Isu kahwin lambat bukan satu isu baru dalam masyarakat hari ini. Di Malaysia sendiri, gelaran-gelaran seperti andartu (anak dara tua), andalusia (anak dara lanjut usia) dan bujang terlajak dibaling kepada individu-individu yang masih belum berkahwin atau lambat berkahwin. Tetapi di Jepun, ia merupakan satu masalah serius dengan semakin sedikit rakyatnya memilih untuk berkahwin dan memiliki anak. Bagi kelompok akademik, situasi ini dianggap bom masa demografik Jepun.

Berdasarkan kajian yang dikeluarkan Institut Kajian Populasi dan Keselamatan Sosial Kebangsaan pada tahun 2015, kadar kelahiran tahunan Jepun dijangka menurun dari 742,000 (2040) kepada 557,000 (2065) dan 315,000 (2115). Jika melihat penurunan kadar ini dari tahun 2015 kepada 2020, ia boleh diterjemahkan kepada penurunan 100,000 kelahiran dalam tempoh lima tahun berkenaan. Melihat kepada penurunan kadar kelahiran dan bilangan warga emas yang semakin bertambah di Jepun, maka tidak hairanlah mengapa situasi ini membimbangkan Tokyo.

Sekarang, mari kita beralih pula kepada statistik warganya yang mahu berkahwin. Satu kajian yang dibuat Meiji Yasuda Life Insurance pada tahun 2016 mendedahkan penurunan bilangan lelaki Jepun yang berumur 20 tahun ke atas yang mahu berkahwin dari 67.1% (2013) kepada 38.7% pada tahun 2016. Sementara bilangan wanita dalam kumpulan umur sama juga turut menunjukkan kemerosotan dari 82.2% (2013) kepada 59% (2016). Bilangan ini sekaligus menunjukkan isu kahwin lewat di Jepun merupakan satu isu yang tidak boleh dipandang remeh.

Jadi kenapa ramai warga negara Matahari Terbit ini berkahwin lewat? Bagi wanita Jepun, secara tradisonalnya mereka berkehendakkan bakal suami sempurna yang mempunyai kriteria ini iaitu pencapaian akademik yang baik, ketinggian fizikal dan pendapatan tinggi. Tetapi seiring dengan isu deflasi yang melanda negara itu, ramai wanita mahukan lelaki yang mempunyai pendapatan stabil bagi menampung kehidupan berumahtangga. Laporan sama mendedahkan lebih daripada separuh responden wanita mahukan pasangan mereka mempunyai pendapatan tahunan sekurang-kurangnya empat juta yen ($38,270 setahun). Tetapi hanya 15.2% responden lelaki sahaja yang mempunyai pendapatan sedemikian.

Pensyarah media dan komunikasi Universiti Hokkaido Bunkyo Makoto Watanabe berpandangan wujud beberapa faktor yang mendorong orang Jepun enggan berkahwin atau berkahwin lambat. Satu daripadanya ialah isu kestabilan ekonomi mereka. Watanabe berkata, “Ramai orang mahu berkahwin tetapi mereka tidak berkemampuan menerima tanggungjawab menguruskan kewangan rumahtangga. Satu daripada tiga orang tidak mempunyai pekerjaan tetap dan tiada jaminan pekerjaan, jadi mereka melihat ini sebagai satu tekanan yang tidak pasti dan menjustifikasikan sebab untuk tidak berkahwin.” Beliau turut menceritakan keinginannya untuk berkahwin pada usia 30-an tetapi tidak dapat berbuat demikian atas sebab kedudukan kewangan dirinya yang tidak stabil ketika itu. Kini pada usia 41 tahun, Watanabe bimbang peluangnya untuk bertemu jodoh juga semakin berkurangan.

Selain status ekonomi individu, generasi muda Jepun menikmati kebebasan peribadi mereka seperti tekanan sosial untuk berumahtangga. Watanabe menambah, “Generasi muda hari ini tidak melihat ia sebagai satu tanggungjawab utama dalam kehidupan.” Jepun juga turut menyaksikan perubahan sikap dalam kalangan jantina hari ini. Bagi golongan wanita, kelompok akademik menggelar sesetengah daripada mereka karnivor kerana mendahulukan pekerjaan dan kehendak mereka sendiri berbanding keperluan membentuk sebuah keluarga. Sementara golongan lelaki pula digelar herbivor kerana mereka dilihat sanggup bertahan dalam pekerjaan mereka walaupun tidak gembira dan kurang mendominasi kaum Hawa.

Di sebalik semua ini, ini bukan bermakna orang Jepun sudah tidak percaya kepada keajaiban cinta dan keindahan perkahwinan. Hakikatnya, mereka masih mencuba mencari pasangan ideal sebagai teman hidup mereka. Shiho, seorang doktor wanita berusia 38 tahun mengakui jadual kerjanya yang mencabar menyukarkan usahanya mencari teman hidup. Dia berkata, “Saya terlalu sibuk dengan kerja saya menyebabkan saya kurang berpeluang bertemu dengan orang lain. Saya masih berharap dapat bertemu dengan orang yang padan tetapi saya dapat rasakan ia semakin sukar untuk dilakukan.” Shiho menambah dia tidak akan mendiskriminasi lelaki yang mempunyai pendapatan kurang daripadanya tetapi mencari lelaki yang berkongsi minat dan latar belakang yang sama.

Situasi ini menyebabkan ada yang bersedia menerima perkahwinan yang diatur atau omiai dalam Bahasa Jepun. Walaupun sudah perubahan mentaliti di mana masyarakat menerima pasangan yang berkahwin atas dasar cinta tetapi 5-6% masih bersedia memilih omiai untuk membina keluarga. Selalunya pada masa dahulu, perkahwinan sebegini diatur oleh ahli keluarga dan membabitkan rundingan untuk menjayakannya dari isu kewangan hinggalah kesesuaian calon yang dicanang. Tetapi peranan itu kini diambil alih oleh agensi cari jodoh. Di Jepun, mana-mana individu yang memilih agensi ini perlu mengisi profil dan melihat siapa lelaki/wanita bujang dalam senarai agensi. Selalunya perkara ini dilakukan oleh ahli keluarga terutama ibu individu tersebut.

Dari situ, agensi akan mengaturkan pertemuan pertama antara uda dan dara ini. Mereka ini akan ditemani oleh ahli keluarga mereka semasa pertemuan pertama itu kerana ini bukan saja memudahkan mereka mengenali bakal pasangan tetapi juga mengenali bakal keluarga mentua/besan. Selepas pertemuan itu, individu itu boleh memilih sama ada menolak atau bersedia untuk bertemu beberapa kali lagi. Jika si uda/dara memilih meneruskan, maka beberapa pertemuan akan diadakan bagi mereka saling mengenali sebelum upacara perkahwinan diadakan beberapa minggu atau bulan selepas proses dijalankan. Nampak singkat tetapi ada sebab tempoh sebegini dipilih. Agensi-agensi cari jodoh sememangnya diketahui mengenakan kos yang mahal terutama dalam meletakkan profil lelaki/wanita bujang dalam senarai mereka.

Jika agensi sebegini tidak menjadi pilihan, warga Jepun mempunyai alternatif iaitu Zenkoku Nakodo Rengokai atau Persatuan Cari Jodoh Kebangsaan. Persatuan ini masih berpegang kepada kaedah tradisional di mana mereka memberi nasihat kepada klien bagaimana hendak menarik lelaki/wanita idaman hati. Selain itu, mereka turut bekerjasama dengan klien untuk memilih senarai lelaki/wanita yang mereka minat untuk bertemu. Dan bagi pendukung omiai, ada satu berita baik. Tidak seperti dicanang sesetengah orang, kadar perceraian omiai sebenarnya jauh lebih rendah berbanding kadar perceraian pasangan yang berkahwin atas dasar cinta.

Walaupun isu penurunan kelahiran ini membimbangkan Tokyo, isu itu langsung tidak menggugat pasangan-pasangan yang berkahwin pada usia 40-an dan 50-an. Pada tahun 2015, 2,950 lelaki berusia 50-54 tahun berkahwin buat kali pertama dengan 1,169 wanita kumpulan umur sama turut melakukannya. Mereka ini berkahwin bukan saja atas dasar mengejar hubungan romantik tetapi juga sebagai penyokong emosi antara satu sama lain atau memberi nilai tambah dalam perkahwinan itu sendiri.

Tetapi jika Tokyo benar-benar serius menangani isu kahwin lewat dan penurunan kadar kelahiran ini, Jepun perlu mempertimbang keperluan insentif kewangan untuk menggalakkan ibu bapa mendapatkan anak-anak. Cadangan ini diutarakan oleh Profesor Akihiko Kato dari Universiti Meiji dengan melihat kepada insentif kewangan yang ditawarkan Jerman. Hasilnya, negara itu sedang mengalami pertumbuhan kelahiran bayi yang pesat terutama membabitkan keluarga imigran. Walaupun insentif sebegini dikritik sesetengah pihak sebagai membazir tetapi ia amat membantu ramai orang termasuk pasangan muda di mana kedudukan kewangannya yang tidak stabil.

Atas sebab itulah, Perdana Menteri Shinzo Abe cuba menangani isu ini dengan berjanji akan mewujudkan 400,000 pusat jagaan harian kanak-kanak dan menambah lagi elaun anak-anak. Sementara bandar kecil Urayasu pula bersedia menampung 80% kos pembekuan telur dengan tujuan menggalakkan lebih ramai ibu bapa melahirkan anak.

Program ini terbuka kepada wanita yang layak berusia 24 hingga 35 tahun dengan 20% kos berharga $2,000 dibayar kepada program ini. Sementara bandar kecil Nagi pula menawarkan lebih banyak insentif seperti pemilikan tanah pada harga murah, bonus 1,000 euro bagi anak pertama dan 1,500 euro bagi anak kedua. Selain itu, bandar berkenaan turut menawarkan perkhidmatan penjagaan dan kesihatan kanak-kanak secara percuma. Walaupun kos insentif ini berjumlah 900,000 euro, tetapi bagi Datuk Bandar Nagi Yoshitaka Kasagi, ia amat berbaloi kerana kanak-kanak ini merupakan generasi seterusnya bagi bandar berkenaan.

RUJUKAN:

1. Kato, Akihiko. (2018). Universiti Meiji. Declining marriage and ever-increasing childlessness – Japan’s future will be lost if nothing is done. https://www.meiji.ac.jp/cip/english/research/opinion/Akihiko_Kato.html

2. Halasz, Gabor. (2015). DW.com. Japanese town offers incentives to have more kids. https://www.dw.com/en/japanese-town-offers-incentives-to-have-more-kids/av-43834362

3. JapanInfo.com. (2015). Omiai: The Culture of Arranged Marriage in Japan. https://jpninfo.com/36254

4. Ryall, Julian. (2016). DW.com. Why fewer Japanese are seeking marriage. https://www.dw.com/en/why-fewer-japanese-are-seeking-marriage/a-19349576

5. South China Morning Post. (2016). Japanese city offers cash incentives to women to have more babies. https://www.scmp.com/news/asia/east-asia/article/1978487/japanese-city-offers-cash-incentives-women-have-more-babies

6. Today Online. (2017). When it comes to marriage, more Japanese say better late than never. https://www.todayonline.com/world/asia/when-it-comes-marriage-more-japanese-say-better-late-never


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Graduan Bachelor of Business Admin (Human Resource) dari UNITAR yang meminati sejarah sejak 11 tahun. Ketika ini merupakan saudagar simkad Tone Excel. Harapan terbesar ialah melihat saudara seagama dan sebangsa kembali bersatu di bawah satu panji dan terus maju bersama. Tanpa perpaduan, manusia tidak akan ke mana-mana, malah tidak akan dapat membina sebuah tamadun yang gemilang seperti mana yang dilakukan oleh nenek moyang kita yang lepas. Dan sejarah adalah saksi bahawasanya perpaduan kunci penting dalam membina sebuah tamadun yang gemilang.

Comments are closed.