Anda gemar minum teh? Pernahkah anda mendengar tentang budaya dan upacara teh? Artikel ini akan menerangkan serba sedikit tentang budaya dan upacara teh, serta bagaimanakah ritual ini dijalankan di tiga buah negara iaitu China, Jepun dan Korea.

Sejarah ringkas teh di Jepun dan Korea

Seperti mana yang kita sedia maklum, teh adalah minuman yang telah berakar umbi dalam ketiga-tiga buah negara, iaitu China, Jepun dan Korea. Namun, berdasarkan sejarah, teh ini sebenarnya berasal daripada China yang telah menyebarkannya ke negara-negara yang lain, terutamanya ke Jepun dan Korea.

Kedua-dua negara Jepun dan Korea bukan sahaja mengambil teh sebagai salah satu minuman tradisi mereka, malah turut menyerap amalan budaya serta semangat teh secara spiritual. Sejak abad ke-8 Masehi lagi, teh ini telah dikaitkan dengan semangat Buddha Asia Timur, yang mana para sami Buddha telah terlibat dalam menyuburkan, menjual dan menyebarkan teh dari tempat asalnya di bahagian selatan China ke Korea dan Jepun.

Jepun

Berdasarkan rekod sejarah, China telah memperkenalkan teh ke Jepun bersama-sama dengan penyebaran budaya, kesenian dan agama Buddha pada sekitar tahun 593, iaitu ketika pemerintahan Maharaja Wendi dalam Dinasti Sui. Seterusnya, ketika pemerintahan Maharaja Xuanzong dalam Dinasti Tang, satu upacara minum teh secara besar-besaran telah diadakan di istana diraja Jepun pada sekitar tahun 729, yang mana ia merupakan tahun pertama bagi pemerintahan Mikado Amahira.

Pada hari tersebut, Mikado telah mengumpulkan 100 orang sami untuk memberi penerangan mengenai teks Buddha kepada kerabat diraja. Dan, pada hari berikutnya, para sami ini telah dihadiahkan teh. Seterusnya, pada sekitar tahun 804, seorang sami Jepun yang hebat telah pergi ke China dan kembali ke Jepun dua tahun selepas itu, iaitu pada tahun 806.

Sami ini telah mempelajari Truth-Word Sect of Buddhism di Chang’an (dikenali sebagai Xi’an pada hari ini) di China. Sewaktu kembali ke Jepun, dia telah membawa bersamanya benih teh, lesung batu untuk memproses teh dan juga kemahiran memproses teh iaitu dengan merebus, menumbuk dan membakar.

Pada waktu itu, hasil galakan daripada para sami, masyarakat Jepun mula meminum teh dengan set teh Jepun seperti mana masyarakat Dinasti Tang. Mereka juga menambahkan makanan iringan bersama teh seperti kudzu vines manis dan halia. Namun, disebabkan jumlah pokok teh yang ditanam waktu itu adalah terhad, hanya keluarga diraja serta sebahagian kecil sami mengamalkan minum teh.

Korea

Mengikut rekod sejarah yang ditemui, teh dari China telah diperkenalkan ke Korea antara tahun 632 hingga 646. Bermula dari situ, budaya meminum teh China serta kesenian teh China telah memasuki tanah Korea. Dalam satu inskripsi tablet untuk Master Zhenjian, seorang sami Korea tersohor (755-850) yang telah membangunkan Double Stream Temple, telah menulis:

“Jika kita menerima teh China lagi, letakkannya di dalam periuk batu dan rebuskannya dengan kayu api.”

Minum teh telah menjadi suatu upacara rasmi dalam kebanyakan kuil Korea pada waktu itu. Dalam hal ini, para sami Korea pada waktu itu bukan sahaja memanaskan teh untuk upacara, malah turut memberi perhatian terhadap kesenian teh serta kualiti air yang digunakan dalam pembuatan teh.

Pada tahun 828, iaitu sewaktu pemerintahan Maharaja Wenzong dalam Dinasti Tang, seorang utusan dari Korea telah membawa pulang dari China benih teh bersamanya. Bermula dari waktu itu, masyarakat Korea mula menanam dan menghasilkan sendiri teh. Pada masa kini, Korea telah menghasilkan lebih daripada 1.5 juta kilogram teh setiap tahun di lebih 1,334 hektar ladang teh di seluruh negara tersebut.

Budaya teh di China

Terdapat pepatah lama China yang menyatakan:

“Apabila membuka pintu pada awal pagi, seseorang itu perlu berhadapan dengan tugas untuk menyediakan tujuh keperluan harian; iaitu kayu api, beras, minyak, garam, sos, cuka dan teh.”

Teh merupakan minuman utama bagi orang China dan telah menjadi suatu keperluan harian dalam kehidupan masyarakatnya. Pada zaman lampau, teh ini berada pada kelas yang tinggi, terutamanya bagi golongan atasan kerana simbolik kesucian serta menunjukkan nilai elegan.

Budaya teh ini merujuk kepada bagaimana proses penyediaan teh dilakukan dan cara seseorang meminumnya. Budaya teh di China adalah berbeza dengan budaya teh di Korea, Jepun serta negara-negara lain. Di China, budaya teh ini merangkumi banyak aspek, termasuklah upacara minum teh, etika teh, semangat teh serta pelbagai fenomena budaya berkaitan teh yang mana ia melambangkan intipati budaya tradisional China.

Dalam masyarakat China, konsep budaya teh ini adalah merujuk kepada chayi atau kesenian meminum teh dan disebut juga sebagai wenhua iaitu budaya teh. Perkataan cha itu sendiri menunjukkan bahawa minuman ini datangnya daripada pokok teh atau dikenali sebagai Camellia sinensis.

Masyarakat China percaya bahawa teh mampu untuk menaikkan mood seseorang. Malah, teh juga berperanan penting dalam mengukuhkan hubungan, melalui amalan minum teh bersama. Melalui teh, ia mampu untuk memenangi hati individu lain, menyebarkan falsafah yang dipegang, dan pastinya mempunyai manfaat untuk kesihatan.

Pada zaman purba, teh ini turut digunakan sebagai ubat. Masyarakat memotong bahagian dahan pokok teh liar, mengambil daun pada hujung dahan tersebut dan memasaknya dalam air mendidih. Rekod sejarah di China yang berkaitan dengan perubatan juga menunjukkan bahawa dengan meminum teh yang pahit boleh menjadikan seseorang itu merasa lebih baik (sembuh).

Etika minum teh di China

Di China, teh akan sentiasa dihidangkan buat tetamu yang bertandang. Ini kerana, dalam budaya teh, ia dianggap memainkan peranan penting bagi mengukuhkan hubungan persaudaraan dan persahabatan. Seseorang yang mengetahui etika teh di China bukan sahaja boleh menunjukkan nilai diri yang baik, malah turut memberikan suatu ketenangan daripada teh itu sendiri.

Pada hari ini, banyak terdapat rumah-rumah teh tradisional di China, dan setiap tetamu yang hadir perlu mengikuti beberapa etika yang telah ditetapkan. Dari segi etika kedudukan, secara konvensionalnya, tempat duduk yang paling penting adalah dalam kedudukan menurun bermula dari sebelah kiri tangan penganjur hingga ke sebelah kanan. Orang yang lebih tua dan berpangkat guru mempunyai keutamaan untuk duduk di tempat pertama, manakala wanita juga diberi keutamaan sekiranya perbezaan umur antara tetamu tidak begitu jauh.

Salah satu etika dan amalan yang dilakukan sewaktu minum teh ini adalah dengan mengetuk meja sebagai tanda terima kasih kepada orang yang menghidangkannya. Amalan ini berasal daripada Maharaja Qianlong, yang memerintah antara tahun 1711 hingaa 1799 dan meneruskan tradisi minum teh sebagai salah satu kunci utama dalam pemerintahannya.

Satu lagi elemen penting dalam upacara minum teh ini adalah penggunaan set teh atau cawan serta teko. Ia adalah sangat penting untuk menggunakan set teh yang betul agar dapat memelihara keaslian teh yang dihidangkan. Terdapat tiga faktor utama yang perlu diambilkira, iaitu lokasi, jumlah orang yang akan meminum teh serta jenis teh yang dihidangkan.

Sebagai contoh, teh hijau yang halus perlu dihidangkan di dalam teko yang lutsinar (transparent), teh oolong pula di dalam teko tanah liat ungu Zisha, manakala teh beraroma pula perlu diminum dari mangkuk yang bertutup bagi memelihara aromanya.

Upacara minum teh ini sendiri dijalankan seumpama melakukan suatu persembahan, yang mana si penghidang akan melakukan gerak tangan yang gemalai dalam menyediakan dan memanaskan teh sebelum menghidangkannya kepada tetamu. Malah, setiap jenis teh juga mempunyai kaedah pemanasan yang berbeza.

Budaya teh di Jepun

Seorang pakar teh di Jepun pernah berkata:

“Dengan semangkuk teh, kedamaian boleh disebarkan. Rasa kedamaian yang lahir daripada semangkuk teh boleh dikongsi dan menjadi asas dalam gaya kehidupan.”

Dalam masyarakat Jepun, budaya tehnya berkait rapat dengan upacara teh yang dinamakan sebagai chanoyu, yang menjadi sebahagian daripada aset budaya tradisional Jepun. Tradisi upacara teh Jepun ini mempunyai hubungan dengan agama Buddha dan berdasarkan sejarah, ia telah bermula sejak abad ke-9, iaitu dibawa oleh para sami Buddha yang pulang dari China.

Persepsi masyarakat Jepun tentang teh tiada bezanya dengan masyarakat di China. Di Jepun, teh mempunyai peranan yang suci dan harmoni. Kerana itulah, upacara teh yang dijalankan berfungsi dalam menunjukkan kehormatan, keharmonian, ketenangan dan kesucian.

Upacara teh Jepun merupakan suatu acara yang unik di mana setiap proses bermula daripada penyediaan peralatan teh sehinggalah teh itu diminum mempunyai tekniknya yang tersendiri. Prosedur bagi upacara teh ini adalah pelbagai mengikut tempat dan tarikh pada setiap tahun. Sesuatu upacara teh boleh dilakukan di luar atau di dalam sama ada di dalam bilik teh atau rumah teh.

Secara asasnya, dalam proses upacara teh ini, ia bermula dengan penganjur (host) sama ada lelaki atau perempuan, memakai kimono, manakala para tetamu akan memakai kimono atau pakaian formal yang lain. Penganjur dan para tetamu akan memberi tunduk hormat sesama sendiri dan mereka akan membersihkan tangan serta membilas mulut di dalam sebuah basin batu sebagai simbolik menyucikan diri.

Para tetamu akan memasuki ruang upacara teh selepas menanggalkan kasut masing-masing. Tempat duduk para tetamu akan ditentukan mengikut kedudukan dan prestij mereka. Tetamu akan dihidangkan dengan sajian ringkas, dipanggil kaiseki atau chakaiseki, diikuti dengan sake (wain beras Jepun). Jika tiada sajian yang dihidangkan, para tetamu akan diberi sedikit manisan. Mereka akan kembali ke ruangan menunggu sehinggalah dipanggil semula oleh penganjur.

Apabila dipanggil semula ke bilik teh, para tetamu perlu menyucikan diri mereka sekali lagi. Setiap barang yang digunakan dalam upacara ini akan dibersihkan, termasuklah tea scoop, whisk dan mangkuk teh. Mereka saling berbalas tunduk hormat dan tetamu pertama akan diberikan semangkuk teh.

Tetamu pertama ini (kebiasaannya tetamu kehormat) akan merasanya sedikit, memuji penganjur upacara teh, membersihkan bahagian yang diminum dan memberikan mangkuk tersebut kepada tetamu yang kedua. Prosedur ini akan berlanjutan sehinggalah semua tetamu dapat merasa teh daripada mangkuk yang sama.

Elemen paling penting dalam upacara teh Jepun ini adalah konsep Wabi dan Sabi. Wabi mewakili pengalaman secara spiritual bagi manusia dan ia adalah simbolik bagi sesuatu yang senyap dan kesedaran secara halus. Sementara Sabi pula mewakili bahagian material dalam kehidupan dan ia boleh bermaksud sesuatu yang telah terjejas atau rosak.

Dalam hal ini, memahami kekosongan serta ketidaksempurnaan itu merupakan suatu bahagian penting dalam kesedaran spiritual. Upacara teh yang diadakan ini memberi suatu rasa bagi memahami keadaan spiritual di sebalik segala rasa kekosongan tersebut.

Budaya teh di Korea

Budaya teh di Korea bermula apabila benih teh mula dibawa dari China pada sekitar era Dinasti Silla. Sewaktu era Dinasti Goryeo, teh ini mencipta kegemilangannya yang tersendiri. Teh memainkan peranan penting dalam pelbagai aspek kebudayaan, puisi, kesenian dan lagi, dan turut dihidangkan dalam sebuah upacara yang dikenali sebagai Ch’a-rye. Malah, sewaktu era Goryeo ini jugalah, pejabat kerajaan telah menubuhkan bahagian khas dalam mengawal penghasilan, pemprosesan, pengangkutan, penjualan dan pengambilan teh.

Masyarakat Korea turut memandang tinggi akan peranan teh sebagai satu simbolik kepada keberanian dan kesucian. Dalam tradisi Korea, pada hari perkahwinan seseorang, pengantin perempuan akan menghadiahkan teh kepada kepada keluarga suaminya, dan ibu mertua akan membalasnya dengan benih teh, sebagai satu simbolik menantu perempuan itu akan mendatangkan kebaikan dan kukuh seperti mana pokok teh.

Upacara teh di Korea (yang dikenali sebagai dadothe way of tea) juga hampir menyamai upacara yang dijalankan di China dan Jepun. Ia bermula dengan penyediaan teh, yang mana air yang dididihkan untuk membuat teh tidak harus terlalu panas. Dalam etika ini, selepas air itu mendidih, ia harus dituangkan ke dalam cooling bowl selama beberapa minit bagi mencapai suhu yang tepat untuk penyediaan teh.

Kualiti air memainkan peranan penting dalam penyediaan teh. Dalam sesetengah upacara, mereka menggunakan air yang diambil daripada mata air di gunung bagi menjamin kesucian dan kesegarannya.

Bagi bekas teh, masyarakat Korea akan meletakkan perkakasan untuk teh ini di atas meja yang dikenali sebagai Gyo-ja-sang. Kedudukan setiap perkakasan dan bekas teh ini adalah berbeza mengikut daerah, tetapi kedudukan teko teh adalah pada bahagian tangan kanan di meja tersebut. Cooling bowl pula diletakkan di bahagian luar, bekas simpan teh di bahagian tengah meja, manakala cawan teh diletakkan di bahagian kiri menghadap ke bawah.

Sebelum upacara teh bermula, kesemua perkakasan teh ini akan ditutup dengan sehelai kain. Manakala terdapat satu mangkuk lain di tepi meja bertujuan untuk meletakkan sisa daun teh dan air yang tidak digunakan.

Upacara minum teh di Korea mempunyai nilai seninya yang tersendiri. Seseorang itu perlu meminum setiap cawan sebanyak tiga kali, iaitu satu pertiga daripada cawan pada setiap kali. Selepas teh dihidangkan, cawan harus diambil dengan tangan kanan, dan tangan kiri perlu menampung cawan cawan tersebut.

Sebelum merasa teh, kita harus menikmati aroma teh terlebih dahulu dan menghirup teh secara perlahan-lahan bagi merasai keseluruhan bau dan aroma teh. Selepas minum kali pertama, pegang cawan tersebut dan bernafas dengan tenang sambil menenangkan fikiran dengan aroma teh yang masih ada di dalam mulut. Begitulah proses ini diulang dalam upacara minum teh bagi meningkatkan tenaga serta mencetuskan ketenangan dalam diri.

Satu festival teh istimewa telah diadakan setiap tahun di Boseong, iaitu satu wilayah kecil di bahagian selatan Korea Selatan dan merupakan pengeluar teh terbesar bagi negara tersebut. Ia diadakan pada setiap Mei, iaitu pada waktu daun teh dikutip dan disediakan, dan masyarakat boleh menikmati pelbagai acara pada festival tersebut.

Kesimpulan

Budaya teh yang ditunjukkan melalui upacara teh serta etika dalam penyediaan teh merupakan antara buaday tradisional yang menjadi kebanggaan masyarakat China, Jepun dan Korea. Teh bukan sahaja menjadi minuman yang kaya dengan khasiat untuk kesihatan, malah turut memberi simbolik tersendiri dalam mendatangkan ketenangan, keharmonian dan penyatuan kepada yang menikmatinya.

RUJUKAN:

Ali, A., Anwar, R., Hassan, O. H., & Kamarun, H. R. (2013). Significance of Japanese Tea Ceremony Values with Ceramic Art Interpretation. Procedia – Social and Behavioral Sciences, 106, 2390–2396.

Anonymous. (2019). The Spread of Chinese Tea Culture to Japan and Korea. Retrieved July 14, 2020, from https://www.umiteasets.com/blog/the-spread-of-chinese-tea-culture-to-japan-and-korea.html

Jie, B. (2017). Research on Chinese Tea Culture Teaching from the Perspective of International Education of Chinese Language. Advances in Social Science, Education and Humanities Research (ASSEHR), 152(Icsehr), 212–215.

Kangasjärvi, E. M. (2012). Codified Tranquility : Ritual and Communitas in the Japanese Way of Tea. University of Helsinki.

Kaplan, U. (2017). From the Tea to the Coffee Ceremony: Modernizing Buddhist Material Culture in Contemporary Korea. Material Religion, 13(1), 1–22.

 

 

 


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Anak Terengganu yang bercita-cita untuk menjadi food historian, dan memasang impian untuk mengeluarkan buku mengenai kesemua makanan warisan di Malaysia. Telah selesai viva untuk Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang Pemakanan dan bakal bergraduat pada akhir tahun nanti. Sukakan muzik, drama dan filem, tetapi nyata rasanya lebih kepada penulisan. Seorang ghostwriter, penyunting dan penterjemah sambilan. Bidang penulisan yang diminati; pemakanan, sains makanan, gastronomi, sejarah dan eksplorasi karya (drama dan filem).

Comments are closed.