Nama Chairil Anwar mungkin tidak seberapa terdengar di telinga masyarakat yang tidak seberapa mendekati sastera. Namun, bagi kelompok pendukung sastera sudah tentu mengenali Chairil Anwar, sasterawan dari Indonesia. Beliau merupakan entiti penting dalam pembangunan puisi moden, khususnya sajak di negeri beliau sendiri, Indonesia dan sedikit sebanyak tersebar ke Malaysia dan negara-negara sekitar yang lainnya.

Chairil Anwar terkenal dengan penglibatan beliau dalam organisasi Angkatan ’45. Angkatan ’45 mempunyai sedikit persamaan dengan Angkatan Sasterawan 1950 atau dikenali sebagai Asas ’50 di Malaysia-Singapura; sebuah organisasi sastera yang mengangkat suara rakyat, tetapi Angkatan ’45 lebih kepada angkatan penentangan penjajah yang lebih ketara. Hal ini kerana organisasi tersebut ditubuhkan sebagai reaksi kepada seniman-seniman Indonesia yang bergabung dalam Keimin Bunka Shidosho, sebuah pusat kebudayaan pro-Jepun yang sangat ditentang oleh Chairil Anwar dan Angkatan ’45.

Reformasi Chairil dalam Sastera

Chairil terkenal dengan tulisan sajak-sajaknya yang berbau menentang, mengkritik, marah dan sebagainya. Kini, perkara itu merupakan sesuatu yang biasa kerana ramai orang biasa yang menulis sajak pendek untuk melahirkan rasa perasaannya kepada umum. Namun, harus diketahui bahawa Chairil Anwar merupakan orang yang bertanggungjawab dalam memerdekakan sajak daripada keterbatasannya. Chairil berjaya membawa sasterawan semasanya serta selepasnya untuk menanamkan rasa pada sajak itu dan menjadikannya lebih ampuh untuk dibaca. Itulah mengapa masyarakat menggelarkan Angkatan ’45 termasuk Chairil Anwar sebagai sasterawan yang tidak berteriak tapi melaksanakan kerana sajak-sajak yang diubah menjadi berkesan.

Joko Pinurbo, seorang sasterawan moden Indonesia berkata, “Chairil memberi kita puisi Indonesia yang sangat moden dengan bentuk yang sangat bebas. Pada masanya, puisi didominasi oleh langgam “Poejangga Baru” yang mana sajaknya amat mementingkan rima kerana diadaptasi daripada pantun dan syair Melayu.” 

Harus dimaklum bahawa puisi-puisi Chairil tidak sepopular hari ini pada masanya kerana bentuknya yang bebas dan masyarakat lebih menyukai sajak  Pujangga Baru yang berpasak pantun dan syair Melayu serta membawakan mesej berupa nasihat. Pada 1943, Chairil ke Jakarta dan mempersembahkan puisinya kepada HB Jassin, seorang kritikus sastera. Beliau membacanya dan memuji Chairil namun penerbit tidak berminat untuk menerbitkannya kerana alasan yang sama mengapa masyarakat menolaknya; kebebasan puisi Chairil.

Itulah perkara yang dibawakan oleh Chairil Anwar dan Angkatan ’45; untuk merubah bentuk puisi Indonesia supaya lebih realistik mengenai apa yang berlaku di sekitar masyarakat. Itulah perkara yang dibangkitkan Chairil dalam puisi-puisinya yang mana telah mempengaruhi sasterawan-sasterawan selepasnya seperti Joko Pinurbo, Sapardi Djoko Damono bahkan penyair muda Aan Mansyur, penulis puisi dalam filem Ada Apa Dengan Cinta 2 (AADC 2) berkata, “Tanpa ada sosok Chairil Anwar, saya pasti tidak akan lahir penyair seperti Sapardi dan Aan Mansyur hari ini.” Chairil yang hanya bersekolah setakat sekolah menengah rendah, namun Chairil membaca sastera Inggeris, Belanda dan Jerman. Itulah yang membawa beliau untuk membawa sajak-sajak keluar daripada kepompong tradisional.

Kesimpulan

Sumbangan Chairil amat besar dalam memperkenalkan puisi-puisi moden kepada Indonesia, Nusantara amnya. Reformasi dalam sajak yang dibawa oleh Chairil itu juga sedikit sebanyak mempengaruhi penulisan sajak di Malaysia. Hari ini kita dapat lihat bahawa masyarakat umum sudah mula menulis puisi untuk melahirkan rasa, kritikan dan pelbagai kepentingan walaupun tidak berasal daripada latarbelakang sastera. Inilah yang dibawa dan dikehendaki oleh sosok seorang Chairil Anwar, iaitu kebebasan dalam sajak kerana sajak bukan hanya sebagai penyedap tetapi boleh dibawa berentap.

Aku 
Oleh Chairil Anwar

Kalau sampai waktuku,
Kumau tak seorang kan merayu,
Tidak juga kau,
Tak perlu sedu sedan itu.

Aku ini binatang jalang,
Dari kumpulannya terbuang,
Biar peluru menembus kulitku,
Aku tetap meradang menerjang.

Luka dan bisa kubawa berlari,
Berlari,
Hingga hilang pedih peri.

Dan aku akan lebih baik tidak peduli,
Aku mau hidup seribu tahun lagi.

Maret, 1943

(puisi terkenal Aku ini ditulis Chairi untuk ayahnya yang menyuruhnya pulang ke Medan untuk kehidupan yang lebih layak. Chairil dan ibunya merantau ke Jakarta setelah ayahnya mempoligamikan ibu Chairil.)

Artikel disumbangkan oleh NZ Tjokroaminoto untuk The Patriots. 


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Moving forward as one.

Comments are closed.