“Nama saya Andrew Ryan, dan saya ingin bertanya kepada anda satu soalan.
Adakah anda tidak berhak ke atas segala titik peluh anda selama ini?
Tidak! Kata mereka di Washington. Ianya milik orang yang tidak berkemampuan.
Tidak! Kata mereka di Vatican. Ianya milik Tuhan.
Tidak! Kata mereka di Moscow. Ianya milik semua orang.
Saya dengan berkerasnya menolak semua itu. Saya memilih sesuatu yang berbeza. Saya memilih sesuatu yang mustahil. Saya memilih…. Rapture!
Sebuah bandar di mana seorang artis tidak perlu takut hasil karyanya akan ditapis.
Sebuah bandar di mana seorang saintis tidak perlu dibelenggu oleh pandangan moral masyarakat.
Sebuah bandar di mana seorang yang hebat tidak perlu memikirkan keperluan mereka di bawah.
Dan dengan titik peluh anda sendiri, Rapture adalah bandar untuk anda!”
Mereka yang bukan peminat permainan video selalu dilanda stigma yang permainan video adalah tidak matang dan tidak membawa manafaat. Tapi tahukah anda, terdapat banyak permainan video dengan tema yang berat yang mengajak anda untuk berfikir. Antara yang paling menarik pada pendapat saya adalah mahakarya permainan video, Bioshock.
Kata-kata aluan di atas adalah prolog yang disajikan kepada pemain permainan video Bioshock. Saya tidak tahu bagi anda, tapi bagi saya ketika pertama kali mendengar ucapan dari Andrew Ryan, minda saya yang naif ini berfikir “Wow, hebatnya. Tak sabar nak melihat suasana yang dijanjikan oleh Rapture!” Namun begitu, Rapture hanyalah indah khabar dari rupa. Sebaik sahaja anda berlabuh tiba di bandar Rapture, anda dipaparkan dengan suasana kematian, peperangan dan kebinasaan. Kata-kata Andrew Ryan di atas sebenarnya adalah cerminan kepada falsafah “Objectivism” dari Ayn Rand, dan permainan video Bioshock tidak lain dan tidak bukan adalah satu kritikan kepada falsafah kontroversi dari Ayn Rand.
Siapakah Ayn Rand?
Ayn Rand (nama sebenar Alisa Zinov’yevna Rosenbaum) adalah seorang wanita yahudi yang dilahirkan di St. Petersburg, Rusia pada tahun 1905. Ketika zaman kanak-kanaknya, Ayn Rand menjadi saksi revolusi yang melanda Rusia. Revolusi golongan Bolsheviks yang dipanggil sebagai Revolusi Oktober membawa kepada kebangkitan komunis Soviet Union. Dasar sosialisme yang diamalkan oleh Soviet Union memberi mudarat kepada Ayn Rand dan keluarganya di mana perniagaan ayahnya dirampas oleh pihak kerajaan dan ini memaksa keluarganya berpindah ke semenanjung Crimea dalam keadaan yang miskin. Peristiwa tersebut memberi banyak impak kepada Rand dan menjadi asas kepada pembinaan falsafah “Objectivism” Rand.
Ayn Rand bukanlah kanak-kanak yang biasa. Rand sejak berumur 10 tahun lagi, sudah berjinak-jinak menulis novel dan juga skrip teater. Pada umurnya 16 tahun, die melanjutkan pelajarannya di Universiti Petrograd dalam bidang Pedagogi Sosial. Ketika itulah dia diperkenalkan dengan ahli falsafah terkemuka seperti Aristotle dan Plato yang banyak menjadi inspirasi kepada karyanya di masa akan datang. Ayn Rand menamatkan pengajiannya pada tahun 1924. Selepas tamat pengajian, Rand banyak menulis dan menerbitkan esei di bawah nama penanya Rand. Nama penanya dilengkapkan dengan Ayn, yang diambil dari bahasa Hebrew (“ayin”) yang bermaksud mata.
Dua tahun selepas itu, Rand datang ke Amerika Syarikat untuk melawat saudara-maranya. Ketika di New York, Rand terpegun melihat bangunan pencakar langit di Manhattan dan berhasrat untuk menetap secara tetap di Amerika Syarikat sebagai seorang penulis skrip. Pada hakikatnya, Rand sebenarnya tertarik dengan dasar kapitalisme yang diamalkan Amerika Syarikat. Cogan kata “The land of the free” yang diwarwarkan Amerika Syarikat itu memberi kesan mendalam kepada Ayn Rand yang membenci dasar sosialisme.
Rand kemudian berpindah ke Hollywood, California di mana dia berkenalan dengan seorang pelakon muda Frank O’Connor. Mereka berkahwin pada tahun 1929, dan perkahwinan itu membolehkan Rand diiktiraf sebagai warganegara Amerika Syarikat pada tahun 1931.
Atlas Shrugged dan Falsafah “Objectivisme”
Setelah menjadi warganegara Amerika Syarikat, usaha Rand mula membuahkan hasil. Rand banyak menulis skrip untuk filem dan juga novel. Sepanjang hayatnya, Rand menerbitkan 4 buah novel, 4 buah skrip teater/filem dan beberapa buah cerpen. Namun begitu, dalam banyak-banyak karya Rand, tiada yang dapat memberi impak yang sebegitu besar (baik mahupun buruk), melainkan Atlas Shrugged.
Atlas Shrugged karya Magnum Opus Ayn Rand memaparkan dan mencerminkan falsafah “objectivism” yang dicanangkan oleh Rand. Rand di dalam novel tersebut memaparkan dengan jelas kritikannya ke atas sistem pemerintahan dan ekonomi golongan sosialisme dan menganggap kerajaan dan sistem mengamalkan dasar sosialisme sebagai satu parasit yang mengambil hasil titik peluh golongan cendekiawan dan para industrialis. Rand mengkritik sistem cukai, perlembagaan dan undang-undang kerajaan yang mempunyai unsur-unsur sosialis dan menganggapnya sebagai satu bentuk penindasan terhadap golongan pemikir dan industrialis.
Selepas karya tersebut diterbitkan, ia menjadi asas kepada falsafah “Objectivism” Rand. Rand dalam karya-karya yang seterusnya mencorakkan dengan lebih mendalam dan jelas tentang falsafah yang ingin dibawanya. Falsafah “Objectivism” Rand boleh diringkaskan kepada berikut:
- Realiti wujud sebagai objektif yang mutlak. Fakta adalah fakta, tidak perlu dicermari dengan perasaan, harapan, ketakutan dan juga sebarang emosi.
- Logik/ Sebab adalah satu-satunya cara untuk manusia menggarap realiti, satu-satunya kaedah ilmu. Logik juga adalah satu-satunya panduan hidup untuk manusia dalam melakukan sebarang tindakan.
- Manusia hanya perlu mementingkan diri mereka sendiri. Tidak perlu mengambil kira keperluan orang lain, dan berinteraksi hanya untuk kepentingan diri masing-masing.
- Sistem politik dan ekonomi yang ideal adalah sistem yang memisahkan di antara kerajaan dan juga ekonomi. Ia sebuah sistem di mana manusia berinteraksi antara satu sama lain untuk manfaat bersama. Kerajaan dan undang-undang yang wujud hanyalah untuk memantau interaksi komuniti dan melindungi hak asasi manusia.
Falsafah Ayn Rand mementingkan bahawa setiap manusia perlu meletakkan kepentingan dirinya sendiri lebih utama berbanding keperluan mereka yang lain. Ayn Rand membayangkan sebuah komuniti di mana setiap orang berusaha untuk diri mereka sendiri tanpa perlu terikat dengan tanggungjawab kepada keluarga, masyarakat, kerajaan dan juga Tuhan.
Rapture: Bandar Impian Rand
Bioshock adalah sebuah permainan video tembak menembak (first-person shooter) yang dibangun dan diaturcarakan oleh Irrational Games (dulu dikenali sebagai 2K Boston) dan diterbitkan oleh 2K Games. Permainan video tersebut diterbitkan pada tahun 2007 dan diiktiraf oleh ramai pengkritik dan peminat sebagai antara permainan video yang terhebat dalam sejarah. Dengan plot yang kompleks dan menarik, rekaan yang imersif dan tema yang mencabar pemikiran, permainan video Bishock dianggap sebagai permainan video yang mengajak pemain untuk berfikir. Permainan video Bioshock meletakkan anda di dalam perspektif protagonis, Jack yang terperangkap di bandar Rapture di kemuncak perang saudara, setelah kapal terbangnya terhempas di lautan Atlantik.
Rapture, merupakan lokasi utama di dalam permainan video Bioshock. Ianya merupakan sebuah bandar utopia hasil visi dan usaha Andrew Ryan dan terletak di dasar lautan Atlantik. Andrew Ryan merupakan watak antagonis dalam permainan video Bioshock. Biografi fiksyen Andrew Ryan direka menyamai dengan Ayn Rand. Malah nama Andrew Ryan juga adalah anagram untuk Ayn Rand (WE R AYN RAND). Andrew Ryan merupakan seorang ahli perniagaan yang berjaya dan berasal dari Rusia. Ketika kecil beliau menyaksikan sendiri kekejaman komunis Soviet Union dan ia memaksa keluarganya berpindah ke Amerika Syarikat pada tahun 1919. Ryan, seperti Ayn Rand juga tertarik dengan dasar kapitalisme yang diamalkan Amerika Syarikat. Ryan menganggap Amerika Syarikat sebagai benteng terakhir dari dasar sosialisme yang mencengkam berdasarkan pada cogan kata “The Land Of The Free” yang dilaung-laungkan Amerika Syarikat.
Sewaktu era “Great Depression” langkah-langkah “New Deal” yang diambil oleh Presiden Roosevelt memberi kesan kepada Andrew Ryan. Langkah-langkah “New Deal” anjuran Presiden Roosevelt itu mengambil kira dasar sosialisme dan mementingkan golongan-golongan yang tidak berkemampuan serta golongan yang susah. Pelbagai bantuan dan insentif diberikan oleh kerajaan kepada golongan yang susah dan pada masa yang sama kerajaan juga mengenakan kawalan yang lebih ketat kepada golongan usahawan antaranya dengan mengenakan cukai dan tarif yang tinggi, mewujudkan kesatuan pekerja dan menghapuskan sistem matawang berasaskan emas. Langkah-langkah Roosevelt memberi kesan yang negatif kepada usahawan dan para industrialis. Antara yang mendapat kesan adalah ayah Ryan sendiri yang disumbat kedalam penjara kerana enggan membayar cukai.
Peristiwa tersebut membuatkan Ryan beranggapan yang Amerika Syarikat bukanlah lagi “The land of the Free” seperti yang dihebohkan. Prinsip kerajaan Roosevelt yang sosialis dan memberi keutamaan kepada golongan yang susah dan tidak berkemampuan dianggap sebagai satu sistem yang menindas. Ryan menganggap mereka yang tidak berusaha dan mereka yang menerima kebajikan/pertolongan dari kerajaan dan juga kerajaan sendiri sebagai parasit yang memakan hasil titik peluh yang dia usahakan. Ini menyebabkan kebencian yang meluap-luap tersimpan dalam diri Ryan terhadap apa yang dia anggap sebagai kekejaman dan pendindasan dari sistem sosialisme. Pada akhir perang dunia ke-2, dua bom atom yang dijatuhkan di Hiroshima dan Nagasaki menjadi penambah kepada kebencian Ryan. Beliau menganggap bom atom yang dijatuhkan itu adalah tindakan tidak bermoral parasit (dalam kes ini, kerajaan Amerika Syarikat) yang mengambil hasil usaha cendekiawan/para saintis dan menggunakannya untuk mendominasi mereka yang lain. Tindakan Amerika Syarikat dianggap sebagai membelakangi prinsip kebebasan yang dilaungkan selama ini oleh mereka.
Pada penghujung tahun 1945, Ryan memulakan langkah dan mengumpul sumber untuk membina bandar Rapture. Andrew Ryan pada ketika itu adalah hartawan yang memiliki dominasi dalam industri arang batu, pengangkutan kereta api dan juga industri minyak. Dominasi Ryan menjadikannya hartawan yang sangat berjaya dengan kekayaan yang tidak terkira. Ryan kemudiannya menjual semua asetnya dan mengumpul para jurutera untuk membantunya membina Rapture. Ryan membayangkan sebuah bandar di mana komunitinya dianggotai oleh golongan-golongan cendekiawan. Para cendekiawan bebas untuk mengejar kejayaan mereka sendiri tanpa perlu terbeban dengan tanggungjawab kepada keluarga, masyarakat, kerajaan dan juga Tuhan. Ia adalah sebuah bandar yang sama juga diimpikan oleh Ayn Rand melalui falsafah “Objectivism”. Ketika umurnya baru 35 tahun, bandar Rapture sudah selesai dibina. Takutkan ancaman perang nuklear, bandar tersebut dibina jauh dari sebarang bandar utama dunia dan terlindung dari pandangan orang kebanyakan di dasar lautan Atlantik. Bandar tersebut kemudiannya dipenuhkan oleh golongan-golongan cendekiawan dari berbagai bidang yang dijemput sendiri oleh Andrew Ryan.
Hasil usaha dan impian Ryan menjadi kenyataan. Bermula pada tahun 1948, Rapture mengalami pembangunan pesat. Seperti yang diramalkan Ryan, penduduk di Rapture membina sebuah komuniti yang bebas dan hidup dengan mewah. Penduduk-penduduk di Rapture membina empayar-empayar peniagaan yang hebat dan tidak dapat dibandingkan dengan dunia luar. Tidak ketinggalan, sains dan teknologi di Rapture juga jauh terkedepan berbanding dengan dunia luar. Para saintis dan cendekiawan di Rapture membuat banyak penemuan-penemuan yang mengagumkan lantas meningkatkat taraf hidup penduduk dan komuniti di Rapture. Antaranya penemuan ADAM oleh saintis Dr Brigid Tenenbaum. Penemuan ADAM oleh Tenenbaum membolehkan manipulasi DNA dilakukan dan membawa kepada penciptaan “Plasmids” dan “Gene Tonics” yang memberi kuasa hebat kepada pemakai seperti seorang adiwira. Rapture juga dibina sebagai sebuah bandar mandiri, yang boleh beroperasi sendiri tanpa perlu bantuan dari manusia.
Sisi Gelap Rapture
Rapture pada pandangan orang luar nampak seperti sebuah utopia. Ianya sebuah masyarakat yang sempurna dengan kestabilan politik dan ekonomi dan membawa kepada kemajuan intelek yang tinggi. Disebabkan Rapture hanya dihuni oleh tokoh-tokoh cendekiawan yang hebat, Ryan yakin yang masyarakat di Rapture tidak akan dibebani dengan masalah jenayah dan beliau hanya meletakkan satu sahaja undang undang di Rapture: TIADA HUBUNGAN DENGAN DUNIA LUAR. Sejak penubuhan Rapture sehingga 1958, Rapture tidak mengalami sebarang krisis (jenayah dan juga ekonomi). Setiap penduduk nampak bertoleransi di antara satu sama lain walaupun sebenarnya mereka mengamalkan falsafah “Objectivism” Rand dan lebih mementingkan diri mereka sendiri.
Namun begitu, dasar dan falsafah “Objectivisim” yang hanya mementingkan logik dan asbab tanpa melihat lansung dari segi aspek moral dan kerohanian membawa banyak masalah. Para saintis dan industrialis bebas melakukan apa sahaja demi mengejar keuntungan dan kemajuan tanpa mengambil kira kepentingan orang lain. Anda sebagai pemain boleh melihat sendiri contohnya dalam rekaan permainan. Ketika anda menelusuri bandar Rapture, anda akan dapati Rapture menawarkan mesin layan diri yang berbagai, dari yang menawarkan “Plasmids”, kit pertolongan cemas, dan banyak lagi. Yang teruknya, ada juga mesin layan diri yang menawarkan senjata, peluru dan bahan letupan kepada pemain dan ianya begitu mudah didapati tanpa sebarang seliaan dan kawalan. Konsep pasaran bebas yang dibawa oleh falsafah “Objectivism” menyebabkan senjata begitu mudah dimiliki oleh sesiapa sahaja lantas memarakkan lagi perang saudara yang bakal tercetus.
Saintis dan para cendekiawan juga tidak terkecuali. Disebabkan para saintis bebas untuk mengejar kemajuan dalam penemuan sains dan teknologi tanpa dibelenggu oleh tanggungjawab moral (lebih- lebih lagi Agama) dan pandangan masyarakat, berbagai tanda eksperimen yang tidak berperikemanusiaan dapat ditemui di serata pelusuk Rapture. ADAM yang ditemui oleh Dr Tenenbaum antara contoh yang terbaik. Ketika ADAM ditemui secara semulajadi di dalam perut lintah bulan, ianya sukar untuk diproses secara besar-besaran. Dr Brigid Tenenbaum mendapati yang jika lintah bulan tersebut diimplankan kedalam tubuh kanak-kanak perempuan yang telah diubah genetiknya, tubuh kanak-kanak perempuan tersebut mampu menghasilkan ADAM lebih banyak dari biasa. Namun begitu, saintis biasa, yang tidak berpegang pada falsafah “Objectivism” Rand pastinya tidak akan membuat eksperimen ke atas manusia begitu sahaja, lebih-lebih lagi kepada kanak-kanak. Teatpi, Dr Brigid Tenenbaum yang memegang sepenuhnya falsafah “Objectivism” terus menerus melakukan eksperimen keatas kanak-kanak perempuan untuk menghasilkan ADAM. Dr Brigid Tenenbaum dengan bantuan seorang usahawan, Frank Fontaine menubuhkan “Little Sisters Orphanage”, sebuah rumah anak yatim untuk kanak-kanak perempuan yang sebenarnya merupakan sebuah kilang pemprosesan ADAM.
Masyarakat seperti Rapture adalah masyarakat yang sangat kompetitif. Kerana tiadaya seliaan dari Andrew Ryan, wujudnya jurang ekonomi yang terlalu luas di antara yang kaya dengan yang tidak berkemampuan. Memanglah pada mulanya, penduduk Rapture itu sendiri terdiri daripada golongan-golongan yang bukan calang-calang orangnya. Namun disebabkan tiadanya kekangan peraturan, mahupun kekangan moral, berlakulah pembelotan dan tikam menikam di antara para usahawan dan para cendekiawan. Ini sendiri menyebabkan wujudnya golongan yang tidak berkemampuan hasil dari persaingan yang melampau. Disebabkan oleh falsafah “Objectivism”, mereka yang tidak berkemampuan ini dilupakan terus oleh pentadbir Rapture lantas menyebabkan kemarahan golongan ini yang bakal menjadi pencetus kepada perang saudara.
Perang Saudara
Sewaktu anda sebagai watak protagonist Jack tiba di Rapture. Rapture ketika itu sedang berada di kemuncak perang saudara di antara Andrew Ryan dan juga Atlas. Atlas atau nama sebenarnya Frank Fontaine merupakan seorang pengusaha perindustrian nelayan. Beliau dijemput oleh Andrew Ryan setelah beliau lama memujuk Ryan dan menunjukkan kesungguhannya dan kekagumannya kepada falsafah “Objectivism”. Fontaine secara senyap menjalankan operasi penyeludupan barang-barang haram ke Rapture. Oleh kerana Fontaine menghalang sebarang jual beli dengan dunia luar, barang-barang haram yang dibawa oleh Fontaine mendapat permintaan yang tinggi. Dari situlah, Fontaine mengumpul kekayaannya. Selepas itu, Dr Brigid Tenenbaum yang baru sahaja menemui ADAM, meminta bantuan Fontaine untuk membiayai hasil kajiannya. Dari situlah tertubuhnya Fontaine Futuristics yang bertanggungjawab menghasilkan ADAM secara besar-besaran melalui manipulasi “Little Sister”.
Setelah ADAM dihasilkan secara besar-besaran dan dipasarkan, penduduk Rapture berpusu-pusu untuk mendapatkan ADAM. Permintaan kepada ADAM melangkaui jangkaan. Frank Fontaine menggajikan Yi Suchong (seorang doktor perubatan dan pakar genetik) untuk membantunya mencipta “Plasmids” dan juga “Gene Tonics”. Hasil ciptaan tersebut menyebabkan budaya penggunaan ADAM dan “Plasmids” meledak. Banyak industri-industri kecil mula menggunakan “Plasmids” dalam operasi harian mereka sehingga adanya kejuaraan tenis yang menggunapakai “Plasmids Telekinesis” sebagai kaedah utama pertandingan. Ade juga perusahaan-perusahaan kecil yang memberi sampel “Plasmid” secara percuma. Permintaan yang tinggi terhadapa ADAM dan Plasmids ini menaikkan status dan kekayaan Fontaine menyamai Andrew Ryan. Malah, ada yang sudah menganggap Fontaine lebih layak memerintah berbanding Ryan. Perkara inilah yang membuatkan wujudnya sifat tidak senang di antara mereka berdua.
Frank Fontaine mula bijak mengambil langkah. Bertentangan dengan prinsip Andrew Ryan, Frank Fontaine mewujudkan pusat-pusat kebajikan. Antaranya adalah “Fontaine’s Home for the Poor” dan “Little Sisters Orphanage”. Kedua-dua pusat kebajikan ini menarik perhatian golongan-golongan pertengahan dan golongan-golongan yang tidak berkemampuan untuk menyokong Fontaine. Namun begitu, kebanyakan penduduk Rapture tidak sedar akan muslihat di sebalik tindakan Fontaine. Fontaine sebenarnya menjadikan dua institusi ini sebagai pemampan kuasa dan pengaruhnya. “Fontaine’s Home for the Poor” sebenarnya adalah pusat merekrut tentera yang akan berkhidmat untuk Frank. Mereka yang memasuki pusat kebajikan ini akan melalui ujikaji dengan “plasmids” yang dikhususkan untuk tujuan ketenteraan. Mereka yang melalui ujikaji ini dipanggil “Splicers”, tentera yang bakal berkhidmat untuk Frank Fontaine. Disebabkan oleh ujikaji yang tidak berperikemanusiaan, dan kesan buruk dari penggunaan ADAM yang berterusan, kebanyakan Splicers boleh dikategorikan sebagai gila dan mengalami masalah psikologi yang teruk.
Andrew Ryan yang mula melihat kedudukannya tercabar, secara terang-terangannya memerangi Frank Fontaine. Ryan menghantar pasukan keselamatannya untuk mencari dan menghapuskan kegiatan penyeludupan Frank. Usaha Ryan berhasil di mana dia berjaya mematahkan kegiatan penyeludupan dan membunuh Frank Fontaine. Namun begitu, pada hakikatnya, Frank Fontaine memalsukan kematiannya, menukar namanya kepada Atlas lantas bersembunyi sambil menunggu masa yang sesuai. Sebagai Atlas, Frank meluaskan lagi pengaruhnya sebagai pejuang golongan kelas pertengahan dan mereka yang tidak berkemampuan. Berbagai poster “Who is Atlas?” ditampal di serata Rapture untuk meraih lebih banyak sokongan penduduk. Frank juga membentuk kerjasama dengan banduan penjara dan golongan penjenayah yang telah dihukum oleh Ryan. Dalam diam, usaha Frank menyemarakkan lagi api revolusi kelas pertengahan dan bakal mencetuskan perang saudara.
Pada petang tahun baru 1959, Frank mula mengorak langkah. Frank menghantar “Splicers” nya ke “Kashmir Restaurant” yang ketika itu sedang menjamu tetamunya dalam sebuah parti tahun baru. Kedatangan “splicers” secara mengejut menyebabkan suasana parti bertukar menjadi medan peperangan. Ramai yang terkorban antaranya kekasih Andrew Ryan sendiri. Peristiwa ini menjadi pemulaan kepada sebuah perang saudara. Selepas peristiwa tersebut, banyak pertempuran berlaku di antara “splicers” dan pasukan keselamatan Andrew Ryan sehingga melibatkan orang awam. Suasana peperangan yang berterusan dan juga penyertaan dari kelas pertengahan menyemarakkan lagi perang saudara tersebut menyebabkan Rapture jatuh ke kebinasaan.
Rumusan
Bioshock adalah satu kritikan sosial kepada falsafah “Objectivism” Ayn Rand. Satu masyarakat yang hanya mementingkan diri mereka sendiri tanpa mengambil kira moral dan tanggungjawab bersama tidak mampu wujud. Ianya adalah satu angan-angan yang nampak ideal pada pemikiran, tapi sebenarnya penuh kelemahan dari segi praktikalitinya. Falsafah yang Andrew Ryan percayai itu walaupun membantunya membina Rapture, ianya juga menjadi penyebab utama kejatuhannya. Kita sebagai orang Islam sendiri, digalakkan hidup bermasyarakat. Setiap orang Islam mempunyai hak ke atas yang lain dan perlu menunaikan hak saudara yang lain. Bioshock mengajak kita berfikir dengan sendirinya kesan buruk apabila seorang manusia hanya mementingkan diri mereka sendiri tanpa dibelenggu tanggungjawab moral, masyarakat dan juga agama. Jika penduduk di Rapture, mengamalkan dasar-dasar Islam, sudah pasti, pengakhirannya akan berbeza.
Nota kaki: Saya harap tiada lagilah selepas ini yang kata permainan video hanyalah untuk mereka yang tidak matang.
Rujukan:
- Ubik (2011), “Bioshock Critique of Ayn Rand and Objectivism”. Giantbomb. https://www.giantbomb.com/profile/ubik/blog/bioshocks-critique-of-ayn-rand-objectivism/80374/
- Love, Life,Anarchy (2017), “The Philosophy of Bioshock [Ayn Rand, Rapture, Plasmids, Civil War]”. YouTube. https://www.youtube.com/watch?v=1KZ1EKZDySk
- Thomas, William (2010), “What is Objectivism?” The Atlas Society https://atlassociety.org/objectivism/atlas-university/what-is-objectivism/objectivism-101-blog/3366-what-is-objectivism
- Various (2015), “New to Ayn Rand?” The Atlas Society. https://atlassociety.org/objectivism/atlas-university/new-to-ayn-rand
- Various (2010), “Ayn Rand’s Works” The Atlas Society. https://atlassociety.org/objectivism/atlas-university/new-to-ayn-rand/launchpad-blog/3346-ayn-rand-s-works
- Editors of Encyclopedia Britannica (2017), “October Revolution”. Encyclopedia Britannica https://www.britannica.com/topic/October-Revolution-Russian-history
- Marks, Gary and Lipset, Seymour (2001), “How FDR Saved Capitalism”. Hoover Insitusion https://www.hoover.org/research/how-fdr-saved-capitalism
- Various (2017), “Rapture Civil War”. Bioschock Wiki. http://bioshock.wikia.com/wiki/Rapture_Civil_War
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih