Dalam tahun baru Islam, bulan Muharam adalah permulaannya. Dan, setiap kali tibanya bulan Muharam, iaitu pada 10 Muharam, ramai umat Islam menyambutnya dengan memasak bubur asyura.
Berdasarkan penjelasan daripada Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, amalan memasak bubur asyura pada hari 10 Muharam dalam kalangan masyarakat boleh disandarkan kepada kisah Nabi Nuh AS dan umatnya ketika dilanda badai sebagai ibrah dan pedoman.
Dalam kisah ini, disebabkan mereka berada dalam keadaan yang sangat lapar, Baginda Nuh AS memerintahkan pengikutnya supaya menghimpunkan segala makanan yang tersisa untuk dimasak dan dijadikan makanan.
Setelah selesai mengumpulkan sisa makanan itu dan memasaknya, lalu mereka makan sehingga kekenyangan. Kapal Nabi Nuh ini dikatakan berlabuh di Bukit Judiy, iaitu di Turki, dan dalam kalangan orang Turki sendiri ada legenda tentang mengenai The Noah’s Pudding atau Bubur Nuh ini.
Bagi masyarakat Turki, terdapat pelbagai jenis dan resipi untuk asyura, dengan pelbagai bahan yang penuh dengan nutrien dan merupakan pencuci mulut musim sejuk yang ideal kerana ia sihat dan mengenyangkan.
Walaupun tiada resipi tunggal untuk asyura, pencuci mulut itu menggambarkan dengan keindahan ramuan dan keutamaan masakan Anatolia purba dan evolusinya menjadi hidangan Turki moden. Bahan-bahan utama asyura di Turki seperti kekacang, bijirin, dan buah-buahan digabungkan untuk menghasilkan sesuatu yang berkhasiat, dan mengenyangkan, namun ada rasa manis dan lazat.
Seperti yang kita lihat dalam kaitannya dengan kisah Bahtera Nabi Nuh, pencuci mulut ini mewakili kelangsungan hidup, kesihatan, kelimpahan dan perayaan. Ia bertujuan untuk dikongsi dengan orang lain, dan warisan kemurahan hati ini telah berterusan selama beribu-ribu tahun.
Keluarga Turki biasanya menyediakan asyura dalam mangkuk kecil, menyimpan sebahagian daripada asyura ini untuk diri mereka sendiri dan mengagihkan selebihnya kepada rakan, keluarga dan ahli masyarakat.
Meskipun bubur asyura Turki dan masyarakat Melayu kita agak berbeza, namun ia masih berkongsi persamaan dalam sebahagian daripada bahan-bahan yang digunakan. Malah, negeri-negeri di Malaysia ini juga ada perbezaan tersendiri dalam menghasilkan bubur asyura.
Tradisi gotong-royong menghasilkan bubur asyura dalam masyarakat Turki bahkan Melayu ini dahulu adalah untuk mengeratkan silaturahim di samping saling berkongsi makanan. Masyarakat Melayu kebanyakannya akan berpuasa pada 10 Muharam dan bubur Asyura ini dijadikan sunnah manisan untuk berbuka puasa.
Jika dilihat begini, jadi ya, berkemungkinan besar bubur asyura ini adalah antara hidangan pencuci mulut yang tertua di dunia.




No comments yet