Bait-bait lirik dari lagu bertajuk The Famine di atas merupakan antara nyayian yang didendangkan oleh para penyokong Rangers yang jelas ditujukan kepada para penyokong Celtic lebih-lebih lagi apabila berlangsungnya perlawanan “Old Firm Derby” di antara kedua-dua pasukan di Barat Glasgow, Scotland. Perkataan “famine” merujuk kepada kebuluran yang dasyat yang melanda Ireland ketika tahun 1840 an.

Ini disebabkan ketika itu penduduk Ireland hanya bergantung kepada satu jenis tanaman iatu ubi kentang akibat ditekan oleh penjajah British. Hanya kentang yang mampu menjadi sumber makanan utama penduduk Ireland ketika itu.

Apabila tanaman kentang yang diusahakan oleh petani-petani kecil mengalami kerosakan disebabkan oleh wabak penyakit yang dinamakan potato blight,situasi tersebut menyebabkan kematian sekurang-kuranya sejuta orang. Kebuluran itu membuka lembaran kepada penghijrahan ribuaan warga Ireland ke negara jiran termasuk Scotland, England , Wales dan sehingga ke Amerika Syarikat. Barat Scotland dimana letaknya bandar Glasgow yang merupakan bandar terbesar di Scotland, sehingga hari ini menjadi penempatan kepada ribuan penduduk yang berketurunan Irish.

Memorial Famine di Bandar Dublin, Ireland

Penubuhan Kelab Bolasepak Celtic

Sejarah kebuluran kentang tersebut berkait rapat dengan penubuhan kelab bolasepak Celtic. Umum mengetahui, majoriti Penduduk Ireland adalah penganut agama Kristian Katolik. Pasukan bolasepak Celtic ditubuhkan pada tahun 1887 yang diasaskan oleh Gereja Katolik iatu Gereja St.Mary  yang terletak Jalan East Rose, Glasgcow (kini dikenali Jalan Forbes). Brother Walfrid seorang imigran dari Ireland berperanan penting menubuhkan pasukan bolasepak Celtic.

Awal penubuhan kelab bolasepak Celtic pada asalnya untuk membantu mengumpul dana untuk membantu penduduk miskin yang berketurunan Irish di Barat Scotland selepas penghijrahan besar-besaran akibat kebuluran yang dasyat di Ireland. Perkataan Celtic berasal dari identiti Ireland dan Scotland iatu bangsa Celt.

Siapa sangka setahun selepas itu pada tahun 1888 Celtic telah bermain perlawanan persahabatan rasmi pertama mereka menentang Rangers yang ditakdirkan menjadi musuh bolasepak azali mereka sehingga kini. Pada perlawanan tersebut Celtic berjaya menewaskan Rangers dengan jaringan 5-2 di Stadium Celtic Part. Pada perlawanan rasmi tersebut pasukan Celtic mengenakan jersi berwarna putih, dan lambang salib katolik berwarna merah di bahagian dada dan berseluar hijau.

Pada tahun 1890, jersi tuan rumah pasukan Celtic bertukar kepada belang hijau putih menengak sebelum corak jersi tuan rumah sekali lagi berubah  pada tahun 1903 dengan corak belang hijau dan putih melintang. Identiti belang hijau dan putih pasukan Celtic kekal sehingga hari ini. Tidak sampai sedekad penubuhan kelab, Celtic telah berjaya merangkul Piala Scotland dan berjaya menjadi juara liga Scotland buat kali pertama pada tahun 1893.

                                       

Jersi Pertama Pasukan Celtic

                                       

Jersi identiti Celtic sehingga kini

Identiti Celt

Jika anda peminat setia Celtic, semestinya anda telah terbiasa dengan lambang berunsurkan daun Shamrock. Berkataan Shamrock berasal dari perkataan Ireland, “seamrog”. Dalam bahasa melayu dikenali sebagai daun semanggi (clover). Daun semanggi merupakan lambang identiti Ireland.

Daun itu digunakan oleh Saint Patrick iatu seorang biskop (Bishop) yang terkenal yang menyebarkan kristian di Ireland atau dikenali sebagai pelindung suci Ireland (Santo Patron). Daun itu digunakan sebagai metafora di dalam Kitab Triniti Suci Kristian ( Holy Trinity) dan dikatakan daun itu diguna oleh Saint Patrick untuk mengajar penduduk asal kepulauan Ireland yang beragama pagan mengenai agama Kristian.

Potret Saint Patrick memegang daun Shamrock

Tiada Ular di Ireland: Mitos dan Fakta

Negara Ireland juga terkenal dengan fakta yang merupakan antara negara yang kurang populasi ular dan cerita lagenda terkenal di Ireland mengatakan Saint Patrick yang bertanggungjawab mengusir semua ular keluar dari kepulauan di Ireland ketika beliau tiba di kepulauan Ireland untuk menyebarkan kristian.

Tetapi cerita lagenda bahawa tiada ular di Ireland tersebut lebih membawa maksud tersirat bahawa Saint Patrick telah berjaya menkristiankan penduduk asal Ireland yang beragama pagan yang disimbolkan sebagai ular. Berdasarkan kajian saintifik, faktor kekurangan populasi ular di Ireland ialah disebabkan geografi dan cuaca negara Ireland.

Dikatakan ketika ular wujud 100 juta tahun yang lalu, kepulauan Ireland masih berada di bawah laut, maka ia tidak menjadi habitat asal untuk reptilia itu. Apabila kepulauan Ireland mula timbul, ia terus bersambung dengah tanah besar Eropah dan membolehkan ular memasuki pulau tersebut.

Namun, tiga juta tahun yang lepas, Zaman Ais telah melanda kawasan Ireland yang menyebabkan kawasan Ireland diselaputi ais dan menyukarkan ular yang berdarah sejuk untuk kekal menjadikan kepulauan Ireland sebagai habitat kekal mereka. Namun Sainstis mengatakan kali terakhir kawasan Ireland diselaputi ais adalah ketika Zaman Ais pada kira-kira 15 ribu tahun yang lepas,dan sejak itu cuaca di Ireland telah stabil. Namun, mengapa sekarang populasi ular di Ireland masih kurang ?

Jawapannya adalah ketika Zaman Ais yang terakhir, tanah kepulauan Ireland telah terpisah dari tanah besar Eropah di sebelah utara yang memisahkan Ireland Utara dan Scotland seperti yang dapat kita lihat dalam peta dunia pada hari ini menyebabkan sukar untuk populasi ular di Ireland untuk terus bertambah.

Kedudukan Ireland yang terpisah dari negara UK lain

Sambutan Hari Saint Patrick

Hari Saint Patrick disambut meriah oleh komuniti Ireland di seluruh dunia pada 17 Mac setiap tahun. Antara bandar di dunia yang dapat merasai kemeriahan hari Saint Patrick ialah di Boston, San Francisco dan Washington, Amerika Syarikat. Hari Saint Patrick adalah antara perayaan terbesar di Amerika Syarikat.

Hari ini terdapat, lebih 33 juta penduduk berketurunan Ireland di Amerika Syarikat yang dikenali sebagai Irish-America dan merangkumi 10 % peratus keseluruhan penduduk Amerika Syarikat. Pada 17 Mac, kebanyakan tasik dan sungai di bandar-bandar besar Amerika Syarikat seperti Chicago dan Indiana diwarnakan dengan warna hijau termasuk air pancut di dalam kawasan White House turut diwarnakan dengan warna hijau.

                                                     

White House ketika Hari Saint Patrick

 

Sungai di Bandar Chicago yang diwarnakan hijau pada Hari Saint Patrick

Hampir keseluruhan bandar di Amerika Syarikat mengadakan perarakan. Semua perserta mengenakan kostum serba hijau dan jingga serta mengenakan lambang identiti komuniti Ireland seperti daun Shamrock dan kostum  The Leprechauns. Leprechauns adalah kisah lagenda atau dongeng yang sangat terkenal di Ireland. “Leath bhrògan” jika diterjemah ke dalam bahasa inggeris dikenali sebagai “shoemaker” atau tukang kasut.

Leprechauns dikenali sebagai makhluk kecil yang berjanggut , bertopi, berpakaian hijau dan berambut p3rang. Ia dikatakan telah lama mendiami bumi Ireland sebelum kedatangan manusia. Dikatakan Leprechauns menyimpan periuk yang berisi emas di dalam kawasan pedalaman Ireland dan sesiapa yang mampu menangkap makhluk kecil tersebut akan diberikan emas tersebut.

Leprechauns digambarkan sebagai makhluk yang sangat licik. Dalam perarakan sempena hari Saint Patrick Day semua peserta akan memakai pakaian warna hijau supaya mereka tidak terlihat oleh leprechaun kerana dipercayai makhluk itu akan mencubit sesiapa sahaja yang dapat mereka lihat (sesiapa yang tidak memakai pakaian berwarna hijau).

Sebagai simbolik, para peserta akan mencubit para peserta yang lain yang tidak memakai  warna hijau ketika perarakan. Maka, tidak hairan mengapa warna hijau begitu dekat dengan komuniti Ireland di seluruh dunia.

Pasukan bola keranjang yang terkenal di Amerika Syarikat iatu Boston Celtics turut menggunakan lambang leprechaun pada lambang rasmi pasukan mereka. Seperti kelab bolasepak Celtic yang berpangkalan di Glasgow, pasukan Bola Keranjang Boston Celtics turut diasaskan oleh komuniti Ireland yang berhijrah ke Amerika Syarikat akibat kebuluran kentang ketika dahulu.

Boston kini merupakan antara bandar di Amerika Syarikat yang didiami oleh penduduk Amerika yang berketerunan Irish. Antara selebriti terkenal Amerika Syarikat yang mempunyai darah Irish ialah Bradd Pit,Clint Eastwood, George Cooloney, Jonny Depp, Tom Cruise, Mariah Carey, Nicole Kidman, Alicia Keys,Vince Mcmahon (pemilik WWE) dan ramai lagi. Sejarah turut tercipta apabila Presiden J.F Kennedy yang berketurunan Ireland menjadi Presiden Amerika Syarikat pertama yang menganut Kristian Katolik. Seperti yang kita ketahui, majoriti presiden Amerika Syarikat adalah protestan (Anglicanism).

Celtic Vs Rangers : P3rang Mazhab, Sejarah & Identiti

Perlawanan derbi antara Celtic menentang Rangers adalah antara derbi yang panas dan tegang di dunia,seakan ia lebih dari sekadar perlawanan bolasepak. Seperti yang diketahui, asas penubuhan kelab Celtic adalah dari gereja Kristian Katolik oleh pendatang Irish yang menjadikan bandar Glasgow sebagai penempatan mereka.

Setelah itu, mazhab Kristian utama di Glasgow adalah Katolik, namun terdapat juga ramai warga British yang datang mencari kerja di Glasgow yang bermazhabkan Protestan menetap di bandar tersebut. Sentimen perbezaan mazhab ini terkesan sehingga membawa kepada layanan berat sebelah di dalam sosial masyarakat di kawasan Glasgow.

Kebanyakan penduduk Glasgow yang menganut Katolik merasakan kumpulan mereka didiskriminasi di dalam pasaran pekerjaan di bandar itu kerana kebanyakan majikan mempunyai polisi tidak menggaji pekerja bermazhab Katolik disebabkan sentimen anti-Katolik dan anti-Irish. Sekolah dan universiti turut dibezakan dengan komuniti Katolik dan Protestan. Disebabkan itu, penyokong Celtic amat berpuas hati sekiranya cacian terhadap mereka dapat dilunaskan dalam perlawanan bolasepak.

Perseteruaan kedua-dua pasukan juga berkisar kepada semangat identiti dan politik. Dikala rata-rata penduduk Ireland amat berbangga dan menyokong pasukan Celtic walaupun kelab itu diasaskan di Scotland namun hal itu tidak berlaku di Ireland Utara.

Menyokong pasukan Celtic di utara Ireland melambangkan jati diri Ireland mereka manakala sebilangan masyarakat British di Ireland Utara, sokongan terhadap pesaing Celtic iatu Rangers, melambangkan semangat kebanggaan sebagai warga British.

Situasi ini dapat difahami dari peristiwa The Troubles pada tahun 1968-1998 yang berlaku di Ireland Utara. Republik Ireland disokong oleh Irish Republican Army (IRA) dengan tujuan penubuhan “United Ireland” iatu gabungan Ireland Republik dan Ireland Utara.

Namun majoriti penduduk di Ireland Utara yang menganut protestan ingin kekal berada di bawah naungan United Kingdom (UK). Konflik di antara Republik Ireland dan Ireland Utara hanya dapat diselesaikan melalui Good Friday Agreement pada tahun 1998.

Disebabkan itu anda tidak akan dapat melihat samada penyokong Celtic mahupun Rangers mengibarkan bendera Scotland ketika perlawanan “Old Firm Derby”. Sebaliknya penyokong Celtic berbangga mengibarkan bendera Republik Ireland manakala penyokong Rangers berbangga dengan mengibarkan bendera UK serta bendera Ireland Utara.

Itu merupakan siatuasi yang jarang berlaku walaupun kedua-dua kelab itu beraksi di Liga Utama Scotland malah memegang reputasi kelab gergasi Scotland yang pernah memenangi kejuaraan besar di Eropah.  Penyokong kedua-dua pasukan sering kali melontarkan “chant” atau laungan yang kontroversi setiap kali perlawanan derbi. Penyokong Celtic melaungkan lirik lagu Ooh Ah Up The RA (SAM Song).

RA merujuk kepada Irish Republican Army (IRA ) yang berjuang untuk gabungan negara Ireland. Manakala penyokong Rangers menyanyikan lagu I was born under a Union Jack, Rule Britannia dan lagu kebangsaan UK, God Save the Queen. Ini adalah antara petikan lagu I Was Born Under Union Jack :

I was born under a union jack,
A union, union jack,
Do you know where hell is,
Hell is in the falls,
Heaven is in Shankill and we’ll guard those Derry Walls,

Penyokong pasukan Rangers juga menggelarkan diri mereka sebagai Billy Boys. Billy Boys merujuk kepada kumpulan samseng jalanan Protestan di Bridgeton (kawasan di Bandar Glasgow) yang sentiasa berseteru dengan kumpulan jalanan dari Katolik iatu Norman Conks dan Calton Tongs. Billy Boys diasaskan oleh Billy Fullerton yang merupakan salah seorang anggota British Fascists.

British Fascists adalah satu-satunya pertubuhan politik yang dilabel sebagai fasis di UK tetapi telah dibubarkan pada tahun 1934. Untuk meredakan ketegangan antara penyokong kedua-dua kelab, Celtic telah melancarkan kempen ‘Bhoys against Bigotry’ dan Rangers melancarkan kempen ‘Pride Over Prejudice’ sebagai langkah mengatasi masalah sektarian yang melampau ini.

Penyokong Celtic mengibarkan bendera Ireland
Penyokong Rangers dengan bendera UK

Isu Palestin & Israel

Pasukan Celtic telah didenda sebanyak dua kali oleh Badan Bolasepak Eropah (UEFA) pada tahun 2014 dan tahun 2016 kerana para penyokong Celtic telah mengibarkan banyak bendera Palestin sebelum perlawanan bermula. Kemuncaknya adalah ketika perlawanan Pasukan Celtic menentang Kelab dari Israel iatu Hapoel Be’er Sheva pada kelaykan Liga Juara-Juara. UEFA telah mendenda Celtic sebanyak £8,616 Euro kerana UEFA mendakwa penyokong Celtic melanggar Artikel 16 yang melarang penyokong mempamerkan sebarang sepanduk atau kain rentang yang berunsur politik.

Tetapi reaksi penyokong Celtic terhadap hukuman yang dikenakan itu amat menakjubkan apabila wakil penyokong kelab tersebut mengadakan kempen derma untuk membayar denda tersebut dan mengumpul dana untuk membantu penduduk Palestin dengan target sebanyak £ 15,000. Namun apa yang mengejutkan ialah jumlah derma yang dapat dikumpul adalah dua puluh kali ganda dari jumlah denda yang dikenakan iatu lebih £ 172,000 dan menyasarkan £ 188,000 sebagai simbolik kepada penubuhan kelab Celtic secara rasmi pada tahun 1888.

Pada tahun 2014, Celtic didenda sebanyak £16,000 untuk kesalahan yang sama ketika perlawanan menentang Kelab Iceland, KR Reykjavik. Penyokong Celtic ketika itu menunjukkan solidariti terhadap penduduk Gaza yang dikepung oleh Israel selama 50 hari. Jadi mengapa, penyokong Celtic sangat obses dengan Palestin?

Tidak lain dan tidak bukan kerana perjuangan rakyat Palestin menentang penjajahan Isreal di tanah air mereka sendiri. Penyokong Celtic berpendapat penjajahan ke atas Palestin mesti berakhir sebagaimana berakhirnya penjajahan inggeris terhadap tanah Ireland selama ratusan tahun. Ireland antara negara terawal yang dijajah oleh kolonial British sehingga warisan asal Ireland hampir terhakis samada dari segi agama(gereja katolik) dan bahasa asal warga Ireland iaitu Gaelic.

Berbeza dengan para penyokong Rangers yang lebih menyokong pembentukan negara haram Israel sebagai salah satu bentuk imperilsme Barat yang baru di Timur Tengah. Tindakan UEFA terhadap Celtic boleh dikatakan sebagai berat sebelah kerana UEFA tidak mengambil sebarang tindakan terhadap pasukan bolasepak dari Belanda iatu Ajax Amsterdam apabila pasukan mereka mengimbarkan bendera Israel. Bandar Amsterdam sememangnya terkenal dengan komuniti dan diaspora kaum yahudi terbesar di Belanda.

Fakta Menarik

Walaupun sentiasa diselubungi kontroversi, namun masih terdapat fakta menarik mengenai kedua-dua pasukan. Terdapat bekas jurulatih Celtic yang bermazhab Protestan iatu Jock Stein.  Jock Stein merupakan jurulatih lagenda pasukan Celtic yang membimbing pasukan tersebut dari tahun 1965 hingga tahun 1978. Di bawah kendalian Stein, Celtic berjaya memenangi 9 kejuaraan liga dan lebih manis menjadi pasukan British pertama yang berjaya memenangi kejuaraan Eropah pada tahun 1967.

Jock Stein

Pada tahun 1989, pasukan Rangers membeli Mo Johnston dari kelab Perancis, Nantes sekaligus menjadikan beliau sebagai pemain kristian katolik yang pertama bermain untuk Rangers. Apa yang penyokong kedua-dua penyokong berang, Johnston adalah bekas pemain Celtic sebelum berhijrah ke Nantes. Namun Johnston berjaya menambat hati para penyokong Rangers lebih-lebih apabila jaringan minit-minit terakhir beliau ketika menentang Celtic membolehkan Rangers menyamai rekod kejuaraan liga 9 kali berturut-turut Celtic.

Mo Johnston

Pada tahun 1998, pemain Rangers dan England, Paul Gascoigne meraikan jaringan beliau ke atas Celtic dengan gaya meniup seruling sekaligus menimbulkan kontroversi. Gaya meniup seruling amat sinonim dengan gerakan Orange order iatu sebuah gerakan politik untuk penganut agama protestan yang berpusat di Ireland Utara.

Paul Gascoigne

Pada tahun 2011, satu kiriman parcel yang berisi bom telah dihantar ke rumah pengurus Celtic iatu Neil Lennon oleh penyokong fanatik Rangers. Neil Lennon adalah katolik yang berasal dari Ireland Utara. Malah penguam yang mewakili Neil Lennon turut dihantar parcel yang berisi bom.

Untuk rekod, Neil Lennon juga pernah menarik diri untuk mewakili pasukan Ireland Utara sebagai pemain pada tahun 2002 setelah mendapat ugutan bvnuh dari puak militer protestan di Ireland Utara. Dua tertuduh yang bertanggungjawab mengirim bom kepada Lenno telah dipenjara 5 tahun setelah didapati bersalah oleh mahkamah Scotland.

                                 

Neil Lennon

Kesimpulan

Jadi dapat kita fahami bahawa perseteruan yang panjang di antara kedua-dua buah kelab bukanlah sesuatu yang baru. Bahkan ia adalah bertitik tolak dari persengketaan yang panjang disebabkan semangat identiti,sejarah dan sektarian dalam agama Kristian.

Jika anda tidak dapat memahami dengan baik konflik yang menghantui UK dalam isu Brexit sejak beberapa tahun lepas, mungkin kisah persengketaan antara dua kelab gergasi Scotland  ini mungkin boleh dijadikan panduan untuk memahami konflik yang berlaku lebih lagi antara Ireland Utara dan Republik Ireland.

Isu kembalinya kewujudan sempadan fizikal antara Republik Ireland dan Ireland Utara setelah UK keluar dari Kesatuan Eropah (EU) menyebabkan UK terpaksa tangguh Brexit sebanyak tiga kali dan mengorbankan jawatan Thresa May sebagai Perdana Menteri UK sebelum diganti oleh Boris Johnson.

Ashraf Hadi merupakan Mahasiswa Ijazah Sarjana Muda Hubungan Antarabangsa Universiti Sultan Zainal Abidin, uniSZA, Sesi 2017/18. 

RUJUKAN:

Goal (2019). Celtic’s Irish connection: Why Scottish club are associated with the country. https://www.goal.com/en-my/news/celtics-irish-connection-why-scottish-club-  associated/167vbtnssg50l16ai3xr38d5uw

Anday Pollak (1996). Celt fans who sing pro-IRA songs to be banned. https://www.irishtimes.com/news/celt-fans-who-sing-pro-ira-songs-to-be-banned-1.89604

PA Sport(2016). Celtic receive UEFA fine for flying Palestine flags in UCL match. https://www.espn.co.uk/football/celtic/story/2961926/celtic-receive-uefa-fine-for-flying-palestine-flags-in-ucl-match

Tom Victor (2017). Celtic Fined For Palestine Flags – But Fans Have Already Raised 20 Times The Amount. https://www.joe.co.uk/sport/celtic-handed-uefa-fine-for-palestine-flags-89186

Who were the real Billy Boys, the Glasgow gang in Peaky Blinders? (2019) https://www.historyextra.com/period/20th-century/who-billy-boys-fullerton-peaky-blinders-glasgow-gang/

Siân McQuillan (2020) Why are there no snakes in Ireland? The legend and the science. https://www.irelandbeforeyoudie.com/why-are-there-no-snakes-in-ireland-the-legend-and-the-science/

Anna Usova (2020). 7 Surprising Facts About St. Patrick’s Day. https://www.history.com/news/st-patricks-day-facts

Irish Central (2017). Facts about leprechauns and where the legends really came from. https://www.irishcentral.com/culture/entertainment/leprechauns-facts


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Moving forward as one.

Comments are closed.