chih-tu terletak di Muara sungai Pattani, yang mana Sungai Pattani adalah antara salah satu jalan trans-semanjung yang wujud di zaman dahulu, yang boleh tembus ke Sungai Perak, melalui kawasan Hutan Simpan Bang lang, Royal Belum dan tembus ke Gerik. Gerik adalah laluan pedalaman yang penting kerana menjadi titik pertemuan saudagar-saudagar dan berkemungkinan terdapat kawasan R&R di situ suatu masa dahulu. Mungkin ibukota kerajaan Chih-tu terletak berhampiran dengan Pantai Barat, di Dataran Hilir Sungai Perak.

Ini kerana tanaman utama Chih-tu ialah padi dan tebu, yang mana kedua-duanya memerlukan kawasan penanaman yang luas. Negara berjiranan dengan Chih-tu di sebelah baratnya ialah Po-lo-suo dan di sebelah kirinya Bo-lo-la. Sukar untuk dipastikan negara apa kerana tiada dalam rekod-rekod lain, melainkan hanya dalam rekod Sui shu dan Tung tien sahaja. Mungkin sahaja nama negara tersebut adalah negara kecil yang tidak berinteraksi secara langsung dengan negara luar kerana tertakluk di bawah penguasaan Chih-tu.

Po-lo-suo mungkin berkaitan dengan Pulau Serai atau Gunung Jerai, manakala Bo-lo-la adalah Negara di Narathiwat hari ini. Kha-la-tan di selatan Chih-tu ialah Negara Kelantan hari ini dan sebuah negara lain yang boleh dikunjungi jika kita merentasi lautan dari arah Barat Daya Chih-tu ialah Negara Po-lo, yang terletak di Pulau Sumatra, berkemungkinan Negara Po-lo ialah di Kota Panai (Pane) yang telah dikenali dari zaman dahulu lagi.

Rujukan:

1) 2014, Geoffrey Goble, Maritime Southeast Asia: The View From Tang–Song China, The Nalanda-Sriwijaya Centre, Institute of Southeast Asian Studies (ISEAS)

2) 2012, Suzuki Takashi, The History of Srivijaya: Under The Tributary Trade System of China, JPCA

3) 1961, Paul Wheatley, The Golden Khersonese, University of Malaya Press.


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Nornizam Jamal merupakan seorang guru di sebuah sekolah menengah yang mempunyai minat dalam menulis. Penulisan beliau lebih cenderung kepada Sejarah Melayu, Marcapada Dunia, Isu-isu pendidikan dan Sains

Leave A Reply