Hampir segalanya yang kelihatan megah bermula dengan sebuah permulaan yang kecil. Hatta pelari pecut terpantas dunia sekalipun tidak terus menjadi yang terpantas sebaliknya harus melalui fasa latihan yang konsisten sebelum menjadi yang terpantas. Sama jugalah seperti pertandingan E-Sukan ini di mana ianya hanya bermula dalam kalangan para mahasiswa di sebuah universiti di Amerika Syarikat.
Jika tanggal 18 Oktober merupakan tanggal kepada pengumuman penciptaan permainan video pertama kepada umum (Apa Permainan Video Pertama Dalam Sejarah?), maka tanggal 19 Oktober pula adalah tanggal keramat di mana ianya merupakan tanggal di mana pertandingan E-Sukan pertama diadakan.
Pada hari tersebut bersamaan tarikh 19 Oktober 1972, kurang lebih 20 orang pelajar telah memenuhi ruangan di sebuah makmal penyelidikan di Universiti Standford yang menempatkan satu-satunya komputer DEC PDP-10 milik makmal tersebut. Masing-masing daripada mereka menunggu giliran untuk berentap merebut takhta pertandingan yang memainkan permainan video yang cukup popular pada ketika itu iaitu Spacewar.
Pertandingan permainan video yang dinamakan sebagai Intergalactic Spacewar Olympics itu menawarkan ganjaran kepada pemenang yang berupa langganan terhadap majalah Rolling Stone. Amat berbeza dengan pertandingan-pertandingan E-Sukan yang dianjurkan pada hari ini di mana ganjaran yang ditawarkan kepada pemenang amatlah mewah di mana kebanyakan daripadanya menawarkan sejumlah wang yang agak besar nilainya.
Namun, sudah tentu para peserta pertandingan E-Sukan yang pertama dalam sejarah tersebut menyertai pertandingan tersebut bukanlah untuk mendapatkan ganjaran yang ditawarkan kepada pemenang sebaliknya bagi mencari hiburan tambahan pula permainan video Spacewar yang dimainkan pada pertandingan tersebut tersangatlah popular pada waktu itu.
Sebenarnya idea kepada penganjuran pertandingan ini dicetuskan oleh sekumpulan pelajar yang berkawan rapat dan menuntut di Universiti Stanford tersebut. Mereka yang merupakan pemain tegar permainan video Spacewar pada ketika itu selalu bermain permainan video tersebut antara satu sama lain.
Pada satu hari, salah seorang daripada mereka berasa bosan bermain dan berentap dalam permainan video tersebut sesama mereka lalu tercetus idea untuk menganjurkan pertandingan supaya mereka dapat bermain dan berentap bersama dengan pelajar-pelajar lain di universiti tersebut.
Permainan video Spacewar ini sememangnya pada ketika itu berjaya mencipta fenomena apabila ianya dimainkan oleh individu-individu daripada pelbagai lapisan umur. Bukan itu sahaja, permainan video yang berkonsepkan Team Deathmatch (konsep yang sama seperti permainan video Counter Strike pada hari ini) ini juga telah berjaya menjurus kepada penubuhan komuniti-komuniti yang dianggotai oleh para pemain tegar permainan video tersebut.
Hal sebegini tidak pernah sekalipun berlaku sebelum terciptanya permainan video Spacewar itu. Hal-hal ini juga mungkin menjadi antara faktor utama kenapa permainan video tersebut dipilih bagi menjayakan penganjuran pertandingan E-Sukan yang pertama sekali direkodkan dalam sejarah.
Sudah menjadi lumrah dalam apa-apa pertandingan, hanya satu pihak atau seorang peserta sahaja yang boleh dijadikan sebagai pemenang. Pada pertandingan Intergalactic Spacewar Olympics tersebut, seorang pelajar di Universiti Standford sendiri, tempat pertandingan itu dianjurkan.
Bruce Baumgart, telah menjuarai pertandingan tersebut sekaligus menjadi manusia pertama dalam sejarah yang menjuarai sebarang pertandingan E-Sukan. Baumgart dilaporkan akhbar telah mengatakan bahawa sebab beliau menyertai pertandingan tersebut adalah kerana beliau hanya mahu berhibur akibat berasa bosan apabila beliau tidak melakukan sebarang aktiviti yang menghiburkan pada ketika itu.
Sudah pasti pertandingan Intergalactic Spacewar Olympics akan terus terpahat di dalam lembaran sejarah permainan video sebagai pertandingan E-Sukan pertama yang direkodkan setakat ini. Siapa sangka perubahan daripada pertandingan yang bermula dengan ganjaran yang berupa langganan majalah kini merupakan sebuah industri yang nilainya mencecah berbilion ringgit.
E-Sukan sudah tentu akan terus berkembang dalam masa akan datang kerana teknologi sentiasa bergerak ke hadapan dan tidak akan pernah menunggu kita untuk mengejarnya. Tambahan lagi, kerjaya sebagai pemain permainan video juga menawarkan pulangan yang lumayan jika kita mampu menyerlahkan bakat dalam sesebuah permainan video itu sendiri.
Permainan video tidak lagi menjadi sebuah punca kepada kegagalan seseorang dalam menjalani gaya kehidupan yang ‘normal’ seperti yang dikehendaki oleh masyarakat pada suatu ketika dahulu. Namun begitu, haruslah diingat juga yang sesetengah perkara jika diambil oleh kita secara terlampau berlebihan juga akan membawa padah.
Oleh itu, kita atau para pemain tegar permainan video khususnya haruslah sentiasa mencuba untuk menyeimbangkan hidup di antara bermain permainan video dan menjalani kehidupan seharian supaya perjalanan dalam kehidupan seharian kita dapat berjalan dengan lancar dan diredai oleh Yang Maha Berkuasa.
RUJUKAN :
- be-quipe (2018). First eSport Tournament. https://bequipe.com/blogs/infos/first-esport-tournament
- Polygon (2012). First game tournament, ‘Intergalactic Spacewar Olympics,’ held 40 years ago. https://www.polygon.com/2012/10/20/3529662/first-game-tournament-intergalactic-spacewar-olympics-held-40-years
- GeekWire (2017). 45 years after first-ever gaming tournament, Seattle museum hosts vintage Spacewar! Olympics. https://www.geekwire.com/2017/45-years-first-ever-gaming-tournament-living-computers-hosting-vintage-spacewar-olympics/
- Weplay! (2019). Esports & its future in sports. https://weplay.tv/news/esports-its-future-in-sports-16322
Perhatian sebentar…
—
Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.
Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.
Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.
Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.
Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.
Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.
RM2 / RM5 / RM10 / RM50
—
Terima kasih