Perbincangan tentang manusia prasejarah takkan mungkin terhenti disebabkan penemuan-penemuan baharu. Dan setiap penemuan boleh memperbaharui fakta diasaskan penemuan sebelumnya. Malah fakta tentang manusia prasejarah itu sendiri sudah banyak berubah.
Dulu kala saintis kurang bercerita tentang mereka. Lalu timbullah gambaran-gambaran yang menunjukkan manusia prasejarah bergelagat seperti beruk. Sampai hari ini gambaran tersebut bergelumangan dalam minda marhaen. Walhal manusia prasejarah sangat normal dari segi fizikal dan mental.
Taburan manusia prasejarah berkembang secara perlahan. Kalau tengok pada penemuan rangka, manusia prasejarah paling tua dibolot Afrika. Zaman manusia prasejarah di Eropah boleh kata bermula sekitar 60,000 tahun yang lalu (Metcalfe, 2022). Penemuan Tengkorak Florisbad membuktikan kehidupan manusia prasejarah di Afrika Selatan. Dan tengkorak ini pula berusia 259,000 tahun yang lalu (Mcdougall, et al., 2005).
Tidak pelik jika rekod ini akan dipecah satu hari nanti, jika ada penemuan lebih tua.
Perjalanan antara Afrika ke Eropah mesti perlu melalui Tanah Arab. Manusia prasejarah terbukti boleh berlayar sejak 50,000 tahun yang lalu lagi (Yirka, 2012).
Akan tetapi, laluan darat lebih relevan untuk berbicara tentang penghijrahan manusia prasejarah. Selaras dengan garisan masa Afrika-Eropah, manusia prasejarah hidup di Tanah Arab sekitar 210,000 tahun yang lalu.
Tempat Teduhan Zaman Paleolitik
Dewasa ini selalu dengar pasal “perubahan iklim”. Sebenarnya iklim sentiasa berubah-ubah. Semasa zaman prasejarah dulu, Tanah Arab didapati mengalami proses perubahan iklim. Taburan hujan meningkat saban dekad, sekali gus menghijaukan bumi yang mendorong penghijrahan manusia prasejarah (Bretzke, et al., 2022).
Jabal Faya misalnya terletak dalam negara United Arab Emirates. Kawasan ini diberkati dengan sumber arkeologi dengan limpahan rangka manusia prasejarah. Semasa Zaman Paleolitik dulu, Jabal Faya sentiasa hujan dan menjadi kiblat manusia prasejarah yang bermigrasi. Kalau ikut bahasa arkeologi, Jabal Faya menjadi “population refugia” kerana ramai berteduh di sini.
Apabila suasana menjadi lebih kondusif, makin ramai akan pergi ke sana. Siapa boleh tolak bumi hijau dan air yang banyak.
Iklim Terumbang-Ambing
Seperti yang diceritakan, iklim sentiasa berubah-ubah. Dapatan di Jabal Faya tidak boleh dijadikan rujukan tunggal. Saintis membuka perbincangan dengan pembahagian zaman antara 240,000 tahun yang lalu hingga 12,000 tahun yang lalu. Pembahagian zaman boleh difahami seperti berikut (TyL = Tahun yang Lalu):
Zaman A: 240,000 TyL – 190,000 TyL
Zaman B: 190,000 TyL – 130,000 TyL
Zaman C: 75,000 TyL – 60,000 TyL
Zaman D: 60,000 TyL – 50,000 TyL
Zaman E: 29,000 TyL – 12,000 TyL
Saintis yakin mengesahkan bumi Arab penghuni pada Zaman A dan D sahaja (Petraglia, et al., 2012). Zaman B, C dan E tidak meninggalkan bukti arkeologi kerana 1) tiada penghuni atau/dan 2) terlalu sedikit penghuni. Punca jurang zaman? Kerana perubahan iklim.
Kebetulan pula Zaman D yang berpenghuni itulah dikatakan “zaman batu loncatan” sebelum Asia dan Eropah mula dibanjiri manusia prasejarah. Bermakna sebelum itu pun sudah berpenghuni. Tetapi ketika Zaman D, bukan main meningkat populasi manusia prasejarah.
Setakat ini manusia prasejarah paling tua di Malaysia adalah Deep Skull yang ditemui di Gua Niah. Saintis menjangka usianya mencecah 40,000 tahun (Sauffi, et al., 2016). Akan tetapi Deep Skull hanyalah tengkorak. Kalau rangka penuh, masih menang pada Orang Perak dengan usia 11,000 tahun yang lalu.
Sekadar penutup kerana ramai masih tidak tahu: manusia tidak berevolusi daripada beruk. Tiada saintis pernah cakap sedemikian. Charles Darwin pun tidak berkata manusia berevolusi daripada beruk. Tetapi sesiapa yang menghentam artikel ini tanpa membaca kena kenal pasti spesisnya. Sebab beruk sendiri takkan berbuat sedemikian. Mereka yang tidak berakal mesti bau dulu baru makan.
RUJUKAN:
Bretzke, K., et al. (2022). Multiple phases of human occupation in Southeast Arabia between 210,000 and 120,000 years ago. Nature.
Mcdougall, I., et al. (2005). Stratigraphic placement and age of modern humans from Kibish, Ethiopia. Nature. 433 (7027): 733-736.
Metcalfe, T. (2022, Februari 10). Earliest evidence of modern humans in Europe discovered in France. NBC News.
Petraglia, M. D., et al. (2012). Hominin Dispersal into the Nefud Desert and Middle Paleolithic Settlement along the Jubbah Palaeolake, Northern Arabia. PLoS ONE. 7 (11), e49840.
Sauffi, M., et al. (2016). Deep Skull from Niah Cave and the Pleistocene Peopling of Southeast Asia. Ecol Evol.
Yirka, B. (2012, Mac 1). Evidence suggests Neanderthals took to boats before modern humans. Phys.
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih