Bagi yang ingin melawat senarai Tujuh Keajaiban Dunia yang asal, sedikit berita buruk: hanya satu saja yang masih wujud iaitu Piramid Agung Giza. Selebihnya sama ada hilang ditelan zaman atau musnah akibat bencana alam. Selain Piramid Agung Giza, Rumah Api Alexandria, Taman Tergantung Babylon, Patung Colossus di Rhodes, Patung Zeus di Mount Olympia, Makam Halicarnassus dan Kuil Artemis di Ephesus turut menyertai senarai yang dikumpul cendekiawan Yunani, Philo dari Byzantium. Terdapat banyak tempat yang mendakwa ia juga merupakan keajaiban dunia kelapan. Berikut beberapa tempat menarik yang membuat dakwaan ini:

1. White and Pink Terrace, New Zealand.

Rajah 1: Lukisan Teres Putih di Tasik Rotomahana, New Zealand.

Teres bersejarah yang terletak di dua tebing bertentangan Tasik Rotomahana, New Zealand ini pernah menjadi pembentukan kerak silika terbesar di dunia. Pada satu tebing, teresnya berwarna merah jambu sementara satu lagi tebing berwarna putih.

Pada awal dekad 1880-an, teres-teres ini sentiasa dipromosikan sebagai destinasi pelancongan dan keajaiban dunia yang kelapan. Bagaimanapun, teres-teres ini hilang apabila ia ditutup dengan lava gunung berapi yang meletus pada tahun 1886.

Pada tahun 2017, penyelidik-penyelidik mendakwa kedua-dua teres ini terselamat dalam Journal of the Royal Society of New Zealand dan ia hanya ditutup oleh lava yang telah sejuk. Tetapi pada tahun lepas, dalam jurnal sama, penyelidik-penyelidik ini mendapati teres putih musnah sama sekali dengan teres merah jambu telah ditolak ke dasar Tasik Rotomahana.

2. Patung Terakota Makam Qin Shi Huang

Rajah 2: Patung-patung terakota Makam Qin Shi Huang

Pada tahun 1974, sekumpulan pekerja di luar bandar Xian, Wilayah Shaanxi sedang melakukan penggalian sebuah perigi apabila mereka menjumpai salah satu daripada penemuan arkeologi terhebat: patung-patung terakota terdiri daripada patung tentera, kuda dan kereta berkuda abad ketiga SM yang dipercayai dihasilkan sebagai pengawal maharaja pertama China itu di alam barzakh.

Sejak itu, sesetengah patung ini menjadi sebahagian daripada pameran-pameran muzium di seluruh dunia. Patung-patung ini dianggap menarik dari segi visual dan kehalusan pembuatannya berikutan ekspresi berbeza setiap askar yang dihasilkan oleh artisan. Ketinggian kemahiran artisan pada skala besar ini menyebabkan banyak laman berita dan pelancongan menggelarnya keajaiban dunia kelapan. 13 tahun selepas dijumpai, Pertubuhan Bangsa Bersatu untuk Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan (UNESCO) mengelaskan Makam Qin Shi Huang sebagai Tapak Warisan Dunia.

3. Teres Padi Banaue, Filipina

Rajah 3: Teres Padi Banaue

Lebih 2,000 tahun lalu, orang Ifugao mengukir siri teres padi di Banaue, satu kawasan pergunungan di Luzon. Teres ini menyerupai bentuk tangga berkeluasan 4,000 kaki persegi dan merupakan sebahagian sistem pengairan yang digunakan orang Ifugao untuk menanam padi.

Gelaran keajaiban dunia kelapan ini sudah diberi sejak tahun 1979 menerusi artikel lama The New York Times dan laman sesawang maklumat Filipina yang lama.

Sebahagian daripada teres itu diklasifikasikan sebagai Tapak Warisan Dunia pada tahun 1995. Pada permulaan abad ke-21, tapak tersebut menjalani proses pemuliharaan bagi melindungi teres bersejarah itu dan seterusnya menjadi tumpuan tarikan pelancong.

4. Borobudur

Rajah 4: Borobudur

Borobudur merupakan kuil Buddha terbesar di dunia dan terletak di Jawa Tengah, Indonesia. Kuil yang dibina pada abad kesembilan Masihi semasa era Dinasti Sailendra, ia kemudiannya tertanam pada tahun 1000 berikutan peristiwa letusan gunung berapi. Kepentingannya juga semakin dilupakan apabila kerajaan-kerajaan Jawa menerima kehadiran Islam dan kemerosotan kerajaan Jawa beragama Hindu.

Namun selepas ditemui semula pada awal abad ke-19, ia mula menarik perhatian ramai sehinggakan ada yang mengambil artifak di situ sebagai cenderamata. Untuk mengelak situasi ini dari berterusan, Borobudur mengalami proses pemuliharaan sebanyak dua kali iaitu 1907-1911 dan 1970-an – 1983. Sejak itu, ia dilabel oleh pelbagai media sebagai keajaiban dunia kelapan dan diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia pada tahun 1991.

5. Angkor Wat

Rajah 5: Angkor Wat

Monumen keagamaan terbesar di dunia ini dibina pada abad ke-12 Masihi atas arahan Raja Khmer ketika itu, Raja Suryavarman II. Selain didedikasikan sebagai kuil Hindu kepada Dewa Vishnu, ia juga berperanan sebagai tempat pemakaman baginda. Tetapi selepas akhir abad ke-12, ia bertukar peranan sebagai kuil Buddha dan menjadi mercu tanda Kemboja hari ini. Ia bukan saja diabadikan pada bendera kebangsaan Kemboja tetapi turut diklasifikasikan sebagai Tapak Warisan Dunia pada tahun 1992.

6. Citadelle Laferriere, Haiti

Rajah 6: Citadelle Laferrriere

Citadelle Laferriere yang turut dikenali sebagai Citadelle Henri Christophe ini dibina di atas puncak kawasan pergunungan Bonnet a L’Eveque pada tahun 1820. Arahan pembinaan dikeluarkan pada tahun 1805, tahun sama revolusi kemerdekaan Haiti tercetus.

Ini bagi membolehkan Haiti yang baru mencapai kemerdekaan mempunyai fasiliti pertahanan diperlukan untuk melawan ancaman penjajah lama mereka, Perancis sekiranya mereka cuba kembali menjajah Haiti. Citadel ini sudah menjadi tarikan pelancong sejak tahun 1930-an dan kebanyakan media dan laman pelancongan melabelnya sebagai keajaiban dunia kelapan. Ia juga menjadi Tapak Warisan Dunia oleh UNESCO pada tahun 1982.

7. Empangan Aswan, Mesir

Rajah 7: Empangan Aswan

Tidak ramai tahu projek empangan ini yang juga projek kerjasama Mesir-Kesatuan Soviet ini dilabel sebagai keajaiban dunia kelapan oleh Nikita Khruschev selepas ia siap dibina pada tahun 1970. Projek ini bertujuan membantu Kaherah mengawal kitaran banjir tahunan Sungai Nil sekaligus memberi kesan positif kepada ekonomi terutama dari segi pertanian dan peluang pekerjaan.

Namun, pembinaan empangan ini mengakibatkan kesuburan tanah di Delta Nil berkurangan, pemindahan penduduk ke tempat lebih tinggi dan kehilangan beberapa tapak arkeologi Mesir Purba berprofil tinggi seperti Kubu Buhen dan Tanah Perkuburan Fadrus.

RUJUKAN:

Little, Becky. (2019). The Many Places Claiming to Be the ‘Eighth Wonder of the World’. History. https://www.history.com/news/eighth-wonder-of-the-world-7-ancient-wonders


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Graduan Bachelor of Business Admin (Human Resource) dari UNITAR yang meminati sejarah sejak 11 tahun. Ketika ini merupakan saudagar simkad Tone Excel. Harapan terbesar ialah melihat saudara seagama dan sebangsa kembali bersatu di bawah satu panji dan terus maju bersama. Tanpa perpaduan, manusia tidak akan ke mana-mana, malah tidak akan dapat membina sebuah tamadun yang gemilang seperti mana yang dilakukan oleh nenek moyang kita yang lepas. Dan sejarah adalah saksi bahawasanya perpaduan kunci penting dalam membina sebuah tamadun yang gemilang.

Comments are closed.