Bagi mana-mana pihak yang ingin mengetahui perihal orang Melayu, suka atau tidak maklumat tersebut perlu didapati daripada sumber Barat. Tetapi semua itu berubah apabila pengembara dan ekspatriat Rusia melawat Semenanjung Tanah Melayu. Antara orang Rusia terawal yang menjejakkan kaki di Semenanjung Emas ini ialah seorang pegawai ten-tera laut A.I Butakov pada tahun 1840.
Pada tahun itu, kapal frigat Rusia yang dinaikinya iaitu Abo berlabuh di Pulau Pinang dan Singapura. Dalam diarinya, Butakov melihat kekayaan alam semulajadi yang dimiliki Semenanjung Tanah Melayu sebagai luar biasa dan boleh saja meletakkan Pulau Pinang sebagai pulau terkaya di dunia ketika itu.
Dalam catatannya yang lain, Butakov turut memerhatikan gelagat penduduk tempatan semasa menjalani kehidupan seharian. Beliau melihat orang Melayu sebagai orang yang terhormat, memenuhi janji dan tidak pernah menyembunyikan kebencian mereka terhadap orang Eropah terutama orang British. Tambahnya, kebencian mereka bersebab kerana gelagat pegawai-pegawai kolonial bersikap lebih sudu dari kuah[1] dan cara mereka mendapatkan Pulau Pinang.
Secara ringkas, Pulau Pinang diduduki oleh Syarikat Hindia Timur Inggeris (SHTI/EIC)[2] hasil perjanjian yang dibuat antara Kapten Francis Light dengan Sultan Abdullah Mukarram Shah pada tahun 1786. Selain dibayar pajakan bernilai 6,000 dolar Sepanyol setahun, Light juga berjanji akan membantu Kedah sekiranya mereka diser-ang oleh pihak Siam.
Malangnya, apabila perkara itu berlaku, janji bantuan yang disampaikan dimungkiri kerana menurut SHTI, perjanjian tersebut hanya dipersetujui Light dan bukannya pihak syarikat. Murka dengan sikap talam dua muka SHTI dan Light, Kedah kemudiannya menyer-ang Pulau Pinang pada tahun 1791 dengan bantuan Selangor, Riau dan Siak. Light bertindak balas dengan meminta angkatan laut British membe-dil kedudukan baginda di Seberang Perai.
Sera-ngan tersebut memaksa Sultan Abdullah mengibarkan bendera putih dan terpaksa bersetuju dengan perjanjian damai yang dimuktamadkan pada 1 Mei 1791. Menerusi perjanjian tersebut, SHTI mengilhak bumi Pulau Pinang secara rasmi bagi pihak British dan membayar pampasan 6,000 dolar Sepanyol setahun kepada baginda.
Tujuh tahun selepas peristiwa itu, pelayar terkenal Rusia Ivan Krusentern singgah di Tanah Melayu semasa pelayaran Pasifiknya pada tahun 1798. Semasa singgah di situ, beliau memesan salinan manuskrip Sejarah Melayu di mana ia dibawa pulang ke Rusia dan diserahkan kepada cendekiawan H.D Fren. Fren kemudiannya menghantar salinan tersebut ke Muzium Asia.
Menurut Dr Victor A. Pogadaev, kandungan dan bilangan bab dalam manuskrip salinan Krusentern hampir sama dengan manuskrip yang diterbitkan oleh Munshi Abdullah. Fren menyatakan dalam catatannya bahawa Krusentern mendapat izin untuk menyalinnya dan ia dianggap tidak ternilai harganya di Semenanjung Tanah Melayu. Manuskrip itu kini disimpan di Perpustakaan Akademi Sains Rusia Cawangan Saint Petersburg.
Saintis Rusia Elena Revunenkova menghabiskan masa selama 20 tahun mengkaji dan menterjemah teks manuskrip tersebut. Terjemahan itu kemudiannya diterbitkan pada tahun 2008 di bawah tajuk Sulatus Salatin: Manuskrip Melayu Krusentern dan Nilai Sejarah dan Kebudayaannya.
Dan siapa sangka, kesusasteraan Melayu terutama pantun memberi impak besar kepada karya-karya yang dihasilkan sasterawan-sasterawan Rusia. Antara sasterawan-sasterawan yang terpengaruh dengan pengaruh sastera Nusantara ini ialah Valery Bryusov, Adelina Adalis, Alexander Zhovtis dan Grigory Permyakov.
Dalam buku Lagu-Lagu Melayu yang dikarang Bryusov pada tahun 1909, terdapat banyak elemen Kepulauan Nusantara yang dinyatakan beliau. Elemen-elemen itu seperti pokok pandan, bau bunga cempaka, harimau di belantara, sawah padi, kelapa dan pisang.
Mikhail Venyukov turut menyebut elemen-elemen sama dalam buku karangannya Tinjauan Keadaan Terkini Jajahan British di Asia pada tahun 1875. Dalam buku itu, beliau menganggap pegawai-pegawai kolonial British sebagai angkuh dan suka mengeksploitasi sebuah bangsa yang pernah mencapai keagungannya satu masa dahulu. Venyukov turut menyifatkan orang Melayu diperlakukan seperti bangsa bawahan dan sentiasa dimalukan penjajah secara sistematik.
Selain kesusasteraan dan sejarah, cendekiawan Rusia juga turut menyatakan minat meneroka sisi botani dan zoologi Tanah Melayu. Antara pengkaji yang berbuat demikian ialah N.N. Miklukho-Maklai yang ketika itu ingin melakukan kajian lapangan di tanah Jawa dan Semenanjung Tanah Melayu. Satu persoalan yang menarik perhatiannya ialah ingin menguji hipotesis sama ada Tanah Melayu turut dihuni oleh puak-puak bukan berbangsa Melayu atau tidak.
Kajiannya dimulakan di Johor dan Miklukho-Maklai bernasib baik kajiannya mendapat perhatian pemerintah Johor ketika itu, Maharaja Abu Bakar[3]. Menyedari kepentingan kajian ilmiah yang dijalankan saintis Rusia itu, baginda bersetuju membantu melicinkan semua urusannya termasuk menyediakan surat-surat cadangan dan memastikan semua keperluan ekspedisinya mencukupi.
Hasil sentuhan peribadi baginda itu menyaksikan ekspedisi Miklukho-Maklai berjalan lancar dengan penduduk tempatan memberi kerjasama yang baik. Banyak maklumat yang dikumpul beliau semasa di Tanah Melayu termasuk beberapa dialek puak-puak yang dikatakan hampir pupus.
Diari pertama tentang ekspedisinya di Tanah Melayu hanya diterbitkan hampir 70 tahun kemudian iaitu pada tahun 1941. Sayang sekali, apa saja maklumat yang disimpan Miklukho-Maklai dalam diari keduanya hilang ditelan zaman kerana diari itu diba-kar oleh isterinya Margaret Robertson. Beliau juga menyokong idea kesatuan manusiawi dan merasakan manusiawi berkongsi budaya sama walaupun berbeza dari segi warna kulit dan bangsa.
50 tahun selepas ketibaan Butakov, Rusia akhirnya membuka konsulat mereka di Singapura pada tahun 1890. Dengan pembukaan konsulat ini, ini membolehkan Saint Petersburg mendapatkan maklumat tentang Tanah Melayu secara rasmi dan tidak lagi bergantung kepada input maklumat yang dibawa ekspatriat-ekspatriat mereka sebelum ini.
Melihat potensi Tanah Melayu terutama di Negeri-Negeri Melayu Utara (NNMU), bukan sekali Konsul Jeneral Rusia Artemy Vyvodtsev mencadangkan negara itu mengembangkan lagi hubungan dagang Rusia dengan Tanah Melayu. Beliau melihat hubungan dagang sebegini boleh membantu Saint Petersburg memajukan Siberia dan kawasan Timur Jauh yang dikawal negara itu.
Semasa Per-ang Dunia Pertama (WWI), armada Rusia turut terlibat dalam pertem-puran laut di Kepulauan Nusantara. Ini dibuktikan menerusi kubur seorang anak kapal Rusia di Perkuburan Western Road. Anak kapal itu kembali ke negeri cacing selepas kapal kruzer Pearl milik Rusia ditenggelamkan bot U milik Jerman pada Oktober 1914. Pada tahun 1975, sebuah obelisk didirikan pada kubur berkenaan.
RUJUKAN:
Pogadaev, V.A. (2020). Russians wrote of old Malay world. New Straits Times.
NOTA KAKI:
[1] Peribahasa yang bermaksud orang yang mengada-ada atau berlebihan sikapnya.
[2] Syarikat yang dibentuk pada tahun 1600 dengan tujuan awalnya ialah berdagang di wilayah Lautan Hindi terutama di Hindia Timur (India dan Asia Tenggara). Semasa syarikat berada di puncak kekuasaannya, mereka bertanggungjawab mengawal jajahan British di sebahagian besar wilayah India, sebahagian kawasan Asia Tenggara, Hong Kong dan sebahagian kawasan di Teluk Parsi.
[3] Gelaran rasmi yang digunakan Temenggung Abu Bakar selepas mendapat kebenaran daripada pemerintah Lingga, Sultan Sulaiman Badrul Alam Shah II dan Gabenor Negeri-Negeri Selat ketika itu, Sir Harry Ord. Baginda ditabalkan secara rasmi sebagai Maharaja pada 30 Jun 1868 sebelum menggunakan gelaran Sultan pada tahun 1885.
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih