Ia digelar ‘Bone Collector’ lantaran tingkah laku uniknya yang ‘menghias’ sarung luarnya dengan menggunakan bahagian tubuh serangga yang telah mati. Inilah kisah sejenis ulat karnivor yang baru ditemui di Pulau O’ahu, Hawaii.
Pada hujung April lalu, para penyelidik di Hawaii telah menemui seekor ulat karnivor yang jarang ditemui dengan tingkah laku yang unik dan mengerikan, iaitu melakukan penyamaran menggunakan sisa-sisa serangga ketika menceroboh masuk ke dalam sarang labah-labah.
Sarang labah-labah ini menjadi habitatnya, dan ia sebenarnya menyamar seumpama ia adalah sisa-sisa makanan labah-labah, lalu membolehkannya tinggal bersama-sama labah-labah tanpa dimakan.
Ulat ini bukanlah sekadar ulat lapar yang mencari makanan, tapi adalah karnivor dan sukakan daging. Sebaik sahaja melihat ada serangga yang mati atau terperangkap dalam sarang labah-labah, ia akan terus memakannya.
Dan sebaik sahaja ia selesai memakan serangga yang mati, ia akan menutupi tubuhnya dengan kaki, sayap, atau kepala mangsanya sebagai penyamaran untuk mengelakkan dirinya dimakan.
Ulat yang baru ditemui ini menghuni kawasan seluas kira-kira 6 batu persegi (15 kilometer persegi) di banjaran gunung Wai‘anae di Oahu, dan hidup secara eksklusif di sekitar sarang labah-labah yang terdapat dalam batang kayu reput, rongga pokok, atau celahan batu.
Sesuai panggilannya sebagai Bone Collector, ia memanfaatkan suasana gelap habitat itu jika labah-labah tuan rumah mengesan pergerakan pada sarangnya, ia akan segera menyerang penceroboh. Namun dalam keadaan gelap, bahagian luar sarungnya yang disaluti bahagian tubuh serangga yang mati itu hanya berbau seperti serangga yang udah lama mati.
Menurut para penyelidik, spesies ulat ini berkemungkinan telah berevolusi sekurang-kurangnya 6 juta tahun yang lalu, dan itu menjadikannya lebih tua daripada Pulau Oahu sendiri!
Ulat ‘Bone Collector’ ini adalah sebahagian daripada genus Hyposmocoma, iaitu rama-rama kecil yang hidup di Hawaii dan terkenal kerana menenun bekas sutera. Jika spesies lain dalam genus ini mungkin menghias tempat perlindungan mereka dengan cebisan alga atau liken supaya kelihatan seperti kulit pokok, tiada lagi spesies Hyposmocoma lain yang diketahui mengenal pasti bahagian tubuh serangga secara rawak dan melekatkan pada sarungnya.
Secara umumnya, ulat karnivor ini sangat jarang ditemui, dan ia hanya merangkumi kira-kira 0.13% daripada keseluruhan spesies rama-rama dan kupu-kupu di dunia. Bagi ulat ‘Bone Collector’ ini, para penyelidik hanya berjaya 62 spesimen sahaja, menunjukkan bahawa ia adalah spesies yang sangat unik.
Kisah ulat ini hanyalah antara kisah haiwan yang mempunyai strategi survival tersendiri dalam memastikan kelangsungan hidupnya. Walaupun begitu, penyesuaian yang dibuat oleh ulat ini juga tidaklah begitu ideal.
Meskipun ulat ini bijak menyamar dan mengelak daripada dimakan labah-labah, ia juga mengamalkan kanibalisme dan bersifat kewilayahan (territorial) yang sebenarnya mengurangkan peluang pembiakan.
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih