Baru-baru ini, sekumpulan pakar kaji Mesir Purba menemui blok-blok batu berukur yang dikata berasal dari abad keempat SM. Blok-blok batu dan serpihan fragmen ini yang dijumpai mereka dipercayai sebahagian daripada kuil yang didedikasikan kepada dewa matahari Mesir Purba, Ra. Kesemua artifak ini dijumpai di kawasan El Matariya, Heliopolis, Kaherah.
Heliopolis yang bermaksud Kota Matahari merupakan salah satu daripada kota-kota tertua Tamadun Mesir Purba. Ia dikatakan mula dihuni oleh manusia sekitar zaman pra-dinasti iaitu antara 6000 hingga 3000 SM. Untuk kuil ini, ia merupakan kuil yang mempunyai sempadan terbesar dalam kalangan kuil-kuil Mesir Purba.
Bagaimanapun, tidak banyak kesan fizikal yang dapat dilihat pada kuil lama ini. Ini disebabkan banyak blok batu diambil oleh kerajaan-kerajaan yang mentadbir Mesir ketika itu sebagai bahan binaan untuk memperkukuh kedudukan pertahanan Kaherah. Begitupun, itu tidak menghalang kepada kerja-kerja ekskavasi yang dijalankan sekitar abad ke-20.
Bagi mengelak Kuil Ra ini hilang ditelan zaman, satu pasukan arkeologi Mesir-Jerman dibentuk di bawah Projek Heliopolis pada 2012. Menerusi projek ekskavasi ini, pasukan arkeologi dan pengkaji Mesir Purba mula mengekskavasi dan mengeluarkan artifak-artifak dari pelbagai era Firaun di Matariya. Penemuan terbaru ini dibuat di bahagian tengah kuil berkenaan.
Setiausaha Agung Majlis Tertinggi Antikuiti Mesir, Mostafa Waziri melihat kerja-kerja ekskavasi dan analisis mendedahkan pelbagai sejarah Mesir Purba dari blok-blok batu yang ditemui. Pandangan beliau turut disokong oleh pengarah bersama projek Aymen Ashmawy menerusi inskripsi pada satu blok yang menyebut tahun pemerintahan ke-13 dan ke-14 (366 atau 365 SM).
Analisis tahun berkenaan mendapati blok batu tersebut dihasilkan pada era pemerintahan Firaun Nectanebo I atau Nakhtnebef. Baginda merupakan pengasas Dinasti Ke-30 Mesir Purba – dinasti terakhir Firaun yang berdarah Mesir tulen. Dinasti ini bertahan selama lebih 40 tahun sebelum diambil alih oleh Dinasti Ke-31 (para Firaunnya berdarah Parsi) sekitar 340 SM.
Pengamatan pasukan pengkaji Mesir Purba mendapati sesetengah blok batu ini tidak disiapkan dari segi ukiran. Mereka percaya semua kerja ukiran dihentikan selepas Nectanebo I mangkat pada 363 SM atas titah penggantinya, Nactanebo II.
Selain blok batu era Nectanebo I, mereka turut menemui blok-blok batu dari era Ramses II (1279-1213 SM), Merenptah (1213-1201 SM) dan Apries (589-570 SM). Bagi blok batu era Ramses II, petunjuk mereka ialah fragmen patung Firaun Seti II yang diperbuat daripada batu jasper. Pentarikhan fragmen menunjukkan ia berasal dari zaman Dinasti Ke-19 sekaligus menunjukkan ini merupakan salah satu projek penting baginda di Heliopolis.
Firaun-firaun dari dinasti lain turut menyumbang kepada pembinaan Kuil Ra di Heliopolis. Ini berdasarkan penemuan fragmen dari era Dinasti Ke-22 (Firaun Osorkon I, 925-890 SM) dan Firaun Psametik II (595-589 SM). Ini menunjukkan para Firaun memberi sokongan dan pelaburan berterusan kepada Kuil Ra sehingga era Dinasti Ptolemy. Selepas Mesir jatuh ke tangan Rom pada 30 SM, semua aktiviti keagamaan Mesir Purba pada ketika itu ditamatkan.
RUJUKAN
Pandey, S. (2021, 9 November). 4th Century Stone Blocks Tell Story of Sun Temple of Heliopolis. Ancient-Origins.
Sumber gambar: Kementerian Pelancongan dan Antikuiti Mesir.
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih