Bagi mana-mana tamadun dunia, kelas pahlawan dianggap antara kelompok yang dihormati dalam masyarakat. Ini kerana kelompok ini dianggap pemberani yang sedia berperang bagi meluaskan pengaruh kerajaan mereka atau sebagai pemelihara keselamatan dalam negeri. Di Jepun, samurai merupakan senjata utama pembesar-pembesar ketika itu dan dianggap mempunyai kualiti sama seperti kesatria, tentera elit yang berkhidmat untuk raja-raja Eropah pada Zaman Pertengahan. Kualiti ini berasaskan kepada satu kod etika dipanggil Bushido.
Bushido ialah satu kod etika kepahlawanan yang diikuti oleh samurai Jepun dan pahlawan-pahlawan sebelumnya pada zaman feudal Jepun dan di Asia Tengah serta Asia Timur. Prinsip bushido menekankan kehormatan, keberanian, kesederhanaan, kemahiran seni mempertahankan diri dan kesetiaan kepada tuan mereka (pembesar/daimyo). Kod etika ini sama seperti kod kehormatan yang diamalkan kesatria semasa Zaman Pertengahan dan ia diromantiskan banyak kisah termasuk kisah 47 Ronin. Tetapi dari segi struktur dan kepelbagaian, ia berbeza mengikut lokasi mana ia diamalkan di Jepun.
Bushido bukanlah satu sistem keagamaan tetapi lebih kepada kod etika. Kebanyakan samurai percaya mereka dikecualikan dari mendapat apa-apa di alam barzakh mengikut peraturan Buddha kerana mereka dilatih untuk berlawan dan membunuh. Tetapi pada masa sama, mereka juga perlu mengekalkan ciri kehormatan dan kesetiaan untuk mendorong mereka berlawan di sebalik kesedaran bahawa mereka akan ditempatkan dalam neraka versi Buddha selepas mati. Pahlawan samurai ideal juga seharusnya tidak mempunyai rasa takut terhadap kematian. Hanya ketakutan yang menjatuhkan maruah dan kesetiaan terhadap daimyo yang menjadi sumber motivasi mereka.
Sekiranya samurai merasakan dia telah kehilangan maruah atau berhadapan prospek sedemikian, maruahnya boleh ditebus dengan melakukan perbuatan seppuku (menikam dan mengelar perut). Bagi kebanyakan agama termasuk agama Islam, perbuatan sebegini ditegah sekeras-kerasnya kerana dianggap melakukan kecelakaan terhadap diri sendiri. Tetapi menurut kod bushido, ia dianggap tanda keberanian paling tinggi kerana dengan seppuku, dia bukan saja dapat menebus semula kehormatannya. Bahkan, samurai berkenaan mendapat penghormatan kerana bersedia berhadapan dengan kematian dengan tenang. Justeru tidak hairanlah bila berlakunya pengepungan atau peperangan, anggota keluarga samurai termasuk wanita dan kanak-kanak perlu melakukan perkara sama dengan tenang.
Sejarah kod Bushido
Justeru, bagaimana kod kepahlawanan ini wujud? Seawal abad kelapan Masihi, pakar-pakar ketenteraan mula menghasilkan buku berkenaan penggunaan dan penghasilan bilah pedang yang sempurna. Selain itu, mereka juga menghasilkan karya-karya sastera terutama sajak berkenaan sikap dan ciri seorang pahlawan yang ideal seperti berani, berpendidikan dan setia. Dari abad ke-13 hingga abad ke-16, kesusasteraan Jepun mula meraikan keberanian pahlawan yang semberono, kasih sayang dan kesetiaan terhadap keluarga dan daimyo serta peningkatan usaha intelektual oleh golongan samurai.
Karya-karya ini mula terhasil pada satu tempoh yang menyaksikan pelbagai perang termasuk perang saudara dikenali sebagai Perang Genpei yang berlaku dari 1180 hingga 1185. Perang Genpei menyaksikan pertembungan puak Minamoto dan Taira tercetus berikutan tindakan pihak Taira merampas kuasa dan merampas semua jawatan dalam istana dengan menghalau keluar anggota puak lain. Keadaan ini mencetuskan perasaan tidak puas hati puak-puak lain termasuk Minamoto yang membawa kepada kemenangan puak-puak ini dalam pertempuran laut Dan-no-ura pada tahun 1185. Kemenangan puak-puak diketuai puak Minamoto menjadi batu asas kepada permulaan kuasa keshogunan di Kamakura dan kuasa maharaja dikurangkan sehingga ia dipulihkan semasa era Pemulihan Meiji.
Fasa terakhir pembangunan kod bushido berlaku semasa era Keshogunan Tokugawa dari 1600 hingga 1868. Tempoh ini dianggap permulaan tempoh kaji diri dan pembangunan teori bagi kelas pahlawan samurai. Ini kerana pada zaman yang dimulakan oleh Ieyasu Tokugawa ini, ia dianggap satu tempoh yang aman di mana semua daimyo menumpahkan kesetiaan yang tidak berbelah bahagi kepada Keshogunan Tokugawa. Semasa tempoh ini, mereka mempraktikkan seni mempertahankan diri dan mengkaji karya-karya perang dari tempoh-tempoh sebelumnya. Bagaimanapun, mereka tiada peluang mempraktikkannya dalam tempoh berkenaan sebelum tercetusnya Perang Boshin dan Pemulihan Meiji.
Tetapi wujud kontroversi berkenaan asal-usul kod bushido itu sendiri. Sesetengah sejarawan moden menggelar ia satu ciptaan moden yang wujud semasa era Meiji dan Showa. Sementara cendekiawan-cendekiawan yang mengkaji dua tempoh itu menyuruh para pembaca membaca teks-teks lama yang wujud dari Zaman Pertengahan terutama semasa era Kamakura. Pandangan kedua-dua kumpulan ini ada benarnya dari beberapa sudut. Istilah bushido sendiri hanya wujud semasa era Meiji dan ironinya, pada masa di mana samurai tidak lagi wujud. Istilah bushido juga tidak wujud dalam teks-teks lama. Tetapi kebanyakan teks ini juga menyentuh semua aspek bushido yang kita ketahui seperti keberanian dan kehormatan di mana ada yang sudah wujud dari era Tokugawa dan Kamakura.
Prinsip Bushido
1. Keadilan iaitu melakukan perkara yang betul dan berusaha mengekalkan nilai integriti yang dianggap teras utama kekuatan moral.
2. Keberanian iaitu tahu membezakan mana yang baik dan mana yang buruk serta tahu bertindak.
3. Belas kasihan iaitu keupayaan memanifestasikan kasih dan simpati melalui kesabaran serta melihat dunia dari persepsi orang lain.
4. Menghormati iaitu mengambil kira pengalaman dan perasaan orang lain serta bersikap budi bahasa semasa bekerjasama.
5. Berpegang kepada integriti iaitu bersikap jujur dan ikhlas.
6. Kehormatan iaitu mengakui tanggungjawab moral dan melaksanakannya sebaik mungkin.
7. Setia iaitu bersikap jujur terhadap diri sendiri, menunjukkan taat setia terhadap orang lain dan tidak bersikap curang walaupun semasa susah.
8. Kawalan kendiri iaitu mematuhi kod itu sepanjang masa sama ada semasa berseorangan atau bersama orang lain.
Bushido moden
Selepas era Pemulihan Meiji, pahlawan-pahlawan samurai dihapuskan dan ia digantikan oleh tentera-tentera moden. Tetapi elemen bushido terus bertahan di mana ia digantikan dengan falsafah bushido diraja ke atas rakyat Jepun. Falsafah ini menekankan semangat ketenteraan Jepun, kehormatan, pengorbanan dan kesetiaan yang tidak berbelah-bahagi terhadap Jepun dan maharaja. Falsafah ini menjadi punca penentangan sengit yang dihadapi pihak Bersekutu dalam kempen Pasifik mereka semasa Perang Dunia Kedua (WWII).
Tetapi selepas satu persatu wilayah jajahannya jatuh dan Jepun terpaksa mengaku kalah selepas insiden bom atom di Hiroshima dan Nagasaki, falsafah ini diabaikan begitu saja. Bagi kelompok pelampau, sesetengah daripada mereka masih menggunakan terma itu. Tetapi tidak bagi warga Jepun. Ini kerana jika mereka mendengar perkataan bushido, ianya dikaitkan dengan pelbagai jenayah perang yang dilakukan negara Matahari Terbit itu ke atas populasi Asia dari China hinggalah ke pulau-pulau di Pasifik. Tetapi itu tidak menghalang ahli-ahli politik konservatif dari menggunakan terma tersebut walaupun sedar ia boleh menimbulkan kemarahan banyak negara yang masih terkesan dengan jenayah perang dan kemanusiaan Jepun semasa WWII.
Pada tahun 1970-an, nilai bushido kembali meniti di bibir komuniti perniagaan Jepun dan menjadi sebahagian dari resepi kejayaan firma-firma ini pada tahun 1980-an. Antara nilai utama bushido perniagaan ialah rajin, setia kepada syarikat, memberi tumpuan kepada kualiti dan ketepatan dalam penghasilan produk atau tawaran perkhidmatan. Tetapi falsafah ini juga dipergunakan pengurusan syarikat yang tamak untuk memaksa pekerja mereka bekerja lebih masa secara melampau sehingga ada yang mati di tempat kerja atau membunuh diri. Fenomena kematian ini dikenali sebagai karoshi dan mencetuskan perasaan tidak puas hati dalam kalangan pekerja dan keluarga waris yang terkesan.
Namun, itu tidak menghalang firma-firma asing menggunakan falsafah bushido untuk diaplikasikan dalam keputusan perniagaan seperti mana karya The Art of War karangan Sun Tzu. Tetapi apabila Jepun menghadapi masalah ekonomi termasuk deflasi pada tahun 1990-an, firma-firma asing mula mengabaikan falsafah bushido ini. Bagi firma-firma Jepun pula, falsafah ini diadaptasi kepada situasi sebegini yang merujuk kepada keberanian dan ketabahan dalam berhadapan situasi sukar.
Dalam bidang sukan pula, istilah ini tidak boleh dipisahkan bak irama dan lagu. Jika tidak, mengapa pasukan bola sepak kebangsaan Jepun diberi jolokan ‘Samurai Biru’ (Blue Samurai) dengan jurulatih pasukan besbol memanggil ahli pasukan mereka samurai. Dan dalam sidang media mereka, istilah-istilah yang ada kaitan dengan bushido disebut seperti permainan yang adil, semangat melawan, kerjasama dan kegigihan. Dalam sukan seni mempertahankan diri pula, pengamalnya melihat sukan mereka sebahagian dari rukun utama bushido. Sementara atlet seni mempertahankan diri asing pula melihat bushido sebahagian daripada nilai kebudayaan Jepun.
SUMBER
1. Invaluable.com. (2017). The History of the Bushido Code. https://www.invaluable.com/blog/history-of-the-bushido-code/
2. Szczepanski, Kallie. (2019). Bushido: The Ancient Code of the Samurai Warrior. ThoughtCo.com. https://www.thoughtco.com/what-is-bushido-195302
3. Szczepanski, Kallie. (2018). The Role of Bushido in Modern Japan.
ThoughtCo.com. https://www.thoughtco.com/role-of-bushido-in-modern-japan-195569
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih