Setiap budaya nelayan di seluruh dunia mempunyai cara tertentu bagi menjamin keselamatan mereka di laut. Di Vietnam, para nelayan percaya bahawa Ca Ong atau Dewa/Jeneral Laut Selatan mampu melindungi mereka daripada sebarang petaka semasa di laut. Menariknya, haiwan yang mewakili dewa ini mengikut kepercayaan nelayan Vietnam ialah ikan paus.
Tidak diketahui bila dan bagaimana kisah Ca Ong ini bermula. Tetapi ramai percaya ia dikatakan muncul pada abad ke-18 semasa era Dinasti Nguyen. Bakal Maharaja Vietnam, Gia Long sedang berlayar bersama sepasukan tentera apabila kapal mereka dibadai ombak besar.
Disebabkan ombak yang melanda mereka amat kuat, ramai merasakan kapal yang dinaiki akan tenggelam. Pada saat itu, Gia Long dan orang-orangnya hanya mampu berdoa dan mengharapkan keajaiban untuk selamat daripada musibah berkenaan.
Tiba-tiba, seekor ikan paus yang besar muncul dari laut dan menggunakan ekornya sebagai fulkrum untuk membawa kapal ke tempat selamat. Sebagai tanda terima kasih baginda terhadap ikan paus berkenaan, Gia Long mengurniakan gelaran Jeneral Laut Selatan kepada ikan berkenaan. Nama tersebut lama-kelamaan dipendekkan menjadi Ca Ong yang bermaksud Tuan Paus atau Datuk Ikan.
Ada juga berpandangan tradisi menyembah ikan paus ini ada kaitan dengan kebudayaan Champa. Champa merujuk kepada kumpulan individu yang menetap di tengah dan selatan Vietnam sejak abad keempat Masihi.
Bagi pakar orang Champa, Inra Jaka, mereka memuja gajah kerana ia dianggap raja atau Ong di belantara. Justeru, dengan melihat saiz ikan paus dan keupayaannya di lautan, tidak hairanlah mengapa orang Champa memberi penghormatan sama terhadap ikan paus seperti gajah di daratan.
Mengikut legenda yang sama, ikan paus yang menyelamatkan nyawa Gia Long bagaimanapun mati tidak lama selepas itu. Bangkai ikan berkenaan dikatakan pecah kepada tiga bahagian. Satu bahagian hanyut ke kawasan paya Can Gio di kawasan selatan perairan Vietnam, satu bahagian lagi ke perkampungan Phuoc Hai dan satu lagi tiba di pelabuhan Vung Tau.
Di tiga kawasan ini, terdapat sebuah kuil yang didedikasikan kepada Ca Ong. Dan menjadi rutin bagi para nelayan di kawasan berkenaan, mereka akan pergi ke kuil dan memohon kepada Ca Ong agar menjaga keselamatan mereka. melindungi mereka daripada sebarang petaka dan menunjukkan kawasan kaya dengan ikan.
Sejak itulah, terdapat banyak kisah nelayan Vietnam yang mendakwa Ca Ong menyelamatkan nyawa mereka. Salah seorang daripadanya ialah Nguyen Quoc Chinh dari Pulau Ly Son. Pada satu ketika, dia dan 20 orang nelayan menangkap ikan di kawasan perairan berhampiran Kepulauan Spratly.
Malangnya, ribut melanda kawasan perairan tersebut mengakibatkan bot-bot yang dinaiki mereka tenggelam. Dengan laut bergelora dan tak banyak objek untuk berpaut, ramai seakan pasrah menerima takdir mereka.
Tetapi tidak lama selepas kejadian berkenaan, seekor ikan paus muncul di situ. Ini mendorong mereka segera berenang terhadap haiwan berkenaan kerana percaya Ca Ong menyelamatkan nyawa mereka. Selama berhari-hari, mereka berada di atas ikan paus dengan bergantung kepada rumpai laut dan air kencing mereka sebagai makanan ketahanan hidup sebelum diselamatkan pihak berkuasa.
Quoc Chinh memberitahu ikan paus sentiasa dianggap membantu orang yang berdepan kesukaran di laut. Atas sebab itulah, para nelayan Vietnam kadang-kadang menggelar ikan paus sebagai Dewa Laut Selatan.
Disebabkan pengaruh Ca Ong yang kuat dalam aspek kehidupan para nelayan, usah terkejut jika ikan paus diberi upacara penghormatan terakhir setanding dengan orang biasa. Menurut penjaga kuil Ca Ong di Phuoc Hai, Nguyen Ngoc The, orang yang menemui ikan paus mati di laut bertanggungjawab mengebumikannya.
Selain itu, dia juga perlu berkabung atas kematian haiwan berkenaan dan memujanya pada hari ke-49 dan ke-100 kematian ikan paus. Di samping itu, si polan juga harus memberi penghormatan kepada ikan paus pada ulang tahun kematian pertama dan ketiganya sama seperti penghormatan yang diberi kepada datuk dan neneknya.
Tambah Ngoc The lagi, ada ketikanya para nelayan menemui ikan paus yang terkandas di pantai. Kebiasaannya, penduduk akan berusaha membawa keluar ikan paus dan membawa mereka kembali ke laut. Tetapi ada ketikanya, usaha tersebut tidak berhasil kerana itulah tempat mamalia marin terbesar di dunia itu menghembuskan nafas terakhirnya.
Apabila itu berlaku, gendang dan gong dimainkan bagi membantu haiwan berkenaan mati dalam keadaan aman. Kebiasaannya, ikan paus yang mati akan dikebumikan di satu kawasan khas yang dipanggil sebagai perkuburan ikan paus. Tanpa mengira apa spesies ikan paus, kesemuanya dirujuk sebagai Ca Ong.
Menariknya, kisah ikan paus membantu manusia tidak terhad kepada Vietnam semata-mata. Robert McFarlane menerusi bukunya The Wild Places menceritakan kisah dua orang lelaki (ayah dan anak) terselamat di laut selepas kapal layar mereka karam di Teluk Mexico pada 2004. Semasa berada di laut, mereka dilindungi oleh sekumpulan ikan lumba-lumba daripada menjadi mangsa ikan jerung.
Pada 2018, ikan paus kelasa (humpback) menyelamatkan ahli biologi marin Nan Hausen di Cook Island daripada mati lemas. Ikan ini mengangkat beliau naik ke atas kepalanya dan melindunginya dengan sirip pektoral. Sementara seekor lagi ikan paus menghempas ekornya ke permukaan air bagi menakutkan jerung harimau yang berhampiran dengan Hausen.
Jadi, apa yang mendorong ikan paus melindungi hidupan lain di air termasuk manusia? Pakar biologi marin Robert Pitman berpandangan ia berkemungkinan didorong oleh nalurinya yang melindungi anak-anak ikan paus daripada gangguan haiwan pemangsa.
Tetapi amalan memuja Ca Ong kini berdepan cabaran baru seperti perubahan iklim dan ketegangan geopolitik. Wujud sesetengah kes ikan paus mati terdampar di pantai selepas termakan sisa plastik dalam jumlah yang banyak.
Sementara ketegangan geopolitik pula merujuk kepada ketegangan di Laut China Selatan terutama antara Vietnam dengan China. Ada kes nelayan ditahan oleh pihak berkuasa China hanya kerana berlindung di pulau yang ditadbir mereka.
Namun begitu, cabaran terbesar untuk Ca Ong ialah perubahan generasi. Generasi muda hari ini tidak lagi berminat mengerjakan sawah atau turun ke laut sebagai nelayan. Ada yang lebih suka berhijrah ke bandar dan mencari pekerjaan atau membina perniagaan sendiri. Perubahan ini mengakibatkan Ca Ong yang menjadi pujaan sejak sekian lama berkemungkinan akan pupus – satu kehilangan besar buat kebudayaan Vietnam.
RUJUKAN
Humphrey, C. dan Osborne, Z. (2022, 10 Mei). Vietnam’s whale worshippers. Al-Jazeera.
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih