Tak lama dahulu, idea dunia wayang ini dilihat asing dan tidak pasti konsep sebegini akan memberi keuntungan kepada studio-studio besar. Tetapi selepas kemunculan Iron Man (2008) sebagai asas kepada Marvel Cinematic Universe (MCU), ia membawa kepada dunia wayang pertama dan paling berjaya dalam sejarah perfileman. Dan itu juga mendorong studio-studio filem lain membina versi dunia wayang mereka untuk francais filem mereka. Tetapi entah di mana silapnya, kebanyakan cubaan mereka ini berakhir dengan kegagalan sehingga ke satu tahap, ada terpaksa kembali ke papan rancangan untuk cari apa formula terbaik untuk jayakan dunia wayang mereka. Jadi apa resepi bagi sesebuah dunia wayang untuk berjaya?

Untuk membina sesebuah dunia wayang yang berjaya bukan bermula dengan membina dunia wayang itu sendiri. Sebaliknya, fokus terlebih dahulu pada sesebuah cerita dengan menjadikan ia satu kisah yang hebat dan menarik ditonton oleh penonton pawagam. Yang cakap bukan orang lain tetapi Presiden Marvel Studios, Kevin Feige dalam satu temubual dengan majalah Vanity Fair tahun lepas. Menurut Feige, idea membina dunia wayang sebegini kadangkala dilihat terlalu berat dan sukar dicapai oleh akal. Oleh sebab itu, lebih baik difokuskan semua tenaga dan sumber untuk bikin filem-filem yang baik dari segi kualitinya dan mendapat sambutan hangat dalam kalangan penonton.

Itulah apa yang dilakukan Feige pada era awal MCU menerusi filem-filem awal mereka iaitu Iron Man (2008) dan Iron Man 2 (2010), Captain America: The First Avenger (2011) dan Thor (2011) sebelum mencapai kemuncak menerusi filem The Avengers (2012). Bila sesebuah filem itu berjaya dari segi kualiti dan sambutan penonton, baru boleh pihak terlibat seperti penerbit, pembikin filem dan anggota terlibat duduk semeja dan bincang apa langkah terbaik untuk bawa filem-filem ini lebih ke hadapan. Dari situlah, baru boleh tanam beberapa elemen yang boleh dikaitkan dengan filem-filem berikutnya.

Contoh, penampilan Phil Coulson (Clark Gregg) dan bosnya, Nick Fury (Samuel L. Jackson) dalam filem Iron Man (2008). Pengenalan SHIELD dalam filem ini buat orang tertanya-tanya apa peranan SHIELD dan apa kaitan SHIELD dengan Avengers Initiative yang dinyatakan Fury semasa melawat Stark di kediamannya. Dari situlah, peranan SHIELD dikembangkan dalam MCU sehingga menjadi pemain utama dalam filem The Avengers (2012) dan menjadi permulaan kepada evolusi MCU melalui pendedahan kewujudan kumpulan pengganas HYDRA dalam SHIELD. Kisah SHIELD ini turut dikembangkan menjadi siri televisyen untuk stesen televisyen ABC, Marvel’s Agents of SHIELD yang menampilkan Coulson sebagai watak utama sejak tahun 2013. Semua atas platform ‘It’s all connected’ (Semuanya berkait).

Figure 1: Dunia wayang Marvel dibina atas platform semuanya berkait antara satu sama lain. Kredit: http://comicbook.com/2015/12/10/this-marvel-cinematic-universe-featurette-shows-how-its-all-conn/

Menurut Feige lagi, semua orang di Marvel Studios tahu filem-filem individu lebih penting berbanding keseluruhan MCU itu sendiri. Atas sebab itu, mereka amat berhati-hati dalam memilih apa kaitan yang dilihat bersesuaian untuk sesebuah filem agar ia berkait dengan filem-filem MCU sebelumnya atau yang bakal ditayangkan kemudian. Jika idea tersebut dirasakan tidak sesuai, maka elemen tersebut perlu dibuang walaupun ia nampak indah dari segi penceritaan. Contohnya, proses pembikinan filem Ant-Man (2015) yang diarahkan oleh Peyton Reed dengan menampilkan Paul Rudd sebagai Ant-Man dan Michael Douglas sebagai Hank Pym. Pada mulanya, filem tersebut digarap oleh pengarah British terkemuka, Edgar Wright yang dikenali menerusi trilogi Three Flavors of Cornetto. Tetapi selepas melihat visi mereka berbeza berkenaan filem tersebut, Wright memutuskan untuk menarik diri dan digantikan oleh Reed. Menurut pelakon yang memegang watak Hope van Dyne, Evangeline Lilly menyifatkan kisah Wright walaupun menarik dan bagus untuk difilemkan tetapi pasti ia akan jadi anomali dalam MCU kerana ia dilihat lebih sesuai dengan genre filem yang digarap Wright. Dan selepas melihat skrip yang dibuat semula oleh Adam McKay dan Rudd, Lilly melihat ia jauh lebih sesuai dengan konsep MCU itu sendiri.

Secara ringkasnya, nasihat Feige ialah fokus terlebih dahulu pada sesebuah kisah individu sebelum beralih arah kepada pembinaan dunia wayang itu sendiri. Malangnya, tak semua orang ikut panduan ini. Sesetengah studio terutama pesaing Marvel, Warner Bros dan DC Films terlalu fokus kepada pembinaan dunia wayang itu sendiri sampai terlupa memerhatikan kualiti keseluruhan kisah individu itu sendiri. Contoh paling mudah, filem Man of Steel (2013) yang diarahkan oleh Zack Snyder dan mendapat sentuhan pembikin trilogi The Dark Knight, Christopher Nolan. Walaupun filem tersebut mendapat sambutan hebat dalam kalangan penonton dan menerima pujian dari segi visual, adegan aksi dan muzik latar Hans Zimmer, filem ini dikritik kerana terlalu perlahan dan kurangnya perkembangan watak-watak dalam filem tersebut.

Ingatkan selepas Man of Steel (2013), DC sudah belajar dari kesilapan ini. Tetapi perkara sama menimpa filem kedua untuk DC Extended Universe, Batman v Superman: Dawn of Justice yang ditayangkan pada tahun 2016. Walaupun ramai salahkan laman-laman penilai seperti Rotten Tomatoes yang menyumbang kepada kerugian yang dialami Warner Bros dan DC tetapi itu tidak menutup kelemahan-kelemahan ketara dalam filem tersebut. Antara kritikan pedas yang diterima filem tersebut ialah terlalu perlahan, terlalu gelap dan berlainan dengan tona dalam filem-filem MCU serta lakon layar yang kurang memuaskan. Begitu juga dengan perkembangan watak yang janggal seperti pendekatan Jesse Eisenberg pada wataknya, Lex Luthor Jr. Ramai pengkritik mengkritik keras lakonan Eisenberg kerana cuba meniru lakonan ikonik mendiang Heath Ledger sebagai Joker dalam filem The Dark Knight dan tidak cuba mengambil pendekatan original pada watak yang jadi musuh ketat Superman itu.

Figure 2: Kritikan pedas pada kelemahan-kelemahan Batman v Superman: Dawn of Justice menyebabkan ia mendapat kritikan ramai dan gagal capai kutipan pecah panggung yang memuaskan.

Selepas kegagalan filem ini dan Suicide Squad, barulah mereka cuba tiru formula MCU melalui pembikinan filem Wonder Woman dan tona lebih ringan untuk Justice League. Tetapi keputusannya berbeza-beza bagi kedua-dua filem ini. Sementara Wonder Woman mendapat sambutan hangat di panggung, Justice League pula dilihat mengalami nasib sama seperti Batman v Superman dan Suicide Squad. Walaupun mendapat pujian dari segi lakonan dan adegan-adegan aksi, Justice League dihentam kerana skrip yang lemah, terlalu lemah, aspek kesan khas, perkembangan plot mengecewakan dan pembangunan watak antagonisnya yang menyedihkan.

Dan akibatnya, apabila melihat perkembangan terbaru DC Extended Universe, Snyder tidak lagi diberi peluang mengarah filem DC dan hanya diberi peranan sebagai penerbit eksekutif untuk filem-filem berikutnya. Jumlah kutipan tiket mengecewakan ini juga memaksa Warner Bros dan DC Films menstruktur semula pengurusan mereka. Jon Berg yang diberi peranan sebagai pengerusi bersama DC Films dengan Geoff Johns telah digantikan oleh eksekutif produksi anak syarikat Warner Bros, New Line Cinemas, Walter Hamada. Sementara Johns yang juga Presiden dan Ketua Pegawai Kreatif DC Comics pula mengambil peranan sebagai penasihat. Warner mengharapkan sentuhan ajaib Hamada yang berjaya membawa filem-filem pecah panggung New Line seperti francais The Conjuring dan filem It dapat mengubah nasib filem-filem DC Films yang seterusnya. Dan atas sebab itu juga, mereka turut mengikut jejak langkah Marvel dengan memberi kebebasan kepada pengarah-pengarah filem seterusnya untuk menggarap filem-filem DC. Jadi jangan terkejut sekiranya sentuhan James Wan bagi Aquaman (2018) dan Matt Reeves untuk Batman versi beliau dilihat berbeza berbanding versi Snyder.

Jika anda kata dunia wayang studio lain lebih baik dari DC, jangan paksa saya sebut Universal Pictures berkenaan Dark Universe mereka. Ini pun dikira bermasalah sejak dari awal penubuhan dunia wayang ini. Universal cuba membentuk dunia wayang membabitkan watak-watak filem-filem seram klasik seperti Mummy, Frankenstein, Invinsible Man dan Creature from the Black Lagoon. Percubaan pertama mereka menerusi filem Dracula Untold yang ditayangkan pada tahun 2014. Filem arahan Gary Shore ini menampilkan Luke Evans sebagai Vlad Tepes/Dracula dan Dominic Cooper sebagai Mehmed II/Muhammad al-Fatih gagal mendapat sambutan hangat di panggung. Dan berikutan itu, mereka cuba menjauhkan diri dari kegagalan filem tersebut dan tidak mengiktiraf ia sebahagian daripada Dark Universe.

Figure 3: Dark Universe seharusnya menampilkan watak-watak seram ikonik yang dilakonkan bintang hebat seperti Tom Cruise, Russell Crowe dan Johnny Depp. Tetapi kini ia berhadapan dengan masa depan tidak menentu berikutan prestasi buruk The Mummy (2017). Kredit: http://www.denofgeek.com/us/movies/universal-monsters/255097/complete-upcoming-dark-universe-monsters-movie-schedule

Percubaan berikut mereka ialah pembikinan filem The Mummy (2017), kemasukan pertama untuk Dark Universe. Filem yang menampilkan protagonis siri Mission Impossible, Tom Cruise dan Sofia Boutella sebagai The Mummy ini pun menerima nasib sama seperti Dracula Untold. Universal menyangka dengan kuasa bintang Cruise, mereka boleh meningkatkan peluang dapat kutipan pecah panggung tetapi ia berakhir dengan kegagalan. Malah filem ini menyebabkan Universal rugi $95 juta! Dan atas kegagalan ini juga, orang yang bertanggungjawab untuk menggerakkan Dark Universe juga memutuskan untuk meninggalkan francais ini iaitu penulis siri filem Fast and Furious, Chris Morgan dan individu di sebalik kejayaan Star Trek (2009), Alex Kurtzman.

Universal sepatutnya menerbitkan siri seterusnya Dark Universe iaitu Bride of Frankenstein menampilkan Javier Bardem dan Angelina Jolie. Tetapi setakat artikel ini ditulis, Universal memutuskan untuk menggantung semua pembikinan filem Dark Universe termasuk Bride of Frankenstein yang sepatutnya diarahkan oleh pengarah filem Beauty and the Beast dan siri Twilight, Bill Condon. Menurut pihak studio, mereka mahu ambil lebih banyak masa untuk menentukan hala tuju Bride of Frankenstein dan Dark Universe secara keseluruhannya. Namun bila melihat dua penggerak utama Dark Universe meninggalkan francais ini, ia meletakkan masa depan dunia wayang ini dalam keadaan tidak menentu.

Nak bina dunia wayang ini bukanlah semudah ABC. Bak kata Feige, fokus seharusnya pada pembikinan cerita yang hebat dan menarik perhatian penonton. Dari situ, baru boleh fikir apa rancangan seterusnya untuk mara ke hadapan. Tetapi kalau terlalu gopoh mengejar untung tanpa mengambil kira kualiti penceritaan, maka bersiaplah melihat filem-filem yang diminati dihentam bukan saja oleh pengkritik tetapi juga peminat seperti saya dan anda. Tak percaya? Ambillah dua dunia wayang DC dan Universal itu sebagai pengajaran.

SUMBER

  1. Vary, Adam B. (2014). BuzzFeed. Evangeline Lilly Tried To Quit Acting, But Acting Would Not Quit Her. https://www.buzzfeed.com/adambvary/evangeline-lilly-ant-man-the-hobbit-squickerwonkers?utm_term=.daEV3L6rD#.nmar73lO9
  2. Scott, Andy. (2016). Grunge. How Jesse Eisenberg ruined Batman v Superman. http://www.grunge.com/12038/jesse-eisenberg-ruined-batman-v-superman/
  3. Kovijanic, Dusan. (2017). Newswire. Universal’s Dark Universe Cancelled. https://newswire.net/newsroom/news/00098592-universal-s-dark-universe-cancelled.html
  4. Collinson, Gary. (2017). FlickeringMyth. Marvel’s Kevin Feige explains how to build a cinematic universe. https://www.flickeringmyth.com/2017/12/marvels-kevin-feige-explains-build-cinematic-universe/
  5. Melrose, Kevin. (2018). CBR. Warner Bros. Names New Head of DC Films. https://www.cbr.com/warner-bros-dc-films-walter-hamada/

 


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Graduan Bachelor of Business Admin (Human Resource) dari UNITAR yang meminati sejarah sejak 11 tahun. Ketika ini merupakan saudagar simkad Tone Excel. Harapan terbesar ialah melihat saudara seagama dan sebangsa kembali bersatu di bawah satu panji dan terus maju bersama. Tanpa perpaduan, manusia tidak akan ke mana-mana, malah tidak akan dapat membina sebuah tamadun yang gemilang seperti mana yang dilakukan oleh nenek moyang kita yang lepas. Dan sejarah adalah saksi bahawasanya perpaduan kunci penting dalam membina sebuah tamadun yang gemilang.

Comments are closed.