Gaius Caesar Germanicus, umumnya dikenali sebagai maharaja Caligula, lahir pada 31 Ogos 12 M di Antium, lebih kurang 40 km dari selatan Rom. Bapanya ialah Germanicus, seorang jeneral terkenal dan anak saudara kepada Maharaja Tiberius. Semasa zaman kecilnya, Gaius pernah menemani bapanya dalam kempen-kempen ketenteraan di Rhine. Ketika waktu ini, baginda sering kali tampil dengan memakai seragam tentera yang dibuat mengikut saiz badannya hingga mendapat nama gelaran ‘Caligula,’ bermaksud ‘sepatu kecil tentera.’

Baginda mempunyai lima orang abang (tiga daripadanya meninggal semasa bayi) dan tiga adik perempuan. Hubungan baginda dengan tiga adik perempuannya sangat rapat hingga munculnya kisah berkenaan baginda sering kali mengadakan hubungan terlarang dengan mereka. Di samping saudara-saudara perempuan, Caligula mempunyai empat isteri. Baginda mengahwini Junia Claudia pada 33 M, tetapi beliau meninggal semasa melahirkan anak.

Seterusnya, Livia Orestilla, yang diambil oleh baginda semasa sambutan perkahwinan Livia dengan Gaius Calpurnius Piso sedang berjalan (lewat 37 M). Namun, dalam masa dua bulan, baginda menceraikannya, dan tahun seterusnya mengahwini Lollia Paulina, yang turut menerima nasib sama. Isteri keempat baginda, Milonia Caesonia lebih serasi dengannya berbanding tiga isteri sebelum ini. Mereka berkahwin pada lewat musim panas 39 M, dan melahirkan seorang anak perempuan bernama Julia Drusilla, diambil bersempena nama adiknya.

Zaman remaja Caligula telah dibayangi oleh nasib yang menimpa ibu dan abangnya, Nero dan Drusus. Mereka dituduh merancang untuk menggulingkan Tiberius, dan kema.tian mereka antara 31 dengan 33 M sudah tentu meninggalkan kesan yang mendalam kepada Caligula. Bagaimanapun, baginda berjaya menyembunyikan emosinya dan ‘ganjaran’nya ialah hubungan baik dengan Tiberius terjalin dan peluang untuk kenaikan takhta semakin tinggi. Pada usia 18 tahun, baginda tinggal bersama Tiberius di Capri.

Awal Pemerintahan

Dengan bantuan Ketua Pengawal Praetorian, Macro, masalah kecil daripada wasiat Tiberius, yang menamakan Gaius dan Gemellus sebagai pewaris takhta bersama, telah diketepikan dengan mengisytiharkannya tidak sah atas alasan Tiberius tidak berfikiran waras dan memastikan kenaikan Caligula berjalan lancar apabila maharaja yang sudah tua meninggal pada 16 Mac 37 M. Pada 18 Mac 37 M, senat dan rakyat menyerahkan kuasa tunggal kepada seorang pemuda yang berusia 24 tahun, hampir tidak mempunyai sebarang pengalaman dalam urusan kerajaan.

Bagi rakyat, anak kepada Germanicus yang dihorm.ati dan terkenal itu kelihatan penawar sempurna kepada pemerintahan Tiberius yang menindas. Dengan harapan tinggi, rakyat percaya Caligula mewarisi keperibadian hebat bapanya dan seorang pemerintah yang dinantikan selama ini. Pada 28 Mac 37 M, kedatangan baginda di Rom sangat dialu-alukan oleh penduduknya dan baginda menerima hak untuk memerintah legion dan provinsi imperial.

Salah satu tindakan awal Caligula ialah membawa kembali abu mayat ibu dan abangnya dari Pulau Pontian dan menyediakan tempat persemadian yang lebih baik dalam Makam Augustus. Baginda menjadikan bapa saudaranya Tiberius Claudius Nero Germanicus sebagai konsul dan Gemellus (cucu Tiberius) pula sebagai anak angkat. Manakala neneknya, Antonia Minor, menerima penghormatan dan keistimewaan sama seperti yang diterima oleh Livia walaupun hubungan antara mereka tidak berapa baik (apabila Antonia meninggal pada 1 Mei 37 M, khabar angin mengatakan beliau telah dipaksa untuk mengambil nyawanya sendiri).

Awal tempoh pemerintahan, Caligula membawa satu nafas segar kepada rakyat yang selama ini tertindas bawah Tiberius. Baginda menghapuskan pembicaraan pengkhianatan, manakala delatores dijatuhkan hukuman m.ati. Tahanan politik pula diberikan pengampunan dan memanggil semula mereka yang dibuang dari tanah air. Bagi menunjukkan dirinya bukan pendendam, baginda memusnahkan dokumen peribadi Tiberius (turut terdapat nama mereka yang terlibat dalam membawa kehancuran kepada keluarga Caligula).

Malah, princeps baharu ini menonjolkan diri melalui sikap bermurah hati dengan menghapuskan cukai jualan, mengagihkan wang kepada penduduk Rom dan membayar sejumlah bonus kepada Pengawal Praetorian dua kali ganda daripada yang dijanjikan oleh Tiberius. Baginda turut menganjurkan hiburan bagi menyenangkan hati rakyat seperti menggalakkan perlumbaan kereta kuda, pertandingan gladiator, menambahkan bilangan hari untuk perayaan Saturnalia. Bagi kemudahan awam pula, baginda memulakan pembinaan akueduk Aqua Claudia dan Anio Novus, menambah baik pelabuhan Rhegium bagi memudahkan kemasukan bekalan bijirin, menyiapkan pembinaan Teater Pompey, dan menjadi Pater Patriae pada 21 September 37 M.

Malangnya, tempoh tersebut tidak bertahan lama kerana Caligula jatuh sakit dan mencapai zaman kemuncaknya terlalu awal. Titik peralihan kelihatan berpunca daripada penyakit serius yang menyerangnya pada bulan Oktober 37 M, enam bulan selepas kenaikan baginda. Penyakitnya itu telah menjejaskan kesihatan mental yang serius.

Sebelum ini, semasa usia kanak-kanak, Caligula pernah menjadi mangsa kepada penyakit sawan (epilepsi) hingga mempengaruhi keadaan mentalnya. Ditambah pula, nasib malang yang menimpa keluarganya. Caligula kembali pulih pada penghujung tahun 37 M, tetapi keadaan tidak lagi sama seperti dahulu. Personaliti baginda telah berubah dan tingkah lakunya sukar dijangkakan dan lebih kejam.

Simptom-simptom kegilaan menjadi lebih terserlah pada tempoh seterusnya.Selagi mana terdapat pencabar yang berpotensi merebut takhta, Caligula tidak dapat biarkan masalah ini bermain dalam fikiran. Pada penghujung Mei 38 M, baginda menyingkirkan dua individu buat selama-lamanya. Macro telah diperdayakan untuk menyerahkan kuasa dan kemudian dipaksa untuk membu.nuh diri, dan Tiberius Gemellus, yang disyaki oleh Caligula kerana merancang plot untuk menggulingkannya.

Caligula

Maharaja yang Sukar Diramalkan

Pada 10 Jun 38 M, tragedi menyayat hati menimpa Caligula. Adik yang paling disayanginya, Drusilla, meninggal dunia. Baginda mengarahkan beliau diagungkan sebagai tuhan, namun kemudian baginda menggunakan konsep kedewaan tersebut ke atas dirinya sendiri. Caligula lebih teruja apabila mengetahui tradisi penyembahan pemerintah yang masih hidup merupakan perkara normal di pronvinsi timur Rom, tetapi melakukan perkara tersebut di Rom merupakan satu tindakan yang sudah melampaui batas.

Praetorian mengisytihar Claudius sebagai maharaja. Lukisan oleh Lawrence Alma-Tadema pada abad ke-19

Caligula telah mencetuskan kemarahan orang ramai apabila membina sebuah kuil untuk dirinya sendiri di Bukit Palatine. Memburukkan lagi keadaan, baginda merancang untuk menjadikan kuil suci kaum Yahudi di Jerusalem sebagai tempat mengagungkannya sebagai tuhan hingga mencetuskan protes besar-besaran. Namun, ia berjaya diredakan oleh tindakan gabenor tempatan, Publius Petronius yang terus mengabaikan perintah maharaja.

Tugu Caligula didirkan di hadapan kuilnya. Baginda meletakkan dirinya sebagai tuhan semasa hayatnya

Perbelanjaan mewah Caligula tidak mampu lagi ditanggung, dan apabila wangnya kehabisan, popularitinya juga turut merudum. Bagi mengimbangi perbelanjaan yang tidak mencukupi, baginda terpaksa menyita estet-estet warga Rom yang kaya, memeras dan menaikkan cukai. Maka, tidak menghairankan, hubungan Caligula dengan anggota senat turut merosot.

Pada awal tahun 39 M, Caligula menyampaikan ucapan kontroversi, menuduh penglibatan senat dalam menjalankan hukuman ma.ti terhadap ibu dan abang-abangnya semasa pemerintahan Tiberius. Baginda menghina anggota senat, malah dikatakan telah menjadikan kudanya sebagai konsul. Pada September, masalah serius pertama timbul apabila baginda memecat kedua-dua konsul daripada jawatan mereka tanpa sebarang alasan logik. Tindakan tersebut lebih cenderung kerana pengkhianatan, namun ada yang menyatakan kerana konsul gagal mengisytiharkan hari untuk sambutan ulang tahun kelahirannya.

Pada September 39 M, tidak beberapa lama selepas konflik dengan senat dan konspirasi dalaman, Caligula bertolak dari Rom menuju ke utara. Tujuannya hanyalah untuk menakluk Brittania dan dengan itu membangunkan dua legion baharu. Walaupun rancangan ini gagal, namun kesilapan bukan sepenuhnya berpunca daripada Caligula.

Masalah pertama ialah tentera di Germania Superior yang mempunyai disiplin teruk dan ketidakupayaan Cornelius Lentulus Gaetulicus sebagai komander atau gabenor di sana. Baginda berdepan dengan konspirasi berbahaya apabila Gaetulicus merancang untuk meletakkan Marcus Aemilius Lepidus (seorang bangsawan dari Republik lama dan juga bekas suami kepada adik Caligula, Drusilla) menggantikan takhta.

Hukuman m.ati Gaetulicus dan Lepidus menyusul pada 18 Oktober 39 M, dan dua lagi adik Caligula yang masih hidup, Julia Agrippina dan Julia Livilla yang disyaki turut terlibat, telah dibuang ke pulau kecil Pontine berdekatan pantai Itali. Pada awal tahun 40 M, Caligula sendiri tiba di Rhine selepas menghabiskan musim sejuk di Lyons. Maharaja pada masa akan datang, Galba telah ditempatkan sebagai komander di Germania Superior menggantikan Gaetulicus, dan terdapat beberapa operasi tentera menentang puak Germania, tetapi tiada kemenangan besar diperoleh.

Caligula bergerak ke Selat Inggeris bagi kempen penaklukan Brittania, tetapi sebaliknya berlaku apabila mengarahkan tentera mengumpulkan cengkerang laut untuk dibawa pulang ke Rom sebagai harta rampasan daripada kemenangan maharaja ke atas dewa laut, Neptune. Namun, terdapat teori lain mengatakan bahawa perjalanan tersebut hanyalah satu latihan dan misi peninjauan. Kemungkinan juga untuk menerima penyerahan Adminius, anak kepada ketua puak Briton. Apa yang pasti, penaklukan Brittania tidak pernah digerakkan, berkemungkinan risikonya terlalu besar.

Pembu.nuhan

Bulan-bulan terakhir pada 40 M menyaksikan Caligula sudah hilang kepercayaan dan sokongan hampir seluruh tempat akibat tindakan tidak terkawal dan kejam. Lewat tahun tersebut, konspirasi lain terbongkar dan beberapa senator dihukum m.ati. Namun, perancangan yang membawa kepada pembu.nuhan Caligula melibatkan lebih ramai lagi individu penting dalam kerajaan.

Caligula dibu.nuh oleh Pengawal Praetorian dalam ilustrasi dari abad ke-18 edisi dari The History of the Jewish People, ditulis oleh Josephus Flavius sekitar 30 tahun selepas pembu.nuhan tersebut

Pegawai-pegawai daripada Pengawal Praetorian yang diketuai oleh Cassius Chaerea dan beberapa anggota senat berjaya membu.nuh maharaja. Pembu.nuhan dirancang pada 24 Januari 41 M, semasa Caligula sedang menyaksikan hari terakhir pertandingan yang diadakan di Palatine. Semasa hendak keluar melalui satu laluan sempit, Caligula ditikam dari belakang oleh Chaerea, disusuli oleh beberapa pengkomplot lain. Mereka melengkapkan kerja ini dengan membun.uh isteri baginda, Caesonia dan anaknya, Drusilla pada hari yang sama.

Senat berusaha untuk menggunakan kesempatan atas kema.tian Caligula bagi menghidupkan kembali republik, namun mereka dikecewakan kerana Pengawal Praetorian lebih berminat untuk mengekalkan kesinambungan Principate demi kepentingan tersendiri.

Caligula kemudian disemadikan dalam Makan Augustus oleh adiknya, Agrippina dan Livilla selepas mereka Kembali daripada buangan. Nama baginda dipadamkan dari rekod rasmi kerajaan dan arca-arcanya dimusnahkan. Walau bagaimanapun, kisah Caligula tidak mudah dilupakan kerana baginda iaalah maharaja gila dari Empayar Rom.

Sementera Praetorian sedang menjarah istana, mereka melihat sepasang kaki di sebalik langsir. Mereka menarik keluar kain berkenaan dan menemui Claudius, bapa saudara maharaja yang dibun.uh, yang dalam ketakutan. Claudius bimbang bahawa beliau juga akan menemui ajal, tetapi Praetorian mengenali beliau sebagai saudara kepada bekas jeneral mereka, Germanicus. Percaya bahawa masa hadapan mereka sendiri bergantung kepada siapa yang memegang kuasa teratas, mereka membawa pergi Claudius ke kem Praetorian dan menerima beliau secara rasmi sebagai maharaja baharu. Terlepas daripada maut, Claudius berjanji untuk memberi satu ganjaran besar sebagai ‘bayaran’ kepada kesetiaan mereka.

Anda sebenarnya sedang membaca salah satu bab khas dalam KITAB TAMADUN ROM. Kami nak jemput anda beli buku terbaru kami, KITAB TAMADUN ROM kalau anda berminat dengan TAMADUN ROM di webstore kami: https://bit.ly/pratempahktmktr


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Moving forward as one.

Comments are closed.