Di Amerika Tengah dan Amerika Selatan, sudah wujud piramid yang dibina oleh Tamadun Maya dan Aztec. Tetapi di Caral-Supe, Peru, terdapat sebuah piramid yang mempunyai usia yang sama dengan Piramid Tangga Saqqara di Mesir iaitu sekitar 2600 SM. Ini mendorong para pengkaji arkeologi membuat teori bahawa Caral dibina oleh sebuah tamadun tertua di Hemisfera Barat.

Caral-Supe atau lebih dikenali sebagai Bandar Suci Caral-Supe terletak 125 batu di utara ibu negara Peru, Lima. Ia terdiri daripada enam buah piramid, plaza-plaza bulatan yang masih tenggelam dan tangga-tangga gergasi di mana ia terletak di atas teres padang pasir menghadap lembah banjir hijau Sungai Supe. Piramid Mayor merupakan salah satu daripada piramid yang ada di Caral dan yang terbesar antara semua piramid di situ.

Antara dua piramid yang ditemui di Caral.

Ia berukuran 100 kaki tinggi dengan tapaknya seluas empat padang bola sepak. Pentarikhan karbon menunjukkan piramid ini berusia sekitar 4,000 hingga 5,000 tahun. Ini menjadikan Piramid Mayor sama usia atau lebih tua daripada piramid tertua dalam sejarah Mesir Purba, Piramid Saqqara.

Pentarikhan karbon ini turut menjadikan Caral sebagai bandar tertua di sebelah Hemisfera Barat. Kawasan pesisir pantai Peru sebenarnya dipertimbang sebagai salah satu daripada enam tempat permulaan tamadun manusia. Caral merupakan sebahagian daripada 12 tapak arkeologi di Norte Chico, Peru dengan Caral sedang menjalani proses ekskavasi menyeluruh.

Pengkaji-pengkaji arkeologi percaya kawasan ini merupakan tapak tamadun tertua di benua Amerika dari 3000 hingga 1800 SM. Tamadun ini berkembang maju selama 4,000 tahun tanpa dipengaruhi oleh pengaruh asing sebelum Empayar Inca muncul.

Di sebalik kepentingannya kepada sejarah manusiawi, pada awalnya, ia dipandang sepi oleh komuniti arkeologi. Tetapi menjelang tahun 50-an, kepentingan Caral mula dipandang serius oleh seorang sejarawan Amerika Syarikat bernama Paul Kosok. Kosok merupakan orang pertama yang tiba di Caral dan menyentuhnya dalam buku bertajuk Life, Land and Water in Ancient Peru yang diterbitkan pada 1965.

Tetapi ia masih dipandang sepi oleh komuniti arkeologi atas alasan ia dibina selepas kebangkitan Tamadun Inca, Maya dan Aztec. Namun begitu, 1994 mengubah segala-galanya. Pada tahun tersebut, sekumpulan pakar arkeologi dari Universiti Kebangsaan San Marcos diketuai Ruth Shady mula mengekskavasi kota berkenaan.

Hasil ekskavasi mereka mendapati tiada kesan tembikar di tapak berkenaan sekaligus menunjukkan kota ini sudah wujud sebelum teknologi pembuatan tembikar diperkenalkan. Mereka turut menemui sisa beg-beg yang disulam daripada mensiang atau shicra yang menyimpan ketulan-ketulan batu yang digunakan untuk menyokong dinding-dinding piramid. Pada tahun 1999, Shady menghantar sampel shicra ke Amerika Syarikat untuk menguji pentarikhan karbon artifak berkenaan.

Sampel-sampel shicra dihantar kepada ahli arkeologi veteran Jonathan Haas dari Muzium Field’s Chicago dan Winifred Creamer dari Northern Illinois University. Dan hasilnya amat mengejutkan. Kajian yang diterbitkan dalam jurnal Nature pada 2001 mendedahkan Caral merupakan sebahagian daripada tumpuan populasi dan petempatan di Amerika Selatan. Sejak itu, lebih banyak penemuan dibuat di Norte Chico sekaligus menunjukkan kepentingan Caral kepada sejarah manusia.

Selain menemui piramid, pasukan Shady turut menemui tinggalan kawasan kediaman, plaza-plaza dan sebuah amfiteater berbentuk bulatan. Amfiteater yang ditemui dikatakan boleh memuatkan ratusan orang pada satu-satu masa. Mereka turut menemui sisa seruling yang diperbuat daripada tulang burung undan sekaligus menunjukkan kepentingan muzik kepada penghuni Caral.

Pemandangan dari udara.

Di Piramid Galeri, pengkaji-pengkaji arkeologi membuat satu lagi penemuan penting pada tangga ke-12 piramid berkenaan. Di sini, mereka menemui quipu iaitu satu cara merekodkan maklumat yang dikatakan bermula pada zaman Inca. Tetapi dengan penemuan quipu di Caral, ini menunjukkan quipu sebenarnya bermula lebih awal daripada apa yang diketahui komuniti arkeologi.

Penemuan tapak-tapak arkeologi di Norte Chico turut membantu memusnahkan mitos kewujudan masyarakat Andes yang kompleks bermula di kawasan pesisir pantai. Hakikatnya, kedua-dua petempatan pesisir pantai dan pedalaman membangun pada masa yang sama dengan Caral jauh lebih besar dan lebih rumit daripada petempatan-petempatan lain.

Penemuan benih kapas, fiber dan tekstil dengan sisa tiram, tulang ikan dan jala ikan lama yang besar di Caral turut mendorong Shady mengadakan teorinya sendiri. Beliau percaya petani-petani Caral membuat pertukaran barter membabitkan kapas dengan makanan laut termasuk ikan dari kampung-kampung di pesisir pantai. Ini mengakibatkan wujud lebihan penghasilan komoditi, pengkhususan buruh tempatan dan kemunculan pihak berkuasa yang mengawal aspek perdagangan.

Pendek kata, Caral sudah mempunyai organisasi politik dan sosial. Cuma terdapat beberapa perkara yang membuatkan pengkaji-pengkaji arkeologi menggaru kepala tentang kota itu. Pertama, mengapa ia dibangunkan dengan pelbagai motif rumit? Kedua, apa kaitannya dengan tapak-tapak arkeologi lain di Norte Chico?

Tetapi misteri terbesar yang perlu difikirkan ialah mengapa kota ini ditinggalkan selepas dihuni selama lebih sealaf. Profesor Thomas Pozorski dari University of Texas Rio Grande Valley percaya ia tidak disebabkan oleh bencana alam seperti banjir atau gempa bumi. Sebaliknya, terdapat beberapa faktor yang menyumbang kepada kemerosotan Caral termasuk pertelingkahan dalaman tetapi ini sukar dibuktikan dari sudut arkeologi.

RUJUKAN:

Tep, Ratha. (2021). This Little-Known Peruvian Civilization Built Pyramids as Old as Ancient Egypt’s. History.


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Graduan Bachelor of Business Admin (Human Resource) dari UNITAR yang meminati sejarah sejak 11 tahun. Ketika ini merupakan saudagar simkad Tone Excel. Harapan terbesar ialah melihat saudara seagama dan sebangsa kembali bersatu di bawah satu panji dan terus maju bersama. Tanpa perpaduan, manusia tidak akan ke mana-mana, malah tidak akan dapat membina sebuah tamadun yang gemilang seperti mana yang dilakukan oleh nenek moyang kita yang lepas. Dan sejarah adalah saksi bahawasanya perpaduan kunci penting dalam membina sebuah tamadun yang gemilang.

Comments are closed.