Pada tahun-43 Masihi, Empayar Rom telah menjajah hampir keseluruhan British Isles yang pada masa itu dikenali dengan nama Latin sebagai Britannia atau Britanni. Ketika itu, kebanyakkan masyarakat Briton (panggilan bagi semua kaum yng menetap di Britanni oleh Empayar Rom) terdiri dari beberapa suku kaum dan etnik seperti Welsh yang menetap di kawasan Wales, Cornish di Cornwall dan juga Bretons di Britanni.
Empayar Rom telah mengadakan suatu perjanjian persahabatan terhadap Raja Prasutagus dari puak Iceni yang menetap di Britain Timur agar bekerjasama dan diberikan kuasa autonomi ke atas wilayah mereka dari pentadbiran Rom. Walaubagaimanapun, perjanjian itu tidak bertahan lama akibat ketamakan Empayar Rom dalam melaksanakan proses Romanisasi terhadap wilayah jajahan mereka selepas kematian Raja Prasutagus. Beliau mewasiatkan isterinya, Ratu Boudica serta dua orang anak perempuan yang sepatutnya mewarisi takhta puak Iceni. Hal ini bertujuan untuk melicinkan proses asimilasi puak Iceni terhadap Empayar Rom dengan menghormati wilayah autonomi serta Ratunya yang baharu.
Wasiat Raja Prasutagus tidak dipedulikan oleh Maharaja Rom ketika itu. Akibatnya, puak Iceni dijarah oleh tentera-tentera Rom di mana penduduknya telah dibunuh dan diperkosa secara kejam, antaranya termasuk Ratu Boudica serta dua orang anak perempuanyna yang diperkosa serta disebat di khalayak umum. Selepas insiden tersebut, Boudica dengan rasa marah yang membuak-buak terhadap pengkhianatan Empayar Rom telah mengadakan mesyuarat bersama-sama puak-puak Briton terdekat. Beliau telah berjaya menyatukan masyarakat Briton untuk melakukan pemberontakan terhadap kekejaman yang dilakukan oleh tentera Rom sehinggakan beliau dikenali sebagai Ratu Perang. Sebagai sebuah protektorat Empayar Rom, beliau sepatutnya menanam hasil tanaman sebagai ufti bagi Empayar Rom.
Sebaliknya, pada musim panas tahun 60 Masihi, beliau telah berhenti menuai hasil tanaman dan mengumpul stok makanan serta senjata bagi menghadapi tentera Rom. Seperti wanita Briton yang lain, Boudicca dilatih sebagai pahlawan dalam teknik pertempuran dan penggunaan senjata. Walaupun dia tidak mempunyai pengalaman, dia seolah-olah mempunyai minda ketenteraan yang cekap dan seorang ahli strategi. Sejarawan Rom, Cassius Dio menggambarkan Boudicca sebagai: “sangat tinggi. Matanya seolah-olah menusuk ke jiwa. Suaranya sangat kasar dan kuat. Rambutnya yang tebal dan berwarna kemerahan melontar di bawah pinggangnya. Dia selalu memakai rantai emas yang besar di lehernya dan jubah tartan yang berkilat.”
Matlamat Boudicca bukan hanya membalas dendam untuk dirinya sendiri dan anak perempuannya, tetapi untuk membebaskan Britanni dari cengkaman pemerintahan Rom. Dia membuat rancangan untuk tenteranya untuk menyerang tiga bandar utama Rom di Britanni. Sasaran pertamanya adalah bandar kelahirannya, Camulodunum. Ia juga merupakan ibu negara dan simbol penguasaan Empayar Rom di Britianni. Dengan angkatan tentera sebesar 100,000 orang, Boudicca tidak mengalami masalah semasa memusnahkan bandar tersebut. Sebaliknya, dia menyembelih penduduknya yang terdiri dari imigran Rom yang berhijrah ke Britanni.
Gabenor Rom, Gaius Paullinus terkejut apabila mendengar tentang pemberontakan Boudica dan dengan cepat meninggalkan kempennya di Wales. Dia memecut ke Londinium (London) dengan kudanya, pada waktu ini, kota tersebut merupakan sebuah pusat kewangan kecil yang penting di Britanni. Tiba dengan pasukan tentera yang kecil, Paullinus merasakan bahawa dia tidak mempunyai kekuatan yang cukup untuk mempertahankan Londonium dan mengarahkan penduduknya dipindahkan ke kawasan yang lebih selamat.
Pasukan Boudica dengan pantas menyerang penduduk-penduduk yang panik. Mereka kemudian berpindah ke kota Verulamium (St Albans) dan menyapu saki baki rintangan serta membakar kota tersebut. Dalam masa yang sangat singkat, Boudicca dan pasukannya telah berjaya memusnahkan tiga kota paling penting di Rom Britanni, termasuk ibu negaranya. Dianggarkan bahawa pasukan Boudicca berjaya membunuh lebih 80,000 tentera Rom dan orang awam semasa pemberontakan mereka.
Boudica percaya bahawa sebuah lagi kemenangan akan akan merealisasikan impian mereka untuk merdeka dari kuasa Rom. Maharaja Nero hampir terdesak untuk mengundurkan semua tentera dan masyarakat Rom dari Britanni akibat krisis yang berlaku. Dengan jumlah tentera yang lebih sedikit, Paullinus akhirnya bercadang untuk mengerah bekas-bekas tentera Rom yang telah berkhidmat untuk menyertai kempen terhadap Boudica. Meskipun jumlah tentera Paulinus sedikit, namun, kebanyakkan veteran perang tersebut berpengalaman serta mempunyai disiplin yang tinggi. Dia mengumpulkan kekuatan kohortnya termasuk Legio XIV Gemina, bahagian-bahagian XX Valeria Victrix, dan mana-mana bantuan kerahan awam yang ada, berjumlah 10,000 orang.
Di pihak Boudica, kebanyakkan tenteranya kurang dilengkapi dengan senjata-senjata serta pakaian besi Rom, hal ini kerana mereka hanya bergantung terhadap stok senjata di kota yang dijarah mereka dan kebanyakkan yang lain menggunakan pedang yang digunakan petani-petani Iceni.
Paulinus telah memilih lokasi pertempurannya dengan strategik. Dia memilih jurang sempit dengan hutan di belakangnya, terbuka dengan dataran yang luas. Jurang itu melindungi sayap tentera Rom dari serangan sisi, sementara hutan tersebut menghalangi serangan dari belakang. Ini akan menghalang Boudica dari membawa kekuatan yang besar untuk berkumpul mengepung kedudukan Rom. Paullinus meletakkan kohort Legionarinya dengan rapat, dengan alat tambahan bersenjata ringan(lembing) di tepi dan pasukan berkuda di sayap kiri dan kanan.
Tentera Rom berdiri teguh dibelakang dinding perisai mereka dengan konsep testudo, menikam Briton yang akan datang dengan pedang pendek, gladius mereka. Boudica mendapati taktiknya tidak menjadi akibat daripada pemecah tentera Rom yang dengan cepat beralih dari posisi pertahanan ke posisi yang menyerang dan akhirnya memotong pasukan pemberontak. Boudicca tidak mempunyai pilihan selain berundur.
Para pemberontak telah pasti kemenangan ini akan membawa kepada kemerdekaan Britanni lantas membuatkan mereka membawa keluarga mereka ketika kempen. Dengan meletakkan gerabak kuda di sekeliling medan perang, ia telah menghalang pengunduran tentera pemberontak dan akhirnya terperangkap. Dianggarkan lebih daripada 80,000 pemberontak Briton terbunuh dan hanya 400 tentera Rom yang gugur.
Salah seorang mangsa tersebut ialah Boudica sendiri, walaupun punca kematiannya tidak diketahui. Sejarawan menganggap beliau meninggal dunia akibat luka-lukanya atau mengambil racun dengan anak-anaknya untuk mengelak dari ditangkap dan diseksa semula. Kebanyakkan tentera Briton yang terlibat serta keluarga mereka telah dihantar ke Rom untuk perhambaan. Tragedi ini hampir mengubah sejarah yang mampu membuatkan Empayar Rom berundur dari Britanni jika Boudica memenangi pertempuran Watling Street. Sebaliknya, Rom kekal di Britanni selama 350 tahun lagi. Semenjak pemberontakan Ratu Boudica, Empayar Rom telah melayan rakyat Briton dengan lebih hormat dan adil.
Walaupun Boudica kalah dalam pertempuran dan perjuangannya, Boudica diraikan pada hari ini sebagai srikandi kebangsaan dan simbol universal warga Britain bagi kebebasan dan keadilan. Bahkan Ratu Elizabeth dikatakan telah membaca sejarahnya dan mendapat ilham untuk mentadbir dengan tahap kekuatan yang sama ketika berhadapan dengan kekuatan asing, seperti Sepanyol.
Ini menunjukkan bahawa dengan mendalami sejarah terdahulu, ia mampu memberi impak yang besar terhadap pemimpin sesebuah negara. Ratu Victoria juga tertarik oleh legasi Boudica dan mengarahkan monumen Boudica diletakkan di hujung utara Westminster Bridge, yang berdekatan dengan Parlimen yang berkekalan sehingga kini. Kedua-dua nama “Victoria” dan “Boudica” membawa maksud kemenangan.
Rujukan
The Creative Assembly (2013), Total War: Rome II, computer program, Sega.
Aldhouse-Green, M. (2006). Boudica Britannia. Harlow, England: Pearson Longman.
Biography. (2018). Boudicca. [online] Available at: https://www.biography.com/people/boudicca [Accessed 24 Apr. 2018].
Cassius Dio Cocceianus., Cary, E. and Foster, H. (1981). Dio’s Roman history. Cambridge, Mass.: Harvard University Press.
Mark, J. (2013). Boudicca. [online] Ancient History Encyclopedia. Available at: https://www.ancient.eu/Boudicca/ [Accessed 24 Apr. 2018].
Snyder, C. (2003). The Britons. Malden, MA: Blackwell.
Unwin, C. and Hingley, R. (2006). Boudica: Iron Age Warrior Queen. Bloomsbury Publishing.
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih