Lingkaran Api Pasifik atau Ring of Fire adalah suatu lingkaran yang mengelilingi lembangan laut Lautan Pasifik yang sentiasa berlaku gempa bumi dan letusan gunung berapi. Lingkaran ini berbentuk palam kuda yang bermula dari New Zealand, kepulauan Indonesia, Jepun, Alaska, Mexico sehingga ke Chile dengan kepanjangan 40,000 kilomketer. Lingkaran ini sentiasa berlaku aktiviti Bumi yang berterusan seperti pergerakan benua dan kelahiran gunung berapi. Ia terdiri daripada 452 buah gunung berapi di mana hanya 75% dalam status aktif .

Gempa bumi sentiasa berlaku di Bumi sebanyak 90% setahun dan 81% daripadanya berlaku di Lingkaran Api Pasifik. Sejak 11,700 tahun lalu sebanyak 22 buah gunung berapi terbesar meletus, juga di sekitar Lingkaran Api Pasifik.

GAMBAR 1: Lingkaran Api Pasifik (Ring of Fire)

Apakah yang menyebabkan berlakunya Lingkaran Api Pasifik? Lingkaran ini wujud kerana suatu fenomena yang dipanggil sebagai Pergerakan Tectonic Plate iaitu pergerakan dan perlanggaran kepingan kerak bumi yang telah lama bermula dari 3.5 billion tahun lalu. Dalam memahami aktiviti pergerakan kerak bumi, ada 3 jenis pergerakan namun yang saya utamakan adalah sejenis gerakan yang menjadi penyebab utama berlakunya lingkaran ini, iaitu Convergent Boundaries.

Convergent Boundaries (CB) adalah sejenis pergerakan atau istilah lebih sesuai adalah perlanggaran kedua-dua kerak bumi secara berdepan. CB sentiasa berlaku terutamanya di kawasan langgaran kerak lautan dan kerak benua (ocean – continent) di mana apabila perlanggaran itu berlaku, kerak lautan yang tanahnya lebih tumpas akan terbenam di bawah kerak benua. Kemudian benaman kerak itu menghasilkan geseran sesama kerak yang menjadikan gempa bumi berlaku. Kekuatan gempa bergantung kepada betapa ceteknya lokasi geseran tersebut. Semakin cetek geseran, semakin kuat gegaran. Kejadian Tsunami juga berlaku akibat kesan gempa di dasar laut.

GAMBAR 2: Convergent Boundary. Proses perlanggaran kedua-dua kerak di mana kerak laut (oceanic crust) terbenam ke bawah kerak benua (continental crust) dan membentuk gugusan gunung berapi, jurang dan gempa bumi.

Tambahan lagi, perlanggaran kedua-dua kerak akan menghasilkan jurang laut seperti Jurang Mariana yang terletak di barat Lautan Pasifik, jurang terdalam dunia dengan kedalaman 11,034 meter. Kerak yang terbenam itu akan dileburkan kemudian membentuk magma yang menggelegak bagi membebaskan diri ke permukaan bumi. Magma akan keluar melalui lohong retakan-retakan kerak benua yang terhasil oleh gempa seterusnya meletus keluar, membentuk gunung berapi. Gempa bumi kemudian disusuli dengan letusan gunung berapi adalah aktiviti tektonik yang buasa terjadi jika geseran kerak berlaku.

Terdapat sepuluh kerak lautan dan benua yang melakukan CB sehingga terhasilnya Lingkaran Api Pasifik: Pacific plate, Australian plate, Eurasian plate, Filipino plate, North American plate, Juan de Fuca plate, Cocos plate, Caribbean plate, Nazca plate, dan South American plate. Setiap kerak yang bertembung di lingkaran ada sejarahnya namun untuk artikel ini saya fokuskan sejarah aktiviti tektonik Lingkaran Api Pasifik di Asia Tenggara. Negara yang terlibat dan termasuk dalam zon lingkaran ini adalah kepulauan Filipina dan Indonesia.

Kepulauan Filipina

GAMBAR 3: Taburan gunung berapi di Filipina

Pada tahun 1991, Gunung Pinatubo meletus menjadikan ia sebagai letusan kedua terbesar pada abad ke-20 Masihi. Tiada kehilangan nyawa berlaku dan berpuluh ribu rakyat telah selamat ditempatkan dari kawasan gunung tersebut. Namun kawasan keliling gunung Pinatubo rosak teruk di mana perumahan musnah akibat aliran lava, tebaran debu letusan yang menghasilkan kilat.

Gunung Mayon adalah gunung berapi paling aktif di negara Filipina. Kecuraman gunung itu rata-ratanya 35- -40ᵒ dan bahagian puncak membentuk sebuah kawah kecil. Sepanjang 500 tahun sebanyak 47 kali gunung ini meletus. Letusan pertama yang pernah direkodkan Filipina adalah pada tarikh 20 Julai 1766, selama 6 hari lamanya letusan itu berlaku.

Manakala Gunung Taal pula meletus sebanyak 33 kali sejak tahun 1572. Letusan paling teruk berlaku pada tahun 1911, meragut nyawa lebih beribu orang. Aktiviti letusan terakhir gunung ini berlaku sekitar 1965 hingga 1977. Walaupun gunung Taal telah tidak aktif dan dalam keadaan dorman namun gegaran seismic atau getaran bawah kerak masih aktif hingga tahun 2011.

Gunung berapi seterusnya adalah Gunung Kanlaon, gunung berapi aktif di Filipina Tengah dengan kekerapan letusan sebanyak 25 kali dari tahun 1866. Pada tarikh 10 Ogos 1996, gunung Kanloan meletus tanpa sebarang amaran, membunuh 3 orang pelajar dari 24 orang pendaki yang melakukan aktiviti pendakian iaitu Julian Green, Noel Tragico, dan Neil Perez.

Kepulauan Indonesia

GAMBAR 4: Taburan gunung berapi di kepulauan Indonesia

Gunung berapi di kepulauan Indonesia adalah paling aktif yang berkedudukan tepat di Lingkaran Api Pasifik. Kepulauan ini terbentuk akibat perlanggaran ketiga-tiga kerak iaitu Eurasian plate, Pacific plate, dan Indo-Australian plate. Kepulauan Krakatau meletus pada tahun 1883, menjadikan gunung di Pulau Krakatau tersebut berupaya menghasilkan ‘kiamat kecil’ kerana taburan debu yang mampu menutupi hampir seluruh atmosfera selama berhari-hari dan letusan tersebut berpecah kepada 3 buah pulau kecil serta kewujudan gunung bernama Anak Krakatau.

Danau Toba pula adalah tasik volkanik yang lahir hasil dari letupan Toba dari 74,000 tahun lalu. Manakala Gunung Tambora mempunyai rekod letusan terburuk pada tahun 1815. Letusan gunung itu menyebabkan kegagalan aktiviti tuaian di Eropah Utara, USA, dan Kanada pada tahun seterusnya yang mana tahun itu digelar sebagai Year Without a Summer.

Di Pulau Jawa, Gunung Kelud dan Merapi adalah gunung berapi aktif yang bertanggungjawab atas kematian beribu-ribu orang. Sejak tahun 1000, Gunung Kelud meletus sebanyak 30 kali sehingga disenarai sebagai letusan gunung berapi terbesar dengan skala 5 dalan Volcanic Explositivity Index. Manakala Gunung Merapi meletus sebanyak 80 kali. Pada tahun 1995, organisasi I9nternational Association of Volcanology and Chemistry of the Earth’s Interior menamakan Gunung Merapi sebagai Decade Volcano kerana kekerapan tinggi dalam aktiviti volkanik.

Terkini, pada tarikh 28 September 2018, berlaku gempa bumi di Palu, Sulawesi Utara sehingga berlaku tsunami. Kemudian pada 3 Oktober 2018 iaitu 5 hari kemudian, Gunung Soputan yang berada pada jarak 590 kilometer dari Palu meletus. Ini menunjukkan bahawa aktiviti tektonik semakin aktif sehingga berlaku ketidakstabilan plat, mencetuskan peristiwa hitam itu.

GAMBAR 5: Letusan Gunung Soputan

Dulu Semenanjung Malaysia adalah sebuah lautan?

Kita bertuah bahawa Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak selamat dari kekerapan aktiviti tektonik kerana kedudukan yang berada luar Lingkaran Api Pasifik. Namun tahukah anda bahawa tanah Semenanjung Malaysia pada ratusan juta tahun dahulu adalah kawasan perlanggaran kedua-dua kerak benua? Pada 410 juta tahun lalu, terdapat sebuah lautan purba yang luas bernama Paleo-tethys. Pada 290 juta tahun kemudian, lautan purba tersebut perlahan-lahan ditutup saat kerak benua Sibumasu dari selatan (menjadi pantai barat) dan kerak benua Indochina dari utara (menjadi pantai timur) bertemu. Akhirnya Lautan Paleo-tethys ditutup sepenuhnya pada 205 juta tahun.

Perlanggaran kerak Sibumasu dan Indochina menyebabkan berlaku pengaktifan gunung berapi di bahagian timur iaitu kawasan Aring, Temerloh, Maran, dan Lipis dan juga kewujudan banjaran Titiwangsa. Pengaktifan tersebut menghasilkan pelbagai batu-batu mineral seperti kuartza dan emas. Kewujudan mineral tersebut masih wujud sebagai bukti bahawa semenanjung Malaysia pernah mengalami aktiviti volkanik. Fosil haiwan laut juga ditemui di Gua Musang iaitu fosil sotong bercangkerang dari spesis Frankites apertus dari zaman Trias iaitu 242 hingga 237 juta tahun, di mana haiwan dinosaur belum wujud lagi. Ini juga bukti utama bahawa lokasi Semenanjung Malaysia dahulunya adalah lautan.

GAMBAR 6: Proses pembentukan Semenanjung Malaysia
GAMBAR 7: Fosil haiwan laut purba dari Gua Musang

Untuk para geologis, aktiviti tektonik di Bumi adalah aktiviti biasa bagi memastikan Bumi sentiasa ‘hidup’ dan sentiasa mendapat keseimbangan dala setiap gerakan kerak yang tiada penghujungnya. Namun, sebagai seorang manusia yang beragama terutamanya muslim harus mengingati kebesaran dan kekuasaan Tuhan yang mengatur Bumi sebagai makhluk-Nya.

Kejadian gempa bumi, tsunami dan letusan gunung berapi ada kesan negative dan positif. Walaupun kita melihat bencana tersebut dalam sudut negative, wujud sudut positifnya iaitu penghasilan mineral-mineral yang mampu memudahkan kehidupan manusia seperti batu-batuan yang boleh membentuk sebuah rumah dan pengeksploitasi logam untuk mencipta alat-alatan. Bencana ini juga melahirkan kerjaya-kerjaya kini seperti ahli geologi, ahli kaji mineral, dan ahli kaji gunung berapi. Untuk mengakhiri artikel ini, saya sertakan firman-firman dari Tuhan:

“Maka apabila datang (masa perlaksanaan) perintah Kami. Kami jadikan negeri kaum Lut itu tonggang balik (tertimbus segala yang ada di muka buminya) dan Kami menghujaninya dengan batu-batu yang dibakar, menimpanya bertalu-talu. Batu-batu itu ditandakan di sisi Tuhanmu (untuk membinasakan mereka), dan ia pula tidaklah jauh dari orang-orang yang zalim itu.” (Surah Hud: 82-83)

“Akhirnya mereka pun dibinasakan oleh letusan suara yang menggempakan bumi, ketika matahari terbit. Maka Kami jadikan negeri kaum Lut itu tunggang balik (tertimbus segala yang ada di muka buminya), dan Kami hujani atasnya dengan batu dari tanah yang dibakar. Sesungguhnya balasan azab yang demikian itu, mengandungi tanda-tanda bagi orang yang kenalkan sesuatu serta memerhati dan memikirkannya. Dan sesungguhnya , negeri kaum Lut yang dibinasakan itu, terletak di jalan yang tetap (dilalui) orang).” (Surah Al-Hijr: 73-76)

“Patutkah kamu berasa aman (Yakni tidak takut kepada Allah) yang pusat pemerintahanNya di langit; yang boleh menelan dan menimbus kamu, lalu bergegarlah bumi itu dengan serta merta (melenyapkan kamu di bawahnya).” (Surah Al-Mulk 67-16)

RUJUKAN:

  1. Foden, J. (1986). “The petrology of Tambora volcano, Indonesia: A model for the 1815 eruption”. Journal of Volcanology and Geothermal Research. 27(1–2): 1–41.
  2. Gunung Soputan di Sulawesi Utara meletus: aliran lahar terus mengancam. https://www.bbc.com/indonesia/indonesia-45728398
  3. Herre, Albert W. (1927-12-14); “The Fisheries of Lake Taal, Luzon and Lake Naujan”, Philippine Journal of Science, Vol. 34, No. 3, pp.287–303, 1927
  4. “Mayon spews ash anew”. Volcano Monitor. Philippine Daily Inquirer. October 28, 2009. Archived from the originalon August 7, 2011.
  5. Oppenheimer, Clive (2011). “Appendix A”. Eruptions that Shook the World. Cambridge: Cambridge University Press. pp. 355–363.
  6. Rantucci, Giovanni (1994). Geological Disasters In The Philippines: The July 1990 Earthquake And The June 1991 Eruption of Mount Pinatubo. Description, effects and lessons learned. Philippine Institute of Volcanology and Seismology (PHIVOLCS).
  7. “Ring of Fire – Pacific Ring of Fire”. Geography.about.com. 2010-06-14. Retrieved 2010-11-01.
  8. Self, Stephen; Rampino, Michael R. (1981). “The 1883 eruption of Krakatau”. Nature. 294(5843): 699–704.
  9. Tectonic Evolution of Southeast Asia by Charles S. Hutchison. https://gsm.org.my/products/702001-101653-pdf.pdf

Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Seorang ulat buku dan pejuang alam sekitar. Penulis yang rajin tulis tentang flora dan fauna serta sejarah dunia. Dan tak terkecuali peminat Fate.

Comments are closed.