Zakat fitrah merupakan zakat badaniah yang telah disyariatkan pada tahun kedua Hijrah.  Ia merupakan kewajipan fardhu ain ke atas setiap orang Islam dengan syarat-syarat yang ditetapkan. Kewajipan yang dilaksanakan di bulan Ramadhan ini bertujuan membersih dan menyucikan jiwa mereka yang berpuasa daripada perkara yang sia-sia dan seterusnya bayaran fitrah tersebut dapat digunakan untuk membantu fakir dan miskin membuat persiapan menyambut Hari Raya.

Rasulullah  s.a.w bersabda di dalam satu hadith, yang bermaksud :

“Rasulullah s.a.w telah memfardhukan zakat fitrah pada bulan Ramadhan ke atas manusia dengan mengeluarkan satu gantang kurma atau satu gantang syair (sejenis gandum) atas tiap-tiap lelaki dan perempuan, kecil mahupun besar samada merdeka mahupun hamba daripada orang-orang Islam”(HR Bukhari & Muslim)

Seseorang wajib membayar zakat fitrah sekiranya dia memperolehi sebahagian waktu bulan Ramadhan dan sebahagian waktu bulan Syawal. Justeru itu, zakat Fitrah tidak diwajibkan ke atas orang-orang berikut:

  • Orang yang mati sebelum terbenam matahari pada akhir bulan Ramadhan. Ini kerana dirinya tak perolehi sebahagian waktu bulan Syawal. Sekiranya dia meninggal selepas terbenam matahari akhir bulan ramadhan iaitu meninggal malam raya (baca: malam 1 syawal), kewajipan zakat fitrah dipertanggungjawab atasnya dan jika dia pula belum membayar, maka ahli warisnya wajib mengambil bahagian pusaka si mati untuk lunaskan zakat tersebut.

Jika dia meninggal di pertengahan bulan Ramadhan, dan dia belum membayar zakat fitrah, ahli warisnya tidak perlu mengambil pusaka si mati untuk lunaskan zakat fitrahnya kerana dia tidak dibebani kewajipan zakat fitrah kerana tidak bertemu sebahagian bulan Syawal.

  • Anak yang lahir selepas terbenam akhir bulan Ramadhan (baca:lahir di malam raya atau malam 1 syawal). Ini kerana dirinya tak perolehi sebahagian waktu bulan Ramadhan. Anak yang lahir sebelum matahari terbenam pada akhir bulan Ramadhan dan hidup selepas terbenam matahari akhir bulan ramadhan diwajibkan zakat fitrah.
  • Orang yang memeluk agama Islam sesudah terbenam matahari pada akhir Ramadhan (baca: malam raya atau malam 1 syawal). Ini kerana dirinya tak perolehi sebahagian Ramadhan. Orang yang memeluk Islam sebelum terbenam matahari pada akhir bulan Ramadhan dan berkekalan Islamnya di malam raya wajib mengeluarkan Zakat Fitrah.
  • Tanggungan isteri yang dinikahi selepas terbenam matahari pada akhir Ramadhan (baca: nikah malam raya atau malam 1 syawal). Ini kerana diri isterinya iaitu orang yang dinafkahinya tak bertemu sebahagian Ramadhan sebagai orang yang dinafkahi si suami. Walau bagaimanapun, si isteri itu tetap wajib keluarkan zakat fitrah untuk diri dia sendiri.

Syarat-Syarat Wajib Zakat Fitrah

Syarat-syarat wajib zakat fitrah ialah:

  1. Islam dan merdeka
  2. Mempunyai lebihan makanan dan harta untuk keperluan sekeluarga serta orang-orang dibawah tanggungannya pada 1 Syawal dan malamnya.

Waktu Membayar Zakat

Waktu Afdhal: Pada hari Raya Aidilfitri bermula selepas terbit fajar dan sebelum solat sunat aidilfitri. Lebih afdhal lagi, membayar zakat fitrah selepas solat subuh.

Waktu Harus: Bermula awal Ramadhan (ini kebiasaan masyarakat kita buat).

Waktu Makruh: Melewatkan bayar selepas solat sunat Aidil Fitri sehingga sebelum terbenam matahari kecuali ada maslahat seperti menunggu orang dekat atau fakir yang soleh.

Waktu Haram – iaitu selepas terbenam matahari pada hari raya Aidil Fitri.

Bayaran Zakat di Bulan Ramadhan

Meskipun Zakat fitrah wajib dibayar berdasarkan keadaan seseorang itu berada dan bertemu sebahagian Ramadhan dan sebahagian Syawal, namun melihat kepada realiti semasa, maka boleh diawalkan sedikit masa pembayaran sama ada sehari atau dua hari mengikut apa yang dilakukan oleh para sahabat sebagai ikhtiyat (berhati-hati).

Ia juga membantu pengagihan zakat kepada fakir miskin pada malam Raya atau sebelum itu yang lebih awal dan secara lebih efektif. Lalu tercapai tujuan mengembirakan fakir dan miskin pada hari Raya apabila mereka mendapat bahagian duit atau makanan asasi.

Selain itu, dengan pembayaran zakat fitrah lebih awal, boleh mengelak sikap tergopoh gapah atau mungkin berlaku sebarang halangan yang menyebabkan terlepasnya daripada menunaikan zakat fitrah pada waktu wajibnya.

Jenis Dan Kadar Bayaran Zakat Fitrah

  1. Jenis zakat yang dikeluarkan ialah berdasarkan makanan asasi sesebuah negeri seperti beras.
  2. Kadar yang dikeluarkan ialah satu gantang Baghdad bersamaan timbangan metrik 2.60 kilogram (2600 gram). Untuk rekod, keputusan Jawatankuasa Majlis Fatwa Kebangsaan pada 11 Mac 2002 telah mencadangkan kepada negeri-negeri di Malaysia penggunaan satu gantang Baghdad bersamaan 2.7 kilogram bagi ukuran nisab jenis-jenis zakat.
  3. Nilai bagi kadar ini adalah berubah dari semasa ke semasa bergantung kepada harga beras yang dimakan oleh kebanyakan penduduk Islam di sesebuah negeri.

Melebihkan bayaran zakat fitrah adalah sunat dan lebih afdal (lebih baik) yang akan dikurniakan oleh Allah dengan ganjaran berlipat kali ganda apatah lagi pada bulan Ramadan yang dijanjikan kerahmatan dan keberkatan.

Zakat Fitrah diganti Wang Ringgit

Keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-57, bertarikh 10 Jun 2003.

Keputusan:

  1. a) Harga zakat fitrah bagi negeri-negeri di Semenanjung Malaysia adalah berdasarkan harga setempat yang ditetapkan oleh BERNAS bagi beras Super Tempatan Gred A mengikut timbangan satu gantang Bagdhdad bersamaan 2.60kg.
  2. b) Harga zakat fitrah bagi negeri-negeri Sabah dan Sarawak adalah berdasarkan harga setempat yang ditetapkan oleh BERNAS, masing-masing bagi beras Vietnam White Rice bagi negeri Sabah dan Thai White Rice bagi negeri Sarawak mengikut timbangan satu gantang Baghdad iaitu bersamaan 2.70kg

Walaupun pada keterangan lalu tersebut zakat fitrah WAJIB dikeluarkan dari jenis makanan asasi penduduk sesebuah negeri, dan ini menjadi pegangan dalam mazhab Syafie (kecuali adanya dharurat, atau diperintahkan oleh pihak yang berkuasa, maka diHARUSkan membayarnya dengan wang sebagai ganti makanan – beras). Ini seperti yang sedang di’amalkan oleh jabatan-jabatan agama Islam di Malaysia, kerana memudahkan urusan pemungutan zakat fitrah dan pengagihan.

Berlainan dengan Mazhab Hanafi yang mengatakan lebih afdhal membayar zakat fitrah menggunakan harga berbanding makanan.

Walaupun Malaysia secara umumnya bermazhab Syafie, akan tetapi kita bersifat terbuka dengan menerima pakai pendapat zakat fitrah dibayar dengan nilaian wang apabila melihat keperluan dan situasi semasa seperti fakir miskin sekarang lebih suka menerima wang dari beras. Dari wang itu, mereka boleh memberi hajat-hajat lain. Disamping itu, penyimpanan wang ringgit lebih mudah dan selamat dari stok beras yang boleh mengundang kerosakan jika disimpan lama.

Zakat Diagih sendiri tanpa melalui Pusat Zakat

Keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan yang bersidang pada 21-23 November 2006 dengan resolusi berikut:

“Walaupun dari segi syarak, mengagihkan zakat secara persendirian tanpa melalui pemerintah adalah sah sekiranya diagihkan kepada asnaf yang layak, tetapi perbuatan melanggar peraturan dan undang-undang pemerintah dalam perkara kebaikan adalah berdosa, kerana di dalam Islam patuh dan taat kepada pemerintah atau Ulil Amri dalam perkara kebaikan adalah wajib”.

Intaha,

AngahSunan,

RUJUKAN:

  1. Al Habib Hasan bin Ahmad bin Muhammad al Kaf, At Taqrirat As Sadidah Fi Masail al Mufidah, Qism Ibadat, Dar al Mirath an Nabawiy, cetakan pertama 2003M
  2. Imam Zakaria Mahyuddin Bin Syaraf al Nawawi, Minhaj At Tholibin Wa Umdah al Muftin, Darul Minhaj, Cetakan 2005M
  3. http://www.e-fatwa.gov.my/…/hukum-mengagihkan-zakat-secara-…).
  4. http://www.zakat.com.my/inf…/jenis-jenis-zakat/zakat-fitrah/

Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

ANGAH SUNAN merupakan pendakwah bebas, penerbit dan penulis prolifik. Anak Jati Pulau Manis, Terengganu ini telah menghasilkan beberapa buah buku merangkumi bidang fiqh, tauhid - tasauf, travelog sejarah dan terjemahan (arab - melayu). Selain itu, pengajar bertauliah Majlis Agama Islam Selangor ini juga pernah terlibat dalam pembikinan Dokumentari Merah Laut Sulu di Jolo, Selatan Filipina pada tahun 2015. Link FB : www.facebook.com/angahsunan

Comments are closed.