Tidak sah bila kita berbicara tentang darurat, keganasan pengganas komunis pasti meniti di bibir kelompok sejarawan dan veteran polis dan tentera yang pernah berjuang menentang mereka.

Tetapi sayang, wujud sesetengah pihak yang cuba menyucikan mereka atas alasan mereka juga menentang penjajahan dan seharusnya diangkat sebagai wira negara. Namun, mahukah mereka ulang alasan ini jika mendengar keganasan komunis di satu-satunya tempat yang pernah ditadbir mereka selama enam hari iaitu Gua Musang?

Pada awal pagi 17 Julai 1948, segerombolan pengganas seramai 100 orang diketuai Soon Chip Sip @ Kim Siong melancarkan serangan ke atas Gua Musang. Gerombolan ini dapat masuk ke situ dengan menyusup secara senyap-senyap melalui beberapa kumpulan dan berjaya menahan ketua-ketua kampung berdekatan.

Menjelang subuh, gerombolan ini bergerak ke Balai Polis Gua Musang dan menyerang balai berkenaan. Gerombolan ini mempunyai kelebihan dari segi bilangan anggota dan geografi kerana mereka menyerang dari kawasan tinggi sementara Balai Polis Gua Musang terletak di kawasan lembah.

Menurut anekdot Chin Peng dalam bukunya My Side of Story, gerombolan tersebut berbalas tembakan dengan polis terdiri daripada seorang inspektor dan 15 anggota selama sejam sebelum terpaksa menyerah berikutan kehabisan peluru.

Selepas berjaya menawan balai polis itu, Gua Musang dan kampung-kampung berhampiran berjaya ditawan tanpa sebarang tentangan. Peluang bagi penduduk tempatan mengetahui cerita sebenar musnah apabila satu-satunya alat komunikasi di balai dimusnahkan. Serangan pihak komunis mengakibatkan ramai penduduk lari bertempiaran untuk menyelamatkan diri.

Bekas Penggawa Hulu Kelantan, Nik Jaafar Nik Soh menceritakan dalam diarinya dia terpaksa terjun ke dalam sungai dan bersembunyi di situ dari pagi sehingga Maghrib. Selepas yakin dirinya tidak lagi menjadi buruan pihak komunis, dia kemudiannya berlari ke Balai Polis Bertam yang terletak 76 km dari situ melalui jalan darat keesokan harinya.

Laporan sama turut diterima menerusi laporan seorang polis dari Balai Polis Gua Musang yang mudik ke Bertam dengan rakit sebelum meneruskan perjalanan ke Kuala Krai. Selepas mendapat tahu apa yang berlaku, pihak berkuasa melancarkan serangan untuk merampas semula Gua Musang dari tangan komunis dengan pasukan Cawangan Khas dan Rejimen Askar Melayu digerakkan dari Kuala Krai dan Kuala Lipis.

Tatkala semua ini berlaku, pihak komunis mengumpulkan penduduk kampung dan menyatakan mereka sudah menawan seluruh Tanah Melayu dan kawasan Gua Musang merupakan kawasan terakhir yang ditakluk mereka. Dari situ, pelbagai bentuk keganasan dilakukan untuk memaksa penduduk tunduk termasuk membunuh golongan yang tidak berdosa dan membakar rumah-rumah penduduk.

Perkara ini dinyatakan Nik Jaafar apabila dia tiba bersama pasukan polis yang datang bila melihat balai polis, kuarters stesen keretapi dan rumah-rumah penduduk dibakar. Dua hari selepas itu, dia bersama beberapa anggota polis pergi ke Kampung Batu Papan di mana dia dipertemukan semula dengan isteri dan anak-anak serta penduduk kampung yang terselamat.

Namun, adiknya Nik Mah tidak bernasib baik apabila pihak komunis menemuinya bersembunyi dalam sebuah longkang berikutan tidak mampu berlari menyelamatkan diri. Adiknya yang sarat mengandung lapan bulan itu mati ditembak oleh pihak komunis. Selain Nik Mah, 26 lagi penduduk kampung mati dibunuh pihak komunis.

Bagaimanapun, memandangkan situasi masih lagi darurat, hanya jenazah adiknya itu yang dapat diuruskan dengan sempurna dan dikebumikan bersebelahan sebuah madrasah. Selepas beberapa tahun, madrasah itu dinaiktaraf sebagai masjid dan dibesarkan sehingga menyebabkan kubur Nik Mah berada dalam ruang solat masjid sehingga hari ini. Madrasah itu kini dikenali sebagai Masjid Razaleigh di Gua Musang.

Pemerintahan komunis hanya bertahan selama enam hari dan hasil kerjasama penduduk, pada 21 Julai 1948, pihak berkuasa berjaya merampas semula Gua Musang dan ramai pengganas komunis mati dibunuh. Sementara Kim Siong yang menjadi dalang keganasan di Gua Musang ditahan dan dibicarakan sebelum menemui ajal di tali gantung Penjara Pulau Pinang pada 2 Februari 1949. Tetapi ini mengundang persoalan, mengapa Parti Komunis Malaya (PKM) memilih Gua Musang sebagai ground zero kepada pembentukan sebuah republik komunis di Tanah Melayu?

Nak tahu, meh kita soroti kenyataan Chin Peng dalam My Side of Story. Kelantan atau lebih tepat Gua Musang dipilihnya kerana, “Terletak 100 batu dari Kuala Krai, pekan Gua Musang adalah sentiasa menjadi kubu kuat PKM semenjak zaman pemerintahan Jepun. Gerila-gerila di situ mempunyai kelengkapan senjata dan bermotivasi tinggi serta diketuai oleh seorang komander yang mempunyai rekod cemerlang menentang tentera Jepun.”

Tetapi Aloysius Chin yang juga bekas Pengarah Operasi Cawangan Khas mendedahkan PKM sebenarnya mahu mempergunakan agama Islam sebagai alat propaganda untuk menawan Kelantan dan seterusnya keseluruhan Tanah Melayu. Ini didedahkan beliau dalam The Communist Party of Malaya – The Inside Story, “Pada satu tarikh dalam tahun 1949, Abdullah CD, Musa Ahmad dan Wahi Annuar telah mengadakan pertemuan dengan Chin Peng di Kerdau, Pahang.

Chin Peng mendedahkan perancangan PKM untuk maju ke utara dan menubuhkan kawasan bebas penjajah. Chin Peng mengerahkan Rejimen Ke-10 untuk menggerakkan kesemua ahlinya dan maju ke utara dengan segera. Pada waktu yang sama Rejimen Ke-10 diarahkan meningkatkan rekrutnya kepada 500 orang.” Selepas arahan dikeluarkan, mereka tertanya-tanya mengapa mereka digerakkan ke situ dari Luboh Kawah. Selepas melihat hala tuju perjalanan mereka ke utara, barulah mereka sedar mereka menuju ke Gua Musang.

Menurut Chin, rejimen itu ditubuhkan pada 21 Mei 1949 di Kerdau. Nombor 10 dipilih sempena tarikh 10 Zulhijjah kerana kaitannya dengan pengorbanan dan dedikasi terhadap perjuangan. Rejimen itu dikuasai kelompok nasionalis tempatan dan menggunakan songkok sebagai sebahagian daripada pakaian rejimen mereka. Rejimen ini terdiri daripada lima platun dan satu seksyen wanita. Semasa menuju ke Gua Musang, mereka bertempur dengan pasukan keselamatan di Bukit Kuin, Pahang sebelum terpaksa berundur ke Gong.

Sedar peluang mereka ke Gua Musang lebih tinggi jika mereka berpecah, Abdullah CD mengarahkan mereka bergerak dalam dua kumpulan dengan kumpulan pertama yang terdiri daripada platun pertama dan kedua diketuai Abdullah. Sementara Wahi Annuar dan Musa Ahmad mengetuai kumpulan kedua yang terdiri daripada platun ketiga, keempat dan kelima. Bagaimanapun, strategi mereka sekali lagi menemui jalan buntu dan hubungan sesama mereka terputus. Tambah Chin, kumpulan kedua ini berpecah dengan 200 rekrut mengikut Wahi sementara Musa membawa 50 rekrut termasuk isteri Wahi, Shamsiah Fakeh kembali ke Temerloh.

Tetapi kumpulan Musa tersesat dalam hutan selama setahun sebelum kembali bertemu dengan kumpulan Abdullah. Shamsiah yang sarat mengandung ketika itu melahirkan anaknya semasa dalam hutan sebelum diyakinkan untuk menyerahkan anaknya kepada seorang Cina yang akan kembali ke China untuk dipelihara kerana suasana ketika itu tidak sesuai untuk membesarkan anak.

Shamsiah hanya tahu anak yang dikasihinya itu mati dibunuh oleh jawatankuasa PKM cawangan tempatan melalui berita yang dibawa Musa pada tahun 1952. Sementara Wahi pula memilih menyerah diri kepada pihak berkuasa bersama 150 rekrut. Rejimen Ke-10 tidak pernah sampai di Gua Musang dan mereka diarahkan berundur ke Betong, Thailand pada tahun 1951.

Bila merenung semula kejayaan sementara Kim Siong, Chin Peng menyifatkan jika tidak kerana kegopohan Kim Siong melakukan serangan tanpa mendapat izin parti, Gua Musang boleh menjadi ground zero kepada kegiatan PKM dan merealisasikan impian menubuhkan sebuah republik komunis di Tanah Melayu.

Tetapi itu tidak menghalang mereka dari terus mencuba. Tidak mahu lagi pisang berbuah dua kali, kerajaan memindahkan penduduk Gua Musang ke petempatan baru. Penduduk Melayu dipindahkan ke Kampung Bertam Baru sementara penduduk Cina dipindahkan ke kampung dalam kerawat yang kini dikenali sebagai Kampung Baru Cina.

Di kampung berkenaan, 440 rumah dibina secara berkelompok bagi memudahkan urusan pengawasan dan dipantau oleh konstabel khas (SC). Penduduk yang bekerja di ladang getah, lombong bijih timah dan lombong emas perlu melaporkan diri kepada SC setiap kali ke mana-mana dan perlu membawa pas khas bila keluar.

Catuan makanan juga dikenakan bagi mengelakkan bekalan makanan penduduk jatuh ke tangan komunis. Di Bertam Baru pula, sebuah kubu yang berhampiran dengan Balai Polis Bertam merupakan tinggalan zaman darurat. Menurut penduduk tempatan, kubu yang terletak di tepi Sungai Nenggiri ini digunakan oleh pasukan keselamatan untuk membalas serangan pihak komunis yang melancarkan serangan dari arah sungai.

RUJUKAN:

1. Ab Rahim, Aisyah. (2012). SHAMSIAH FAKEH (1924-2008) : KAJIAN TERHADAP PERJUANGAN WANITA ISLAM DI TANAH MELAYU. Universiti Malaya. http://studentsrepo.um.edu.my/5230/1/Shamsiah_Fakeh_(1924-2008)-Kajian_Terhadap_Perjuangan_Wanita_Islam_di_Tanah_Melayu.pdf

2. Sokmo.net. (2015). Kelantan Dalam Sejarah: Republik Komunis Gua Musang, 17hb – 21hb Julai 1948. https://sokmo.net/2015/01/13/kelantan-dalam-sejarah-republik-komunis-gua-musang-17hb-21hb-julai-1948/

3. Utusan Malaysia. (2016). Enam hari diperintah komunis. http://www.utusan.com.my/rencana/utama/enam-hari-diperintah-komunis-1.267851

4. Utusan Malaysia. (2016). ‘Kampung dalam kerawat’ untuk penduduk Cina. http://www.utusan.com.my/rencana/utama/kampung-dalam-kerawat-untuk-penduduk-cina-1.267845

5. Utusan Malaysia. (2016). Kubu gamit peristiwa hitam. http://www.utusan.com.my/berita/wilayah/kelantan/kubu-gamit-peristiwa-hitam-1.747132


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Graduan Bachelor of Business Admin (Human Resource) dari UNITAR yang meminati sejarah sejak 11 tahun. Ketika ini merupakan saudagar simkad Tone Excel. Harapan terbesar ialah melihat saudara seagama dan sebangsa kembali bersatu di bawah satu panji dan terus maju bersama. Tanpa perpaduan, manusia tidak akan ke mana-mana, malah tidak akan dapat membina sebuah tamadun yang gemilang seperti mana yang dilakukan oleh nenek moyang kita yang lepas. Dan sejarah adalah saksi bahawasanya perpaduan kunci penting dalam membina sebuah tamadun yang gemilang.

Comments are closed.