Pada pertengahan abad ke-19, ramai orang berpusu-pusu ke ceruk-ceruk terpencil Australia untuk bekerja di lombong-lombong emas. Bagaimanapun, disebabkan persekitaran pedalaman Australia yang mencabar, solusi mereka ialah membawa masuk unta-unta dan para pengendali mereka. Kehadiran mereka turut membawa bersama gelombang pertama Islam di bumi Down Under itu.

Jadi, kenapa unta dipilih? Walaupun kuda boleh digunakan untuk membawa bekalan di kawasan padang pasir, hakikatnya mereka berdepan kesukaran berjalan di atas kawasan pasir yang halus. Faktor haba turut menyukarkan usaha mengangkut bekalan dibuat.

Tidak seperti haiwan-haiwan lain, unta dianggap bahtera di padang pasir. Ia mempunyai kapasiti air mencukupi untuk hidup di kawasan gurun. Selain itu, kemampuannya untuk mengangkut kargo yang berat tanpa sebarang masalah dalam persekitaran ekstrem amat sesuai dengan keadaan di Australia ketika itu.

Kebanyakan pengendali unta ini datang dari India, Pakistan dan Afghanistan. Walaupun ada pengendali unta beragama Hindu, majoriti pengendali yang dibawa dari pelabuhan-pelabuhan seperti Fremantle, Port Pirie dan Port Augusta beragama Islam.

Tugas mereka mudah iaitu membawa bekalan untuk para pelombong emas, menjadi pemandu pengembala antara setiap stesen haiwan ternakan (lembu dan kambing biri-biri) dan mengenalpasti sumber air. Mereka turut menyediakan depot-depot bekalan di sepanjang laluan. Ini termasuk mendirikan masjid kecil di kawasan lagun atau anak sungai.

Ini bukan satu tugas yang mudah di mana ia memerlukan mereka berada di luar selama berbulan-bulan lamanya.  Suhu boleh saja mencecah 38 darjah Celsius pada musim panas dan bawah paras beku pada malam musim sejuk.

Dalam tempoh ketiadaan mereka, urusan rumahtangga digalas oleh isteri-isteri mereka yang terdiri daripada wanita-wanita tempatan. Tetapi pengorbanan mereka dianggap berbaloi kerana banyak pembangunan Australia hari ini berjaya direalisasikan menerusi batu asas yang ditinggalkan mereka.

Salah satu impak kehadiran mereka ialah pembinaan masjid pertama di Australia iaitu Masjid Marree. Masjid ini didirikan pada 1861 dan terletak kira-kira 600 km dari bandaraya Adelaide. Walaupun masjid tersebut sudah tidak wujud hari ini, sebuah replika masjid dibina tetapi bukan di lokasi asalnya.

Antara tempat yang menjadi tumpuan pemandu unta untuk bermastautin ialah Broken Hill. Pada awal 1900, terdapat 400 pemandu unta di situ. Mereka menetap di dua buah kem yang terletak di utara dan barat pinggir Broken Hill dan beribadat di dua buah masjid.

Hari ini, hanya satu masjid di sebelah utara yang masih wujud tetapi ia berperanan sebagai muzium. Justeru, bagi komuniti Islam yang tinggal di Broken Hill, mereka beribadat di Pusat Kajian Islam dan Sufi Almiraj yang dibuka pada 2013.

Disebabkan kebanyakan pemandu unta datang dari latar belakang kabilah yang kuat, mereka dilihat mempunyai hubungan kuat dengan orang asal Australia (Aboriginal). Justeru, perkahwinan dengan wanita berdarah orang asal bukan asing dalam kalangan mereka. Pada masa sama, ada juga wanita berdarah Kaukasia berkahwin dengan pemandu unta di mana mereka memeluk Islam dan mengerjakan ibadat haji.

Selepas tugas mereka selesai, ada pemandu unta memilih kembali ke negara asal. Salah satu sebab pemergian mereka ialah peraturan imigresen Australia ketika itu yang bersifat diskiriminasi terhadap pendatang. Ini termasuk tidak memberi kerakyatan kepada mereka yang telah menetap lama. Bagi yang sudah berkeluarga, mereka memilih untuk kekal dan terus mencari rezeki untuk menyara keluarga.

Menjelang tahun 1920-an, unta dan pemandu unta tidak lagi diperlukan. Ini kerana kawasan pedalaman Australia semakin mudah diakses menerusi jaringan landasan keretapi dan jalan raya. Selepas khidmat mereka tidak lagi diperlukan, ramai pemandu unta memilih sama ada bekerja di lombong emas atau di stesen-stesen ternakan lembu/kambing biri-biri.

Kali terakhir khidmat pemandu unta digunakan ialah pada tahun 1929. Pemandu unta bernama Sultan Aziz diminta membawa bekalan dari Broken Hill ke satu kawasan yang dipanggil Durham Downs. Pada ketika itu, dia berusia 79 tahun.

Lebih seabad berlalu, jasa para pemandu unta kepada pembangunan Australia diabadikan dalam bentuk mural, patung dan masjid-masjid sekitar negara itu. Kerana mereka juga, gelombang pertama Islam tiba di bumi Down Under itu.

RUJUKAN

Unicomb, M. (2022, 22 Februari). Outback mosques: The cameleers who brought Islam to Australia. Middle East Eye.


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Graduan Bachelor of Business Admin (Human Resource) dari UNITAR yang meminati sejarah sejak 11 tahun. Ketika ini merupakan saudagar simkad Tone Excel. Harapan terbesar ialah melihat saudara seagama dan sebangsa kembali bersatu di bawah satu panji dan terus maju bersama. Tanpa perpaduan, manusia tidak akan ke mana-mana, malah tidak akan dapat membina sebuah tamadun yang gemilang seperti mana yang dilakukan oleh nenek moyang kita yang lepas. Dan sejarah adalah saksi bahawasanya perpaduan kunci penting dalam membina sebuah tamadun yang gemilang.

Leave A Reply