Jika anda takut buaya, anda pasti tidak akan mahu berada pada zaman terdahulu, malah sebelum zaman dinosaur pun, anda akan berdepan dengan haiwan seakan buaya tetapi bukan sahaja sebesar beruang, malah boleh berjalan tegak dan laju tidak seperti buaya serta hidup hanya di darat.

Tahukah anda suatu ketika dahulu, terdapat moyang kepada buaya pernah memerintah darat. Dan antara mereka merupakan pemangsa terunggul, raja zaman Triassic. Mereka bukanlah dinosaur tetapi merupakan kumpulan haiwan tersendiri, Pseudosuchia.

Hidup pada zaman Triassic 251.9 juta tahun dahulu ketika awal Mesozoic, kumpulan tersebut ini dinamakan saintis sebagai Pseudosuchia yang bermaksud “buaya palsu” dan hal ini kerana hanya mempunyai ciri-ciri  seperti buaya tetapi hakikatnya bukanlah buaya.

Uniknya keluarga moyang buaya ini kerana tidak seperti buaya yang merangkak, kaki mereka berdiri tegak dan posturenya keadaan “pillar-erect”, menjadikan rupa serta pergerakan mirip kepada Dinosaur.

Malah ada juga spesis yang beradaptasi untuk berjalan hanya dua kaki seperti theropod dan burung. Kebanyakan mereka juga tidak berenang di air dan hanya berjalan di darat tidak seperti buaya, sememangnya buaya darat pernah hidup suatu zaman dahulu.

Figura 1 : Rekonstruksi tulang Prestosuchus menunjukkan kaki-kaki tegak tidak seperti buaya.

Ironinya pula Pseudosuchia dijadikan “branch-based taxon” atau dalam bahasa mudah, tunjang dahan dalam susur galur filogeni untuk mengumpulkan kesemua haiwan dari superclade archosaur yang lebih rapat kepada buaya daripada burung. Kelakarlah boleh kata ayam yang kita makan setiap hari adalah saudara kepada buaya.

Figura 2 : Susur galur filogeni dalam clade Archosauria oleh Nesbitt (2011)

Menariknya pula tidak semua merupakan pemangsa kerana ada juga yang hidup sebagai herbivor seperti kumpulan Aetosauria dan genus Revueltosaurus. Ini menunjukkan diversiti keluarga haiwan ini mendominasi alam Triassic dari karnivor pemangsa ke herbivor pemakan tumbuhan.

Salah satu herbivor tersebut adalah Aetosaur. Aetosaur mempunyai ciri seperti kebanyakan buaya seperti perisai osteoderm tetapi juga ada ciri yang tiada pada buaya seperti kepala kecil, muncung seperti khinzir serta gigi berbetuk pepahat. Ada teori berpendapat Aetosaur seperti Desmatosuchus menggali tanah untuk mencari tumbuhan-tumbuhan lembut.

Fosil-fosil Aetosaur banyak ditemui di Eropah, Amerika dan sebahagian Afrika dan India, menunjukkan taburan haiwan ini luas. Terdapat banyak spesis Aetosaurs, kebanyakannya kecil seperti Typothorax dan Stagonolespis yang bersaiz hanya 2 hingga 3 meter. Tetapi ada juga dari golongan Aetosaur yang besar seperti Desmatosuchus

Figura  3: Ilustrasi Typothorax digambarkan dalam habitat semulajadi oleh Smokeybjb

Desmatosuchus merupakan salah satu Aetosaur, antara aetosaur yang terbesar dengan panjang 4.5 meter dan badannya berperisai dan berbentuk seperti tong. Bukan sahaja ianya kelihatan seperti buaya malah mempunyai tambahan dua scute besar yang berbentuk tajam tumbuh menghala kebelakang, unik kerana ciri tersebut tiada dalam Aetosaur lain seperti Typothorax.

Sama ada untuk perlindungan atau sebagai alat menarik perhatian pasangan masih dalam kajian. Desmatosuchus juga hidup berkumpulan berdasarkan banyak fosil yang ditemui dari Dockum Group di Texas. sepertimana kebanyakan haiwan herbivor sekarang. Bayangkan kalau anda lihat sekumpulan haiwan sebegini berkeliaran tengah-tengah malam di lebuh raya.

Figura  4: Desmatosuchus berbanding dengan manusia oleh Petrified Forest
Figura 5 : Desmatosuchus  di habitat semulajadi oleh WALTER MYERS / SCIENCE PHOTO LIBRARY
Figura 6 : Desmatosuchus menggali tanah oleh Liam Elward

Ada juga herbivor seperti Revueltosaurus yang hidup di akhir zaman Triassic di Kawasan yang sekarang New Mexico dan Arizona. Saiznya kecil hanya mencecah 1 meter dan kelihatan lebih kepada biawak daripada buaya. Meskipun merupakan herbivor, rupanya tidak pula seperti Aetosaur serta giginya pula lebih mirip kepada gigi ornithiscian dinosaur.

Malah pada awal jumpanya fosil gigi tersebut, saintis beranggapan bahawa gigi tersebut berasal dari dinosaur dan hanya dengan penemuan tengkoraknya saintis mengetahui bahawa ianya milik specimen dari Pseudosuchia. Perbezaan ini meletakkan Revueltosaurus unik dan bukan dalam kumpulan Aetosauria. Boleh dikatakan Revueltosaurus memenuhi niche Iguana sekarang.

Figura 7 : Revueltosaurus (atas) serta tengkoraknya (bawah)

Kebanyakan kumpulan Pseudosuchia adalah karnivor dan merupakan pemangsa yang memburu haiwan-haiwan purba seperti dicynodonts serta dinosaur awal. Malah ada spesis yang merupakan pemangsa terunggul yang mendominasi rantaian makanan teratas sekali ketika zaman Triassic. Salah satu kumpulan Pseudosuchia ini adalah dari kumpulan Rauisuchidae.

Raiusuchian merupakan haiwan pemangsa dan ada antara mereka boleh mencecah hingga 6-meter atau lebih. Salah satu raiusuchian yang terkenal adalah Postosuchus. Postosuchus dinamakan sedemikian kerana spesimen haiwan tersebut mula dijumpai di Post, Texas membawa makna ”buaya dari Post”.  Specimen dewasa mencapai ketinggian sekitar 1.2 meter serta 4m panjang) dari muncung kepala ke hujung ekor dan anggaran berat 250 hingga 300 kg . Ia mempunyai tengkorak yang dibina secara besar-besaran dengan gigi seperti keris dan bentuknya mirip kepada theropod seperti Tyrannosaurus rex.

Tidak boleh dinafikan bahawa Postosuchus merupakan  salah satu pemangsa puncak kawasannya semasa Triassic, lebih besar daripada pemangsa dinosaur kecil pada zamannya (seperti Coelophysis). Mangsanya bukan sahaja dari haiwan yang besar seperti dicynodonts dan aetosaur malah memburu banyak makhluk lain yang lebih kecil daripada dirinya sendiri (seperti dinosaur awal). Unik dalam raisuchian ini ada juga golongan yang berjalan kaki dua, termasuk Postosuchus. Banyak bukti mengatakan kaki dan pinggul mempunyai ciri-ciri mirip seperti theropod, menjadikan Postosuchus haiwan yang sememangnya berjalan dua kaki atau “obligate biped”. Postosuchus menjadi terkenal setelah ianya antara watak haiwan yang pernah muncul dalam siri televisyen “Walking with Dinosaur”.

Figura  8: Postosuchus berbanding dengan manusia oleh Petrified Forest
Figura 9: Postosuchus bertarung dengan sekumpulan Coelophysis dalam siri Walking with  Dinosaur oleh BBC.

Postosuchus sememangnya haiwan pemangsa yang amat besar, tetapi ia bukan salah satu daripada pemangsa terbesar dalam kalangan moyang buaya yang pernah ditemui. Dari kumpulan Prestosuchidae pula, Saurosuchus dari Ischigualasto Formation di Lembangan Ischigualasto-Villa Unión di barat laut Argentina dan Prestosuchus dari Santa Maria Formation, Brazil merupakan antara pemangsa dalam Pseudosuchia.

Meskipun tiada spesimen besar lengkap ditemui, analisis dari serpihan tengkorak haiwan-haiwan tersebut mendapati haiwan tersebut berukuran antara yang antara spesimen besar beukuran dari 2.5 ke 7 meter panjang mampu mencecah melepasi saiz beruang, menjadikan mereka antara pemangsa darat terbesar di awal dan pertengahan zaman Triassic.

 

 

 

 

 

 

 

 

Figura 11: Ilustrasi Saurosuchus dibandingkan dengan manusia oleh Megalotitan

Malah terdapat juga Raisuchid Fasolasuchus yang dianggarkan saiznya berdasarkan analisis serpihan fosil tengkorak mencecah 8 hingga ke 10 meter panjang mengatasi prestosuchid serta menjadikannya pemangsa terbesar yang pernah hidup selain dari theropod. Malah anggaran saiznya mengalahkan beruang kutub yang merupakan karnivor terbesar yang masih hidup kini.

Figura 12 : Spesimen tengkorak Fasolasuchus dibandingkan dengan manusia oleh bLAZZE92 (atas) dan rekonstruksi Fasolasuchus dengan Lessemsosaurus (bawah)

Sememangnya penemuan-penemuan sebegini menunjukkan bahawa di awal zaman kewujudan dinosaur malah sebelum itu lagi berates-ratus juta tahun dahulu, raksasa-raksasa lain sudah mendominasi alam Bumi. Sepertimana kepupusan Dinosaur membolehkan mamalia berkembang, pupusnya juga kebanyakan Pseudosuchia pada akhir zaman Triassic membawa kepada kebangkitan zaman Dinosaur pada era Mesozoic. Tentunya menarik melihat “buaya darat” sebegini jikalau ianya masih hidup di zaman sekarang bersama-sama dengan buaya air.

RUJUKAN:

Nesbitt, S.J. (2011). “The early evolution of archosaurs: relationships and the origin of major clades” (PDF). Bulletin of the American Museum of Natural History. 352: 1–292. doi:10.1206/352.1. hdl:2246/6112. S2CID 83493714

Parker, W. G., Irmis, R. B., Nesbitt, S. J., Martz, J. W., & Browne, L. S. (2005). The Late Triassic pseudosuchian Revueltosaurus callenderi and its implications for the diversity of early ornithischian dinosaurs. Proceedings. Biological sciences, 272(1566), 963–969. https://doi.org/10.1098/rspb.2004.3047

Parker W. G. (2016). Revised phylogenetic analysis of the Aetosauria (Archosauria: Pseudosuchia); assessing the effects of incongruent morphological character sets. PeerJ, 4, e1583. https://doi.org/10.7717/peerj.1583

Sulej, T. (2005). A new rauisuchian reptile (Diapsida: Archosauria) from the Late Triassic of Poland. Journal of Vertebrate Paleontology 25(1):78–86.

Chatterjee, Sankar (1985). “Postosuchus, a new Thecodontian reptile from the Triassic of Texas and the origin of Tyrannosaurs”. Philosophical Transactions of the Royal Society of London. Series B, Biological Sciences. 309 (1139): 395–460. doi:10.1098/rstb.1985.0092.

Weinbaum, J. C. (2013). “Postcranial skeleton of Postosuchus kirkpatricki (Archosauria: Paracrocodylomorpha), from the upper Triassic of the United States”. Geological Society, London, Special Publications. 379: 525–553. doi:10.1144/SP379.7. S2CID 129092753

Heckert, A.B.; Lucas, S.G.; Krzyzanowski, S.E. (2002). “The rauisuchian archosaur Saurosuchus from the Upper Triassic Chinle Group, Southwestern U.S.A., and its biochronological significance” (PDF). In Heckert, A.B.; Lucas, S.G. (eds.). Upper Triassic Stratigraphy and Paleontology. 21. New Mexico Museum of Natural History and Science Bulletin. pp. 241–247.

Desojo, Julia Brenda; Baczko, María Belén von; Rauhut, Oliver W. M. (2020-02-18). “Anatomy, taxonomy and phylogenetic relationships of Prestosuchus chiniquensis (Archosauria: Pseudosuchia) from the original collection of von Huene, Middle-Late Triassic of southern Brazil”. Palaeontologia Electronica. 23 (1): 1–55. doi:10.26879/1026. ISSN 1094-8074

Artikel dikirimkan oleh Narewa untuk The Patriots. 


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Graduan lepasan Biologi Sel dan Molekul dari UPM dan sedang meneruskan pengajian Sarjana Sains Medikal di UKM. Sebagai peminat dunia dan haiwan prasejarah sejak kecil lagi, sangat suka menelaah ilmu-ilmu dunia prasejarah. Dari membaca buku-buku mengenai makhluk prasejarah kepada menelaah artikel-artikel kajian, video-video dokumentari serta isu-isu terkini mengenai dunia prasejarah, masih menanam harapan untuk menceburkan diri dalam bidang Paleontologi. Juga meminati dunia “high fantasy” seperti Tolkien’s Middle Earth dalam Lord of the Ring, kini giat menghabiskan masa lapang untuk menulis karya fiksyen serta mencari inspirasi untuk “worldbuilding”. Menanam impian untuk membawa dunia Palaeontologi ke masyarakat Malaysia serta menghasilkan dunia fantasi dan karya epik tersendiri setaraf Lord of The Ring

Comments are closed.