Baru-baru ini aku terdengar satu ceramah dari seorang ustaz popular di Pantai Timur yang menjawab soalan hadirin berkenaan “hukum memijak bendera Israel”. Terus terlintas di dalam fikiran aku tentang asal usul simbol Star of David atau Bintang Nabi Daud yang berada pada bendera Israel itu.

Aku tak mahu mengulas tentang hukum memijak bendera itu kerana itu bukan bidang aku, tetapi aku ingin berkongsi sedikit pemahaman aku mengenai sejarahnya yang sangat panjang itu.

Likes page baru kami: The Patriots 2.0 (https://www.facebook.com/thepatriots2.0asia/)

Walau bagaimanapun, simbol itu pada asalnya bukanlah milik kaum Yahudi. Sama seperti simbol bulan sabit dan bintang yang bukan simbol agama Islam. Tapi dalam konteks ini aku nak ketengahkan kaitannya dengan bangsa Turki dan Yahudi.

Islam tidak diwakili mana-mana simbol namun kadang kala ia dikaitkan dengan Islam kerana simbol itu mewakili identiti kebangsaan sesebuah kerajaan Islam seperti Uthmaniyah misalnya. Uthmaniyah mengambil simbol bulan sabit dan bintang yang pada asalnya adalah milik kerajaan Kristian Byzantine. Dan kali ini, sekali lagi bintang David ini akan melibatkan bangsa Turki dari beberapa sudut pandang berbeza.

Bangsa Turki lebih mudah menerima bintang David kerana pada dasarnya, orang Turki asli mempunyai banyak kaitan dengan orang Yahudi pada masa lalu, tetapi tradisi Arab Muslim banyak menyebut tentang bintang berbucu enam itu dan bahkan adakalanya ia turut dianggap sebagai simbol Islam yang penting.

Dan bintang itu sendiri ada sejarahnya yang jauh lebih lama sebelum ia terserap ke dalam budaya kaum Yahudi, ia mungkin lebih banyak dipraktikkan oleh orang Turki berbanding orang Arab kerana perbezaan sejarah yang kompleks, tetapi secara kolektif, ia terlebih dahulu muncul di dunia Islam sebelum Yahudi menyerapnya.

Orang Turki terutamanya pada era Seljuk dan Uthmaniyah adalah satu kelompok orang Muslim yang menerima dan menaungi kaum Yahudi dan Turki Khazar. Mereka mengenali simbol ini dari orang Turki. Walaupun mereka kemudiannya ada yang memeluk Islam, mereka terus menggunakan bintang David dengan menganggapnya sebagai simbol toleransi terhadap kaum Yahudi.

Empayar Uthmaniyah adalah satu-satunya kerajaan yang membuka pintu kepada kaum Yahudi ketika orang Yahudi menjadi pelarian akibat dari penindasan kerajaan Katolik di Eropah. Justeru, apabila kaum Yahudi mula hidup di bawah naungan Uthmaniyah, identiti dan budaya mereka mula berubah secara berperingkat memandangkan Konstantinopel ketika itu adalah sebuah kota yang menjadi tumpuan pelbagai bangsa dari seluruh dunia.

Secara tidak sengaja, Uthmaniyah dianggap telah menjadi antara faktor yang menghubungkan bintang David dengan kaum Yahudi, atau dalam erti kata lain, Uthmaniyah telah memberikan imej ‘keyahudian’ kepada Yahudi yang kita kenal hari ini. Sebelum itu, Uthmaniyah sudah lama menggunakan simbol Bintang David dalam beberapa aspek, terutamanya ketenteraan.

Namun, orang Yahudi hanya benar-benar menerima simbol itu sebagai simbol identiti mereka selewat-lewatnya pada abad ke-17 tetapi ia terus dibanjiri populariti dengan begitu mudah hingga akhirnya ia sampai kepada titik tolak di mana gerakan Zionis menggunakan bintang David sebagai simbol kebangsaan kaum Yahudi.

Selama berabad-abad, pelbagai kerajaan-kerajaan Islam telah menggunakan simbol ini sebagai lambang identiti sama ada dilampirkan pada panji-panji rasmi, dicetak pada matawang syiling negara, atau dijadikan panji-panji standard ketenteraan.

Sehinggalah ia digunakan Zionis semasa penubuhan Israel yang menyaksikan tercetusnya fenomena boikot yang ketara terhadap Israel dan apa sahaja yang berkaitan dengan Israel oleh orang Islam berikutan pendudukan mereka ke atas tanah Palestin.

Israel mempergunakan sejarah kuno yang panjang sebagai justifikasi bagi menghalalkan penindasan mereka terhadap penduduk Palestin. Namun, berbeza pula bagi orang Islam, simbol yang asalnya diamalkan oleh orang Islam pada bendera Israel itu ditolak mentah-mentah oleh orang Islam sendiri sebagai tanda tidak mahu mengiktiraf Israel.

Walaupun sering bertembung melalui perbezaan sokongan politik yang ketara dalam konflik Israel-Palestin, negara Republik Turki moden, sama seperti negara-negara penutur bahasa Turkik yang lain seperti Kazakhstan dan Uzbekistan, adalah antara negara majoriti Muslim yang menerima kewujudan Israel sebagaimana Empayar Uthmaniyah memperlakukan kaum Yahudi dengan begitu baik pada zamannya.

Negara-negara Islam yang lain seperti Libya, Algeria, Yemen, Iraq lebih cenderung membina perbezaan, atau merobohkan apa sahaja yang berkaitan dengan bintang David kerana persepsi pada zaman moden hari ini, ia telah dianggap sebagai simbol negara Israel yang berfahaman Zionisme. Atau simbol Yahudi secara umumnya.

Pada zaman pertengahan, “Bintang David” tidak pernah eksklusif, ia bukan simbol milik Yahudi secara mutlak, ia terlebih dahulu meraih populariti di dalam dunia Islam yang dikenali di dunia Arab sebagai “Khatam Suleiman”. Ia lebih popular terutamanya di kalangan pengikut Mazhab Hanafi.

Seperti yang kita sedia maklum, hampir semua orang Islam Turki adalah bermazhab Hanafi, ini menjelaskan mengapa beberapa kerajaan beylik Turki Anatolia seperti Isfendiyar dan Karamanid (dalam gambar) menjadikan simbol bintang David sebagai simbol pada panji-panji mereka semasa awal kebangkitan Uthmaniyah.

Popularitinya di kalangan umat Islam secara umumnya dan di kalangan imperialis secara khusus disebabkan orang Islam beriman dan percaya kepada Nabi Sulaiman a.s. selaku salah seorang utusan Allah, namun bagi orang Yahudi, baginda dikenali sebagai Raja Solomon.

Simbol itu juga digunakan oleh Empayar Uthmaniyah sebagai ukiran atau hiasan pada dinding masjid mereka, atau dicetak pada matawang syiling dan juga pada panji-panji peribadi individu seperti seorang Pasha seperti Laksamana Hayreddin Barbarossa.

Ia juga pernah menghiasi kompleks makam Al Baqi yang menempatkan beberapa tokoh-tokoh awal kebangkitan Islam di Madinah terutamanya makam para khalifah dan sahabat sehinggalah kompleks makam Al Baqi diruntuhkan semasa kebangkitan kelompok Wahabbi.

Bintang David yang asal adalah bintang yang berbentuk pentagram, bukan bintang dengan enam bucu. Berikutan tanggapan yang salah mengenai mukjizat yang dikurniakan Allah kepada Nabi Sulaiman a.s., generasi baru sering mengaitkan bintang pentagram dengan Nabi Sulaiman dan ilmu hitam.

Bintang berbucu 6 atau hexagram mula digunakan oleh orang-orang Yahudi di Eropah yang dipengaruhi kepelbagaian budaya di Empayar Uthmaniyah pada sekitar abad ke-13 tetapi ia tidak diterima sebagai simbol identiti Yahudi sehinggalah abad ke-17, sepanjang tempoh tersebut, bintang pentagram masih dianggap sebagai simbol Yahudi pada abad pertengahan.

Namun terdapat juga teori lain bahawa bintang hexagram mula mempengaruhi kaum Yahudi mungkin berpunca dari Kekhanan Khazar yang menjadikan Judaism sebagai agama rasmi kerajaan mereka. Bintang berbucu enam adalah simbol yang lazimnya mudah ditemui hampir di seluruh benua Asia ketika itu, seperti Jepun dan India.

Walau bagaimanapun, bintang pentagram, atau dikenali sebagai “Magen David” oleh orang Yahudi (Perisai Daud/David, bukan bintang Daud/David), tetap bukan simbol Yahudi yang azali dan mutlak.

Simbol tradisional kaum Yahudi sejak dahulu hingga sekarang adalah menorah, iaitu tujuh batang lilin yang bercabang yang digunakan di dalam ritual keagamaan mereka. Pentagram pertama kali digunakan sebagai simbol identiti bagi masyarakat Yahudi pada abad ke-16, oleh orang Yahudi di Prague.

Dalam dunia Islam, simbol bintang pentagram telah digunakan pada bendera negara Maghribi (Morocco) sejak tahun 1915 hingga sekarang, maka bendera Maghribi mungkin merupakan cerminan kepada simbol asal bintang pentagram yang digunakan oleh kaum Yahudi sebelum Bintang David atau Bintang Nabi Daud digunakan.

Berkenaan boleh atau tidak jika kita memijak atau membakar bendera Israel, apa yang aku dengar dari petikan ceramah ustaz tersohor itu adalah dibenarkan sebagai tanda mengutuk kezaliman. Aku tak pasti tentang dalilnya.

Likes page baru kami: The Patriots 2.0 (https://www.facebook.com/thepatriots2.0asia/)

Mungkin ia berdasarkan hakikat bahawa Islam tidak pernah diwakili oleh mana-mana simbol, jadi, bendera Israel boleh dianggap sebagai tiada kaitan dengan Islam secara langsung walaupun sejarah menyatakan sebaliknya. Wallahualam.

Di dalam gambar di bawah, adalah bendera kerajaan beylik Turki Karamanid. Sebuah kerajaan yang menjadi pesaing sengit kepada beylik Uthmaniyah sebelum Osman Gazi dan keturunannya menjadikan kerajaan kecil itu sebuah empayar yang besar.

Tidak mustahil, simbol sebegini mungkin boleh dijejak sejarahnya jauh lebih panjang lagi berbanding apa yang kita ketahui hari ini.


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

•MALAY• •MUSLIM• •TERENGGANU• •NATIONALIST• •CONSERVATIVE•

Comments are closed.