Jika anda berkesempatan meneliti buku teks sekolah menengah Singapura terutama mata pelajaran Sejarah, pasti anda perasan ia hanya menyebut zaman kolonial yang berlaku ketika itu terutama membabitkan Stamford Raffles.
Tetapi pada tahun 2014, buku teks sejarah negara itu telah disemak semula dan menyatakan zaman keemasan negara itu sebenarnya sudah bermula sejak 700 tahun yang lalu dengan ia merupakan sebuah pelabuhan antarabangsa milik bangsa Melayu yang dihuni populasi 10,000 orang ketika itu.
Orang yang bertanggungjawab di sebalik semakan ini ialah Profesor John N. Miksic, seorang profesor arkeologi dari Universiti Kebangsaan Singapura (NUS). Beliau bertanggungjawab menasihati pihak kerajaan dalam soal buku teks baru ini yang bertajuk ‘Singapore: The Making of a Nation-State, 1300-1975’.
Prof Miksic mengetuai banyak operasi ekskavasi di Asia Tenggara dengan 12 ekskavasi turut dijalankan di Singapura sejak 30 tahun lepas dan berjaya menemukan pelbagai artifak menarik yang menemukan kaitan Singapura dengan sejarah pra-koloninya, satu perkara yang tidak dihiraukan sehingga sekarang.
Menerusi bukunya yang bertajuk ‘Singapore and the Silk Road of the Sea’, beliau menunjukkan bukti-bukti terperinci berkenaan petempatan awal Singapura dan impaknya kepada sejarah. Satu penemuan yang dianggap signifikan ialah penemuan pelbagai jenis artifak di Empress Place, sebuah kawasan perniagaan penting berhampiran muara Sungai Singapura. Menerusi proses ekskavasi, kawasan tersebut sebenarnya sebuah pelabuhan lama yang digunakan pedagang China, India dan Jawa pada abad ke-14.
Antara artifak yang ditemui ialah cawan porselin berwarna biru dan putih dari era Dinasti Yuan dan ‘Penunggang Tanpa Kepala’, sebuah patung gaya Jawa yang dianggarkan wujud antara abad ke-14 hingga abad ke-16. Berhampiran tempat sama, pasukan arkeologi diketuai Prof Miksic turut menemui ibu kota lama yang dikelilingi tambak dan kubu pertahanan sama seperti digambarkan Raffles dalam surat-suratnya. Lebih banyak artifak ditemui termasuk tembikar dan duit syiling China, gelang kaca India dan barangan kemas.
Jadi mengapa ia mengambil masa 30 tahun untuk menyemak semula sejarah Singapura? Dalam satu temubual New York Times dengan beliau di makmal kampusnya, Prof Miksic berpandangan ia memerlukan bukti yang bukan saja kukuh tetapi tidak boleh disangkal untuk mengubah perspektif orang.
Tambahnya, lagi masih ramai warga Singapura yang menganggap bidang arkeologi sebagai satu kemewahan yang tidak mampu ditanggung. Kebanyakan aktiviti arkeologi yang dijalankan oleh Prof Miksic dibiayai oleh pihak swasta. Dan beliau bimbang sekiranya beliau bersara, makmalnya akan ditutup atas alasan ketiadaan dana untuk meneruskannya.
Usaha untuk buku teks baru ini tidak akan berlaku tanpa bantuan bekas-bekas pelajarnya yang menduduki kedudukan berpengaruh dalam dunia akademik dan dunia politik. Profesor Derek Heng, seorang profesor sejarah di Kolej Yale-UNS merangkap bekas pelajar Prof Miksic menganggap penemuan artifak-artifak yang dibuat oleh gurunya itu sebagai satu cara visual melihat masa silam Singapura dan menyusun semula kedudukan Singapura dalam sejarah.
Bila ditanya mengapa usaha semakan semula sejarah buku teks mengambil masa lama, Prof Heng menimbulkan dua sebab iaitu kempen Ganyang Malaysia oleh Presiden Indonesia, Sukarno pada awal tahun 60-an dan perpisahan Singapura dengan Malaysia pada tahun 1965. Oleh kerana dua faktor itu, wujud usaha secara sengaja untuk tidak bercakap dengan kaitan etnik dengan sejarah silam Singapura.
Hari ini tambahnya, Singapura yakin untuk menyatakan ia juga merupakan sebahagian daripada dunia Melayu. Satu lagi faktor ialah kekurangan keterangan yang menerangkan kemerosotan selama 200 tahun antara tempoh pelabuhan terkenal hinggalah menjadi jajahan British. Menurut Profesor Madya Kwa Chong Guan dari NUS yang juga salah seorang penasihat buku teks baru ini, selagi mana tiada hubungkait dapat dijelaskan, selagi itu artifak-artifak yang ditemui hanya sekadar minat barang antik sahaja.
Bagi menghubungkan semula jurang yang dinyatakan dan meletakkan artifak-artifak Prof Miksic dalam kerangka perdagangan maritim antarabangsa yang lebih besar, Prof Kwa, Heng dan Tan Tai Yong menerbitkan sebuah buku bertajuk ‘Singapore: A 700-Year History — From Early Emporium To World City’ dengan mengambil sumber dari teks-teks Melayu lama.
Buku yang diterbitkan pada tahun 2009 mendapati wujud hubungan antara Singapura dengan Kesultanan Johor-Riau yang berkuasa di Selat Melaka ketika itu. Pada masa sama, Profesor Peter Borschberg dari NUS turut menemui satu kaitan penting; keterangan pelayar-pelayar Portugal dan Belanda serta peta-peta menunjukkan Singapura sudah menjadi tumpuan kuasa-kuasa utama Eropah sebelum kedatangan Raffles lagi.
Menurut Prof Heng, satu lagi faktor yang menyumbang kepada semakan semula itu ialah keperluan membangunkan memori sosial kolektif dan ia kini menjadi satu isu politik. Satu isu yang menjadi pencetus ialah pengumuman kerajaan untuk membangunkan lebuhraya melalui kawasan perkuburan perbandaran Cina di Bukit Brown pada tahun 2011.
Melalui rancangan itu, ratusan kubur perlu digali dan mayat-mayat yang dikeluarkan perlu dikebumikan di tempat baru. Pengumuman ini mencetuskan kemarahan orang ramai kerana dianggap sebagai muzium hidup dan juga merupakan antara tinggalan penjajahan Jepun semasa Perang Dunia Kedua.
Tambah Prof Heng, peristiwa ini menjadi momentum kepada rakyat Singapura melihat semula warisan dan legasi sejarah mereka. Dengan melihat negara itu sebahagian daripada legasi sejarah rantau yang panjang berbanding sebagai jajahan British, ia akan menjadikan mereka lebih menghargai nilai sejarah. Beliau menambah, “Sudah tiba masanya akar psikologi baru dan dalam ditanam dan membangunkan identiti untuk diri kami.”
Satu isu yang terus membelenggu Singapura ialah migrasi dan perubahan demografik. Berdasarkan kertas putih yang dibentangkan pada tahun 2014, kerajaan masih menyokong cadangan mengembangkan lagi populasi dari 5.3 juta kepada 6.9 juta orang. Cadangan ini ditolak ramai kerana berpandangan migrasi menyumbang kepada inflasi tinggi, harga rumah yang mahal, menyesakkan jalan dan sistem pengangkutan awam serta ketidakadilan dalam bersaing mendapatkan jawatan-jawatan utama pekerjaan.
Profesor Madya Kwa berpandangan dengan menyemak semula sejarah negara itu, ia membolehkan warga Singapura menerima pertambahan populasi dan bersikap lebih inklusif. Sementara Prof Heng melihat isu perubahan demografik ini sebagai perangsang kepada negara itu menyemak semula sejarahnya. Tambah Prof Miksic, “Sejarah yang pendek meletakkan negara dalam keadaan yang goyah. Tetapi jika anda menunjukkan wujud situasi orang Cina dan Melayu tinggal bersama untuk tempoh masa yang lama, ia membuktikan anda mempunyai kedudukan yang stabil.”
Mungkin ada tertanya-tanya apakah semua faktor yang dinyatakan ini merupakan punca kepada perubahan buku teks baru Singapura. Hakikatnya, ia turut didorong oleh sentimen yang mengubah persepsi orang luar terhadap Singapura sebagai sebuah negara yang kreatif di sebalik perkembangan sains dan teknologi. Menerusi perubahan ini, ia diharap dapat mengubah minda orang ramai terhadap perkara kreatif termasuk ilmu sejarah dan ilmu kemanusiaan.
Namun di sebalik semua perubahan ini, ia masih gagal menarik pelajar menyertai kursus-kursus bersifat kreatif yang lebih cenderung kepada ijazah-ijazah yang kukuh seperti undang-undang dan perubatan. Jurusan-jurusan ini menjadi pilihan kerana ia dapat menjamin pekerjaan jauh lebih baik berbanding kursus-kursus lain.
SUMBER
A. Peterson, Jane. (2014). In New Textbook, the Story of Singapore Begins 500 Years Earlier. New York Times. https://www.nytimes.com/2014/05/12/world/asia/in-new-textbook-the-story-of-singapore-begins-500-years-earlier.html
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih