Menurut Kamus Pelajar Edisi Kedua, teka-teki adalah satu soalan yang berupa pantun, cerita dan sebagainya untuk permainan atau menduga akal. Teka-teki merupakan sebuah hiburan ataupun permainan yang mengundang gelak tawa apabila mendengar akan jawapannya.

Sebagai contoh, teka-teki yang sering penulis gunakan ialah “apa yang jauh di mata tetapi dekat di hati”. Jawapan yang selalu diberikan kebiasaannya ialah keluarga, sahabat dan teman wanita. Namun begitu, kesemua jawapan tersebut adalah salah sama sekali. Jawapannya yang sebenar adalah jantung. Hal ini demikian kerana kedudukan jantung lebih dekat dengan hati berbanding mata. Merepek bukan teka-teki tersebut?

Pernahkan anda terfikir bahawasanya tamadun Melayu juga memiliki teka-tekinya sendiri? Ternyata tamadun kita memang memilikinya melalui buku Long-Chair Malay karya O.T. Dussek iaitu merupakan pengetua pertama Sultan Idris Training College (SITC) atau sekarang lebih dikenali sebagai Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).

Buku Long-Chair Malay ini bukan sekadar mengandungi teka-teki sahaja malahan terdapat pantun sekali. Fokus penulis adalah lebih kepada teka-teki yang ada di dalam buku ini. Bagaimanakah bentuk teka-teki yang dipertuturkan oleh nenek moyang kita? Adakah berbentuk sinis, sarkastik dan komedi seperti zaman moden? Atau terkandung falsafah yang sangat dalam sebagaimana baju melayu? Mari kita lihat sama-sama.

Teka teki yang pertama berbunyi “Rumah sebuah pintu empat”. Apakah jawapannya dan rumah apa yang memiliki empat pintu? Rumah Tradisional Melayu memiliki dua pintu iaitu pintu hadapan dan belakang. Rumah moden pula masih mengekalkan dua pintu dengan kehadiran grill. Apakah jawapannya?

Rumah flat, apartment, banglo atau rumahtangga kita. Jawapannya adalah baju. Mengapa baju? Mari kita lihat satu persatu. Baju diumpamakan sebagai rumah untuk melindungi badan kita. Empat pintu tersebut adalah manifestasi kepada empat ruang yang terdapat pada baju iaitu pada bahagian kepala, tangan dan pinggang.

Teka-teki kedua pula adalah “Si bajak melanggar gunung”. Bajak jenis apakah yang boleh melanggar gunung sebesar alam? Situasi ini sudah melanggar hukum alam kerana kebiasaanya bajak digunakan untuk membajak kawasan tanaman padi. Bagaimana pula bajak mampu melanggar sebuah gunung? Tidak logik bukan.

Jawapannya adalah sikat rambut. Mengapakah jawapannya agak menyimpang jauh, ayuh kita lihat satu persatu. Bajak dan sikat memiliki persamaan iaitu bentuk gerigi pada bilahnya. Bajak berfungsi sebagai satu mesin untuk meratakan tanah manakala sikat digunakan untuk merapikan rambut yang kusut. Gunung adalah lambang kepada rambut yang kurang kemas. Situasi ini kita boleh lihat pada persekitaran hutan hujan tropika yang terdapat di negara Malaysia seperti rambut berselirat.

Teka-teki terakhir yang diambil daripada buku ini adalah “Siang jadi yu, malam jadi pari”. Apakah yang dimaksudkan dengan ayat di atas? Adakah merujuk kepada spesies LGBT atau sekadar bercerita tentang hidupan laut? Jawapannya yang sebenar adalah tikar. Mengapa tikar? Mari kita lihat sama-sama. Kita kembali kepada suasana pulang ke kampung ketika musim perayaan.

Tikar merupakan satu elemen penting bagi menggantikan tilam untuk keselesaan kita dan sanak-saudara tidur ketika di kampung. Tikar ini hanya berfungsi pada setiap malam sahaja. Apa maknanya semua ini? “Siang jadi yu” adalah struktur tikar yang digulung berbentuk silinder seakan-akan ikan yu pada siang hari. “Malam jadi pari” dapat dikaitkan dengan sifat tikar apabila dihamparkan seolah-olah berbentuk ikan pari yanhg agak leper dan tipis.

Kesimpulannya, bangsa kita adalah satu bangsa yang penuh dengan kata-kata sangat mendalam dan menikam kalbu. Lihat sahaja seperti teka-teki yang diberikan sebentar tadi, dalam berhibur pun dapat berfikir secara kritis. Lokal genius nenek moyang kita sebenarnya sangat berfalsafah dan disulami dengan bahasa Melayu yang sungguh indah serta puitis.

O.T. Dussek pernah berkata –

“Bahasa kamu saya percaya, diucapkan oleh lebih 70 juta manusia. Ia merupakan satu daripada rumpun-rumpun bahasa terbesar di dunia. Jangan lupa hakikat itu. Peliharalah bahasa kamu itu; berusahalah meninggikannya ke taraf yang layak dalam kalangan bahasa-bahasa dunia. Apabila taraf bahasa kamu tinggi, akan tinggi pulalah bahasa kamu.

RUJUKAN

Kamus Bahasa Melayu. (n.d). Kamus Pelajar Edisi Kedua. Diperoleh daripada http://prpm.dbp.gov.my/Cari1?keyword=teka-teki

Nur Hanisah Kamaruzaman. (2019). Nostalgia suluh budiman. Harian Metro. Dipetik daripada https://www.google.com.my/amp/s/www.hmetro.com.my/node/137550/amp

O.T. Dussek. (1919). Long-chair Malay.


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Seorang marhaen dari UITM Puncak Perdana yang meminati sejarah, sastera, falsafah, sukan, muzik dan ekonomi. Mata pena lebih tajam daripada mata keris dan menulis sekadar untuk meluah rasa jiwa sahaja.

Comments are closed.