Seperti mana negara-negara lain di dunia, Jepun juga mempunyai sambutan keraian atau pesta tradisional yang dikenali sebagai matsuri. Tarikh dan jenis pesta yang dianjurkan berbeza dari satu komuniti ke satu komuniti yang lain.

Di Jepun, terdapat 300,000 matsuri di mana sesetengah matsuri ditaja oleh kuil-kuil tempatan dan dianjurkan oleh orang ramai. Ada matsuri merujuk kepada acara-acara tempatan seperti persembahan tarian atau pertandingan kesenian. Berikut 10 matsuri yang paling popular di Jepun ketika ini.

1. Gion Matsuri (Kyoto)

Gion Matsuri ialah festival paling terkenal di Jepun dan berlaku sepanjang bulan Julai. Festival ini menarik perhatian ramai terutama pelancong kerana perarakan kereta berhias yang ditarik oleh puluhan orang yang dikenali sebagai Yamabuko Junko.

Perarakan ini selalunya berlaku pada 17 dan 24 Julai. Kereta berhias ini boleh saja mencapai ketinggian 25 meter, seberat 12 tan dan pergerakan rodanya perlu ditarik oleh puluhan orang bagi membolehkannya ia bergerak.

Selain disebabkan oleh saiz kereta berhias, ia juga menjadi tumpuan kerana sejarah penganjurannya yang panjang. Gion Matsuri dikatakan bermula pada abad kesembilan Masihi sebagai sebahagian daripada upacara keagamaan untuk meredakan kemarahan dewa-dewi semasa berlakunya jangkitan wabak penyakit.

Sehingga hari ini, seorang budak lelaki tempatan akan dipilih sebagai penyampai mesej dewa-dewi ini dan tidak dibenarkan menjejakkan kaki ke tanah dari 13 haribulan hingga 17 haribulan iaitu hari dia diarak di sekeliling bandar.

2. Awa Odori (Tokushima)

Awa Odori merupakan festival tarian tradisional terbesar di Jepun. Dari 12 hingga 15 Ogos, lelaki, wanita dan kanak-kanak akan menari di jalan-jalan Tokushima sambil memakai pakaian kimono musim panas yang diperbuat daripada kapas dan topi jerami.

Tarian ini akan diiringi oleh muzik yang dimainkan oleh pemain-pemain alat muzik tradisional seperti seperti gendang taiko dan seruling shinobue. Lebih sejuta orang terlibat dalam festival ini.

Asal-usul festival ini dikatakan bermula pada abad ke-16 Masihi semasa era daimyo memerintah Tokushima ketika itu, Iemasa Hachisuka. Acara tarian ini dikatakan menjadi sebahagian daripada meraikan pembukaan Istana Tokushima dan orang tempatan yang mabuk selepas minum terlalu banyak sake akan menari dan memainkan alat muzik tradisional lalu menghasilkan sebuah lagu ringkas bernama Awa Yoshikono.

Bimbang kesan festival ini kepada pembesar dan golongan samurai, pada abad ke-17, satu perintah dikeluarkan yang menyaksikan pesta tarian hanya berlangsung selama tiga hari, golongan samurai dibenarkan menari dalam premis mereka tetapi tidak dibenarkan bergaduh dan tarian odori dilarang sama sekali dibuat di kawasan kuil.

Antara tahun 1674 hingga 1685, penari-penari tidak dibenarkan membawa senjata tajam termasuk yang diperbuat daripada kayu dan tidak dibenarkan menutup muka mereka.

Festival ini terhenti seketika semasa era Meiji berikutan wang penajaan dari hasil perdagangan pewarna biru semulajadi berkurangan berikutan kemunculan pewarna bahan kimia yang jauh lebih murah.

Ianya kembali diadakan semasa era Maharaja Hirohito dan terma Awa Odori diperkenalkan pada tahun 1926 sebagai sebahagian daripada usaha mempromosikan produk pelancongan tempatan.

Selain di Tokushima, Awa Odori juga turut diadakan di pinggir bandar Koenji, Tokyo di mana ia diperkenalkan oleh penduduk Tokushima yang berhijrah ke situ pada tahun 1956.

3. Kanda Matsuri

Kanda Matsuri merupakan antara tiga festival Shinto terbesar di Tokyo selain Fukugawa Matsuri dan Sanno Matsuri. Ia selalunya diadakan pada pertengahan bulan Mei dan diraikan di Kuil Kanda Myojin.

Kuil bergerak yang dipanggil Mikoshi akan dibawa berarak dan dibawa oleh seribu orang bermula di Kuil Kanda Myojin pada waktu pagi sebelum dibawa ke Kanda, Nihonbashi dan Akihabara sebelum kembali semula ke kuil pada waktu petang.

Matsuri ini dikatakan bermula pada abad ke-17 bagi meraikan kejayaan Ieyasu Tokugawa di Sekigahara dan diteruskan sebagai tanda kemakmuran pemerintahan Tokugawa semasa era Edo. Hari ini, ia diadakan bagi menghormati semangat di Kuil Kanda Myojin.

4. Festival Salji Sapporo

Festival Salji Sapporo atau Sapporo Yuki-matsuri ialah satu festival yang diadakan pada bulan Februari dan berlangsung selama seminggu. Pesta ini pada mulanya bermula sebagai acara sehari di mana enam pelajar sekolah tinggi membina enam patung salji di Odori Park pada tahun 1950.

Tetapi pesta ini mula menjadi sebutan apabila Angkatan Mempertahankan Diri Jepun (JSDF) yang berpangkalan di Makomanai menyertai festival berkenaan dan menghasilkan patung salji terbesar ketika itu dan ciri itu terus kekal sehingga hari ini.

Merupakan antara acara salji terbesar, tahun 2007 menyaksikan dua juta pengunjung mengunjungi festival berkenaan di tiga tapak iaitu Odori Park, Susukino dan Satoland. Festival ini juga menjadi tempat penganjuran Pertandingan Ukiran Salji Antarabangsa yang diadakan sejak tahun 1974.

5. Nebuta Matsuri (Aomori)

Nebuta Matsuri ialah satu lagi festival musim panas yang berlangsung pada setiap awal bulan Ogos di Aomori. Matsuri ini menarik paling ramai pelancong yang mencari pengalaman pesta musim panas di Jepun dan merupakan antara pesta terbesar di Tohoku.

Pesta ini sudah mendapat pengiktirafan termasuk Khazanah Budaya Rakyat Negara pada tahun 1980 dan sebahagian dari senarai 100 Soundscapes of Japan oleh Kementerian Alam Sekitar pada tahun 1996.

Perkataan Nebuta ini berkemungkinan diambil dari kisah seorang jeneral Tohoku bernama Aterui. Aterui menyatukan orang-orang Emishi yang dihalau keluar dari wilayah mereka dan bertanggungjawab menewaskan angkatan pembesar Ki no Kasami seramai 50,000 orang di Sungai Kitakami sebelum mara ke Fuji, Shizuoka. Pasukan ini menjadi duri dalam daging kepada Shogun Sakanoue no Tamuramaro selama 12 tahun sebelum akhirnya ditewaskan.

Aterui kemudiannya dibawa ke Osaka dan dibenarkan bertemu dengan Sakanoue sebelum beliau dipenggal. Kepalanya menjadi bahan pameran kepada orang ramai sementara ahli keluarga dan para pengikutnya diarah menggali lubang-lubang besar di Tohoku sebelum mereka dicampak ke dalam dan ditanam hidup-hidup.

Justeru, pesta ini merujuk kepada Nebuta iaitu pengikut-pengikut Aterui dihalau kembali ke alam kematian dengan tanah sebagai penutup. Dan menurut versi ini, penari-penari akan menghentak tanah sambil membawa hiasan perarakan Sakanoue.

Semasa era Edo dan Meiji, hiasan perarakan yang besar tidak dibawa ke pesta kerana bimbang ia akan menjadi punca kebakaran. Larangan sama turut berkuatkuasa semasa Perang Dunia Kedua tetapi ditarik balik pada tahun 1944 demi membangkitkan semula moral rakyat yang merudum ketika itu.

Untuk tahun-tahun berikutnya, syarikat-syarikat besar (zaibatsu) menaja perarakan ini dan penekanan kemudiannya difokuskan kepada memberi suntikan tambahan kepada industri pelancongan tempatan. Dahulunya, hiasan ini dibina daripada buluh dan menggunakan lilin sebagai sumber cahayanya.

Namun dengan kemajuan teknologi, ia digantikan dengan wayar dan mentol lampu pendarfluor bagi mengurangkan risiko kebakaran. Hiasan perarakan nebuta semakin besar setiap tahun tetapi dengan halangan urban seperti wayar dan tiang elektrik, ini menyebabkan mereka terpaksa menambah lebar hiasan perarakan.

Hiasan-hiasan ini selalunya menampilkan watak-watak mitos dan dewa-dewi dari budaya China dan Jepun tetapi ada juga yang menampilkan personaliti popular atau watak dari televisyen.

6. Kishiwada Danjiri Matsuri (Kishiwada, Osaka)

Danjiri Matsuri ialah festival pedati yang ditarik oleh peserta di mana ia berbentuk seperti kuil. Kereta angkut yang diperbuat daripada kayu ini turut dihiasi dengan ukiran-ukiran yang indah.

Bagi setiap pesta danjiri yang diadakan, menjadi tugas persatuan sesebuah tempat untuk memantau dan menyelia pedati mereka dan ia disimpan sehingga tempoh festival diadakan antara lewat September hingga bulan Oktober.

Apabila tempoh festival semakin hampir, ia akan dihias dengan pelbagai bentuk hiasan termasuk susunan bunga dan kad-kad sembahyang. Pada hari festival, pedati ini akan ditarik oleh peserta-peserta sekitar bandar dengan ketua persatuan memberi semangat dari atas pedati sambil diiringi oleh pemuzik yang memainkan melodi danjiri seperti pemain seruling dan pemain gendang taiko.

Danjiri Matsuri yang paling terkenal diadakan di Kishiwada, Osaka di mana ia dikatakan bermula pada awal abad ke-18 sebagai mensyukuri limpahan hasil tuaian di Fushimi Inara-taisha, Kyoto.

7. Tenjin Matsuri (Osaka)

Selain Gion Matsuri dan Kanda Matsuri, Tenjin Matsuri merupakan antara pesta tradisional terbesar di Jepun. Festival ini dikatakan bermula pada abad ke-10 dan hari ini berlangsung pada setiap 24 dan 25 Julai setiap tahun. Pesta ini dianjurkan oleh Kuil Tenmangu dan menghormati dewa utamanya, Sugawara Michizane iaitu dewa bagi para ilmuan.

Festival ini dimulakan dengan kuil mengadakan upacara menjemput dewa keluar dari kuil dan mengaraknya sekitar bandar, menganjurkan pelbagai aktiviti hiburan bagi menghiburkannya sebelum membawanya kembali ke kuil. Bagi penduduk tempatan, ini merupakan kesempatan terbaik untuk menikmati hari musim panas, memakai pakaian tradisional, melihat perarakan menarik dan menikmati suasana pesta yang menggembirakan.

Pada pagi hari pertama (24 Julai), satu upacara diadakan di Kuil Tenmangu disusuli dengan upacara ritual di sungai bagi memohon keamanan, keselamatan dan kemakmuran Osaka. Pada waktu tengah hari, paluan gendang dimainkan oleh pemain-pemain gendang yang memakai topi merah sebagai makluman persiapan untuk pesta sudah diselesaikan.

Pada hari kedua, dua perarakan diadakan iaitu perarakan darat yang membawa dewa Sugiwara Michizane dari kuil ke jalan-jalan sekitar Osaka dan perarakan air dengan bot-bot berhias melalui kawasan sungai sambil ditambah dengan persembahan bunga api pada waktu malam.

8. Yosakoi Matsuri (Kochi)

Yosakoi Matsuri ialah pesta tarian tradisional Jepun yang pertama kali diadakan di Kochi pada tahun 1954. Penari-penari tradisional yang terlibat dalam pesta ini menari tarian yang bersifat bertenaga kerana ia menggabungkan muzik tradisional dengan muzik bersifat kontemporari. Koreografi tarian ini selalunya membabitkan kumpulan besar.

Di Kochi, Yosakoi Matsuri ini berlangsung pada setiap bulan Ogos sejak tahun 1954 dan kumpulan-kumpulan penari bersama peserta-peserta yang membawa hiasan perarakan menari bersama. Bilangan peserta juga semakin bertambah setiap tahun dengan pada tahun 2005 menyaksikan penyertaan 10,000 peserta.

Festival itu turut menganjurkan pertandingan tarian yosakoi dengan menyertakan syarat wajib menggunakan clapper naruko dalam tarian, sebarang susunan muzik diterima tetapi ia mesti mengandungi satu elemen muzik Yosakoi Naruko Dancing dan bilangan kumpulan penari tidak melebihi 150 orang. Festival ini amat popular di dalam dan luar negara dari Tokyo dan Sapporo hinggalah Malaysia dan Indonesia.

9. Tanabata Matsui (Sendai, Miyagi)

Tanabata atau Festival Bintang ialah sebuah festival tradisi Jepun yang diambil Festival Qixi China. Ia bagi meraikan pertemuan dewa dan dewi Orihime dan Hikoboshi. Menurut cerita rakyat Jepun, galaksi Bima Sakti merupakan pemisah antara dua kekasih ini dan mereka hanya boleh bertemu pada hari ketujuh bulan ketujuh bulan dalam kalendar bulan-matahari.

Tarikh penganjuran festival ini berbeza-beza mengikut wilayah negara tetapi selalunya bermula pada 7 Julai. Sambutan ini selalunya diadakan antara Julai dengan Ogos setiap tahun. Festival ini dikatakan diperkenalkan Maharani Koken pada tahun 755 Masihi.

Antara perkara tetap yang dianjurkan bagi setiap festival Tanabata ialah pertandingan perhiasan Tanabata, perarakan dan kemunculan gerai-gerai makanan tradisi. Selain popular di seluruh negara, ia juga turut dianjurkan di luar negara seperti Sao Paolo dan Los Angeles.

10. Hakata Gion Yamakasa (Fukouka)

Festival yang berkisar tentang Kushida Jinja ini menjadi terkenal berikutan perlumbaan menarik Kakiyama, sebuah kereta berhias seberat satu tan dan para peserta berlumba menariknya sekitar jalan-jalan Fukouka. Sementara satu lagi hiasan bernama Kazariyama ialah satu hiasan perarakan setinggi 13 meter dan selalunya berdasarkan pelbagai peristiwa bersejarah atau mitos sejarah Jepun.

Festival ini dikatakan sudah berlangsung sejak 770 tahun lalu dan menarik sejuta pengunjung setiap tahun. Selain disenaraikan sebagai sebahagian daripada Khazanah Budaya Rakyat Negara pada tahun 1979, ia juga menjadi sebahagian daripada 100 Soundscapes of Japan pada tahun 1996.

RUJUKAN:

1. TsunaguJapan.com. (2019). 10 Popular Japanese Festivals. https://www.tsunagujapan.com/10-popular-japanese-festivals/

2. JapanGuide.com. Gion Matsuri. https://www.japan-guide.com/e/e3942.html

3. JapanGuide.com. Tenjin Festival (Tenjin Matsuri). https://www.japan-guide.com/e/e4023.html


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Graduan Bachelor of Business Admin (Human Resource) dari UNITAR yang meminati sejarah sejak 11 tahun. Ketika ini merupakan saudagar simkad Tone Excel. Harapan terbesar ialah melihat saudara seagama dan sebangsa kembali bersatu di bawah satu panji dan terus maju bersama. Tanpa perpaduan, manusia tidak akan ke mana-mana, malah tidak akan dapat membina sebuah tamadun yang gemilang seperti mana yang dilakukan oleh nenek moyang kita yang lepas. Dan sejarah adalah saksi bahawasanya perpaduan kunci penting dalam membina sebuah tamadun yang gemilang.

Comments are closed.