“Di Xanadu, bersemayam Kublai Khan…”
Begitulah bermulanya salah satu dari tiga puisi ulung Samuel Taylor Coleridge, berjudul ‘Kubla Khan’. Menurut beliau, puisi ini dikarang dalam masa satu malam sejurus beliau mengalami satu mimpi selepas membaca karya yang mengandungi pemerincian tentang Xanadu.
Xanadu pada asalnya merupakan ibu kota Dinasti Yuan semasa Kublai Khan menakluk China. Selepas beliau memindahkan ibu kotanya ke Dadu, kini Beijing, Xanadu menjadi kota singgahan pada musim panas. Walaupun Coleridge hanya berpeluang melihat Xanadu di dalam mimpi, terdapat seorang pengembara Barat yang sempat menziarahi kota itu di zaman kemuncaknya. Pengembara yang dimaksudkan ini ialah Marco Polo, pengembara dari Venetia.
Sejarah Marco Polo bermula di Venice pada tahun 1271, ketika beliau berusia 17 tahun. Dua tahun sebelum itu, bapanya yang bernama Niccolo dan pakciknya, Maffeo, baru sahaja pulang dari ekspedisi perdagangan di Timur.
Memandangkan kedua beradik itu merantau selama beberapa bulan sebelum Marco Polo dilahirkan dan hanya pulang pada tahun 1269, maka Marco Polo dapat bertemu dengan bapa dan pakciknya buat kali pertama pada tahun tersebut. Kemudian, Marco Polo menyertai mereka dalam perjalanan ke Asia pada tahun 1271.
Selain berdagang, perjalanan keluarga Polo ke Asia ini bertujuan untuk membawa beberapa pucuk surat dan hadiah berharga yang dikirimkan oleh Pope Gregory X untuk diberikan kepada Kublai Khan. Sebelum Niccolo dan Maffeo pulang ke Venice, Khan Agung sempat menyatakan minatnya terhadap agama Kristian.
Justeru, beliau meminta agar kedua beradik itu singgah ke Rom bagi mewakilinya. Kublai Khan turut meminta agar Pope menghantar pulang kedua beradik itu ke China, dengan membawa bersama air suci serta 100 orang paderi berpendidikan.
Pope tidak dapat memenuhi permintaan Kublai Khan itu. Namun, beliau mengirim beberapa pucuk surat dan hadiah. Lantaran tidak mahu menghampakan Khan Agung, Niccolo dan Maffeo turut membawa bersama dua orang mubaligh friar. Namun setelah merasai sendiri kesukaran mengembara, kedua-dua mubaligh itu berpatah balik dan tidak melanjutkan perjalanan.
Dari Venice, keluarga Polo ini mengembara ke selatan melalui Laut Mediterranean dan menuju ke Tanah Suci (Israel dan Palestin) yang pada masa itu dikawal sebahagiannya oleh tentera-tentera salib. Dari kota pelabuhan Acre, mereka berjalan ke utara menuju Trebizond dan kemudian turun ke selatan dan tiba di Baghdad sebelum menghala semula ke arah utara. Di Terbil, mereka menukar haluan ke selatan dan akhirnya sampai di kota pelabuhan Ormuz di Selat Hormuz.
Walaupun pada awalnya keluarga Polo berhasrat untuk mengambil jalan laut bagi menuju ke China, mereka tidak berjaya menemukan kapal yang sesuai untuk dinaiki. Lantaran itu, mereka pun berjalan ke utara dan menggunakan jalan darat. Tatkala tiba di gurun Taklamakan, mereka mengambil laluan ke selatan dan merentasi beberapa buah tempat seperti Yarkand dan Khotan. Cabaran terakhir yang perlu dihadapi mereka sebelum tiba di China adalah Gurun Gobi yang terbentang luas.
Di China, ketibaan mereka disambut baik oleh Kublai Khan. Memandangkan Marco Polo merupakan seorang yang meminati budaya China dan cekap berbahasa, kehadirannya disenangi oleh Khan Agung. Lantas, beliau dilantik sebagai perutusan khas Yuan sekaligus membolehkannya mengembara ke pelbagai wilayah di Asia, seperti Tibet, Burma dan India. Marco Polo juga dilantik sebagai pengutip cukai di Yanzhou, dan pegawai dalam Majlis Sulit.
Sepanjang 17 tahun keluarga Polo menetap di China, mereka mengumpulkan harta kekayaan yang cukup banyak. Lantaran Kublai Khan mencecah usia lewat 70an, keluarga Polo semakin khuatir kalau tidak berpeluang untuk beredar dari China dan pulang ke tanah air dengan membawa bersama harta mereka.
Justeru dengan berat hati, Khan Agung membenarkan mereka pulang. Namun, tidak tanpa disertakan dengan satu tugasan terakhir, iaitu mengiringi puteri Monggol, Kokachin ke Parsi. Di sana, Kokachin diaturkan supaya berkahwin dengan seorang putera.
Perjalanan laut ini mengambil masa selama 2 tahun, di mana seramai 600 orang anak kapal dan penumpang terk0rban. Ketika tiba di Ormuz, hanya 18 orang sahaja yang terselamat. Putera Parsi yang dijanjikan kepada Kokachin juga telah pun men1nggal dvnia. Justeru, keluarga Polo terpaksa menetap di Parsi sehingga Kokachin menemui calon yang sesuai untuk dikahwini. Akhirnya, mereka kembali ke Venice pada tahun 1295.
Sebagai maklumat tambahan, kisah pengembaraan Marco Polo hanya direkodkan semasa beliau berada dalam penjara. Tiga tahun selepas pulang ke Venice, Marco Polo mengetuai sebuah kapal geliung dalam memer4ngi kapal-kapal Genoa, salah satu seteru Venice.
Dalam sebuah pertempvran, beliau ditangkap dan ditahan. Ketika berada dalam penjara, beliau bertemu dengan Rustichello da Pisa, seorang penulis berbakat yang mencatatkan kisah-kisah pengembaraan yang diceritakan oleh Marco Polo.
Ketika mereka dibebaskan pada tahun 1299, buku tersebut sudah pun siap dan nama Marco Polo langsung menjadi sebutan. Empayar Khan, empayar terbesar yang pernah disaksikan dunia, merupakan suatu misteri bagi mereka yang hidup di dalam sempadan Empayar Suci Rom.
Marco Polo merupakan orang Barat pertama yang berpengalaman menyaksikan secara mendalam budaya dan adat mereka. Justeru apabila beliau menerbitkan catatan terperinci tentang pengembaraannya itu di dalam buku ‘II Millione’, dunia Barat terpesona dengan pengalaman yang dikongsikannya. Pengembaraan Marco Polo ini memberikan kefahaman geografi yang lebih meluas kepada dunia Eropah, dan menggamit lebih ramai pengembara dan peneroka lain untuk keluar merantau.
Sehingga ke hari ini, ramai yang masih cuba mengikuti jejak langkahnya dan menghidupkan kembali sejarah hidup pengembara Venetia kurun ke-13 ini. Pada tanggal 9 Januari 1324, Marco Polo diserang penyakit dan men1nggal dvnia dengan meninggalkan legasi yang berpanjangan.
TERJEMAHAN
Wu Mingren. (2 Februari 2015). The Life and Adventures of Marco Polo. Ancient Origins.
https://www.ancient-origins.net/history-famous-people/life-and-adventures-marco-polo-002635
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih