Caractacus merupakan seorang raja dan pemimpin suku Britons purba pada Zaman Besi. Beliau juga merupakan ketua kaum Catuvellaunui, salah satu suku British yang berkuasa. Caractacus adalah putera kepada raja Celtic yang bernama Cunobeline dan memerintah Briton dari tahun 43-50 Masehi.

Caractacus dikaitkan dengan perluasan wilayah sukunya berikutan kejayaan beliau dalam menangkis serangan Rom ke atas Britain. Semasa Rom melancarkan serangan pada musim panas tahun 43M, mereka cuba menyerap wilayah tersebut menjadi sebahagian dari Empayar Rom. Di kala suku-suku British lain seperti Dobunni tunduk dan menyerah kepada Rom, Caractacus berjuang dengan penuh bersungguh-sungguh demi memelihara kemerdekaan sukunya.

Semasa Maharaja Claudius menggempur Britain, berlaku peralihan tampuk kuasa dan penjajahan selama lebih 350 tahun. Empat buah legion (istilah khusus untuk merujuk batalion tentera Rom) dengan disokong oleh tentera-tentera rakyat membentuk bala tentera Rom berjumlah lebih dari 40 000 orang. Walaupun bilangan ini menggambarkan kekuatan pasukan tentera yang dimiliki oleh Empayar Rom, ia tidak menghalang suku-suku asli di Britain untuk memberikan tentangan yang hebat.

Tanah yang kini membentuk Britain tidak berjaya ditakluk sepenuhnya oleh Rom selama hampir 40 tahun sejak serangan dilancarkan. Bahkan setelah tempoh itu, Rom tidak pernah berjaya menakluk dan menundukkan penduduk wilayah itu secara menyeluruh.

Dari semasa ke semasa, pihak Rom sentiasa perlu meletakkan pasukan tentera yang besar untuk mengawal pertahanan wilayah yang telah mereka takluk itu agar tidak jatuh ke tangan puak-puak asli yang kebanyakannya masih merdeka dari naungan Rom. Walau bagaimanapun, tuah Caractacus dan para pengikutnya tidak berpanjangan.

Caractacus, raja Britons

Setelah memberikan penentangan yang cukup hebat terhadap kepenguasaan Rom, Caractacus ditewaskan dalam Pertempuran Medway. Namun, beliau berjaya meloloskan diri dan bertahan selama 7 tahun di Pergunungan Welsh di mana daripada sana, beliau melancarkan perang gerila ke atas Rom. Coroctacus pada akhirnya ditewaskan dalam Pertempuran Caer Caradoc di Wales di tangan gabenor Rom yang bernama Ostorious Scapula pada tahun 51M. Pun begitu, nyawanya masih lagi panjang. Beliau melarikan diri ke utara dan berlindung bersama sebuah suku yang dikenali sebagai Brigantes.

Tanpa pengetahuan Caractacus, ratu suku Brigantes iaitu Ratu Cartimandua secara rahsia menjalinkan hubungan dengan Empayar Rom dan bersetuju untuk menyerahkan Caractacus dalam keadaan terbelenggu sebagai hadiah perang (suku Brigantes kemudiannya memberontak menentang Cartimandua).

Bagi bangsa Britons, kekalahan dan penangkapan Caractacus menandakan berakhirnya kepemimpinan ratusan tahun bangsawan Catevallaunan ke atas mereka. Dengan penangkapan Caractacus, kebanyakan wilayah di selatan Britain bermula dari Humber hingga ke Severn berhasil dikuasai Rom sepanjang tahun 50an Masehi.

Cartimandua menyerahkan Caractacus kepada Rom

The Annals, karangan sejarahwan Rom yang bernama Tacticus menceritakan apa yang berlaku sesudah penangkapan Caractacus. Beliau menulis bahawa sebuah perarakan diadakan dan pejuang kemerdekaan Briton bersama isteri dan anaknya dipertontonkan di khalayak ramai di kota Rom saat mereka bakal dijatuhkan hukuman mati.

“Masing-masing berasa teruja untuk melihat lelaki yang telah bertahun-tahun lamanya menentang kekuaaan empayar mereka,” tulis Tacticus. Caractacus menjadi nama yang begitu masyhur di kota Rom dan khabar angin pun segera tersebar bahawa masalah penentangan di wilayah Britain akhirnya tamat, walaupun pada hakikatnya keadaan tersebut sama sekali tidak menjadi kenyataan.

Pada saat-saat akhir, Maharaja Claudius mengambil keputusan untuk membenarkan Caractacus membuat rayuan terhadap Rom agar membelas-kasihani nyawanya. Sejarahwan Rom bernama Cassius Dio mencatatkan bahawa semasa dibawa ke penghadapan senat, Caractacus diarahkan untuk memberikan satu sebab mengapa beliau tidak seharusnya dihukum.

Caractacus menjawab, “Andai kesederhanaanku dalam kemakmuran setara dengan status kebangsawan dan hartaku, (pasti) aku akan memasuki kota ini sebagai rakan kalian berbanding sebagai tawanan kalian; dan kalian pasti tidak akan berasa malu untuk menerima persahabatan (menerusi perjanjian damai) seorang raja yang berketurunan mulai dan memiliki wilayah pemerintahan yang luas. 

Kehadiranku di sini adalah suatu kemegahan buat kalian dan bagiku, ianya suatu perendahan. Aku miliki rakyat dan kuda, senjata dan harta. Tidak hairan andai aku berasa berat hati untuk tinggalkan mereka. Jika kalian Rom memilih untuk menguasai (menjajah) mereka, adakah itu bermaksud kalian sedang mencorak dunia ini menjadi sebuah tempat perhambaan?

Andai aku dikurung sebagai banduan dan dijatuhi hukuman, ketumbangan aku itu atau kejayaan kalian itu sama sekali tidak akan meraih kemasyhuran. Hukumanku itu hanya akan dilupakan setelah beberapa tempoh. Sementara andai kalian membelas-kasihani nyawaku sekarang, maka aku akan menjadi memori berpanjangan yang memanifestasikan sifat pengampun kalian.”

Caractacus semasa dalam tribunal di Rome

Tidak dapat diketahui adakah ucapan yang dituturkan oleh Caracticus itu sefasih yang digambarkan oleh Tacticus di dalam tulisannya ataupun tidak. Terdapat persoalan yang berbangkit daripada peristiwa ini, iaitu bahasa apakah yang dituturkan oleh Caractacus itu dan adakah beliau fasih bertutur bahasa Latin?

Walau apapun keadaannya, dewan senat sememangnya sangat tersentuh dengan ucapan Caractacus itu hinggakan Maharaja Claudius sendiri mengurniakan pengampunan kepada beliau. Caractacus kemudiannya meluangkan sisa hayat beliau di kota Rome sebagai seorang yang merdeka.

Tidak ada catatan yang merekodkan apa yang berlaku pada beliau sesudah peristiwa itu. Tiada juga rekod berkenaan pulangnya beliau ke tanah airnya di Britain. Menurut Cassius Dio dalam Roman History, setelah menerima pengampunan, Caractacus mempersoalkan bagaimana empayar yang memiliki kota seindah Rome boleh berhasrat untuk menakluk wilayahnya yang serba daif.

“Caractacus, seorang pembesar barbarian yang ditangkap dan dibawa ke Rome lalu diampunkan oleh Claudius, berjalan di sekitar kota setelah dibebaskan. Ketika menyaksikan kemegahan dan kebesaran kota itu, beliau berkata, “Bagaimana boleh kalian yang memiliki kemegahan dan kekayaan sebesar ini mendambakan khemah-khemah kami yang daif?”

Penulis-penulis klasik seperti Cassius Dio dan Tacticus meninggalkan kepada kita rasa penghormatan yang berpanjangan terhadap Caractacus. Beliau dirincikan sebagai seorang pejuang yang berani dan bersemangat tinggi dalam menentang Rom.

Malah, beliau dengan lantang menyatakan pendiriannya di hadapan seluruh senat sedangkan nyawanya ketika itu sedang terancam. Caractacus dipandang sebagai seorang wira rakyat dan legasinya yang dikenang oleh generasi dari generasi adalah hakikat bahawa beliau merupakan seorang pejuang kebebasan yang paling diraikan di zamannya.

DIOLAH DAN DITERJEMAHKAN DARI:

Bryan Hill. (4 Mei 2015). Caractacus: The Powerful Celtic King Who Defied Rome. Ancient Origins. https://www.ancient-origins.net/history-famous-people/caractacus-powerful-celtic-king-who-defied-rome-003006


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Pencinta bahasa ibunda dan sejarah dunia. Amir Zayyanid merupakan seorang penulis dan penterjemah bebas yang menyimpan impian mahu menabur bakti kepada anak pertiwi menerusi pendokumentasian sebanyak mungkin bahan bacaan, sama ada fiksi mahupun bukan-fiksi.

Comments are closed.