Budak kecil hidup terasing dan membesar bersama haiwan – tema begini sememangnya sudah wujud lama. Misalnya pada kurun ke-8 SM, Hesiod dari Yunani menulis bagaimana Zeus dibesarkan oleh kambing bernama Amalthea. Kurun ke-3 SM pula, Quintus Pictor dari Rome mencatat legenda Romulus dan Remus yang disusukan oleh Lupa si serigala.

Tema sama kekal dihidupkan menjelang era moden. Antaranya menerusi fiksyen The Jungle Book (1894) dan Tarzan (1912). Masing-masing pun masih malar segar hingga ke hari ini. Sampai dianimasikan, bahkan dipanggungkan.

Namun terkecuali dari lingkup mitos dan fantasi, tema ini sebetulnya wujud juga di dunia realiti. Baik di Eropah mahupun Asia. Jerman contohnya menyimpan kisah Peter the Wild Boy (1714 – 1785) – budak 11 tahun yang dijumpai bersendirian di hutan, lalu dibawa ke London untuk menjadi ‘manusia peliharaan’ King George I sehingga akhir hayat.

Di Asia pula, kisah serupa berlaku pada 1867 di utara India. Tepatnya, di daerah Bulandshahr. Kisah ini memang agak masyhur, sampai dicanang sebagai pencetus inspirasi buat Rudyard Kipling dalam menghasilkan watak Mowgli.

The Patriots berada di PBAKL 2022 bermula 3 June sehingga 12 June. Jumpa di sana!

Namun sebetulnya, tiada siapa tahu sahih tidak dakwaan itu. Cuma yang pasti, jika sebut tentang Mowgli Dunia Sebenar, semua akan sepakat mengingati nama ini – Dina Sanichar. Iya, inilah nama budak enam tahun yang dijumpai di hutan tebal Bulandshahr pada Februari 1867.

Masa ditemui, Sanichar sedang elok berada di mulut sebuah gua… sambil diiringi beberapa ekor serigala. Dipercayai, gua itu adalah tempat tinggal mereka. Semua serigala ini lantas dibunuh oleh kumpulan pemburu yang menjumpai Sanichar.

Sanichar sendiri kemudian diambil lalu dibawa ke rumah kebajikan Kristian di Sikandra, Agra. Di sana, dia dibaptis dan diberi nama Dina Sanichar yang bermaksud ‘Hari Sabtu’. Nama ini bersempena hari dia tiba di situ.

Menurut Erhard Lewis (pengurus rumah tersebut), Sanichar memang bertingkah seperti haiwan saat pertama kali tiba. Dia hanya tahu merangkak dan mendengus. Berjalan dan memahami bahasa isyarat jauh sama sekali. Bertutur apatahlagi.

Diet pemakanannya juga tidak seperti manusia. Sanichar cuma pandai menjamah daging mentah. Sebelum makan pula, dia terbiasa menghidu terlebih dahulu. Kalau tidak kena dengan seleranya, memang dia tidak akan pandang.

Gambar Sanichar pada masa-masa awal tiba di rumah kebajikan

Disebabkan keterbatasan begitu, Sanichar mengambil masa yang lama untuk beradaptasi. Lebih-lebih lagi apabila rakan yang berkongsi nasib dengannya meninggal dunia – setelah sempat bersama untuk beberapa bulan sahaja.

Apapun berkat kesabaran dan kesungguhan Lewis, perlahan-lahan perubahan dapat disaksikan. Sanichar memang sepanjang hidupnya tidak berupaya membaca, menulis, dan mengira. Berbahasa pun tidak mampu.

Namun sekurang-kurangnya, dia pandai berjalan dan berpakaian sendiri. Bila diberi tugas tertentu pun, dia mampu kerjakan sekali gus menandakan akalnya berfungsi walau pada kadar minimum. Makan minumnya pun terjaga.

Siap pandai merokok lagi. Entah siapalah yang ajar. Tapi memang Sanichar direkodkan sebagai perokok tegar pun. Sebilangan beranggapan tabiat ini adalah bagi menangani depresi yang dialaminya. Munasabah juga. Bayangkan, dia membesar dari umur 6 hingga 35 tahun di situ – tanpa berkomunikasi dengan sesiapa dan tanpa sesiapa pun tahu apa fikirannya.

Lantas pada tahun 1895, Sanichar menghembuskan nafas terakhir akibat penyakit tuberkulosis (batuk kering). Pemergiannya serba-sederhana. Namun, penuh dengan tanda tanya. Misalnya, di mana dia disemadikan, ke mana pergi saudara-mara, dan mengapa dia boleh berada di hutan sendirian?

Sanichar segak berpakaian kemas

Semua persoalan pun tiada jawapan. Sampai sebilangan kata kisah Sanichar hanya rekaan… sebab memang sekitar masa itu banyak kisah sebegini yang direka-reka sahaja, terutama oleh mubaligh demi mendapat perhatian media. Contohnya kisah Amala dan Kamala, dua beradik yang sebenarnya mengalami kecacatan dan bukannya membesar dalam hutan bersama haiwan.

Apapun selain Sanichar, ramai juga kanak-kanak lain yang berkongsi nasib serupa. Antaranya Shamdeo, budak empat tahun yang dijumpai di hutan India pada 1972 dan meninggal dunia 13 tahun kemudian. Juga Oxana Malaya, kanak-kanak Ukraine yang membesar dalam kandang anjing namun kini sudah berpasangan dan bekerja di ladang haiwan.

Jika diperhalusi, kisah-kisah sebegini biasanya berakar daripada satu perkara; pengabaian/penderaan keluarga. Oxana misalnya, lahir dari pasangan kaki botol. Begitu juga Genie Wiley (1970) dari AS dan ramai lagi yang disenaraikan di sini. Justeru mengikuti kisah Sanichar ini secara tidak langsung memberi teladan betapa keluarga yang sihat dan sejahtera merupakan kurnia yang tidak semua direzekikan untuk merasa. Ini sekali gus mendorong kita untuk lebih bersyukur dan masa sama, menjadikan dunia ini tempat yang lebih baik dan membela.

RUJUKAN

Brinkhof, Tim. (2021, 7 June). The Short, Sad Life of Dina Sanichar, The Feral Boy Who Inspired ‘The Jungle Book’. All That Interesting.

Choudhury, Sajjad. (2021, 2 October). This is the Real-Life Mowgli. History of Yesterday.

Evon, Dan. (2021, 17 September). Is Dina Sanichar the ‘Real-Life Mowgli’? Snopes.

Sengupta, Rishita. (2022, 1 April). Meet India’s Real Life Mowgli – The Child Who Was Raised by Wolves. ED Times.


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Pencinta bahasa ibunda dan sejarah dunia. Amir Zayyanid merupakan seorang penulis dan penterjemah bebas yang menyimpan impian mahu menabur bakti kepada anak pertiwi menerusi pendokumentasian sebanyak mungkin bahan bacaan, sama ada fiksi mahupun bukan-fiksi.

Leave A Reply