Tetapi malang setelah jadi permaisuri
Suaminya di tawan oleh ketujuh puteri
Siti Zubaidah menangis siang dan malam
Memikir suaminya yang di dalam tawanan

Bagi yang meminati sastera Melayu klasik, pasti syair ini tidak asing setiap kali mendengarnya. Inilah Syair Siti Zubaidah Perang Cina yang mengisahkan pengorbanan Permaisuri Kembayat Negara, Siti Zubaidah yang menyelamatkan suaminya, Sultan Zainal Abidin yang diculik tujuh puteri Cina dan diletakkan di sebuah perigi beracun. Dan seperti semua maklum, kisah ini berakhir dengan kejayaan Kembayat Negara mengatasi China, tujuh puteri kerajaan tersebut ditawan dan salah seorang puteri iaitu Kilan Chahaya menjadi isteri Sultan Zainal Abidin serta pertemuan semula Siti Zubaidah dengan suami tercinta.

Akan ada yang mempertikai apakah kisah ini benar-benar wujud atau sekadar khayalan penyair abad ke-19. Hakikatnya, kisah ini sebenarnya diinspirasikan daripada kisah sebenar di mana watak Sultan Zainal Abidin merujuk kepada Raja Che Bong Nga, seorang pemerintah Champa. Sementara Kembayat Negara pula merujuk kepada kerajaan Champa, salah satu kerajaan Melayu yang paling terkenal di rantau Asia Tenggara. Sementara Maharaja China dan tujuh puterinya itu sebenarnya merujuk kepada kerajaan Dai Viet, musuh ketat kerajaan Champa.

SEJARAH RINGKAS CHAMPA

Kerajaan Champa ditubuhkan oleh bangsa Melayu Champa, salah satu kumpulan etnik terbesar dalam rumpun Austronesia yang mempunyai hubungkait dengan bangsa Melayu dan Jawa. Bangsa ini menubuhkan kerajaan mereka pada akhir abad kedua Masihi dan mula mencapai kegemilangan antara abad ketujuh hingga abad ke-10 Masihi. Dalam tempoh itu, mereka menguasai laluan perdagangan komoditi berharga seperti rempah-ratus dan sutera membabitkan Kepulauan Nusantara, China dan India. Kerajaan ini juga mempunyai hubungan baik dengan Kerajaan Islam Abbasiyyah yang berpusat di Baghdad.

Satu perkara membabitkan kerajaan ini yang patut dibanggakan ialah keupayaannya menangkis ancaman kuasa-kuasa besar yang mengancam kedudukannya. Kerajaan Champa merupakan antara kerajaan yang bertanggungjawab mengancam kedudukan China di utara Vietnam semasa pemerintahan Dinasti Sui. Dan tatkala Dinasti Mongol melancarkan kempen pengembangan empayar sehingga membawa kepada kejatuhan banyak kerajaan termasuk Baghdad, hanya Champa dan kerajaan Majapahit saja berjaya mengekang kemaraan Mongol di Kepulauan Melayu pada abad ke-13 Masihi.

Kerajaan ini pada awalnya berpegang teguh kepada agama Hindu ajaran Shaivisme tetapi kemudian menerima pengaruh dakwah Islamiyyah pada abad ke-10 Masihi melalui dakwah para pedagang Arab. Ini sekaligus menjadikan kerajaan ini antara kerajaan Melayu terawal di rantau ini yang menerima pengaruh Islam. Namun selepas abad ke-10 Masihi, kerajaan Champa mula lemah berikutan kebangkitan anasir-anasir asing seperti Dai Viet dan Khmer. Ancaman paling hebat ialah kerajaan Annam yang diasaskan oleh etnik Dai Viet, satu kumpulan etnik Cina yang mendiami kawasan selatan China dan utara Vietnam. Persaingan dua kerajaan ini amat sengit di mana kedua-duanya saling menyerang antara satu sama lain. Namun kebanyakan peperangan tidak memihak kepada kerajaan Champa dan memaksa mereka berundur ke sebelah selatan berikutan tidak berupaya menahan proses pengembangan kuasa kerajaan Dai Viet.

Tempoh gelap kerajaan Champa ini berakhir apabila Raja Che Bong Nga menaiki takhta pada akhir abad ke-14 Masihi. Turut dikenali sebagai Po Binasaur, nama Che yang digunakan bermaksud jeneral atau panglima tentera dalam Bahasa Champa. Sementara catatan-catatan Dai Viet merujuk musuh ketat kerajaan mereka ini sebagai Raja Merah. Sementara dalam Sejarah Negeri Utara Semenanjung Tanah Melayu, Raja Champa ini merujuk kepada Sultan Zainal Abidin yang merupakan menantu kepada Raja Langkasuka dan Raja Kelantan, Raja Bharubasa.

KAITAN RAJA BHARUBASA DENGAN CHE BONG NGA

Sebelum kita berbicara tentang Raja Che Bong Nga, mari kita lihat perihal bapa mentuanya, Raja Bharubasa. Raja Bharubasa merupakan kekanda sulung Adruja Wijayamala Singa atau lebih dikenali dengan nama Cik Siti Wan Kembang dan keempat-empat zuriat baginda merupakan pemerintah. Zuriat baginda ialah Sultan Baki Shah (Raja Chermin) yang memerintah dari 1362 hingga 1412, Raja Ligor, Sultan Muhammad Tahir dan Sultan Kedah, Sultan Ibrahim. Sementara Siti Zubaidah pula menjadi Permaisuri Champa selepas dikahwinkan dengan Sultan Zainal Abidin.

Raja Bharubasa sebenarnya merupakan putera Raja Sang Tawal yang merupakan pemerintah Langkasuka. Selepas mencecah usia dewasa, baginda diberi hak memerintah Chermin iaitu satu wilayah antara Tanah Merah (Bukit Panau) dengan Pasir Mas (Tok Uban). Selepas Raja Sang Tawal menaiki takhta menggantikan ayahandanya, Raja Sakranta, baginda bersama kaum kerabat dan rakyat Langkasuka bangkit mempertahankan Langkasuka dari serangan Siam. Selepas kemangkatan Raja Sang Tawal, Raja Bharubasa menjadi pemerintah Langkasuka baru.

Baginda sedar sekiranya Langkasuka mahu terpelihara daripada ancaman Siam, maka perlunya Langkasuka membentuk pakatan dengan kerajaan Melayu lain bagi menakutkan musuh ketat Langkasuka itu. Atas sebab itulah, baginda mengahwinkan puterinya, Siti Zubaidah dengan Raja Che Bong Nga/Sultan Zainal Abidin dengan harapan menantunya itu dapat membantu melindungi Langkasuka daripada ancaman Siam. Malangnya, hasrat baginda terbantut kerana kerajaan Champa terus diasak oleh kerajaan Dai Viet. Memandangkan situasi di Champa memaksa menantunya tidak dapat menghulurkan bantuan kepada Langkasuka, Siam menyerang kerajaan tersebut sekaligus memaksa Raja Bharubasa berundur dan memindahkan pusat pemerintahannya ke Chermin.

‘PEMBERANI CHAMPA MUNCUL’

Berdasarkan Syair Siti Zubaidah, Raja Che Bong Nga/Sultan Zainal Abidin menaiki takhta selepas ayahanda baginda, Sultan Darman Shah turun takhta dan menyerahkan tampuk kerajaan kepadanya. Sultan Darman Shah ini sebenarnya merujuk kepada Raja Champa, Raja Tra Hoa Bo De yang melakukan proses tersebut pada tahun 1335. Enggan lagi membenarkan Champa menjadi mangsa belasahan Dai Viet, baginda bertekad mahu mengembalikan semula prestij Champa sebagai sebuah kerajaan dan menyatukan semula warga Champa di bawah pemerintahannya. Selepas berkahwin dengan Siti Zubaidah, Raja Che Bong Nga membawanya bersemayam di Kota Bal Ngwe.

Lima tahun selepas menaiki takhta, baginda mengadakan pakatan dengan kerajaan Majapahit untuk mengukuhkan kedudukan Champa. Sekitar tahun 1361/1362 Masihi, Champa melancarkan kempen menawan Nghe An dan berjaya menguasai wilayah tersebut pada tahun 1363. Murka dengan kehilangan wilayah itu, Maharaja Dai Viet, Dhuong Nhut-Le melancarkan kempen menawan semula wilayah tersebut pada tahun 1368 Masihi tetapi berjaya dipatahkan oleh angkatan Champa. Kerajaan Dai Viet turut mengalami krisis politik apabila Nhut-Le mangkat pada tahun 1371 Masihi.

Apabila itu berlaku, wujud perebutan takhta antara Duong Khong/Kilan Chahaya dengan saudara maharaja, Trang Nghe-Thong kerana Nghe-Thong mahu menduduki takhta sementara Khong mahu menabalkan puteranya sebagai Maharaja Dai Viet baru. Bimbang dengan ancaman itu, Khong melarikan diri ke Champa dan memohon bantuan Raja Champa untuk merampas semula takhta. Melihat situasi tersebut dan bantuan daripada Dinasti Ming yang berkuasa pada ketika itu, Che Bong Nga menyerang wilayah Dai Viet dan menawan ibu kota kerajaan tersebut, Hanoi pada tahun 1370. Selepas itu, baginda melantik Khong sebagai pemerintah Dai Viet.

Hubungan kedua-dua kerajaan amat baik dan aman namun ramai yang tidak berpuas hati dengan situasi itu. Seorang pembesar Dai Viet mensabotaj hubungan kedua-dua kerajaan dengan melancarkan serangan ke atas sebuah kapal dagang Dai Viet di Kota Bal Ngwe. Dalam serangan tersebut, kapal dagang berkenaan dibakar sementara hampir semua anak kapal mati dibunuh. Hanya seorang saja yang terselamat dan kembali ke Hanoi untuk melaporkan peristiwa itu kepada Duong Khong. Tidak sedar serangan itu hanyalah helah untuk melagakan kedua-dua kerajaan, Khong menabalkan ayahandanya, Tran Due-Thong sebagai maharaja dan mengetuai bala tentera Dai Viet bersama enam lagi adindanya untuk menyerang Champa. Dan seperti direkodkan dalam Syair Siti Zubaidah, Khong berjaya menawan Che Bong Nga dan empat pengiringnya ketika baginda berangkat dari istana isteri keduanya, Puteri Sejarah (Dewi Manisuka) tanpa pengetahuan Siti Zubaidah. Dan sebagai balasan kepada tindakan agresif Champa, Che Bong Nga dan empat pengiringnya itu ditempatkan dalam perigi beracun.

Episod ini membawa kepada pengembaraan baginda yang pada ketika itu sarat mengandung. Semasa dalam perjalanan, Siti Zubaidah melahirkan anak dan anak tersebut diserahkan kepada seorang pembesar untuk dijaga sepeninggalannya. Baginda turut menyamar sebagai seorang lelaki yang gagah dan menggunakan tipu muslihat untuk menyelamatkan suaminya dan pengikutnya dari perigi tersebut. Mereka kemudian dibawa pergi dengan empat ekor kuda kembali Kota Bal Ngwe dan dirawat sehingga kembali pulih. Bagaimanapun, berita Che Bong Nga berjaya melepaskan diri menimbulkan kemurkaan Khong dan Due-Thong. Sebagai tindak balas pada tahun 1377, mereka merancang mahu melanggar Champa.

Tiga bulan selepas peristiwa Siti Zubaidah melepaskan suaminya, Che Bong Nga, 120,000 askar Viet diketaui Due-Thong dan panglima tenteranya, Le Qui Ly tiba di Kota Bal Ngwe dengan hasrat mahu menawannya. Bagaimanapun, Raja Merah mempunyai helah tersendiri. Untuk memerangkap askar-askar Viet, baginda mengarahkan seorang askar Champa kekal di kota tersebut dan memberi maklumat palsu kepada angkatan perang Viet. Dan itulah yang dilakukan askar tersebut di mana dia memberitahu angkatan perang Champa telah berundur dan masih ada masa untuk angkatan mereka untuk mengejar. Tatkala angkatan perang Viet memasuki kota tersebut, mereka diserang hendap oleh angkatan perang Champa mengakibatkan ramai terbunuh termasuk Maharaja Tran Due-Thong. Saki-baki askar yang terselamat berjaya melarikan diri ke Hanoi.

Murka dengan situasi tersebut, Khong mengetuai sendiri angkatan perang Viet dan kembali ke Champa untuk membalas dendam kematian ayahandanya itu. Berlakulah pertempuran hebat antara kedua-dua kerajaan seperti yang digambarkan dalam Syair Siti Zubaidah. Bagaimanapun, angkatan perang Champa tidak keseorangan kerana turut mendapat bantuan dari kerajaan Majapahit dan Segenting. Malah Siti Zubaidah sendiri turun bertempur dengan menggunakan semula samaran lelaki untuk membantu angkatan Champa memerangi angkatan Viet. Dalam perang tersebut, Champa berjaya memenangi pertempuran tersebut dan kesemua puteri Due-Thong menjadi tawanan perang Champa. Selepas itu, Due-Thong dibebaskan selepas beriman kepada Allah s.w.t dan berkahwin dengan Che Bong Nga. Dan berdasarkan syair ini juga, Siti Zubaidah turut mendedahkan samaran dirinya sebagai seorang lelaki sekaligus membuatkan baginda sedar sang isteri sentiasa berada di sisi walaupun di medan peperangan.

Selepas kemangkatan Due-Thong, kerajaan Dai Viet menabalkan Tran Da Hien sebagai maharaja yang baru. Namun, jika ada menyangka kebangkitan Maharaja Tran Da Hien boleh mengekang kemaraan Che Bong Nga, tanggapan tersebut meleset sama sekali. Tidak puas mengalahkan angkatan perang Viet di laman sendiri, baginda menggerakkan angkatan perang Champa dan melanggar Hanoi pada tahun 1388. Menerusi serangan tersebut, kerajaan Champa berjaya mendapat rampasan perang yang lumayan, sebahagian daripadanya dihantar ke China sebagai hadiah kepada Maharaja Dinasti Ming, Hongwu. Sementara Maharaja Dai Hien pula terpaksa berundur ke kawasan pedalaman. Kejayaan Che Bong Nga kembali menjadikan kerajaan tersebut disegani di rantau tersebut.

‘HILANGLAH PERMATA CHAMPA’

Jika ada menyangka Che Bong Nga dapat mengembalikan semula kegemilangan Champa seperti dulu, tanggapan tersebut salah. Bagi Maharaja Dai Hien, Raja Merah perlu dihalang dengan apa cara sekalipun termasuk pembunuhan. Dan itulah yang direncanakan maharaja tersebut pada Februari 1390. Pada ketika itu, Che Bong Nga bersama angkatan perangnya meronda di Sungai Hoang Ghiang. Sebaik melihat kelibat perahu pihak musuh, angkatan perang Champa segera mengejar mereka. Angkatan perang Viet diketuai putera Dai Hien, Tran Khat Chan mendapat maklumat lokasi perahu baginda hasil maklumat panglima perang Champa sendiri, La Khai.

Khat Chan mengarahkan perahu angkatan perangnya digerakkan ke lokasi perahu Raja Merah berlabuh dan perlahan-lahan mensasarkan perahu itu dengan senapang China. Dalam satu versi lain, angkatan perang Khat Chan menggunakan meriam untuk membedil kedudukan Che Bong Nga. Tidak diketahui senjata mana yang digunakan tetapi ia sudah cukup membunuh Raja Champa yang dikasihi ramai itu. Akibatnya, pertahanan tentera Champa berkecamuk dan memaksa mereka berundur di bawah pimpinan La Khai. Jenazah baginda turut dibawa pulang dan dimakamkan di Bal Ngwe.

Tatkala itulah, La Khai mendedahkan dirinya dan merampas takhta Champa dengan menggunakan gelaran Sri Jaya Simhavarmadeva V Sri Hariyati Virasimha Campa Pura. Sementara kaum kerabat Che Bong Nga termasuk Siti Zubaidah dihalau keluar dari Champa. Selepas kemangkatan baginda, Champa sekali lagi mengalami kemerosotan dan ini membuka ruang semula kepada Dai Viet meluaskan jajahan kerajaan mereka. Pengkhianatan La Khai akhirnya terbalas dengan pembunuhan baginda di tangan panglima perangnya sendiri. Pengganti-pengganti Raja Champa seterusnya semakin lemah dan tidak berupaya menahan asakan Dai Viet. Ibu kota Bal Ngwe akhirnya jatuh ke tangan Dai Viet pada tahun 1471.

LEGASI

Selepas berjaya menawan ibu kota tersebut, kerajaan Dai Viet memberi layanan buruk kepada orang Champa sebagai tindak balas kepada kempen Che Bong Nga ke atas mereka. Untuk mengelak ditindas kerajaan Dai Viet, sesetengah berpindah ke Kemboja terutama di Siem Reap dan Kompong Thom. Ada juga melarikan diri ke Kelantan dan Melaka di mana mereka diangkat sebagai pembesar yang berkhidmat kesultanan negeri-negeri berkenaan.

Pastinya kisah kekejaman kerajaan Dai Viet atau Annam ini diketahui oleh kerajaan lain termasuk Kesultanan Melaka di mana pada tahun 1469, satu rombongan Melaka terkandas di Vietnam akibat ribut semasa berlayar pulang ke Melaka dari China. Anggota rombongan yang terselamat ditangkap, dibunuh dan bagi yang masih muda, dikasi dan dipaksa berkhidmat sebagai sida Maharaja Le Thanh Tong. Murka dengan insiden tersebut, Sultan Alauddin Riayat Shah menghantar duta Melaka ke China, Tun Seri Nara Diraja untuk mengadukan hal tersebut kepada Maharaja Chenghua. Beliau turut mengadu rancangan kerajaan tersebut untuk melanggar dan menawan Melaka. Kebetulan pula, tatkala Tun Seri Nara Diraja menghadap maharaja, wakil kerajaan Dai Viet turut berada di istana. Ini membawa kepada pertengkaran antara kedua-dua wakil kerajaan berkenaan sikap biadap kerajaan itu yang menawan dan membunuh utusan-utusan Melaka.

Untuk mengelakkan situasi bertambah serius, seorang pembesar China mendamaikan kedua-dua pihak dan menasihati mereka untuk melupakan perkara tersebut kerana ia sudah berlaku beberapa tahun sebelumnya. Namun sebelum mereka berangkat pulang ke negara masing-masing, Maharaja Chenghua mengirimkan surat kepada pemerintah kedua-dua kerajaan. Dalam surat kepada Maharaja Le Thanh Tong, baginda menyelar sikap agresif maharaja tersebut dan mengarahkan kerajaan Dai Viet berbaik-baik dengan kerajaan-kerajaan berjiran. Sementara dalam surat kepada Sultan Alauddin pula, Maharaja Chenghua mengarahkan mereka bersedia menggerakkan angkatan perang sekiranya Dai Viet benar-benar mahu meneruskan rancangan menawan Melaka. Mungkin kerana tidak mahu nasib yang menimpa Che Bong Nga berulang kembali kepada Kesultanan Melaka atau mana-mana kerajaan lain, Melaka bertindak balas dengan menyokong kempen perang Lan Xang yang diancam kerajaan Dai Viet dan berjaya menghalau angkatan perang Viet seramai 90,000 orang keluar dari wilayah tersebut.

Kemangkatan Che Bong Nga sebenarnya turut membuka jalan kepada penubuhan Kesultanan Acheh. Ini kerana pengasasnya juga berdarah Champa iaitu Syah Poling (Pau Ling), putera kepada Raja Champa, Syah Pau Kubah. Baginda melarikan diri ke Acheh selepas kerajaan Dai Viet menawan ibu kota kerajaan Champa yang baru, Vijaya pada tahun 1471. Dari sinilah, semua keturunan Kesultanan Acheh bermula.

SUMBER

  1. Coedes, George. (1975). Australian National University Press. The Indianised State of Southeast Asia.
  2. Jones, Al Semantani. (2014). Melayu Nusantara. Penglibatan Melaka Dalam Perang di Negeri Lanxang. http://lokalgenius.blogspot.my/2014/09/penglibatan-melaka-dalam-perang-di.html
  3. Persatuan Pencinta Sejarah Kelantan. (2015). Siti Zubaidah – Srikandi Melayu Keturunan Raja Kelantan Lama: Siri Sejarah Silam.

 


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Graduan Bachelor of Business Admin (Human Resource) dari UNITAR yang meminati sejarah sejak 11 tahun. Ketika ini merupakan saudagar simkad Tone Excel. Harapan terbesar ialah melihat saudara seagama dan sebangsa kembali bersatu di bawah satu panji dan terus maju bersama. Tanpa perpaduan, manusia tidak akan ke mana-mana, malah tidak akan dapat membina sebuah tamadun yang gemilang seperti mana yang dilakukan oleh nenek moyang kita yang lepas. Dan sejarah adalah saksi bahawasanya perpaduan kunci penting dalam membina sebuah tamadun yang gemilang.

Comments are closed.