“Kita warga British sudah biasa dipimpin oleh komander-komander wanita dalam pep3rangan; aku adalah keturunan lelaki-lelaki yang gagah! Namun sekarang, aku tidak berjuang demi kerajaan dan harta kekayaanku. Aku berjuang sebagai insan biasa yang telah dirampas kebebasannya, telah dicambuk tubuhnya, dan aku berjuang demi membela kemarahan puteri-puteriku.

Lihatlah betapa ramai dari kalian yang berjuang – dan lihatlah atas sebab apa kalian berjuang! Dengan demikian, kalian akan dapat memenangi pep3rangan ini atau m4ti kerananya. Itulah yang aku, seorang perempuan, mahu lakukan! – biarkan sahaja lelaki-lelaki itu hidup dalam perhambaan jika itu yang mereka mahukan.”

Demikianlah kata-kata Ratu Boudicca, sebagaimana yang dicatatkan oleh Tacitus si sejarahwan purba, ketika pahlawan wanita itu menyeru masyarakatnya supaya berjuang menentang tentera-tentera Rom yang menceroboh tanah Britain. Boudicca, atau kadangkala dieja sebagai Boadicea, merupakan seorang ratu suku Iceni, iaitu sebuah suku Celtic yang berjaya menyatukan beberapa buah suku British demi menentang Empayar Rom pada 60-61 Masihi.

Walaupun beliau berjaya menewaskan pasukan tentera Rom dalam tiga buah pertempuran, kemenangan yang dikecapinya itu tidak bertahan lama. Pasukan Rom berpeluang menghimpunkan semula kekuatan mereka dan seterusnya menghancurkan pasukan penentang, menghukum ribuan individu dari suku Iceni dan menjadikan sebahagian daripadanya sebagai tawanan p3rang. Nama Boudicca dikenang oleh sejarah sebagai seorang ratu pahlawan yang berjuang menuntut kebebasan buat dirinya sendiri dan juga seluruh suku Celtic di Britain.


TAHUN-TAHUN AWAL BOUDICCA

Tidak banyak yang diketahui tentang latar belakang dan hari-hari awal Boudicca memandangkan satu-satunya maklumat tentang beliau datang daripada sumber-sumber Rom, terutama sekali Tacitus (56-117M), seorang senator dan sejarahwan dari Empayar Rom, dan Cassius Dio (155-235M), seorang konsul dan sejarahwan Rom.

Namun apapun, sejarahwan meyakini bahawa Boudicca dilahirkan dalam sebuah keluarga elit yang menetap di bandar purba Camulodonum (kini Colchester) sekitar tahun 30 Masihi. Malah, namanya turut dipercayai diambil bersempena nama dewi kemenangan Celtic, iaitu Boudiga.

Ketika berusia remaja, Boudicca dihantar ke sebuah keluarga bangsawan lain untuk diberikan pendidikan dalam bidang sejarah dan budaya sukunya. Beliau juga diajar tentang seni bertempur. Wanita-wanita Celtic purba sememangnya berperanan baik sebagai pahlawan mahupun pemerintah, justeru kanak-kanak perempuan akan dilatih bermain pedang dan senjata-senjata lain sama seperti budak-budak lelaki.

Kaum wanita Celtic agak menonjol dalam dunia purba lantaran kebebasan dan hak-hak yang mereka nikmati dan kedudukan yang mereka sandang dalam kalangan masyarakat. Berbeza dengan kaum wanita di Yunani dan Rom serta masyarakat-masyarakat purba yang lain, kaum wanita Celtic diberikan lebih banyak kebebasan dalam beraktiviti dan perlindungan undang-undang.

Wanita Celtic dilatih bermain pedang dan senjata-senjata lain

KEHIDUPAN DI BAWAH PEMERINTAHAN ROM

Pada tahun 43 Masihi, sebelum Boudicca mencapai usia dewasa, Rom menyerang Britain dan kebanyakan suku Celtic terpaksa menyerah. Namun, Rom membenarkan dua orang raja Celtic mengekalkan kuasa dan kedudukan mereka lantaran menjadi tradisi Empayar Rom untuk membenarkan kerajaan-kerajaan yang dit4kluki itu bebas merdeka selama mana raja mereka pada waktu itu masih hidup. Raja-raja ini kemudian lazimnya bersetuju untuk menyerahkan kerajaannya kepada Rom secara sukarela (mahupun terpaksa).

Salah seorang raja yang dimaksudkan di sini ialah Prasutagus, yang dikahwini oleh Boudicca ketika gadis itu berusia 18 tahun. Perkahwinan mereka berdua diraikan sepanjang siang dan malam. Dalam keraian tersebut, mereka turut memberikan sembah korban kepada dewa-dewi Celtic. Pasangan ini dikurniakan dua orang puteri yang bernama Isolda dan Siora.


Ratu Boudicca dan Raja Prasutagus mempunyai dua orang puteri, Isolda dan Siora

Namun, zaman tersebut mencemburui kehidupan Boudicca dan Prasutagus. Pencerobohan tentera Rom membawa kepada bertambahnya petempatan yang dibangunkan oleh pihak asing, kehadiran tentera yang semakin ramai serta cubaan untuk menindas budaya dan keagamaan Celtic yang lebih membimbangkan. Sejumlah perubahan besar turut berlaku, antaranya termasuklah pengenaan cukai-cukai yang tinggi dan dasar peminjaman wang.

Pada tahun 60 Masihi, kehidupan Boudicca berubah secara drastik lebih-lebih lagi dengan kem4tian suaminya. Memandangkan Prasutagus memerintah sebagai sekutu Rom yang merdeka walau secara terkawal, beliau meninggalkan kerajaannya itu untuk diwarisi oleh isteri dan para puterinya, serta maharaja Rom. Namun, undang-undang Rom hanya membenarkan pewarisan takhta kepada kerabat lelaki justeru apabila Prasutagus mangkat, kerajaannya diserap sepenuhnya oleh Empayar Rom.

“Kerajaan dan seluruh isi rumah dijarah laksana rampasan p3rang… Para pembesar Iceni diusir dan tanah-tanah estes mereka dirampas oleh Rom. Kerabat diraja sendiri dilayan seperti hamba sahaya.” – Tacitus

Ratu Boudicca

BOUDICCA MENUNTUT BELA

Demi menghina bekas-bekas pemerintah tempatan, pihak Rom merampas kesemua tanah dan ladang milik Prasutagus, serta menjadikan golongan bangsawannya sebagai hamba sahaya. Boudicca dicambuk di hadapan khalayak, dua puterinya pula dirogol. Keadaan ini menjadi pemangkin buat Boudicca memerangi Rom. Tacitus merekodkan kata-kata yang dituturkan oleh Boudicca semasa beliau mengangkat sumpah untuk membalas dendam terhadap Rom:

Tiada yang terselamat daripada keangkuhan dan kesombongan Rom. Mereka telah menodai kesucian dan meragut keperawanan anak-anak gadis kita. Menangi petempuran ini atau m4ti kerananya, itulah yang aku, seorang perempuan, mahu dan akan lakukan.”

Dan makanya, Boudicca pun memulakan kempennya menyeru suku-suku Britain untuk memerangi Rom dan membuktikan kepada dunia bahawa tiada amukan yang lebih dahsyat berbanding amukan seorang wanita.

Lukisan berjudul Boadicea Haranguing the Britons oleh John Opie

Ratu Boudicca mempunyai sebab untuk membenci Rom – menjelang tahun 60 Masihi, tanah milik suku Iceni dari Britain di4kluk, masyarakatnya sama ada dibvnuh atau dijadikan sebagai tawanan p3rang, beliau sendiri dicambuk di khalayak ramai dan anak-anak perempuannya dirogol. Namun kelak, Boudicca di ratu pahlawan Celtic, berupaya menggetarkan lutut tentera-tentera Rom.

Selepas anak-anak perempuannya dinodai, Boudicca segera menyeru masyarakatnya agar bangun menentang. Sementara Rom sedang sibuk menangani penentangan druid di bahagian barat Britain dan Wales Utara, Boudicca mengambil kesempatan untuk membalas dendam.

Boudicca menemui para pemimpin suku Iceni, Trinovanti, Cornovii, Durotiges dan suku-suku lain yang masing-masing menyimpan dendam terhadap Rom, antara lain disebabkan pengenaan cukai yang ditinggi, geran diubah menjadi pinjaman, tanah-tanah dirampas, dan amalan keagamaan Celtic ditindas. Mereka merancang untuk menentang dan mengusir tentera-tentera Rom. Boudicca diangkat sebagai ketua.

Senator dan sejarahwan Rom, Tacitus (56-117M) memerincikan bagaimana Boudicca menyemangatkan tentera-tenteranya sambil berdiri di atas pedati sambil kedua orang anak perempuannya berada di sisinya. Beliau berdiri di situ bukan sebagai seorang ratu atau bangsawan yang ingin berjuang demi harta-harta yang dirampas.

Akan tetapi sebagai insan biasa dan sebagai seorang ibu yang menuntut bela di atas kebebasan yang telah diragut, tubuh yang telah dicambuk dan kedua orang anak yang telah dinodai kehormatannya. Beliau menyuarakan kepada mereka, bahawa tujuan penentangan mereka ini berada di jalan yang benar dan dewa-dewi berada di pihak mereka.

Sejarahwan Rom, Cassius Dio (155-235M) pula mencatatkan bahawa Boudicca melakukan suatu keajaiban, mengeluarkan seekor kelinci dari lipatan bajunya dan menafsirkan arah di mana haiwan itu berlari. Beliau juga menyerukan nama Andraste, dewi kemenangan British. Cassius Dio turut memerincikan sifat dan paras Boudicca semasa beliau berdiri di hadapan para pengikutnya:

“Ketinggian badannya sangat ketara, penampilannya menghadirkan rasa gerun, renungan matanya sangat tajam, dan suaranya pula lantang lagi keras. Rambutnya panjang mengurai hingga ke pinggang, dan di lehernya terdapat sebentuk kalung emas yang besar. Beliau memakai tunik berwarna-warni. Di atasnya pula beliau mengenakan jubah tebal yang diikat menggunakan sebentuk kerongsang.”

Ratu Boudicca menyemangatkan tentera-tenteranya dari atas pedati, sambil kedua orang anaknya di sisinya

Catatan-catatan sejarah menyatakan bahawa Boudicca berjaya menghimpunkan sepasukan tentera yang berjumlah seramai 100 000 orang. Sasaran pertamanya ialah Camulodonum (kini Colchester), sebuah bandar yang menjadi markas tentera Rom dan menempatkan sebuah kuil yang dibina khusus buat Maharaja Claudius.

Suku Iceni dan sekutu-sekutu mereka menggempur bandar tersebut dan meleburkannya. Mereka turut menghancurkan rumah-rumah, patung-patung dan makam-makam Rom. Seluruh petempatan di situ hangus dibakar. Mereka tidak mengambil seorang pun tawanan p3rang lantaran kesemua penduduk Rom di situ dibvnuh.

Tatkala mendengar berita penyerangan ini, Gabenor Rom yang bernama Gaius Suetonius Paulinus segera menuju ke Londinium (Londom moden). Londinium merupakan sebuah petempatan komersial yang baru berusia 20 tahun, dan ia menjadi sasaran ser4ngan yang seterusnya.

Namun lantaran pihak Rom mendapati bahawa mereka tidak berupaya untuk mempertahankannya, mereka pun segera melarikan diri dan meninggalkan bandar tersebut. Tentera-tentera Boudicca membakar dan menghancurkan seluruh bandar itu, serta membvnuh sesiapa sahaja yang belum beredar. Tidak seorang pun yang terselamat daripada amukan bala tentera ini.

Ser4ngan ketiga dan terakhir Boudicca dihalakan ke Verulamium (kini St. Albans), yang sekali lagi dihancurkan sepenuhnya. Menjelang penamat ser4ngan terakhir ini, dianggarkan seramai 70 000 – 80 000 orang menjadi korban Boudicca. Krisis ini mendorong Maharaja Nero untuk mempertimbangkan keputusan untuk mengundurkan seluruh bala tentera Rom dari Britain. Boudicca meyakini bahawa penghancuran tiga buah kota penting itu dapat membebaskan Britain dari cengkaman Rom. Namun malangnya, jangkaan beliau ini silap.

Boudicca mengetuai tenteranya menentang Rom di Camulodunum, Londinium dan Verulamium

TENTERA-TENTERA ROM MENYUSUN SEMULA KEKUATAN

Selepas berakhirnya ser4ngan Boudicca ke atas Verulamium, Suetonius segera menghimpunkan semula pasukan tenteranya di West Midlands. Pasukan tentera Boudicca selama ini mengharapkan bekalan makanan daripada gudang-gudang makanan Rom yang dirampas, lantaran mereka terpaksa meninggalkan ladang-ladang tanaman mereka demi melakukan penentangan ini. Namun, Suetonius berjaya membakar gudang-gudang makanan tersebut sekaligus mengakibatkan pasukan tentera Boudicca yang kehilangan sumber bekalan menjadi lemah.

Boudicca dan pasukan tenteranya melancarkan sebuah lagi pertempuran, namun tidak meraih kejayaan dalam kesempatan kali ini. Lokasi tepat pertempuran ini tidak diketahui oleh sejarahwan. Namun, dipercayai ia berlaku di sebuah tempat yang terletak di sepanjang jalan Rom yang kini dikenali sebagai Jalan Watling, West Midlands.

Suku-suku Briton ini menghadapi pasukan tentera Rom dengan membawa jumlah tentera yang cukup banyak. Namun, pep3rangan yang sepatutnya dimenangi dengan penuh bergaya ini bertukar menjadi sebuah malapetaka – pasukan Boudicca terpaksa menyerang musuh yang berada di atas bukit dalam keadaan kepenatan dan kelaparan.

Malah, pergerakan mereka juga terbatas lantaran medan p3rang menjadi sempit akibat jumlah mereka yang ramai. Keadaan ini benar-benar menguntungkan pasukan Rom yang mahir dalam pertempuran terbuka lantaran kelengkapan dan disiplin mereka sememangnya jauh lebih unggul.

Tentera-tentera Boudicca tiada pilihan lain kecuali berundur. Namun sebelum memulakan pertempuran, mereka begitu yakin bakal meraih kemenangan sehingga mereka mengajak ahli-ahli keluarga datang menyaksikan pertempuran ini di atas gerabak-gerabak yang diletakkan di sekitar medan p3rang. Ternyata tindakan ini merupakan suatu kesilapan fatal lantaran gerabak-gerabak tersebut menghalang laluan pengunduran mereka.

Akibatnya, seramai 80 000 orang tentera termasuk para penonton terbvnuh di tangan pasukan tentera Rom. Menurut Tacitus, pihak Rom hanya kehilangan 400 orang sahaja pada hari itu. Pun begitu, ketepatan angka ini dipersoalkan oleh sebilangan sejarahwan.

Bagi melampiaskan kemarahan, pasukan Rom menghukum tentera-tentera Iceni dan sekutu-sekutu mereka. Sebahagian daripada mereka dijadikan sebagai hamba. Tanah-tanah mereka dirampas, ahli keluarga mereka kehilangan tanah pusaka dan penentangan berskala besar ini akhirnya ditamatkan. Rom kemudiannya meningkatkan kawalan tentera mereka di Britain dan tentera-tentera ini kekal berada di sana.

Boudicca memimpin tenteranya dalam pertempuran terakhir, namun tidak meraih kemenangan

Nasib Boudicca sesudah pep3rangan ini tidak diketahui oleh sejarahwan. Sebilangan pihak berpendapat beliau melarikan diri bersama anak-anaknya ke wilayah Britain yang lain. Di sana, mereka meninggal dunia kerana meminum dari cawan yang beracun. Cassius Dio pula mencatatkan bahawa Boudicca meninggal dunia kerana sakit dan beliau disemadikan dengan penuh mewah. Namun, pendapat ini dibantah dan dianggap sebagai rekaan.

Apapun, Boudicca dan anak-anaknya besar kemungkinan terselamat daripada nasib yang lebih buruk daripada m4ti. Andai mereka ditangkap, sudah tentu Rom akan mengarak mereka dalam perarakan kemenangan sebelum menyeksa dan mendedahkan tubuh mereka di khalayak ramai. Tempat penyemadian Boudicca sehingga kini masih diselubungi misteri.

Sebahagian pihak meyakini bahawa beliau disemadikan di Stonehenge, sementara pendapat lain pula menyatakan Norfolk, Hampstead yang terletak di utara London sebagai tempat persemadiannya. Ada juga yang mengatakan bahawa Boudicca disemadikan di bawah platform Stesen Salib Raja-Raja London.

LEGASI BOUDICCA

Kisah Boudicca hampir hilang dari lembaran sejarah, sehinggalah karya Tacitus, iaitu Annals berjaya ditemui semula pada tahun 1360. Hal ini membawa kepada meningkatnya minat masyarakat terhadap sejarah Boudicca dan kempen-kempen ketenteraannya dalam usaha memerdekakan tanahnya dari pemerintahan Rom.

Pada zaman Victoria, kemasyhuran Boudicca meraih taraf legenda lantaran Ratu Victoria dilihat berkongsi nama dengan Boudicca, di mana nama mereka berdua sama dari segi makna. Pemuisi Victoria, Laureate, Alfred, Lord Tennyson, mengarang sebuah puisi yang berjudul ‘Boadicea’ dan beberapa buah kapal dinamakan bersempena beliau.

Sejak sekian lama, Boudicca dianggap sebagai simbol kebudayaan yang penting di United Kingdom. Sebuah tugu gangsa Boudicca bersama anak-anaknya di atas pedati p3rang dibina oleh Putera Albert dan pembinaannya diusahakan oleh Thomas Thornycroft. Tugu ini siap didirikan pada tahun 1905 dan kini ia berdiri megah bersebelahan Jambatan Westminster dan Houses of Parliament, yang terletak di kota yang pernah beliau hancurkan.

Tugu Boudicca, si Ratu Iceni, yang kini berdiri bersebelahan Houses of Parliament, London

RUJUKAN:

Joanna Gillan. (17 Jun 2019). Boudica: The Celtic Queen Who Unleashed Fury on the Romans. Ancient Origins. https://www.ancient-origins.net/myths-legends/boudicca-celtic-queen-unleashed-fury-romans-002065

April Holloway. (13 September 2014). Boudicca, the Celtic Queen that unleashed fury on the Romans – Part 2. Ancient Origins.
https://www.ancient-origins.net/history-famous-people/boudicca-celtic-queen-unleashed-fury-romans-part-2-002067


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Pencinta bahasa ibunda dan sejarah dunia. Amir Zayyanid merupakan seorang penulis dan penterjemah bebas yang menyimpan impian mahu menabur bakti kepada anak pertiwi menerusi pendokumentasian sebanyak mungkin bahan bacaan, sama ada fiksi mahupun bukan-fiksi.

Comments are closed.