Apa sebab utama aku tulis artikel ni? Aku terkejut… tak pernah dalam hidup aku tengok cerita yang kebanyakan karakternya terfikir nak bunuh diri dan cuba bunuh diri… Shocking!
Aku bukan peminat K-pop, apatah lagi menonton drama bersiri Korea yang berepisod-episod. Filem perang Korea jer yang aku layan macam Taegukgi, The Front Line, itupun jarang-jarang, tetapi atas saranan manja si isteri, aku cubalah tengok episod 1 drama Black.
“Oppaaaa… Oppaaaaa… Oppa kena tengok cerita ni,” rengeknya… huh.
“Oklah unnie, satu episod jer yea Oppa Oppo tengok…”
Penyudahnya, habis 18 episod aku layan, aigoo…. Ceritanya kompleks semacam, plotnya bolehlah aku ringkaskan sebagai ‘scattered but engaging’, tetapi cukup menarik minat aku untuk tengok episod seterusnya. Heronya hensem, patutlah terjerit-jerit aweks Malaya bila oppa-oppa ni mai Malaysia… kalau aku jadi awek-awek ni… boleh jadi aku pun guling-guling sawan atas tanah sama.
Ceritanya tentang seorang gadis yang boleh melihat bayang-bayang hitam ‘grim reaper’ yang nak mencabut nyawa manusia. Dalam erti kata yang lain, Kang Ha Ram (dah nama dia macam tu) boleh tahu bila seseorang tu akan mati dan bagaimana orang tu mati. Dan seterusnya…. tengok sendirilah weh, ni bukan review filem!
Seperti yang aku katakan sebentar tadi, ada elemen cerita ni yang disturbing, yang ‘mengganggu’… yang aku rasa tak approriate… yang gelap, yang… Black. Apa elemen tu? Elemen bunuh diri! Dari episod 1 sampailah episod 18, ada sahaja elemen bunuh diri yang ditonjolkan.
Ada yang cuba bunuh diri… dan berjaya mati
Ada yang cuba bunuh diri… tapi tak mati
Ada yang nak bunuh diri… tapi tak jadi
Ada yang nak kena bunuh tapi plan bagi nampak macam bunuh diri… nasib baik tak mati,
Ada yang memang kena bunuh dan bagi nampak macam bunuh diri…
Aku kata, gilalah… culture suicide ni memang menebal dalam masyarakat Korea Selatan. Memang aku selalu dengar penyanyi, pelakon dan pemimpin politik bunuh diri, dan aku boleh rasakan bunuh diri tu dah jadi ‘culture’, tetapi bila aku tonton drama Black ni baru aku betul betul betul betul faham yang bunuh diri ini adalah ‘dark culture’, penyakit sosial yang dah sebati dan menjadi kebiasaan masyarakat di sini. Sebab apa aku kata begitu? Sebab kalau dah hampir setiap episod ada elemen bunuh diri, itu maknanya cara menamatkan riwayat hidup seperti ini adalah suatu kebiasaan dan ‘diterima’ sebagai norma kehidupan masyarakat di negara itu… how sad!
Punyalah aku terdisturb sampai aku buka laptop dan buat sedikit study tentang kisah bunuh diri di Korea Selatan, dari segi statistiknya, dari segi falsafah dan prejudis, stigma masyarakatnya. Ini yang aku nak share sebenarnya, bukan review drama Black tu.
Let’s dive right in…
Statistik menunjukkan peningkatan serius 3 kali ganda kes bunuh diri di Korea Selatan sejak 25 tahun yang lalu. Mengikut data OECD (Organization for Economic Co-operation and Development), Korea Selatan mencatat kadar kes bunuh diri tertinggi (2013 atau tahun tersedia terkini) dalam kalangan negara-negara OECD, dengan kadar 29.1% daripada jumlah 100,000 populasi. Tempat kedua milik Rusia pada kadar 21%, jauh ditinggalkan Korea Selatan. Data WHO (World Health Organization) pula meletak Korea Selatan antara 5 negara tertinggi kes bunuh diri!
Itu statistik… yang aku lebih berminat sebenarnya berkait rapat dengan persoalan mengapa bunuh diri menjadi trend gelap orang Korea? Apakah punca ‘kecelaruan’ dalam masyarakat ini yang menyebabkan bunuh diri menjadi opsyen utama?
Ok… sekarang kita masuk part boring iaitu membincangkan apa sebab orang Korea Selatan suka bunuh diri berdasarkan kajian pakar-pakar yang aku baca.
Kalau tengok berita dan baca artikel biasanya kadar bunuh diri yang tinggi di Korea Selatan dikaitkan dengan budaya kerja yang gila stress, peer-pressure dan conformity pada status sosial yang tak terkawal. Tapi, bukankah situasi ini ada di mana-mana dan tidak eksklusif pada Korea Selatan sahaja?
Menurut Ben Park di dalam artikel yang bertajuk Cultural Ambivalence And Suicide Rates In South Korea, beliau ada menerangkan tentang teori yang beliau namakan sebagai ‘collective cultural ambivalence’. Teori ini secara ringkas menyatakan bahawa pertembungan ‘individualisme’ (budaya barat) dan budaya tradisional Confucianisme timur (atau konservatif timur secara amya) telah menyebabkan berlakunya ketidakseimbangan budaya orang Korea secara kolektif. Ketidakseimbangan budaya ini pula menjadi kecelaruan identiti, yang kemudiannya menjadi sebab utama berlakunya peningkatan kes bunuh diri.
Teori ‘collective cultural ambivalence’ ini pula secara kasarnya ada kena-mengena dengan Teori Durkheim Suicide yang dipopularkan oleh Èmile Durkheim pada tahun 1951. Kalau nak mengkaji isu suicide, Teori Durkheim pastinya kalian akan jumpa, tak boleh lari.
Èmile Durkheim di dalam kajiannya yang bertajuk ‘Suicide’ (1951) menyatakan bahawa…
‘Keinginan manusia dan keupayaan untuk memenuhi keinginan tersebut tiada batasnya. Dan kerana keinginan yang tiada batas inilah yang menyebabkan manusia itu meletakkan dirinya senantiasa di dalam keadaan tidak puas hati dan tidak gembira’.
Tambah Èmile lagi, manusia perlu ‘bersederhana’ dalam bercita-cita dan masyarakat memainkan peranan penting dalam menentukan tahap atau standard yang sesuai secara kolektif. Kalau society letak standard tinggi melampau, ala-ala high taste, maka secara tak sengaja masyarakat itu secara kolektifnya juga meletak satu tekanan ke atas diri mereka sendiri. Apa akan jadi jika individu gagal memenuhi standard ini? Bunuh diri jalan yang mudah… Itu kata Teori Durkheim.
Sekarang kita converge fokus kita kepada masyarakat Korea. Kenapa mereka terlalu ke depan dalam ‘acara’ bunuh diri ini?
Krisis Ekonomi 1997. Ya, krisis ini dikatakan bermulanya trend serius bunuh diri di Korea Selatan. Walaupun peningkatan kecil terjadi sejak 1993, krisis ekonomi ini menyaksikan bunuh diri menjadi satu endemik yang mencengkam masyarakatnya. Bayangkan, negara ini tidak pernah melalui zaman gawat ekonomi sejak tertangguhnya Perang Semenanjung Korea, tiba-tiba ekonomi mereka tertonggeng gara-gara krisis mata wang. Unemployment rate naik 300%, GDP jatuh dari yearly 5-10% kepada -6.7%. Setahun kemudian (1998), kadar bunuh diri melonjak naik (rujuk graf disertakan).
Tetapi Krisis Matawang Tun M vs George Soros ini ada efek jangka panjangnya. Di Korea Selatan (mungkin juga di mana-mana), jurang antara golongan kaya dan tak berapa kaya telah melebar. Jurang ini menyebabkan golongan marhaen semakin terhimpit, dan tekanan semakin terasa.
Menariknya… menurut Durkheim, jika benar krisis ekonomi menyebabkan kes bunuh diri meningkat, kenapa waktu ekonomi baik dan bullish pun kejadian bunuh diri terus meningkat? Jawapannya, ia bukan kerana krisis ekonomi (per se) tetapi ia disebabkan oleh DISTURBANCE OF COLLECTIVE ORDER (gangguan kepada status quo).
‘Gangguan sosioekonomi’ ini, termasuk juga penstrukturan semula ekonomi dan politik selepas zaman kejatuhan menyebabkan sebahagian individu ketinggalan dan gagal beradaptasi. Mereka ini berpotensi membunuh diri.
Itu cerita ringkas dari sudut kajian Durkheim. Kalau nak baca lebih lanjut, cari jurnalnya dan baca. Tajuk penuh ada di bahagian rujukan. Apa pula kata Ben Park dari sudut ‘collective cultural ambivalence’ yang lebih mengkhusus tentang Korea?
Teori Ben Park ini mudah sahaja untuk difahami. Masyarakat Korea secara tradisionalnya mengamalkan saranan dan ajaran Confucianisme sejak sekian lama. Apabila Korea Selatan mula ‘membaratkan’ ekonomi mereka sekitar tahun 1960-an, nilai budaya barat perlahan-lahan telah meresap ke dalam masyarakat ini, tetapi demi kemakmuran sosioekonomi, politik dan pemodenan negara, budaya baru yang berlawanan dengan nilai-nilai Confucianisme diterima pakai, malah dianggap perlu dan diintegrasi ke dalam fabrik halus kehidupan masyarakat Korea Selatan. Menurut beliau lagi, budaya tradisi masyarakat timur (Korea) yang mementingkan hubungan kolektif sosial dan hidup bermasyarakat semakin terhakis dek kerana nilai budaya barat yang lebih mementingkan individualisme.
Akibat daripada ‘collective cultural ambivalence’, kekeliruan identiti budaya terjadi seperti yang dikatakan awal tadi.
Satu lagi faktor penyebab yang jarang dibahaskan adalah gender discrimination. Paska Perang Korea, lebih ramai wanita terlibat dalam aktiviti sosioekonomi. Seperti juga negara-negara lain di dunia, lelaki mendominasi pelbagai aspek kehidupan di negara ini sejak sekian lama. Peningkatan keterlibatan wanita dalam aspek sosioekonomi dan politik antara penyumbang meningkatnya kes bunuh diri di kalangan wanita.
Apa yang aku belajar tentang kisah bunuh diri orang Korea ini, supaya kita tak mengikut jejak langkah mereka?
1. Jika di Korea Selatan, nilai budaya timur melalui Confucianisme itu penting, di Malaysia nilai-nilai budaya yang berlandaskan agama perlu dititik beratkan, perlu dihayati dan diikuti. Berpegang pada agama itu penting!
2. Kedua ialah isu ‘managing expectation’. Dalam era konsumerisme yang melampau dan ketagihan tular/viral, masyarakatlah yang patut dipersalahkan kerana mengagungkan materialisme. Kita sepatutnya lebih bersederhana dan bunuh diri boleh dielakkan jika masyarakat memainkan peranan yang lebih BERTANGGUNGJAWAB dalam ‘managing expectation’ ini. Dulu tudung beli pasar malam sahaja, sekarang tidur dalam khemah untuk beli tudung berjenama… Ini standard sosial yang kita secara tak sedar (subconscious) sedang terapkan dalam masyarakat kita.
3. Bila pemimpin mengatakan bahawa ‘kita perlu menjadi negara maju dengan acuan sendiri’, kalimah-kalimah ini ada benarnya. Ketidakseimbangan budaya yang dialami oleh Korea Selatan boleh dielakkan jika kita lebih berhati-hati dalam menongkah arus pemodenan.
4. Tidak semua budaya dan cara hidup negara Chaebol yang maju ni kita boleh tiru bulat-bulat.
Sekian
Rujukan dan bacaan lanjut;
1. Cultural Ambivalence And Suicide Rates In South Korea, B.C. Ben Park, 2012
2. Suicide: A Study In Sociology, Èmile Durkheim, 1951
3. Suicide In South Korea: Revisiting Durkheim’s Suicide, Timothy Kang, 2017
4. Changes In South Korean Urbanicity And Suicide Rates: 1992 To 2012, Chee Hon Chan et al, 2015
5. Characteristics Of Methods Of Suicide Attempts In Korea: Korea National Suicide Survey (KNSS), Bora Kim et al, 2015
6. http://www.who.int/mental_health/prevention/suicide/suicideprevent/en/
7. https://read.oecd-ilibrary.org/economics/oecd-factbook-2015-2016/suicide-rates_factbook-2015-graph184-en#page1
8. http://english.chosun.com/m/svc/article.html?contid=2017051900779&Dep0=www.google.com
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih