Malaysia ialah negara selepas Singapura yang tidak mempunyai angkatan marin dalam ketumbukan angkatan tenteranya berbanding negara-negara serantau yang lain, khasnya di Asia Tenggara.

Kor marin ialah angkatan trientiti dengan keupayaan dan kemampuan untuk saling menyokong antara satu sama lain. Kor ini merupakan satu angkatan bersenjata lengkap dengan pasukan infantri, mekanise, artileri dan pasukan udaranya tersendiri serta menerima sokongan lintasan dengan aset tentera laut. Sebagai contoh bentuk pengoperasian kor marin dalam TNI atau angkatan bersenjata Amerika Syarikat, kor marin mereka ialah satu ketumbukan perang yang mempunyai keupayaan setaraf satu ketumbukan tentera darat. Namun dikhususkan ketumbukan ini untuk operasi serangan amfibia dan diletakkan perintah pasukan ini di bawah angkatan laut.

Mempunyai kor marin tersendiri dalam ATM adalah diibaratkan seperti mempunyai tiga lagi cabang, iaitu angkatan darat, udara dan laut. Hal ini disebabkan sifat kor yang merupakan satu ketumbukan tentera yang mampu bertempur sendirian dengan sesiapa sahaja dan di mana jua. Bayangkan ada satu lagi Angkatan Tentera Malaysia dalam Angkatan Tentera Malaysia itu sendiri.

Apa yang boleh diusulkan untuk Angkatan Tentera Malaysia adalah, bagaimana untuk kita terus mempunyai keupayaan combat yang setara dengan angkatan marin tanpa menubuhkannya.

Walaupun Malaysia tidak mempunyai kor khusus ini, namun terdapat pasukan sedia ada yang dilatih sebilangan masa dalam konteks operasi serangan dan pendaratan amfibia dengan Amerika Syarikat. 10 Briged Para adalah pasukan yang ditubuhkan sekitar era 80-an dahulu sebagai Pasukan Atur Cepat – PAC (Rapid Deployment Force) dengan teras pasukan ini adalah atur gerak melalui lintasan udara. Tidak hairanlah, pasukan dengan beret maroon ini turut dikenali sebagai pasukan Airborne. Hal ini demikian kerana hampir kesemua battalion infantry, unit mekanise, artileri dan pasukan-pasukan sokongan dilatih sepenuhnya untuk operasi payung terjun.

Namun, turut diketahui 10 Briged Para juga mulai didedahkan dengan teknik dan taktik operasi pendaratan dan serangan amfibia secara terhad, sesuai dengan tugasan briged ini yang merupakan briged PAC.

10 Briged yang dahulu kita kenali dengan nama Para dan Airborne telah dilatih dengan selok-belok taktik pendaratan amfibia dalam latihan multinasional dan tidak terhad pada briged ini sejak lima tahun lepas. Lain-lain rejimen infantri standard yang membentuk pasukan selain 10 Briged juga mulai diberikan pendedahan berkenaan operasi amfibia.

Siri latihan seperti Cooperation Afloat Readiness and Training (CARAT), MALUS AMPHEX serta latihan domestik antara TLDM dengan TDM dianjurkan sebilangan masa bagi membolehkan mana-mana unit, rejimen atau kor mendapat pendedahan sewajarnya dan belajar daripada kesilapan sewaktu latihan tersebut. Ia darihal aspek logistik, taktik pertempuran, pendaratan, bantuan rapat udara dan bantuan tembakan dari kapal perang yang sesuai dengan sifat geografi negara kita, iaitu mempunyai garisan pantai yang cukup panjang. Hal ini jelas bahawa pendaratan amfibia adalah salah satu cara lintasan yang perlu dikuasai.

Pada awalnya, pemerhati pertahanan menyangka ia ialah langkah ke arah penubuhan briged atau kor marin khusus dalam ATM, namun hakikat sebenarnya adalah ia tidak lain sebagai satu cara mewujudkan keupayaan amfibia secara menyeluruh ke atas semua rejimen dan kor yang sedia ada wujud tanpa perlu menjurus kepada penubuhan satu kor atau briged baharu.

Penekanan kepada operasi amfibia kepada rejimen dan briged selain PAC turut memberikan satu isyarat bahawa Malaysia sedang memperkukuh keupayaan serangan amfibia berikutan peluasan pengaruh ketenteraan Republik Rakyat China ke atas Laut China Selatan. Ia melalui pendudukan dan pembinaan pulau buatan di atas terumbu sekitar Spratly dan tuntutan ke atas kawasan kepulauan dan terumbu yang sudah diduduki oleh Malaysia, Filipina, Vietnam dan Taiwan.

Melihat kepada aspek sejarah, penaklukan Malaya oleh Jepun satu ketika dahulu dilaksanakan oleh pasukan-pasukan yang asalnya merupakan ketumbukan yang diterajui tentera darat empayar Jepun, namun ia melibatkan pendaratan pasukan tersebut melalui jalan laut sepertimana yang dapat kita lihat dalam pendaratan Jepun di Kota Bahru. Ia menandakan bermulanya Perang Dunia Kedua bagi teater Pasifik dan selepas itu kemaraan Jepun yang mengasak kedudukan British melalui Singgora dan kemudian di negeri Perak melalui pendaratan di Teluk Intan. Hal ini jelas memberikan satu penekanan bahawa operasi serangan amfibia tidak semestinya harus dilaksanakan oleh pasukan marin tetapi boleh dikendalikan oleh pasukan tentera darat dengan syarat pasukan tersebut diberikan latihan dan kelengkapan yang sewajarnya.

Pihak Berikat yang pada awalnya mengalami kekalahan teruk akibat serangan kilat oleh Jepun kembali bangkit setelah hampir empat tahun bertempur dan operasi serangan amfibia sekali lagi menjadi pilihan untuk menawan semula Malaya dan Borneo, sepertimana yang ditunjukkan angkatan Australia yang mendarat di Labuan untuk menawan kembali pulau tersebut daripada Jepun pada penghujung Perang Dunia Kedua.

Hakikatnya, pendaratan amfibia adalah salah satu cara menghantar pasukan tentera darat kita ke kawasan berkonflik walau apa cara sekalipun. Akhirnya, pasukan darat kita akan bertempur seperti kebiasaan sebuah angkatan darat.

Angkatan Tentera Malaysia dilihat sedang meletakkan fokus kepada operasi serangan amfibia dan pendaratan amfibia dengan memastikan aset dan kelengkapan diselenggara dan diguna dengan baik, selain menambah bilangan aset pelbagai guna yang boleh diatur gerak untuk apa-apa jenis operasi lintasan sama ada pendaratan amfibia mahupun melalui lintasan udara tanpa perlu menubuhkan satu angkatan khusus.

Di sini ATM boleh mengembangkan lagi keupayaan Pasukan Aturgerak Cepat (PAC) dan pada masa sama melaksanakan normalisasi ke atas rejimen-rejimen untuk melaksanakan operasi amfibia tanpa menyebabkan unit sedia ada kehilangan kemampuan terasnya. Hal ini dapat dilihat dalam kebanyakan latihan silang dengan Amerika Syarikat, mahupun latihan bersama dalam negeri dan rejimen-rejimen infantri standard turut didedahkan dengan operasi amfibia sejak akhir-akhir ini.

Namun, semua ini tidak akan berhasil sekiranya angkatan teras yang akan melaksanakan penghantaran pasukan ke medan berkonflik melalui pendaratan amfibia tidak diberikan perhatian.

Kini, TLDM mempunyai keupayaan melaksanakan operasi amfibia secara terhad dengan dua buah kapal pengangkut pelbagai guna yang bukan sahaja bertindak sebagai kapal kargo, tetapi juga sebagai platform untuk melaksanakan serangan amfibia secara terhad serta pusat kawalan dan perintah. Pengganti KD Mahawangsa dan KD Sri Inderasakti yang sudah berkhidmat sejak era 80-an masih dinantikan TLDM yang belum kunjung tiba ekoran kekangan kewangan dan pertumbuhan ekonomi negara yang perlahan. Seperti yang diperkatakan dalam perenggan sebelumnya, keperluan untuk menubuhkan kor atau briged marin khusus untuk operasi amfibia sebenarnya agak tidak relevan untuk Malaysia pada masa sekarang.

Keperluan sebenar ATM adalah untuk mewujudkan keupayaan serta aset yang dapat memenuhi metode penghantaran pasukan amfibia tersebut dengan melatih serta memberikan pendedahan yang lebih banyak kepada batalion infantri standard dalam tentera darat. Selain itu, TLDM merupakan cabang yang juga perlu diberikan perhatian. Untuk melaksanakan operasi pendaratan amfibia, perkara yang harus dilaksanakan petinggi ATM serta Kementerian Pertahanan Malaysia adalah mengukuhkan terlebih dahulu kekuatan armada negara.

Melalui Program 15 to 5, jelas bahawa TLDM sudah menggariskan dalam pelan pemodenan armada kita bahawasanya memperkukuh kekuatan angkatan laut dengan menambah lebih banyak combat permukaan. Mereka bakal bertindak sebagai platform yang akan melindungi fleet main body yakni kapal pengangkut amfibia TLDM dengan pengenalan frigat generasi baharu kelas Maharajalela dan menaik taraf serta penambahan jumlah combat sedia ada seperti NGPV kelas Kedah yang dipertingkatkan keupayaan combatnya. Aset-aset tempur tersebut bakal menyediakan keupayaan sokongan tembakan (naval gun fire support – NGFS) dan perlindungan serangan udara kepada pasukan hadapan yang mendarat di pantai dan juga pada kapal pengangkut amfibia itu nanti.

Memiliki atau membuat perolehan untuk melengkapkan pasukan kapal pendarat amfibia sama ada dengan kapal MRSS (Multirole Support Ship) atau LPD/LHD (Landing Platform Dock/Landing Helicopter Dock) adalah satu perkara yang penting selain mengutamakan pelindungan aset utama tersebut. Tanpa combat permukaan, kapal pengangkut tersebut akan menjadi sasaran mudah angkatan udara atau laut musuh dan semestinya ia menjadi sasaran utama untuk mengekang sebarang bentuk keupayaan menghantar pasukan tentera kita menawan semula objektif di kawasan pesisiran pantai.

Selain combat permukaan seperti frigat dan korvet, TLDM juga harus membangunkan keupayaan sokongan logistik armada.

Saya tahu semua orang inginkan angkatan laut untuk memperoleh kapal pengangkut amfibia bersaiz besar seperti DOKDO yang dibina oleh firma Korea Selatan, tetapi adakah ia benar-benar keperluan dan menepati piawaian yang dikehendaki oleh TLDM? Tambahan lagi, aset sebegitu memiliki label harga yang mahal dan belum tentu TLDM dapat mengoperasikannya jika melihat keadaan ekonomi pada masa sekarang.

TLDM harus melihat pada platform permukaan yang lebih sederhana saiznya seperti Joint Support Ship yang merupakan program kapal sokongan yang diterajui Kanada atau jenis kapal seperti yang digunakan oleh Angkatan Laut Denmark, iaitu kelas Absalon. Kapal tersebut bukan sahaja memiliki keupayaan sokongan logistik dan serangan amfibia terhad, malah turut memiliki persenjataan yang cukup ampuh setaraf frigat.

MRSS yang digariskan oleh TLDM dalam Program 15 to 5 memperlihatkan sebuah platform yang bukan sahaja bertindak sebagai sebuah kapal penyerang amfibia, tetapi juga boleh diatur gerak untuk tugasan selain perang. Contohnya seperti menyediakan bantuan kemanusiaan dan bencana alam dengan bertindak sebagai hospital medan serta mempunyai kemampuan melaksanakan operasi ulang bekal untuk kapal-kapal TLDM lain yang lebih kecil. Bantuan tersebut adalah dari segi menyediakan bekalan melalui Replenishment At Sea (RAS) atau melaksanakan Vertical Replenishment (VERTREP) menggunakan helikopter.

Dalam keadaan ekonomi negara yang tidak menentu sebelum dan selepas pilihan raya, kita melihat kekangan angkatan laut dalam melaksanakan operasi amfibia masih belum diselesaikan dan pihak pemerintah masih lagi kelihatan kurang mengambil berat akan keperluan angkatan laut, baik dari segi penambahan jumlah kapal di laut mahupun berkaitan kemampuan logistik.

Dengan aset yang semakin berusia dan ditambah dengan hala tuju kementerian yang kurang jelas serta kekangan kewangan yang tidak pernah selesai, hal ini meletakkan pasukan keselamatan negara dalam keadaan yang kurang menyenangkan. Dasar pertahanan yang kurang jelas juga tidak banyak membantu pasukan keselamatan negara.

Dalam keadaan TLDM dihantui kekangan jumlah aset, sekurang-kurangnya terdapat polisi atau satu direktif yang menyatakan bahawa kapal-kapal kargo awam boleh dipindah milik dan dikerah oleh kerajaan untuk tujuan membantu operasi ketenteraan – Sama ada perang atau operasi bukan berkaitan perang seperti bencana alam dan bantuan kemanusiaan yang kedua-duanya saling berkait rapat dengan operasi amfibia.

Sekali lagi persoalan dilontarkan, adakah Angkatan Tentera Malaysia memerlukan satu pasukan khusus yakni kor marin untuk melaksanakan semua operasi amfibia?

Di sini saya berikan hujah akhir.

Pernahkah anda mendengar tentang MKAB atau Markas Angkatan Bersama?

ATM sudah berada dalam landasan yang betul dari aspek operasi gabungan atau operasi bersama ketiga-tiga cabang dengan pengenalan Markas Angkatan Bersama. Ia melihatkan penglibatan rejimen-rejimen infantri tentera darat dalam latihan yang berkaitan dengan aspek serangan amfibia sama ada dengan negara seperti Amerika Syarikat mahupun dalam latihan yang dikendalikan sendiri di dalam Negara. Hal ini jelas membuktikan koordinasi merupakan perkara yang diperlukan oleh ATM pada masa sekarang dan bukan dengan menubuhkan satu kor atau briged baharu.

MAB ialah markas yang ditubuhkan pada tahun 2004 dan bertanggungjawab untuk melicinkan pentadbiran dan perintah ke atas semua aset serta kekuatan ATM yang terlibat dalam satu-satu latihan bersama, operasi bersama ketenteraan dalam dan luar negara serta penugasan luar negara di bawah panji Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

MAB memberikan satu anjakan baharu dalam pemikiran panglima dan pembuat dasar negara. Tiada satu cabang dalam ATM yang boleh berjuang bersendirian dalam mana-mana konflik dan sokongan antara satu cabang dengan cabang yang lain.

Hal ini demikian kerana ia memerlukan koordinasi dan komunikasi antara cabang khidmat yang sangat terampil. Perkara ini jelas bahawa MAB telah merubah landskap core business Angkatan Tentera Malaysia, terutama dalam keadaan negara kita yang mengalami kekangan perbelanjaan dengan membentuk polisi perolehan aset yang disebut fit for purpose, iaitu perolehan tersebut sesuai dengan keperluan, keupayaan serta kemampuan TUDM, TLDM dan TD sekali gus.

Sebagai contoh, perolehan kenderaan tempur tidak lagi memfokuskan kepada kemampuan kenderaan tersebut di daratan semata-mata tetapi turut merangkumi kemampuan untuk dibawa oleh pesawat pengangkut TUDM atau sama ada ia boleh diatur gerak di atas kapal TLDM.

Jadi, MAB secara tidak langsung memberikan cabang-cabang laut dan udara ATM serta rejimen, kor atau briged dalam tentera darat untuk diintegrasi dalam satu cawangan perintah. Perkara ini membolehkan aset dan sumber manusia diatur gerak sebagai satu ketumbukan gabungan dalam apa jua operasi ketenteraan yang mirip satu pasukan marin.

Kesimpulannya, untuk memperkasakan lagi pasukan keselamatan dari aspek peperangan amfibia, perkara ini harus diambil kira dan dipertingkatkan penguasaannya dari segi,

Latihan

Ini adalah aspek paling penting dalam memiliki keupayaan serangan amfibia atau selainnya. Pasukan keselamatan negara harus diberikan lebih banyak pendedahan berkenaan operasi amfibia konvensional. Ia satu-satunya latihan yang tidak hanya meliputi pasukan elit tetapi juga harus melibatkan batalion atau rejimen standard sedia ada sebagai pendedahan. Perkara ini juga dapat membuka jalan kepada pembentukan pasukan nukleus yang akan berkembang pada masa hadapan sebagai salah satu elemen penting dalam PAC.

Selain itu, pasukan keselamatan kita juga harus terbuka dengan konsep kemampuan pertempuran pelbagai dan tidak terhad kepada satu kepakaran sahaja. Contohnya, infantri yang bukan sahaja boleh bertempur di dalam hutan tetapi juga pakar dalam pertempuran kawasan terbina dan boleh diatur gerak dalam operasi serangan kawasan pesisiran pantai.

Aset

ATM melalui MAB menggariskan perolehan aset dan penetapan belanjawan berdasarkan fit for purpose, iaitu perolehan aset harus mengambil kira kebolehan pertempuran dalam senario yang berbeza-beza. Dalam konteks persenjataan, ATM sudah mula menggariskan ketetapan perolehan persenjataan yang selaras dengan keperluan seluruh cabang perkhidmatan dan bukan semata-mata memenuhi keperluan dan kehendak satu cabang perkhidmatan sahaja.

Elemen jointness dalam aspek perolehan sejak beberapa tahun kebelakangan ini telah mula mencorakkan ATM ke arah pasukan pertahanan nasional yang moden, mampu menghadapi pelbagai bentuk ancaman serta memiliki aset yang serasi antara satu cabang dengan cabang perkhidmatan yang lain. ATM perlu mengambil kira aset yang boleh digunakan dalam pelbagai jenis persekitaran dan operasi pertempuran, bermula daripada peperangan kawasan pesisir kepada kawasan bandaran dan kawasan terbina sehinggalah kawasan hutan. Ia bukanlah aset yang hanya boleh digunakan dalam satu persekitaran sahaja.

Dari aspek TLDM, perolehan MRSS berdasarkan program pemodenan 15 to 5 akan melonjakkan kuasa tentera darat darihal metode penghantaran tentera melalui lintasan laut serta membuka satu keupayaan baharu, iaitu kebolehan melaksanakan operasi pendaratan atau serangan amfibia di mana-mana kawasan pesisiran pantai seluruh negara. Perolehan MRSS tersebut harus digandingkan dengan lancang pendarat yang sesuai supaya mampu untuk membawa aset tentera darat atau aset baharu mereka di masa hadapan.

MRSS juga membuka satu lembaran baharu keupayaan penghantaran pasukan keselamatan kita ke medan tempur melalui operasi heliborne. Ia merupakan satu aspek yang juga tidak harus diketepikan oleh tentera darat. Dalam aspek ini, TUDM melalui skuadron helikopter bersama-sama Pasukan Udara Tentera Darat (PUTD) akan memainkan peranan.

Konsep Angkatan Bersama yang wujud dalam Angkatan Tentera Malaysia kini hanya perlu diperhalusi bagi membentuk pasukan yang credible dalam menghadapi ancaman konvensional dan asimetrikal yang cuba mengganggu-gugat kedaulatan dan keamanan negara kita. Dengan adanya konsep yang sudah sedia ada wujud dan terbukti kemampuannya ini serta hanya perlu diperkasakan jelas meletakkan satu penanda bahawa ATM tidak memerlukan satu pasukan khusus dan pakar dalam seni peperangan amfibia. Kenapa perlu satu pasukan yang khusus, sedangkan kita boleh menjadikan ATM itu sendiri kuasa peperangan amfibia dan marin yang disegani.

Kekangan

Sehingga pada waktu artikel ini ditulis, tugasan atur gerak cepat yang melibatkan operasi serangan amfibia digalas oleh 10 Briged Para dan barangkali disokong oleh Rejimen Gerak Khas, walaupun latihan melibatkan briged-briged lain dan rejimen-rejimen infantri lain juga sudah mula dilaksanakan.

Kekangan yang masih dihadapi oleh ATM dalam mencapai matlamat membentuk keupayaan serangan amfibia adalah kurangnya kelancangan pendarat yang sesuai serta kapal pengangkut yang sudah makin dimamah usia. Walaupun PAC memiliki daya upaya tempur yang terampil berserta kelengkapan pasukan infantri dan sokongan infantri yang mantap, operasi pendaratan masih lagi mengharapkan pengunaan bot keluli selain tiada lancang pendarat yang mampu membawa kenderaan tempur dan artileri medan ke kawasan pantai dari kapal.

Dalam latihan silang dengan pasukan marin Amerika Syarikat (USMC) seperti Malus Amphex, jelas menunjukkan keberadaan aset untuk mendaratkan pasukan kita tiada. Maka, sehingga hari ini kita masih berlatih dengan mengharapkan lancang pendarat milik USN seperti LCAC dan AAV (Landing Craft Air Cushion dan Amphibious Assault Vehicle). Untuk permulaan dan pengenalan, ia bagus untuk menyesuaikan pasukan kita dengan persekitaran dan keadaan operasi maritim tetapi pada masa yang sama, ia jelas menunjukkan kekangan keupayaan yang harus diperbaiki.

Industri perkapalan tempatan mempunyai keupayaan yang sudah terbukti dalam membina kapal pelbagai jenis dan pembinaan lancang pendarat tidak menjadi satu halangan besar untuk konsortium-konsortium tempatan ini. Sebilangan besar kapal sokongan pelantar minyak di Sarawak menggunakan reka bentuk LCT (Landing Craft, Transport). Ia dibina oleh syarikat tempatan Sarawak mengikut keperluan dan kehendak syarikat minyak yang beroperasi di sana. Ia mempunyai tanjakan di bahagian lambung dan geladak yang cukup luas untuk membawa satu unit MBT atau 2 hingga 3 kenderaan tempur ringan Vamtac selain material logistik lain seperti kontena dan trup. Kebanyakan kapal tersebut dioperasikan oleh syarikat perkapalan tempatan.

Maka, jelaslah bahawa dengan kerjasama antara ATM melalui TLDM serta firma tempatan, ia dapat mewujudkan satu perkongsian strategik yang bukan sahaja memperkasakan keupayaan pasukan keselamatan negara tetapi turut menjana ekonomi setempat. Lancang-lancang pendarat komersial boleh dibina mengikut kehendak dan spesifikasi ATM, bersesuaian dengan tugasan sama ada untuk mengangkut material, kenderaan tempur atau anggota tentera ke kawasan pesisiran pantai dalam operasi amfibia.

Kesimpulan

Sebagai sebuah negara maritim yang dikelilingi kawasan perairan serta garisan pantai yang sepanjang 4 675 km, ternyata ATM menghadapi satu tugasan sukar untuk mempertahan dan menegakkan kedaulatan kawasan pesisiran pantai negara kita. Ditambah dengan ancaman serantau yang melibatkan Republik Rakyat China yang menuntut sebahagian dari Zon Ekonomi Eksklusif perairan negara serta pendudukan angkatan bersenjata mereka di pulau-pulau buatan di Laut China Selatan, yang kini menempatkan pelbagai sistem persenjataan dan pasukan tentera yang boleh diatur gerak dalam masa singkat untuk menakluk mana-mana pulau atau terumbu. Hal ini jelas memerlukan Malaysia untuk mempertingkatkan kesiagaan dan keupayaan tempur konvensional ATM untuk menghadapi kebarangkalian tercetusnya konflik pada masa hadapan.

Keperluan untuk sesebuah negara maritim mempunyai satu angkatan perang khusus untuk operasi berkaitan persekitaran maritim dengan kebolehan amfibia bukanlah perkara yang wajib, tetapi adalah satu langkah bijak dalam keadaan ekonomi negara yang kurang memberangsangkan.

Perkara ini adalah untuk ATM beradaptasi menjadi satu angkatan bersenjata yang mampu berevolusi dalam segala bentuk operasi, khususnya menjadikan ATM sebagai satu angkatan yang navalized sepenuhnya dalam menghadapi ketidaktentuan geopolitik dan keselamatan serantau kini dan pada masa hadapan.

Anda sebenarnya sedang membaca sebahagian daripada bab dalam buku terbitan terbaru kami iaitu Malaysia Military Power II. Pra-tempah akan berakhir tepat jam 12 tengah malam ini. Berminat nak dapatkan? Ayuh tempah di nombor www.wasap.my/60195812791.


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

A Seaman is not only a Navigator, but also a Merchant and a Soldier. "Through the seas we are strong. Jalesveva Jayamahe." 1. Diploma Nautical Studies, ALAM (2009). 2. Combined Mate and Master, A1MC, ALAM (2014). 3. COC Class 3, MARDEP Malaysia.

Comments are closed.