Koboi (Cowboy) telah memainkan peranan yang penting semasa zaman pengembangan kuasa dan pengaruh Amerika Syarikat ke arah barat. Walaupun budaya koboi ini berasal dari Mexico, koboi Amerika sebenarnya telah mencipta gaya, identiti dan reputasi mereka yang tersendiri.

Sepanjang sejarah pra-moden, gaya hidup mereka yang ikonik telah diterjemahkan melalui pelbagai buku, filem dan rancangan televisyen yang tidak terkira banyak jumlahnya.

Tetapi hakikat sebenar kehidupan seorang koboi yang mencabar, bersendirian dan kadang-kala memenatkan adalah tidak sesuai untuk dilalui jika anda memiliki jiwa yang lemah.

Kegagalan beradaptasi dengan pekerjaan hakiki sebeginilah yang sering menyebabkan golongan koboi ini bertukar kepada kerjaya-kerjaya haram seperti meromp*k dan menjadi pembun*h upahan.

VAQUEROS

Pada tahun 1519, tidak beberapa lama setelah orang Sepanyol mula tiba di benua Amerika, mereka mula membangunkan ladang peternakan untuk menternak lembu dan haiwan ternakan lain. Kuda pula akan diimport dari Sepanyol untuk membantu kerja-kerja di ladang.

Koboi yang asli sebenarnya berasal dari budaya Mexico, pada asalnya mereka dipanggil sebagai “vaqueros”, istilah yang berasal dari perkataan Sepanyol; “vaca” yang bermaksud “lembu”.

Golongan Vaqueros ini kebiasaannya selalu diupah atau disewa khidmat mereka oleh para peternak untuk menjaga haiwan ternakan kerana mereka amat terkenal dengan kemahiran menunggang kuda, bermain tali dan menggembala.

Menjelang awal tahun 1700-an, industri peternakan telah berkembang sejauh hingga ke Texas, New Mexico, Arizona dan sejauh ke selatan Argentina. Semasa misi mubaligh ke California bermula pada tahun 1769, budaya penternakan mula diperkenalkan ke lebih banyak kawasan di Barat.

Pada awal tahun 1800-an, ramai peneroka berbahasa Inggeris telah berhijrah ke Barat dan mula menyerap beberapa aspek budaya vaqueros, ia termasuklah dari gaya fesyem pakaian mereka dan kaedah menggembala lembu.

Golongan Koboi berasal dari pelbagai latar belakang, ia bukan sejenis budaya yang eksklusif untuk orang kulit putih dari Eropah sahaja, budaya koboi turut diangkat oleh kaum lain, antaranya termasuklah orang Afrika-Amerika, kaum Pribumi Amerika, orang Mexico dan peneroka dari timur Amerika Syarikat dan Eropah, bahkan orang Asia juga ada yang terpengaruh dengan budaya Koboi.

“MANIFEST DESTINY” KOBOI AMERIKA

Pada pertengahan tahun 1800-an, Amerika Syarikat membina jalan kereta api yang menjangkau sejauh ke arah barat, dan disinilah koboi memainkan peranan penting dalam “Manifest Destiny”, sebuah idea yang memupuk kepercayaan bahawa Amerika Syarikat adalah negara yang perlu ditubuhkan atas takdir Tuhan. Chuck Norris dengar pun boleh gelak.

Ia hampir serupa dengan konsep “mandat dari syurga” imperialis China namun idea “takdir Tuhan” versi Amerika Syarikat ini lebih cenderung dipupuk sebagai propaganda politik negara itu kerana pengembangan kuasa ke arah Barat sentiasa menyebabkan sempadan pemerintahan kerap berubah-ubah.

Koboi pada awalnya berperanan menggembala dan mengumpulkan ternakan yang diangkut menggunakan kereta api di seluruh negara untuk didagangkan.

Untuk mengenal pasti suatu binatang ternakan itu adalah milik pengusaha penternakan yang mana, koboi akan memberikan ‘jenama khas’ terhadap haiwan itu dengan meninggalkan kesan tanda khas pada kulit mereka dengan cara penandaan bara api.

Antara lapan hingga 12 orang koboi diperlukan untuk memastikan kerja-kerja mendorong dan memindahkan sekitar 3,000 ekor lembu di sepanjang laluan khas untuk lembu.

Pada saat Per*ng Saudara sedang berakhir pada tahun 1865, Union Army telah banyak menghabiskan bekalan daging lembu di Utara, ia meningkatkan permintaan untuk daging lembu. Perkembangan industri pembungkusan daging juga turut mendorong kepada pemakanan dan permintaan tinggi untuk daging lembu.

Menjelang tahun 1866, berjuta-juta ekor lembu jenis longhorn dikumpul dan dibawa ke depot kereta api. Lembu dijual untuk pasaran utara dengan harga sekitar $ 40 satu kepala.

Industri penternakan terus berleluasa hingga akhir 1800-an. Peneroka kulit putih dibenarkan untuk menuntut pemilikan tanah awam di Great Plains sebagai sebuah “kawasan terbuka” untuk menternak lembu-lembu yang dibeli.

Tetapi pada tahun 1890-an, sebahagian besar tanah mula diswastakan setelah perselisihan mengenai isu hak pemilikan tanah diselesaikan dan penggunaan pagar kawat berduri mula menjadi semakin meluas.

Semasa musim sejuk tahun 1886-1887, ribuan ekor lembu mati setelah suhu jatuh hingga di bawah tahap beku di beberapa bahagian di Barat. Ramai pengkaji percaya bahawa musim sejuk yang dahsyat ini adalah permulaan kepada pengakhiran bagi era koboi.

Kerja menggembala lembu tetap diteruskan, tetapi pada skala yang lebih kecil, hinggalah pertengahan tahun 1900-an. Sebilangan besar golongan koboi mula memilih jalan kehidupan yang lebih terbuka dan kebiasaannya menerima upah menggembala dari pemilik ladang peribadi di Barat.

WATAK KOBOI

Walaupun peranan koboi mulai merosot pada tahun 1920-an, filem-filem Hollywood terus mempopularkan gaya hidup koboi melalui filem-filem yang mempromosikan budaya koboi barat (Western/West Culture) dari tahun 1920-an hingga 1940-an.

Filem-filem ini menampilkan bintang terkemuka yang sinonim dengan watak koboi seperti John Wayne, Buck Jones dan Gene Autry.

Penonton Amerika sering mengikuti perkembangan dunia hiburan untuk menyaksikan pengembaraan fiksyen Lone Ranger and Tonto, Will Kane dalam “High Noon” dan “Hopalong Cassidy” di layar perak. Peminat buku komik boleh membaca kisah-kisah seperti The Black Rider dan Kid Colt.

Mengikut pemahaman masyarakat sekarang, tidak banyak yang mereka faham tentang hakikat sebenar dari kehidupan di ladang penternakan dan budaya koboi itu sendiri. Koboi sering didendangkan sebagai pahlawan, atau peromp*k.

Dalam kisah-kisah fiksyen, koboi sering digambarkan sebagai hero dalam pertentangannya terhadap suku pribumi Red Indian, penduduk asli Amerika, amat jarang Hollywood mendedahkan hakikat sebenar pekerjaan mereka iaitu sebagai gembala di ladang peternakan.

Aktor seperti John Wayne dianggap sebagai pelakon yang membawa watak koboi dengan baik hingga dijadikan idola, walaupun filem barat jarang menonjolkan sisi kehidupan koboi yang sebenarnya.

Koboi juga sering digambarkan sebagai pelopor untuk fesyen yang ideal dalam budaya maskulin, contohnya sebagaimana mereka digambarkan hingga sinonim dengan jenama-jenama tertentu seperti rokok Marlboro.

KEHIDUPAN KOBOI

Budaya koboi secara lazimnya dipenuhi dengan golongan lelaki muda ‘terdesak’ yang amat memerlukan wang tunai. Rata-rata pendapatan bulanan seorang koboi di Barat kebanyakannya menghasilkan sekitar $25 hingga $40 sebulan.

Selain menggembala lembu, mereka juga boleh diharapkan untuk membantu menguruskan kuda, memperbaiki pagar dan bangunan, mengerjakan penternakan lembu dan dalam beberapa kes membantu menubuhkan kubu kota di perbatasan.

Koboi adakalanya menghasilkan reputasi yang buruk atas banyak tindakan jenayah, perlanggaran undang-undang, meromp*k, hingga ada dikalangan mereka yang diharamkan dari muncul di beberapa tempat-tempat tertentu.

Seperti yang kita semua tahu, mereka biasanya memakai topi besar dengan skaf lebar untuk melindungi mereka dari kepanasan sinar matahari, kasut kulit yang lasak untuk memudahkan mereka menunggang kuda dan bandana untuk melindungi wajah mereka dari pasir dan debu.

Ada yang memakai chaps yang dibuat dari kulit di bahagian luar seluar mereka untuk melindungi kaki mereka dari terkena jarum pohon kaktus yang tajam dan kawasan bukit yang berbatu.

Semasa mereka tinggal di ladang, koboi-koboi ini berkongsi rumah tumpangan antara satu sama lain.  Untuk hiburan, mereka akan mengisi masa lapang dengan menyanyi, bermain gitar dengan harmonika dan menulis puisi.

Istilah cowboy, yang asalnya ditulis dari gabungan perkataan cow-boy, pertama kali digunakan oleh pengarang bernama Jonathan Swift pada awal abad ke-18 untuk merujuk kepada pemuda-pemuda yang menjaga lembu.

Perkataan mainstream yang digabungkan menjadi ‘cowboy’ mula popular pada pertengahan abad ke-19, ketika masih diselaraskan.

Cowboy juga turut disebut sebagai cowpoke, buckaroos, cowhands dan cowpuncher. Koboi yang paling berpengalaman dipanggil Segundo (bahasa Sepanyol yang bermaksud “kedua”) dan biasanya akan menunggang di barisan hadapan jika secara berkumpulan sebagai penentu jalan yang akan digunakan.

Setiap hari bekerja adalah amat berat dan lasak bagi seorang koboi. Waktu bekerja adalah sekitar 15 jam, dan sebahagian besar masa bekerja itu dihabiskan dengan menunggang kuda atau melakukan tugas fizikal yang lain.

KOBOI RODEO

Sesetengah koboi akan menguji kemahiran mereka antara satu sama lain dengan melakukan aktiviti rodeo – pertandingan yang direka berdasarkan tugas harian seorang koboi.

Antara aktiviti Rodeo termasuklah menunggang lembu, menangkap anak lembu menggunakan tali pusing, menunggang kerbau tanpa pelana dan perlumbaan tong barel..

Acara Rodeo secara profesional yang kali pertama diadakan adalah di Prescott, Arizona, pada tahun 1888. Sejak itu, sukan rodeo terus menjadi salah satu acara hiburan yang popular di Amerika Syarikat, Mexico dan di beberapa tempat lain.

KOBOI HARI INI

Setelah bertahun-tahun, bilangan koboi yang bekerja mula menurun, tetapi pekerjaan itu tidak lekang dek zaman. Gaya hidup dan budaya koboi masih subur di beberapa kawasan tertentu terutamanya kawasan yang jauh dari bandar besar di Amerika Syarikat, koboi masih wujud walaupun pada tahap yang tidak lagi sama sepenuhnya berbanding dengan koboi abad yang lalu.

Koboi terus berperanan membantu menguruskan ladang-ladang penternakan yang besar di negeri-negeri seperti Texas, Utah, Kansas, Colorado, Wyoming dan Montana.

Menurut Biro Statistik Tenaga Kerja Amerika Syarikat, pada tahun 2003 terdapat sekitar 9,730 pekerja dalam kategori “aktiviti sokongan untuk pengeluaran haiwan,” yang merangkumi golongan koboi. Pekerja ini memperoleh pendapatan secara purata $19,340 setiap tahun.

Walaupun peluang semakin meningkat dan telah lama meninggalkan kehidupan yang terdesak, budaya koboi Amerika terus kekal menjadi sebahagian daripada kehidupan di Amerika Barat.

Namun tidaklah budaya koboi ini dipenuhi dengan aksi tembak menembak seperti yang sering digambarkan Hollywood.

RUJUKAN:


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

•MALAY• •MUSLIM• •TERENGGANU• •NATIONALIST• •CONSERVATIVE•

Comments are closed.